Pandemik COVID-19 pada hakikatnya menuntut kita berfikir tentang tanda-tanda keEsaan dan kekuasaan Allah SWT.

Apakah ini petanda bahawa bumi sudah semakin tua? Apabila bumi semakin tua apakah sesarannya (taktonik) sudah tidak stabil? Apakah ketidakstabilan diakibatkan oleh  perbuatan buruk penghuninya atau sebaliknya?

Bencana alam dan juga penyakit telah wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu dan sehingga kini terus berlaku,  menimpa manusia yang hidup sebelum dan selepas al-Qur’an diturunkan. Perihal kejadian itu, Allah SWT telahpun semadikan kejadian bencana-Nya di dalam al-Qur’an dan memanggilnya ’kemurkaan dari langit’.

Kemurkaan ini berlaku atas beberapa sebab. Antaranya ialah sifat zalim dan fasiq manusia, tidak mempedulikan perintah Tuhan. Kaum Nabi Lut contohnya mengamalkan homoseksual dan amalan itu dilakukan dengan meluas dan terbuka. Atas apa yang berlaku itu Allah SWT menghukum mereka yang enggan dengan apa yang disampaikan Nabi Nuh AS tentang larangan-Nya.

Tiada manusia sebelum mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu seperti itu. Mereka tidak menghiraukan amaran para Rasul dengan melakukan dosa dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Akibat kedegilan itu maka berlakulah ’kemurkaan dari langit’ yang menghapuskan mereka sama sekali, kecuali segelintir umat yang percayakan dan mentaati Nabi Lut AS.

Bandar raya diterbalikkan oleh kuasa Allah SWT dan angin ribut yang bercampur batu-batan yang dibakar menghunjam mereka bertubi-tubi seperti diceritakan dalam al-Qur’an yang bermaksud: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, ketika matahari terbit. (Surah Hijr:73).

Teriakan itu terjadi juga ke atas  kaum Nabi Shuaib AS iaitu Bani Madyan, yang hidup sebelum zaman Nabi Lut AS. Tetapi bagi Bani Madyan, bencana itu hadir dengan berlakunya gempa bumi yang menghapuskan mereka akibat daripada kezaliman, menipu sukatan dan timbangan bersama sekelompok manusia berada di setiap jalan untuk mengancam dan menghalang orang daripada beriman kepada Allah SWT.

Para pembesar negara dikatakan turut serta dalam penindasan dan kezaliman tersebut. Lantaran itulah, mereka dihina dan dihapuskan Allah SWT dengan bencana teriakan dan gempa bumi. Al-Qur’an menjelaskan: Dan tatkala datang (masa pelaksanaan) perintah kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat daripada kami: dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu menjadilah mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. (Surah Hud :94)

Demikian juga kaum Tsamud (kaum Nabi Salleh AS). Mereka mendapat azab yang pedih sehingga tamatnya riwayat sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan dirinya) sedang mereka melihatnya. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan. (Surah Az-Zariyyat: 44-45)

Bencana seperti itu juga berlaku ke atas kaum Nabi Hud iaitu Aad yang tinggal di daerah al-Ahqaf, Hadhramaut, Yaman. Kaum Aad yang zalim dan diktator itu ditimpa azab di mala Allah SWT menurunkan angin kencang selama lapan hari dan tujuh malam, bersama kilat sabung menyabung. Mereka akhirnya mati disambar petir.

Adapun Aad (kaum Nabi Hud AS), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau-lampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-oleh mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.” (Surah al-Haaqah:6-7)

Kaum yang tertua dicontohkan ialah kaum Nabi Nuh AS. Seperti Nabi-Nabi lain, Nuh AS menyampaikan kepada kaumnya mesej-mesej Allah SWT tetapi pembesar-pembesar mendustakannya.

Mereka mengeji Nabi Nuh AS dan pengikut-pengikutnya. Lalu datang banjir besar, menimpa mereka bersama orang yang tidak percaya, termasuk anaknya sendiri.

Bencana dan musibah itu adalah ketentuan dan kehendak Allah SWT. Baik sebagai azab bagi mereka yang berdosa kerana terus bermaksiat kepada-Nya atau sebagai ujian daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Tujuannya ialah untuk menghapus kesalahan-kesalahan dan sebagai pelajaran bagi mereka yang selamat agar mahu kembali kepada-Nya, yang telah menyelamatkan mereka daripada kemaksiatan.

Daripada kisah-kisah umat terdahulu, ternyata bencana dan musibah ditimpa kepada sesuatu umat kerana perbuatan maksiat yang mereka lakukan.

Mengambil kira hakikat rentetan fenomena yang berlaku masakini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik. Sejarah kaum-kaum terdahulu telah pun berulang dan akan terus berulang, malah diundang tanpa diduga.

Umat haruslah mengambil iktibar serangan COVID-19, setiap orang  bermuhasabah diri dan bertaubat meninggalkan semua bentuk kemaksiatan,  dan kembali berpegang teguh dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Itulah satu-satunya jalan yang dapat menghindari kita daripada ditimpa musibah atau apapun bentuk bencana di dunia ini.

MOHD. SHAUKI ABD MAJID

Translate »