Segala-galanya sudah berubah. Ia bukan sahaja berubah resam dan amalan harian, bahkan cara kita berfikir. Ia seterusnya akan berubah cara kita bertindak, atau untuk membina semula kehidupan, yang masih lagi dalam keadaan belum pasti. Ketidakpastian pertama ialah bilakah COVID-19 akan berakhir. Ketidakpastian kedua ialah bagaimana untuk meneruskan kehidupan setelah banyak perkara telah ‘lenyap’ atau pun terpaksa diolah semula selepas norma baharu tidak lagi menjadi ‘norma baharu’. Norma tersebut menjadi ‘norma biasa’ kerana ia sudah mula kita praktikkan sejak virus COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik.
Gelombang pertama, Malaysia berjaya melandaikan keluk jangkitan sehingga dilihat sangat berjaya menangani penularan wabak yang belum menampakkan ada tanda-tanda akan berakhir. Gelombang kedua, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan semula selepas Oktober 2020, yang sedikit sebanyak dikaitkan dengan pengenduran SOP dan sikap ‘tidak percaya’ bahawa virus COVID-19 dengan PKP. Ada yang mendakwa, sepatutnya kita tidak perlu takut kepada COVID-19, sebaliknya takutkan Allah SWT adalah segala-galanya.
Fatwa, nasihat dan pandangan para ulama yang berada dalam kerajaan dilihat dipertikaikan apabila aktiviti keagamaan di masjid, surau dan sebagainya terpaksa dihadkan bahkan ditangguhkan. Seumpama sindiran keras, lebih takut kematian sedangkan kematian itu adalah sesuatu yang tetap berlaku. Bahkan ada yang lebih rela mati kerana melaksanakan ibadat, tidak risaukan mengenai kematian akibat COVID-19.
Selepas mendapat khabar, vaksin sudah ditemui, maka tersebarlah pula pelbagai perkara yang tidak sehaluan antara kerajaan dan penolak vaksin. Pemahaman mereka, atau segelintir masyakarat terhadap vaksin kadangkala dilihat tidak tepat. Vaksin seumpama ‘topeng maut’ dan juga ‘kubu pertahanan’ daripada dijangkiti COVID-19. Ramai juga mengupas, melanjutkan sikap negative terhadap vaksinasi, akibat percayakan bahawa peningkatan imuniti (kekebalan diri) secara semula jadi sudah cukup, tidak perlu mengambilnya.
Vaksin didakwa sebagai satu bentuk perniagaan dan ada kaitan dengan konspirasi. Dari konspirasi pembersihan etnik hinggalah penguasaan politik oleh satu pihak yang sangat berkehendakkan setiap kehidupan dan manusia di dalamnya berada dalam satu pemerintahan yang dikawal dan cucuk hidungnya, lahir pula konspirasi sijil digital. Setiap orang yang menerima suntikan itu akan diprogramkan kerana ditanam dengan cip yang tersangat kecil.
Tersebar laporan mengenai beberapa orang yang sihat (tidak mempunyai apa-apa jenis penyakit) akhirnya menemui ajal selepas beberapa jam atau hari menerima suntikan. Sekali lagi kesannya menakutkan sebahagian kecil sehingga masih ramai lagi rakyat Malaysia enggan mendaftar untuk menerima suntikan. Mereka seolah-olah lebih bersedia menerima kematian tanpa suntikan vaksin, kerana suntikan juga dipersepsikan sebagai ‘mempercepatkan kematian’ dan tidak menjamin seseorang itu tidak dijangkiti.
Saya menggunakan analogi sebegini. Setiap kali kita berhasrat membeli kereta baharu, kita berfikir apakah ciri-ciri keselamatan yang dipasang di dalamnya. Apakah ciri-ciri keselamatan itu mendapat pengiktirafan lima bintang atau tanpa bintang. Tentunya, ramai yang sanggup membayar harga lebih tinggi sekiranya kenderaan tersebut mempunyai teknologi keselamatan yang lebih banyak. Akibatnya, ada angapan seolah-olah Putrajaya dan Pulau Pinang ‘caught in battle’ (Free Malaysia Today, 21 Mei 2021)
Biarpun kereta itu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan, ia tidak bermakna tidak remuk apabila bertembung atau berlaku kemalangan. Apakah kemalangan itu berpunca daripada kereta atau manusia yang mengawal jentera tersebut?
Jawabnya, punca kemalangan terlalu besar disebabkan oleh sikap pemandu atau manusia, lalai atau cuai dan kurang memberikan perhatian ke atas sistem mekanikal kereta (menguji brek sebelum memulakan perjalanan, memeriksa tayar dan sebagainya) selain degil memandu meskipun badan letih dan mengantuk.
Semuanya kerana ingin cepat sampai, ingin menjadi hero di jalan raya, panas baran dan sebagainya. Vaksin umpama ciri-ciri keselamatan yang ada pada kereta. Vaksin sebagai satu bentuk ikhtiar untuk mempertahankan diri, bukan untuk mengelak atau mencegah mati. Ciri-ciri keselamatan pada kereta untuk mengelakkan penumpang daripada cedera parah, tetapi bukan sandaran tidak akan berlakunya kemalangan atau nahas.
Begitu dengan satu kenyataan daripada salah seorang mufti. Masjid ditutup bukan kerana ingkar kepada perintah Allah SWT (menunaikan ibadat). Penutupan sementara itu bagi mengelakkan tersebarnya virus. Analogi mufti juga cukup menarik, digambarkan seolah-olah berada dalam sebuah rumah yang terbakar. Apakah tindakan keluar daripada rumah terbakar itu suatu tanda takutkan mati? Tindakan itu jelas adalah jalan selamat, untuk mengelakkan dari mati kehangusan.
Begitu juga dengan orang yang berada dalam kapal yang terbakar atau sedang karam. Sebagai manusia yang diberikan akal fikiran, kita berhak untuk terjun atau keluar daripada kapal tersebut. Biarpun terjun ke laut itu ada risikonya, peluang untuk selamat adalah lebih besar berbanding terus ‘memerangkap diri’ dalam kapal yang sedang karam.
Kita mengambil vaksin adalah sebagai ikhtiar. Ikhtiar itu disusuli dengan doa, agar wabak yang boleh membunuh itu dapat dilemahkan untuk tidak mengganas dalam diri kita, jika kita dijangkitinya. Setakat ini, peratus kejayaan melawan virus tersebut adalah sangat positif walaupun ada sebahagian kecil tewas. Peratus dijangkiti COVID-19 selepas selesai vaksinisasi adalah sangat kecil, begitu juga reaksi negative kepada mereka yang disuntik vaksin.
Gelombang ketiga menjadikan rakyat Malaysia semakin resah kerana COVID-19 meningkat dengan begitu cepat. Ditemui beberapa varian baharu yang cukup membimbangkan, selain tidak bergejala, mudah merebak, juga menyebabkan kes kematian lebih besar. Awalnya, ramai yang melihat tindakan meletakkan negara dalam situasi darurat, boleh membantu melandaikan geraf kes, ia tidak menjadi kenyataan apabila pada 19 Mei 2021, kes telah melangkaui 6,000 dan seterusnya meningkat kepada 6,806 kes baharu keesokannya (20 Mei 2021).
Hari ini (21/5/2021), jumlah kes baharu masih melepasi 6,000. Tepatnya, 6,493 kes dengan kesemua negeri melebihi tiga angka kecuali Perlis (3), Putrajaya (20) dan Labuan (84). Selangor masih mendahului carta dengan 2,163 kes, biarpun sedikit berkurangan daripada semalam (2,277) dan dua hari lalu (2,251). Apa yang cukup mengecewakan ialah pandangan Dr Zulkefly Ahmad mengenai apa yang berlaku di Selangor, cuba bermain dengan tafsiran statistik untuk mempertahankan kewibawaannya sebagai Pengerusi Task-Force COVID-19 Selangor, kebolehjangkitan adalah rendah berdasarkan jumlah penduduk.
Konsep itu lebih bersifat akademik. Rakyat umum melihat kepada angka, dan Selangor sudah melebihi sebulan berada dalam carta harian sebagai negeri tertinggi. Ia sudah memperlihatkan kebimbangan, dan kerana itulah Menteri Besar tidak menolak kemungkinan Selangor dikenakan ‘lockdown’ penuh. Ertinya, percubaan Dr Zulkefly, yang pernah mendakwa KKM gagal menangani COVID-19 apabila mengisytiharkan PKP 1.0 lebih setahun lalu, semakin berusaha menutupi kegagalannya sendiri sebagai pengerusi Task-Force.
Beliau juga pernah menyuarakan kegagalan Selangor adalah akibat kegagalan kerajaan pusat. Ini kerana Selangor melaksanakan apa yang diputuskan di peringkat pusat. Ertinya, Selangor tidak ada idea bagaimana untuk menangani COVID-19. Jadi, persoalannya, kenapa perlu ada Task-Force di Selangor? Dr Zulkefly pernah mempersoalkan kecekapan KKM melaporkan kes COVID-19 setiap hari dan beberapa statistik mengenainya. Bagaimanapun, ia hanya sekadar ‘mempersoalkan’, tidak ada cadangan yang jelas bagaimana menyelesaikannya, yakni hanya mengkritik.
Dengan menggunakan tafsiran perangkaan kebolehjangkitan itu, Dr Zulkefly sebenarnya sedang menuding jari kepada dirinya, kerana beliau sebenarnya bukan pakar kawalan penyakit berjangkit. Biarpun beliau adalah bekas pensyarah dalam bidang toksik, pemikiran dan nasihatnya tidak ada penyelesaian yang tuntas, hanya sekadar menyusur arus dan membiarkan ianya berkembang. (Free Malaysia Today, 19 Mei 2021).
Juga ada sedikit yang berbeza, yang mungkin asas itulah yang digunakan oleh Dr Zulkefly untuk menolak kemungkinan Selangor dikenakan ‘lockdown’ penuh. Hal itu diulas oleh Menteri Besar Selangor sebagai ‘separa tepat, nyawa lebih utama’. (Astro Awani, 19 Mei 2021).
Setakat ini tidak ada cadangan menarik dan boleh dilihat berkesan dikemukakan oleh Pengerusi Task-Force COVID-19 Selangor walaupun selepas terlucut kuasa dia digambarkan sebagai seorang Menteri Kesihatan yang mampu mengetuai pasukan mengekangnya. Mungkinkah inilah yang cuba dikambus oleh beliau setelah Selangor menjadi negeri terbanyak kes di pertengahan Gelombang Kedua, dan mencanak di Gelombang Ketiga?
Kini, timbul pula gesaan agar kerajaan mempercepatkan proses vaksisinasi kepada seluruh rakyat atau mencapai sasaran 80 peratus daripada keseluruhan penduduk. Vaksinisasi menjadi sedikit terlambat ialah masalah bekalan vaksin, dan juga penerimaan masyarakat. Awalnya, kita mendengar ada yang meminta agar ahli politik divaksin terlebih dahulu. Jika sesuatu terjadi, risikonya bukan diderita oleh rakyat.
Setelah ahli politik selesai menerima suntikan, tiada berita tentang kematian akibat vaksin. Yang kita dengar ialah kematian akibat dijangkiti COVID-19 semakin meningkat, termasuklah dalam kalangan pemimpin politik di peringkat pertengahan. Mungkin sebahagian mereka belum menjalani vaksinisasi.
Isu berkaitan vaksin kini ialah dakwaan pemimpin politik apabila pihak berkuasa mencurigai pihak yang bercadang menderma dua juta dos vaksin Sinovac. Isu itu kemudiannya dipolitikkan dan melabelkan tindakan tersebut sebagai ‘jenayah’. Ini membuktikan dalam menjamin keselamatan atau tidak tertipu dengan tawaran tersebut telah dipolitikkan.
Daripada penjelasan menteri penyelaras, mereka mahukan penderma membuktikan kesediaannya membayar kepada pembekal bagi mendapatkan vaksin tersebut. Bukti itu yang diperlukan, tetapi, apabila tidak bersedia mengemukakannya, maka kebenaran tertangguh. Apakah kebenaran yang tertangguh itu adalah suatu jenayah? Bagaimana mungkin jika tawaran itu benar-benar ‘scam’? Siapa yang akan dipersalahkan? Menteri penyelaras juga akan terkena tempiasnya. Akan dituduh tidak membuat pertimbangan yang betul ketika memberikan kebenaran, termasuk mengenal pasti keaslian vaksin dan bekalan vaksin itu benar-benar diperoleh.
Beberapa hari lalu muncul pula cadangan agar kerajaan membuat keputusan tegas, memperkemaskan SOP dan juga mengisytiharkan ‘lockdown’ penuh, bukan lagi ‘setengah masak’. Turut berkumandang tekanan ialah kerajaan yang menggunakan darurat perlu berhenti daripada pelbagai bentuk politicking atas kegagalannya mengekang COVID-19 (amalan peraturan dwistandard), maka segelintirnya mengharapkan ‘stepdown’ bukan ‘lockdown’.
Bagi masyarakat yang lebih besar, bukan kumpulan ahli politik dan pendesak, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang adalah satu tindakan yang wajar dan tidak sepatutnya dilihat sebagai gagal. Tentunya, ada beberapa kelemahan, dan kelemahan itu boleh diatasi dengan kerjasama semua pihak, bukan menahan lukah di pergentingan.
Di tengah-tengah ‘kebimbangan’ tersebut, muncul pula kisah pasangan baharu –Neelofar dan suami- sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang ekoran pelanggaran SOP, tidak menggunakan MySejahtera memasuki kedai karpet di Nilai 3. Sebelumnya, pasangan itu dikompaun kerana melanggar SOP pada hari persandingannya (dua kesalahan dengan kompaun RM 60,000). Neelofar dan suami juga melanggar SOP, rentas daerah dan negeri.
Siasatan perjumpaan Hari Raya turut menyebabkan semakin ramai warga maya mahukan pasangan itu dipenjarakan, bukan dikompaun. Ini kerana ‘tidak serik’ dan seolah-olah mencabar undang-undang. Ada tuduhan lagi, tidak memakai pelitup muka semasa hadir di Kompleks Mahkamah Seremban (Malaysia Gazette, 20 Mei 2021). Apakah ‘haru-biru’ ini akan dipanggil ‘virus Neelofar’?
Orang ramai sedang memerhatikan apa keputusan yang bakal terjadi. Jika pasangan tersebut dikenakan kompaun, walaupun lebih besar daripada kompaun sebelumnya, ia dilihat masih bersifat ‘dwi-standard’, kerana mereka mencabar undang-undang. Akan melengkapkan dakwaan bahawa mereka yang berduit (kaya), boleh terlepas kerana membayar kompaun tidak jadi masalah. Pengajaran yang boleh menginsafkan mereka ialah ditahan dalam penjara, sekurang-kurangnya mereka berpengalaman ‘susah’ dan ‘terkurung’.
Kerana hanya pengumuman akan dibuat pada Sabtu oleh Menteri Kanan Pertahanan, ramai yang mengeluh, apa dah jadi sekarang? Semua norma baru, haru biru. Apa tidaknya, perlu bertaubat tidak sembahyang Jumaat tiga kali akibat SOP, virus Neelofar, kisah penjual burger dan colek di kompaun, dan sebagainya. Lebih menggerunkan, sudah muncul kluster agama, kluster ziarah Aidilfitri, dan akan ada kluster pasangan jarak jauh, ada cerita lalu lintas sesak beberapa hari sebelum Aidilfitri dan hujung minggu lalu di Karak,
Ramai yang menunggu, apa yang diperketatkan. Ya, semuanya ‘mahu ketat’ tetapi ada hal yang ‘unik’ dilonggarkan.
Mahanor Saleha
Recent Comments