Sedar atau tidak dalam konteks komuniti Islam di Malaysia sejak awal, ibadah penting yang satu ini iaitu iktikaf di masjid pada bulan Ramadan tidak begitu popular dan seolah-olah telah ditinggalkan. Padahal al-Qur’an menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk kutiba (diwajibkan seperti dalam perintah puasa, qishash dan wasiat) atau fi’il amr (kata kerja perintah seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan satu bab khusus tentang iktikaf ini.

Rasulullah SAW memberi teladan dalam syariat iktikaf kerana sesungguhnya dalam hati manusia itu ada kekusutan jiwa dan masalah-masalah yang tidak dapat diatasi kecuali dengan menghadapkan diri kepada Allah SWT.

Dr Wahbah az-Zuhaili, bekas guru besar fikih Universiti Damsyik merumuskan bahawa yang menjadi tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh kerana itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah.

Pernahkah kita terfikir mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini sangat ganjil. Tetapi ganjil bukan bererti salah. Banyak perkara yang selalunya dianggap ganjil tetapi kini diterima sebagai suatu kebenaran. Sebelum ini kita hanya mengambil cuti berehat ketika untuk bersama keluarga. Demikian juga ketika untuk balik kampung menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Apa yang penting semua itu boleh memberi kebahagiaan diri dan keluarga. Tetapi kalau difikir-fikirkan secara mendalam apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang sangat penting dan hanya datang sekali dalam setahun itu?

Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi iktikaf 10 hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu yang lain. Dalam hal ibadah ini kita harus mencontohi Nabi Muhammad SAW. Pernahkah kita mendengar Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya membuat persiapan untuk pulang ke kampungnya di Mekah menjelang Aidilfitri? Nabi Muhammad SAW juga manusia biasa, pasti ada kerinduan kepada kampung halaman dalam dirinya. Tetapi kenapa beliau memilih untuk tinggal di masjid? Ini adalah kerana alasan spiritual dan iktikaf adalah sebahagian dari syariat. Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indahnya ibadah ini (iktikaf) nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu.

Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi pertama kali beliau menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri beliau dan masyarakat, saat jiwa beliau mencapai kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing beliau sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup beliau bahkan perjalanan hidup umat manusia. Kerana itu pula beliau mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran lailatulqadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf.

Mengapa nabi memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, bukan pada 10 hari terawal? Alasannya mungkin berkaitan dengan kedudukan puasa Nabi Muhammad SAW yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan lailatulqadar. Sebenarnya untuk mendapatkan lailatulqadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu saja. Ibadah harus dirintis dari awal sehingga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk menerima kedatangannya.

Ketika Nabi Ibrahim AS berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya membangun Baitullah – (Kaabah) bersama anaknya Ismail – Tuhan lalu memerintahkan kepada keduanya agar tetap menyucikan rumah Allah tersebut bagi melaksanakan tiga kegiatan ibadah.

“Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud.” (al-Baqarah ayat 125).

Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk beriktikaf. Masjid ditutup dan dikuncinya. Iktikaf mereka dibolehkan tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak. Padahal Nabi Muhammad SAW jelas mencontohkan iktikaf selama sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan. Surah al-Baqarah yang menerangkan secara terperinci pelaksanaan puasa berserta hal-hal yang berkait dengannya juga jelas bersambung dengan masalah iktikaf ini. Perhatikanlah maksud ayat berikut:

Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benang hitam, di waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikanlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertaqwa.” (al-Baqarah ayat 187).

Membicarakan persoalan ini banyak hadis Nabi Muhammad SAW dapat kita temui dalam kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah seperti berikut ini:

Bahawa sesungguhnya Nabi SAW melakukan iktikaf di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sampai beliau wafat. (H.R. Bukhari-Muslim).

Riwayat lain menyebutkan: Sesungguhnya Nabi SAW  melakukan iktikaf di sepuluh hari kedua dari bulan Ramadan dan sepuluh hari terakhir bulan tersebut. Beliau terus melakukan amalan ini sampai akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isterinya.

Di sini  bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi Muhammad SAW. Pertama, beliau beriktikaf selama 20 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kedua, Nabi kadang-kadang melakukannya pada 10 hari kedua dan kadang-kadang 10 hari terakhir.

Nabi Muhammad SAW menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam rangka perenungan dan penyucian jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di masjid. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar dari hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh tambahan pengetahuan dan pengkayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyak doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa.

Memang iktikaf boleh dilakukan di mana saja. (Sebelum diangkat jadi rasul, Nabi Muhammad melakukannya di Gua Hira’). Tetapi berdasarkan sunah yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW sepanjang hidupnya di Madinah, beliau terus melakukannya di masjid.

Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi sangat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi sesungguhnya bersambung dengan masjid. Ertinya, seandainya masjid tidak begitu penting dalam hal tempat, maka Nabi Muhammad SAW boleh saja memperbanyak (melakukan dengan tekun) ibadah di masjid tapi kemudian istirahat dan tidur di rumahnya. Tapi nyatanya Nabi tidak melakukan itu. Itu tanda bahawa masjid adalah satu-satunya tempat yang boleh digunakan untuk iktikaf. Tentu saja selama masjid tersebut memiliki kemudahan yang memungkinkan orang untuk tinggal beberapa hari di sana; misalnya tandas, bilik mandi, bilik persalinan menukar pakaian dan sebagainya.

Ingatlah iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirahat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar tetap sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam mengintrospeksi diri atau berfastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyak ibadah.

 

Mohd Shauki Abd Majid

Translate »