Dunia Islam keseluruhannya memperingati israk mikraj pada tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi SAW, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.
Peristiwa ini terjadi pada ketika Nabi berusia 53 tahun iaitu satu tahun lima bulan menjelang hijrahnya ke Madinah. Ia terjadi dalam usaha Nabi s.a.w. mempersiapkan diri untuk mengembangkan risalah Islam yang begitu mencabar khususnya dalam menghadapi masyarakat Madinah yang heterogen, bukan hanya dari segi agama tapi juga etnik.Sudah tentu tugas-tugas yang berat ini memerlukan kekuatan mental dan fikiran serta spiritual.
Peristiwa ini merupakan peristiwa “keajaiban dan kekaguman” yang mengundang reaksi hebat dari kalangan kafir Quraisy ketika itu.Ini tercermin dari makna-makna simbolik kata-kata yang digunakan dalam peristiwa tersebut seperti Sidratul Muntaha, masjid dan lain-lain.
Malah sekarang pun golongan empirisisme dan rasionalis masih mempersoalkan bagaimana mungkin lingkungan cekerawala yang menjadi laluan Muhammad tidak mengakibatkan gesekan-gesekan panas yang membakar tubuhnya?Bagaimana mungkin ia dapat melepaskan diri dari daya graviti bumi? Mereka melihat segala kejadian dan peristiwa berdasarkan realiti empirik (berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan) dan yang rasional saja.
Sebagai contohnya tentang hakikat buraq dimana sifat-sifatnya menjadi perbincangan menarik sepanjang masa. Timbul pertanyaan pada setiap Muslim kenapa dalam perjalanan Israk dan mikraj nabi harus ada perantara (wasilah) Buraq dan bukan binatang lainnya. Walhal tanpa media Buraq pun Allah SWT berkuasa untuk menperjalankan Nabi SAW dalam perjalanan yang agung ini.
Pada hal, peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa yang luhur dan di luar batas kemampuan akal dan fikiran manusia.Jika peristiwa mikraj dilihat dari perspektif keilmuan Barat, maka ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang ilmiah tetapi hanya bersifat dogma dan sistem kepercayaan (credo).
Bagaimanapun jika dilihat dari perspektif keilmuan Islam, maka persoalannya menjadi sesuatu yang lain. Ia tetap ilmiah dan benar, sebab dalam konsep Islam, ilmu di samping memiliki paradigma deduktif-induktif tetap mengakui paradigma transenden dan yang tidak terlihat oleh mata kasar, pengakuan adanya kebenaran dari Tuhan, pengakuan adanya hal-hal yang bersifat metafizik (misalnya tentang wujudnya Allah, para malaikat, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebaginya) merupakan kebenaran yang tidak memerlukan bukti empirik, bahkan persoalan-persoalan metafizik tersebut adalah benar (realiti).
Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa wahyu dan kenabian merupakan masalah-masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran panca indera dan keterbatasan akal fikiran.
Menurut satu riwayat, dari Masjidil Aqsa, Nabi s.a.w. mikraj menghadap Allah s.w.t. ke Sidratul Muntaha. Ini semua terjadi di bawah bimbingan Allah s.w.t. dan taufik-Nya. Menurut Muhammad Asad, Sidratul Muntaha adalah seperti pepohon teratai atau seroja. Pohon ini sememangnya sudah dikenali sejak zaman Mesir kuno lagi. Pohon ini dianggap sebagai satu lambang kebijaksanaan.Maka Sidratul Muntaha adalah lambang kebijaksanaan yang tertinggi dan terakhir yang dicapai oleh seorang manusia pilihan Allah azzawajalla.Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah sampai di Sidratul Muntaha, maka ia telah sampai satu tahap kebijaksanaan yang tertinggi yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya.Sehingga amat wajarlah Rasulullah s.a.w. memiliki akhlak yang sangat mulia, sabar, kasih sayang terhadap manusia, alam dan haiwan.
Sesuatu yang tidak atau belum terjangkau oleh akal fikiran manusia seharusnya tidak dijadikan alasan bagi mencari ketidakbenaran sesuatu itu, kerana al-Quran menyatakan : Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Surah Al-Isra ayat 85)
Dalam beberapa ayat yang menceritakan peristiwa Israk Mikraj ini, berulang kali ditegaskan tentang keterbatasan pengetahuan manusia serta sikap yang harus mereka pertahankan, misalnya, firman Allah s.a.w. yang bermaksud: Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Nahl ayat 8).
Dan janganlah kamu mengambil sikap (baik berupa ucapan mahupun tindakan) yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang hal tersebut, kerana sesungguhnya pendengaran, mata, dan hati kesemuanya itu akan diminta dipertanggungjawaban. (Surah Al- Isra ayat 36)
Apa yang ditegaskan al-Quran tentang keterbatasan pengetahuan manusia turut diakui oleh para ilmuwan abad ke-20.Mereka menyatakan bahawa pengetahuan manusia tentang alam hanyalah mencapai tiga peratus sahaja sedangkan bakinya 97 peratus adalah di luar batas kemampuan manusia.Peristiwa ghaib dan mukjizat itu memang tidak mungkin terjangkau oleh kewarasan fikiran.Oleh kerana itu, tidak menghairankan kalau banyak riwayat yang memberitakan terjadinya kemurtadan di kalangan sebahagian Muslimin ketika mereka diberitahu Rasulullah s.a.w. mengenai
Sebenarnya, peristiwa Israk dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru.
Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah selebihnya dengan roh yang suci.
Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah s.a.w tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.
Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah kepada Rasulullah? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu
Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah s.a.w yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.
Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah s.a.w dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.
Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, ketika Rasulullah s.a.w kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah s.a.w.”
Namun begitu ada juga sesetengah ulama mengatakan perjalanan agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu.
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu‘perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi melahirkan rasa taqwa dan keimanan terhadap Allah menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaranNya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad. Oleh hal yang demikian, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketaqwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah s.w.t. Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendakiNya.
Oleh : Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments