Dalam tempoh tiga bulan (Mac hingga Mei 2020), Befrienders KL menerima 6,858 panggilan dan dalam tempoh yang sama tahun ini (2021) terima 10,412 panggilan, peningkatan lebih 50 peratus. Sesuatu yang mengejutkan. Pandemik benar-benar menyebabkan peningkatan kemurungan dan masalah mental yang cukup meresahkan sebelum berakhir dengan kematian ‘bunuh diri’. (Free Malaysia Today, 25 Jun 2021).

Semalam (24/6/2021) ada berita seorang lelaki berusia 26 tahun mati bunuh diri setelah terjun dari Aras 10 (pangsapuri) di Jalan Raja Uda, Butterwoth,  Pulau Pinang. Lelaki tersebtu alami kemurungan kerana perniagaan yang digelutinya bermasalah. Tentunya, lelaki itu bukan sahaja rugi bahkan seolah-olah buntu  memikirkan jalan penyelesaian  ketika pandemik benar-benar mencengkam. Lelaki itu meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak (berusia dua dan empat tahun).

Tahun lepas (2020) antara Mac hingga Oktober, 266 orang mati ‘bunuh diri’. Purata sebulan ialah 33.25 dan ini bererti setiap hari ada lebih daripada satu kes bunuh diri berlaku di seluruh negara atau 15 hingga 16 orang setiap dua minggu. Cukup menarik, 14 hari atau dua minggu adalah period yang cukup ‘cemas’ dalam konteks COVID-19, ia adalah tempoh kuarantin kendiri, tempoh penentuan virus corona boleh berjangkit dan garis awal setiap kawalan pergerakan diputuskan.

Sebelumnya, ada beberapa laporan mengenai percubaan bunuh diri yang diakibatkan oleh pelbagai masalah mental tetapi di kala pandemik ia meningkat lebih cepat selepas lebih 465 hari masih belum ada ketentuan bilakah COVID-19 akan berakhir. Pemimpin-pemimpin politik masih bertekak dengan perihal dan keinginan masing-masing, pucuk pangkalnya ialah bagaimana untuk ‘menyailangkan’ sesama politikus.

Bagi yang berada dalam kabinet, mereka bimbang apa akan berlaku dalam tempoh pandemik ini apabila kesepakatan longgar ‘terburai’ dan kerajaan tumbang. Untuk tumbangkan kerajaan sekarang, bukan susah dan sudah ada ugutan serta kegemparan,  salah sebuah parti politik di dalamnya berkali-kali nyatakan akan keluar (belum lagi). Terbaharu beri amaran, PM hanya ada tempoh 14 hari. Macam surat peguam yang bertindak menagih hutang bagi pihak pemberi hutang.

Keadaan ini akan menjadikan situasi politik  bertambah tidak menentu’ apatah lagi ketika pandemik benar-benar menyebabkan ramai hilang punca rezeki dan semakin tertekan. Gelora ‘jiwa kacau’ bertambah dengan kusut masai politikus, yang tak sabar-sabar nak rampas kuasa dan muncul sebagai penyailang dalam filem penuh perlawanan pecah panggung Abang Long Fadil (2014), kisah gangster Kampung Baru atau Chow Kit – Tauke Jambu, Shark (Samsul Yusuf), Malek (Aaron Aziz), Ajib (Sofi Jikan) dan Pailang (Aman Graseka). Akhirnya, Fadil (Zizan Razak) jadi hero dari watak yang ‘bodoh-bodoh sikit’. Macam dalam politik ada Mat Sabu, cakapnya walaupun serius masih imeng-imeng badut.

Barisan parti pembangkang terus mengeluarkan kritikan pedas dengan cadangan cukup ‘briliant’ dan berpusing 360 darjah daripada tingkah semasa berkerajaan.  Nampaknya, ada juga politikus cukup bersemangat ingin belajar daripada kisah Naftali Bennet, boleh angkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Benjamin Neetanyahu gagal memperoleh majoriti dalam  empat pusingan pilihan raya sejak Mac 2019.

Yair Lapid dan Naftali Bennet sudah berjaya dengan gabungan baharu, menyebabkan Neetanyahu hilang kuasa yang dipeganginya selama 12 tahun apabila Knesset mendapat kelulusan. Bennet akan berkuasa selama dua tahun, dan Lapid akan menyusul selepas itu. Hal yang sama pernah berlaku di Sabah (selepas PRU ke-9 tahun 1994), penggiliran ketua menteri semasa era PM ke-4 sehinggalah ditamatkan pada PRU ke-11 (2004) apabila Musa Aman kekal dilantik sebagai Ketua Menteri.

Pakatan Harapan (PH) menang PRU ke-14 (10 Mei 2018) diingati sebagai titik sejarah malang buat UMNO dan BN (yang berkuasa sejak 1957, iaitu 61 tahun). Mengikut tempoh PRU,  PH sepatutnya memerintah sehingga Dewan Rakyat dibubarkan atau sehingga pertengahan tahun 2023 (tempoh tamat secara automatik).

Suku terakhir 2019, keretakan dalam PH jelas ‘berkecai’ dan akhirnya 24 Februari 2020, rumah yang dibina “dengan kerangka usang” walaupun dindingnya “bukan kayu guna semula” tumbang menyembah bumi. Tiang seri terkehel (Dr Mahathir meletakkan jawatan) dan kayu alang tercabut dari posisinya. Itulah sebabnya Haji Hadi ibaratkan ‘kerajaan tebuk atap’ kerana bumbungnya sudah tercabut lebih awal, sebelum PN menggantikan PH.

PH membentuk garis propaganda .’kerajaan pintu belakang’ bagi mengubati kekecewaan akibat atap bocor dan tiang seri senget. Bagaimanapun, garis propaganda itu tidak menjadi, dan tiang seri tidak dapat ditegakkan semula. Selepas itu, bergempitalah hulubalang masing-masing menghentak lantai, tidak juga lantai yang patah,  sebaliknya, kaki yang menghentak itu sampai sekarang belum hilang sakitn: masih banyak urat yang terseliuh dan tulang terkehel, masih menggunakan khidmat ‘bomoh patah’ serta membuat latihan pergerakan (fisioterapi).

Semasa PH (22 bulan), masalah rakyat membarah bahkan  10 Janji 100 Hari pertama bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ dan  berhantu seperti dikejar jembalang yang muncul dari ‘pusara di lebuh raya’. Manifesto, bukan sahaja tertangguh, dicarikan pelbagai alasan untuk tidak menunaikannya.  Akhirnya  benar-benar mencetuskan persepsi ‘pakatan hancing’.  

PH, dalam persepsi rakyat dilihat sangat tamak, dan kegagalan seratus hari pertama disimpulkan sangat sukar untuk ditutup dengan nyiru. Selepas PH tergelincir dan binaan rumahnya (selama 2 tahun, 2017-2019),  rakyat  dapat menarik sedikit nafas lega apabila mantera Melayu-Islam berjaya membentuk kerajaan dengan penyertaan PAS, UMNO dan ‘pengkhianat dan katak-katak’ pada 1 Mac 2020, yang kemudiannya dinamakan Perikatan Nasional (PN). Kini, PN juga dilihat telah gagal, kawalan jangkitan COVID-19 kurang berkesan dan politik intraparti dan antara parti – sailang menyailang – tiada kesepakatan dan solidariti, terus  terduduk dalam ‘emosi terperuk’.

Langkah pembendungan dipersoalkan sehingga mengakar pula istilah Kluster Kayangan, Kluster Mahkamah dan Kluster dalam Kluster (Kluster Zahid; Kluster Anuar Musa;  Kluster Ku Li; Kluster Nazri; dan Kluster Tok Mat Hasan). Kluster dalam Kluster (KdK, bukan jenama kipas terkenal) menambahkan lagi perpecahan dalam UMNO, yang mungkin beransur-ansur menjadi kerdil kalaupun tidak lenyap seperti kisah Jurasic Park: The Lost World.

Ketika PKP 1.0 (18 Mac hingga 3 Mei 2020) dianggarkan setiap hari kerugian sebanyak RM 2.4 bilion. Ini bermakna, dalam tempoh 47 hari, janaan ekonomi kerugian RM 112.8 bilion. Semasa PKP 2.0  yang berlangsung selama 51 hari (13.1.2021 hingga 4.3.2021) membabitkan kerugian sekitar RM 51 bilion (purata RM 1 bilion sehari) dan PKP 3.0 (1.5.2021 hingga 31.5.2021) selama 25 hari dianggarkan kerugian RM 500 juta sehari menjadikan ia kehilangan sebanyak RM 22.5 bilion.

Dalam tempoh pelaksanaan 3 kali PKP, kerugian dianggarkan berjumlah RM 186.3 bilion. Anggaran ini belum termasuk masa  kawalan yang lainnya, PKPP (Pemulihan), PKPB (Bersyarat), dan PKPD (Diperketatkan) dan ‘total lockdown’. Total lockdown dipersoalkan kerana ‘buka pintu belakang’ sejak 1 Jun 2021. JIka diambila kerugian sepenuhnya, ia mungkin mencecah lebih setengah trillion  ringgit. Sangat sukar dan amat panjang masa diperlukan untuk dijana kembali.

Sejak PN mentadbir, lebih RM 130 bilion hutang telah dibuat oleh kerajaan dan ini menggambarkan betapa sukarnya ekonomi negara untuk diuruskan kecuali ada strategi pelaksanaan yang mampu bertahan dalam situasi pandemik. Setakat ini, kerajaan PN dilihat tidak cukup kompeten dalam mengatasi ‘isu negara runtuh’ (ekonomi), terutama dalam kalangan mereka yang dibuang kerja, pengurangan gaji dan hilang punca pendapatan (peniaga kecil, pekerja sambilan yang dibayar gaji secara harian, penutupan kilang dan premis perniagaan, perkhidmatan hotel dan aktiviti pelancongan, dan sebagainya) dan ‘emosi terkepong’.

Apakah senario ini akan mencetuskan fenomena rakyat terpaksa menukarkan menu makanan harian kepada mee segera seperti ditular kisah Azmin Ali, Anuar Musa dan Ismail Sabri Yaakob. Seolah-olah mengulang kembali hebatnya ‘super ring’, penyebab PH tergelincir kuasa?

Masalah ekonomi menjadi faktor yang cukup menyesakkan sebahagian orang berfikir secara normal dan menjadikan mereka berada dalam keadaan tertekan. Ia menjadi lebih tertekan dalam kalangan mereka yang ada komitmen tinggi, sesetengah bank dilihat sukar berkompromi. Kisah percubaan bunuh diri menjadi satu contoh yang boleh dikaitkan bagaimana kerugian perniagaan dan tekanan persekitaran menjadikan sebahagian daripada mereka tidak lagi mempertimbangkan langkah yang lain, kecuali membunuh diri. Sekurang-kurang itulah yang mendorong seorang lelaki dari Butterworth membunuh diri. (Kosmo, 25.6.2021)

Fenomena ‘bunuh diri’  bukan sahaja meningkat di Jepun (2020) dengan sejumlah 20,919 kes (Berita Harian, 22.1.2021) bahkan di Malaysia, walaupun belum ada data rasmi dikeluarkan. Ia menunjukkan kes kemurungan boleh membawa kepada percubaan bunuh diri dan seterus meningkatkan jumlah kes dalam tempoh pandemic berbanding sebelumnya.

Harian Metro (7.4.2021) yang menyiarkan laporan BERNAMA bahawa: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima laporan 88 kes bunuh diri yang mana 78 orang diselamatkan, tujuh cedera dan tiga kematian antara Mac dan Julai 2020. Ketika tempoh awal PKP dilaksanakan, Befrienders Malaysia menerima lebih kurang 4,142 panggilan antara 18 Mac dan 16 Mei dengan lebih daripada satu pertiga panggilan adalah berkaitan dengan isu bunuh diri.”

Perihal penyakit yang dikaitkan dengan kesihatan mental trendnya dilihat semakin meningkat berbanding beberapa tahun sebelum diancam oleh COVID-19. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus, iaitu seramai setengah juta orang. Maknanya, gejala kemurungan untuk tahun 2020 dan 2021 akan terus meningkat. Begitu juda dengan data penceraian dalam kalangan pasangan berusia. Dalam keadaan tiada COVID-19 pun ia cukup membimbangkan, dan tentunya penangan COVID-19 akan menjadi lebih meruncing.

KFF Health Tracking Poll (Julai 2020) kemurungan yang membabitkan golongan dewasa akan menyebabkan tahap kesihatan mentalnya turut merosot. Perspektif kesihatan mental mendapati  gejala sukar tidur (36 peratus) atau makan (32 peratus), penggunaan alkohol atau pengambilan dadah (12 peratus) dan penyakit kronik yang memburuk (12 peratus) akan saling berkait dan lebih serius dalam  musim pandemik COVID-19. Kesemua fenomena itu jika tidak dapat dikawal, diberikan perhatian dan mendapat nasihat (bimbingan) kaunseling, cenderung berlaku percubaan bunuh diri.

Tahun 2019, terdapat 188 kes bunuh diri, dan ia telah meningkat kepada 226 kes dalam tempoh sebelas bulan (Januari hingga November) 2020. Tiga kumpulan umur tertinggi menyumbang kes bunuh diri ialah 19-30 tahun (93 kes), 31-45 tahun (95 kes) dan 46-50 tahun 20 kes. Corak yang sama berlaku pada tahun 2019, iaitu kumpulan umur 19-30 tahun (56 kes), 31- 45 tahun (70 kes) dan 46-60 tahun (50 kes). Ini bermakna, lebil separuh kes bunuh diri di Malaysia dilakukan oleh mereka yang berumur 19 hingga 45 tahun. Lebih 50 peratus kes bunuh diri melibatkan lelaki manakala dalam kalangan wanita sekitar 40 hingga 45 peratus.

Apakah sebabnya golongan ini berhadapan dengan kemerosotan kesihatan mental? Berdasarkan pengalaman Jabatan Bomba dan Penyelamat, cubaan terbesar membunuh diri ialah terjun daripada bangunan tinggi dalam kalangan mereka yang masih merupakan tenaga kerja aktif (16 hingga 60 tahun). Ia kemudian diikuti dengan terjun ke dalam sungai, tasik, laut dan sebagainya.

Golongan Pekerja Aktif (GPA) cukup terkesan dengan lanskap perubahan ekonomi, bila ada perasaan ‘insecure’:  akibat hilang kerja setelah  majikan tidak mampu bertahan diterjah kemelesetan ekonomi. Sebahagian GPA yang mengalami perubahan diri tertekan dan menjadi semakin tertekan bila ada masalah keluarga, tuntutan pihak bank (membauar pinjaman) dan  tekanan meningkatnya kos sara diri atau perbelanjaan keluarga.

Berdasarkan situasi pandemik, dalam tempoh PKP 3.0 di mana PN tidak ada dasar pemberian  moratorium automatik,  ia mungkin akan meningkatkan tekanan hidup yang boleh membawa kepada percubaan bunuh diri. Ini kerana, walaupun pihak bank ‘bersedia memberikan moratorium secara bersasar’, ada laporan bahawa pihak bank tidak cukup mesra, bahkan boleh mempertimbangkan pelanjutan bayaran balik dengan menaikkan kadar faedah dan  di sepanjang tempoh moratorium  perlu membayar faedah pinjaman.

Sikap bank sedemikian telah menyebabkan PN dikeronyok oleh banyak pihak. PNkerana dilihat lebih berpihak kepada bank-bank perdagangan daripada ‘mengatasi kesusahan rakyat’. Bagaimana seseorang dapat buktikan bahawa mereka hilang pendapatan akibat COVID-19? Mereka tidak surat penamatan kerja. Mereka tidak ada dokumen ‘penyata wang keluar masuk’ dan apakah akan terperangkap pula dalam agensi ‘kredit komuniti’ sebagaimana diluluskan operasinya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (?), yang suatu ketika penyandangnya digelar ‘mak lampir’?

Jika mereka adalah pekerja bergaji (bulanan),  ia boleh dibuktikan dengan dokumen penutupan syarikat yang menjadi berstatus majikan sebelumnya. Tetapi, seseorang yang mencari sesuap nasi (berniaga di pasar malam), ia terlalu sukar. Begitu juga dengan peniaga di warung-warung yang hanya mengharapkan pengunjung pasar pagi dan juga berdekatan dengan kompleks perniagaan atau kawasan stesen pengangkutan awam. Bagaimana mereka nak hidup dan boleh meneruskan kehidupan dalam tempoh PKP?

Kalaupun mereka bukan peminjam untuk memulakan perniagaan atau sebagai menambah ‘modal  modal’, merekalah mungkin meminjam untuk membeli kenderaan dan rumah, dan sangat terjejas dengan pandemik COVID-19. Kalau diberikan kebenaran membuka gerai, ia tidak mampu menanggung kerugian setiap hari kerana mobiliti manusia dihadkan. Hal yang sama turut berlaku dalam kalangan pengusaha makanan bermasak (kantin sekolah), biarpun sewa kantin tidak perlu bayar, tetapi banyak lagi komitmen yang perlu ditanggung.  Juga peniaga-peniaga makanan bermasak di premis tertentu yang ikut terjejas bila premis berkenaan diarahkan tutup.

Setelah berlanjutan selama 465 hari (18.3.2020 hingga 25.6.2021) terlalu banyak jiwa rakyat yang tertekan dan ia akan bertambah parah sekiranya proses peralihan yang dianggarkan boleh dibuka pada bulan Oktober nanti tidak dapat dilakukan. Sehari dua ini, rakyat berdebar menunggu apakah ‘total lockdown’ dilanjutkan lagi. Ini kerana semalam jangkitan baharu ialah 5.841 kes. Sebelumnya, diberi harapan bahawa situasi ‘total lockdown’ akan berubah sekiranya turun di bawah 4,000 kes sehari dan suntikan vaksin mencapai 10 peratus daripada jumlah penduduk.

Dengan penduduk lebih 32.3 juta orang, bermakna jumlah suntikan vaksin perlu melangkaui lebih tiga juta (sekurang-kurang dos pertama), barulah boleh dapat ‘susu segar’ (PKPP). Jika perangkaan semalam (24.6.2021) diambil kira, jumlah suntikan vaksin seluruh negara telah diberikan kepada 3,212,873 orang (2,098,189 dos pertama dan 1,114,684 lengkap dua dos), kriteria tersebut sudah memadai. Ia telah melepasi 10 peratus dan jika diambil kira 750,000 lagi dalam tempoh tiga hari (dilaporkan lebih 250,000 dos sehari) boleh melepasi 4 juta orang pada 28 Jun 2021, tarikh terakhir kedua fasa pertama ‘total lockdown’.

Bagaimanapun, penamatan PKP atau darurat belum boleh memberikan jaminan rakyat tidak tertekan. Jiwa rakyat mestilah dibimbing, disuntikkan semangat agar dapat kembali seperti normal secara berterusan. Kerajaan pula mestilah bersungguh-sungguh untuk memulihkan semula ekonomi dan persekitaran yang kondusif, bukan masing-masing menumpukan perkatan untuk ‘menyailang’. Setakat ini belum ada perancangan dan mekanisme yang benar-benar berkesan dicetuskan oleh PN, kerana sebahagian besar barisan kabinetnya ‘bertekak’ dan ‘mengotot’ (siku-menyiku), lebih pentingkan pencapaian matlamat politik masing-masing daripada membantu rakyat.

Barisan kabinet PN  bercakaran sesama sendiri, manakala rakyat semakin rasa ‘tertipu’ dengan rasional masing-masing: lebih 70 orang (menteri dan timbalan menteri) hanya beberapa orang sahaja yang benar-benar bekerja. Selebihnya, entah apa yang mereka lakukan ‘mungkin selesa berada dalam cengkerang’ dan hanya sesekali ‘jongolkan kepala’ seperti kura-kura kerana takut dikatakan sudah ‘arwah’.

Rakyat  berhadapan dengan depresi; tetapi ramai juga menteri dan timbalan menteri ‘makan gaji buta’ dan tidurnya ‘cukup selesa’. Tidak perlu fikir bayaran elektrik dan caj air bersih, semuanya kerajaan tanggung selagi masih ber’men-turi’. Situasi yang sangat membingongkan ini menyebabkan mula bertaya apa mereka buat dan melihat adegan makan mi segera sumpama ‘lawak super ring’.

Antara menteri yang dilihat ‘timbul’ walaupun bukan untung sabut ialah: rakyat hanya kenal PM (Bapa Pengumuman), Menteri Kesihatan (minum air panas), Menteri Pertahanan (tayang baju), Menteri Dalam Negeri (tangkap PATI dan campur tangan kenaikan pangkat anggota polis), Menteri Pendidikan (sebab PdPR dan buka-tutup sekolah serta ambilan guru 187,000 orang bulan Julai nanti), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (menteri penyelaras vaksinisasi), Menteri Luar Negeri (pesawat Isreal dan pesawat Tentera Udara China), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen masih belum dibuka) dan Menteri Wilayah Persekutuan (dipecat sebagai setiausaha BN dan ‘langgar Zahid Hamidi,).

Paling didesak meletakkan jawatan ialah menteri yang menjaga MITI , yang ‘buka pintu belakang’ dan sangat terdesak mengekalkan  kedudukannya (Gombak bagi PRU ke-15). Menteri Kewangan walaupun belum digelar ‘Menteri Kewangan’ dianggap lebih mempertahankan bank daripada  rak operasi bank maka tidak rakyat akibat enggan campur tangan berikan moratorium sekali lagi.

Jangan tanya apa Menteri Pelajaran Tinggi buat,  dia masih sangat berbekas dengan ‘peraduan Tik Tok’ dan Menteri Pembangunan Wanita terserempak dengan ‘gaya hidup baharu’, rejunevasi penampilan dan bukannya memperkasakan wanita agar mampu memainkan peranan lebih baik mengekalkan kebahagiaan rumah tangga biarpun berada dalam mood ‘emosi terperuk’ serta tugas harian yang bercambah kerana pandemik. Tidak payahlah nak ajar bagaimana meniru suara  ‘Nobita’.

Semasa pentadbiran PH, ada yang mengatakan terlalu ramai ‘menteri pasola’ maka dalam kerajaan PN, juga dijangkiti sindrom serupa menjadi punca ramai pelabur meninggalkan Malaysia dan beberapa syarikat multinasional menutup operasinya. Terbaharu,   Hong Kong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) akan menutup 13 cawangan di seluruh negara menjelang 31 Disember 2021, dan hanya akan beroperasi secara digital.

P Ramlee, mesti pandai pembohong dan jangan pecah tembelang. Sekarng, tembelang sudah pecah, bohong pun sudah tidak lagi dipercayai. Akibatnya, rakyat semakin ‘masuk angin dan keluar asap’.  Nasib baik hari-hari ‘makan hati’, kalau ‘makan tulang’? Belum ada yang boleh menjawab. Tapi kerana tulanglah ‘anjing terlepas’.

Malang sungguh nasib rakyat Malaysia: ada menteri,  menteri tidak berkompetensi; ada kerajaan,  kerajaan dah nak gagal. Tak perlulah sohor dengan ‘makan maggi’; dalam budaya politik terlalu bercelaru sebab menteri-menteri ‘tidak sihat, banyak sangat makan MSG’.

MSG –monosodium glutamate – boleh menyebabkan: obesiti (kegemukan), hilang nafsu makan, gangguan jaringan otak, kerusakan hati, menurunkan kecerdasan, gangguan jantung, gangguan pencernaan (penghadaman), gangguan otot (saraf), gangguan psikologi, gangguan sistem pernafasan, gangguan janin, gangguan mata, kanser, gangguan organ geneital, dan keradangan kulit. Maka itulah sebab dalam PN tidak pernah aman, masing-masing alami pelbagai gangguan yang mungkin sebahagiannya sedang berhalusisani: ‘apakah kerusi empok ini masih aku punya’ bila PRU ke-15 yang kata PM, selepas selesai Bajet 2022 berlangsung.

OH! MENTERI (MI MAGGI) DAH TERJANGKIT  SINDROM  ‘SUPER RING’?

 

MAHANOR SALEHA

Translate »