Secara umumnya, istilah ulama merujuk kepada golongan atau orang yang berilmu. Rabbani menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman bermaksud “orang yang menyembah Allah SWT dengan ilmu dan amal sempurna”. Ertinya, ulama rabbani ialah orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya dengan sempurna. Tentunya amalan yang dimaksudkan itu menyembah Allah SWT dan perilaku seharian ialah untuk mendapat keredhaan Allah SWT atau istilah dalam bahasa yang mudah ialah keberkatan.

Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Quran pula menyebut istilah rabbani itu bermaksud orang menghubungkan dirinya kepada Allah SWT dengan amalan ibadat. HAMKA pula dalam Tafsir al-Azhar menjelaskan bahawa rabbani ialah orang yang rapat dengan Tuhan dalam urusan kerohanian. Ibnu Manzur  menjelaskan rabbani dalam tiga perspektif, iaitu manusia menyembah Allah SWT; manusia yang memahami ilmu ketuhanan; dan orang berilmu dan beramal dengan ilmunya.

Al-Ghazali menyifatkan golongan atau ulama rabbani ialah mereka yang hidupnya tidak terpesona dengan kemewahan (duniawi) dan kesehariannya hidup dalam keadaan zuhud, sentiasa mengingati Allah SWT, jiwa yang suci.

Secara jelasnya, ulama rabbani itu boleh gambarkan seperti berikut;

(1) orang yang berilmu dan mengamalkan ilmu yang dipelajarinya;

(2) ilmu dan amalan kesehariannya adalah untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT;

(3) setiap apa yang dilakukan adalah ‘dari Allah, untuk Allah, kepada Allah dan demi Allah’, bukan ada kepentingan lain;

(4) dengan ilmu yang ada padanya, dikembangkan pula kepada orang lain;

(5) ilmu yang dikembangkan itu dengan tujuan membentuk tata susunan masyarakat berdasarkan nilai-nilai rohani dan jasmani yang berteraskan kerangka akhlak dan akidah;

(6) struktur masyarakat yang terbina membentuk masyarakat madani (bukan masyarakat sivil dalam pengertian falsafah barat); dan

(7) organisasi yang terlahir daripada struktur dan kepentingan masyarakat dibina dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan (bukan kebersamaan atau penyeragaman).

Itulah yang boleh kita pelajari daripada apa bentuk masyarakat yang telah lahir pada period awal Islam, yakni ketika ia bermula di Madinah selepas berhijrahnya umat Islam bersama-sama Nabi Muhammad SAW dari Mekah. Masyarakat pelbagai agama, bukan sahaja menerima Islam sebagai cara hidup dan sistem pemerintahan yang bersifat ‘rahmat kepada semua’  bahkan  tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Mereka bebas mengamalkan kepercayaan dan keyakinan agama masing-masing, dengan pengakuan tidak akan ‘menghina, mengecam dan mengkhianati kepercayaan umat Islam’ dan bersetuju dengan  kerangka pemerintahan berlandaskan Islam.

Period kemasyarakatan yang dibina di atas ‘rahmat untuk semua’ itu telah memberikan imej yang cukup besar dan menarik kepada masyarakat di sekitarnya. Islam muncul sebagai satu corak kehidupan yang berpengaruh dan mendominasi seluruh bumi Arab kemudiannya. Kekuatan dan ikatan masyarakat Islam adalah terletak kepada kekentalan jiwa, tidak melihat manusia sebagai objek yang perlu ditakuti mahupun disembah. Seseorang itu dihormati kerana dapat menterjemahkan ilmunya untuk mengarahkan peribadi dan tingkah laku dalam bingkai akidah.

Sebab itulah Islam dimulai dengan pembinaan akidah, bukan dimulai dengan kehendak ekonomi atau politik sebagaimana asas pembentukan masyarakat dalam peradaban-peradaban sebelum dan selepasnya. Almarhum Sa’id Hawa yang dianggap sebagai reformis Islam moden menampilkan konsep manhaj rabbani dalam pembentukan harakah iḥyā’ al-rabbāniyyah.

Menurut aktivis Ikhwanul Muslimin itu, manhaj rabbani tidak lain tidak bukan ialah membentuk manusia yang sangat dekat dengan al-Qur’an. Mereka yang dekat dengan al-Qur’an bukan sahaja menjadi penghafaz yang baik, bahkan dapat memahami isi kandungan al-Qur’an dengan pandangan yang terbaik dan mampu menterjemahkan setiap pandangan, tindakan dan pemikirannya berdasarkan batas-batas yang seimbang antara perhubungan sesama manusia (hablum minnas) dan  tidak melanggar perhubungan dengan Allah SWT (hablum minnallah).

Model pembangunan sumber manusia yang dikenali harakah iḥyā’ al-rabbāniyyah itu selari dengan matlamat yang ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.” Tetapi (sewajarnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala – Dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Ali-Imran, ayat ke-79)

Dari situ, Said Hawa menegaskan bahawa bentuk-bentuk latihan yang dapat melahirkan golongan rabbani adalah sangat mustahak dan perlu. Ia perlu dibentuk dalam konteks penerapan ilmu yang tinggi, beramal dengannya dan menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Kerangka manhaj rabbani bermatlamatkan sebagai satu bentuk trajektori pembangunan sumber manusia yang sentiasa sibuk mencari ilmu dan mengamalkannya sebagai satu perilaku mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ia bukan berasaskan ilmu hanya semata-mata ilmu atau ilmu untuk menjadikan diri sebagai golongan professional yang bekerja,  kerana ilmu itu boleh memberikannya kemewahan dan peningkatan status ekonomi atau sosial.

Itulah kelemahan dalam peradaban yang lahir selepas peradaban Islam, ilmuan berkecamuk dengan pertentangan sosial, nilai-nilai kehidupan masyarakat dan paling mendukacitakan ialah nyah spiritual atau kerohanian. Akhirnya, masyarakat yang terbina daripada kerangka tersebut adalah ‘masyarakat yang sakit’ dan dalam kesakitan itu muncul pula perilaku tamak, adu domba dan saling bercanggah sehingga membentuk aliran pemikiran yang berakhir dengan perpecahan dan penyanjungan kelompok tertentu. Juga membentuk kelompok anti agama (free thinker) dan tidak mempercayai Tuhan (atheis).

Ayat di atas (al-Imran, ayat ke-79) turut merangkumi dua elemen penting dalam pembentukan karakter, iaitu elemen rūḥī dan thaqāfī. Unsur rūḥī membawa maksud ‘penyucian jiwa’ manakala elemen thaqāfī ialah berkaitan dengan intelektual dan keilmuan seseorang individu muslim. Gabungan dua elemen itu akan membentuk manusia yang bertakwa (huddan linnas huddan lilmuttaqeen).

Sebagai petunjuk, al-Qur’an telah membentuk tamadun Islam yang cukup besar pengaruhnya kepada seluruh manusia kerana penggerak-penggeraknya cukup berakhlak tinggi dan mampu mengintegrasikan  ilmu-ilmu Islam membentuk kesepaduan dalam membangun fikrah manusia.

Citra Islam cukup indah, kerana ia terbina dalam ruang keimanan dan budaya luhur, meletakkan akal budi di tahap teratas selepas sistem kepercayaan. Dalam situasi itu,  Islam tidak memperlihatkan wajah dan nilai kesombongan, dan ia berkembang sebagai amalan yang cukup mendunia dan sederhana. Cerminan akal budi pula membawa kepada peribadi setiap penganutnya hakikat keinsanan, rendah diri, resam amanah, ikhlas, jujur, adil dan kesejahteraan yang melata. Semuanya telah berjaya menggerak dan diinternalisasikan dalam setiap jiwa orang Islam.

Selepas kebangunan Islam direncatkan oleh pelbagai pengaruh pemikiran dan asakan kolonialisme,  dunia Islam  berhadapan dengan kemunduran, baik secara fizikal dan juga internalisasi. Ilmu dan kemahiran yang berkembang tidak membawa kepada kedekatan diri seseorang muslim dengan matlamat Islam, ia membentuk generasi professional yang tercabut akal budi dan pedoman akhlak, kerangka ilmu sangat terpengaruh dengan bingkai kebendaan dan kepuasan diri.

Menurut al-Ghazali: Ada pun ilmu yang hakiki, ia akan menjadikan seseorang itu lebih gentar dan takut kepada Allah, kerana inilah yang menepati benteng penghalang bagi seseorang hamba dan kemaksiatan, melainkan kesilapan-kesilapan yang tidak pernah terpisah daripada manusia kadangkala berlaku. Dan, ini bukanlah tanda yang menunjukkan kelemahan iman. Orang mukmin yang sebenar akan segera bertaubat sekiranya tergoda, dan jauh sekali daripada berterusan melakukan maksiat.” (Al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan (al-Munqidz min al-Dhalal), Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2017, hal.130).

Pertengahan Abad ke-20 telah muncul pelbagai gerakan untuk mengedepankan semula peradaban Islam, namun ianya tersangkut dalam dilema falsafah dan cara bertindak,  Akhirnya, konsep-konsep pendidikan bersifat rabbani, generasi ulul-albab, pekerti Qurani tidak dapat diterjemahkan secara berkesan kerana penganjurnya masih bersikap tidak bersungguh-sungguh, hanya sekadar timbul di permukaan. Idea-idea yang dibentuk kedengaran begitu indah, sayangnya tidak menjalar hingga ke bawah dan membumi.

Atas realiti itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ulama untuk kembali memberikan fokus kepada pembentukan masyarakat rabbani dan menerapkannya dalam setiap sudut pendidikan, penyemaian budaya dan proses sosialisasi.

Proses pendidikan bukan hanya sekadar proses pemindahan ilmu atau pengetahuan. Ia memerlukan proses yang lebih tersusun dan berlangsung dalam situasi transformasi diri, sebuah proses internalisasi makna rabbaniyyah dan sifat manusia sebagai penyumbang, bukan hanya sebagai pengguna.

Untuk sampai ke tahap itu, pendekatan pendidikan mestilah berlaku dalam lima situasi yang saling bergerak (cascading) dan dalam rantaian yang bersambung-sambung: (1) pendekatan hafazan berdasarkan proses halaqah dan suffah; (2) kefahaman berteraskan wujud tradisi tafsir yang dihubungkan dengan unsur harfiah (teks) dan konteks; (3) artikulasi (berfikir) berdasarkan pendekatan tadabbur; (4) internalisasi daripada ilmu yang benar dan bermanfaat untuk membentuk akal budi dan akhlak yang mulia; dan (5) menampilkan watak dan peribadi yang menjadi suri teladan (role model), pengembangan kognitif (teori) dan perilaku afektif (amalan).

Sebagaimana janji Allah SWT berfirman: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antaramu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah, ayat ke-11).

Katakanlah, apakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.” (az-Zumar, ayat ke-9).

Dan katakanlah (wahai Nabi Muhammad), tambahkanlah ilmu kepadaku.” (Thaaha, ayat ke-114).

Pesan Luqman kepada anaknya: “Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) sebesar biji sawi, dan benda dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Wahai Anakku! Dirikanlan sholat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan  cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Dan, janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kami berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkan suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara itu ialah suara keldai.” (Luqman, ayat ke 16-19).

Pesan tersebut cukup bernilai dalam membentuk peribadi rabbani dan juga  praktis pendidikan dalam manhaj generasi rabbani, yang kita idam-idamkan,  semoga pada abad ini akan muncul kembali peradaban Islam yang lebih cemerlang dan gemilang. Mudah-mudahan.

Dr Alies Anor Abdul

Translate »