Entah kenapa sejak akhir tahun 2020 saya cukup berminat membaca novel berbanding buku-buku lain yang pernah saya gemarinya. Sebelum akhir tahun 2020, tahun yang menjanjikan negara mencapai tahap ‘negara maju’ ketika saya pertama kalinya ditaklimatkan oleh seorang pegawai dan pensyarah di INTAN (Institut Tadbiran Awam Malaysia), yang kini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Mustapha Mohamed di Wisma Bernama (1991), saya cukup ‘kenyang’ dengan buku-buku politik dan isu semasa.
Minat saya mungkin bertukar kerana politik menyebabkan kadangkala fikiran kita menjadi bingung dan tingkah laku yang dilihat ‘tak keruan’. Mungkin juga kerana saya pernah ‘dikencing’ oleh politikus, kerana saya tidak bersetuju dengan apa yang hendak dilakukan di luar kebiasaan budaya politik. Tahun 1995, dalam perhitungan yang terlalu singkat, yakni sebulan sebelum PRU, yang sebelumnya sudah keluar kenyataan ‘penjawat awam tidak akan ditukarkan’ kerana PRU akan segera berlangsung. Saya ditukarkan juga dan surat pertukaran itu saya terima kurang daripada 48 jam sebelum tarikh dikuatkuasakan.
Saya terima ‘arahan’ tersebut kerana saya sedar, itulah budaya sebagai penjawat awam. Kita tidak boleh ‘memilih’ mana tempat yang selesa untuk bertugas, kerana pilihan itu bukan kuasa kita, yang berkuasa ialah politikus, yang kemudiannya menyampaikan arahan lisan itu kepada Ketua Jabatan untuk melaksanakannya. Saya pulang ke Kuala Lumpur selepas berkhidmat di Pulau Pinang sekitar empat tahun. Saya akhiri ‘kemelut’ itu setakat ini.
Saya menjadi ‘ghairah’ membaca novel tatkala cepat selesai mengkhatamkan novel kecil berbahasa Perancis yang cukup hebat walaupun dikategorikan sebagai novel kanak-kanak. Novel Putera Cilik atau The Little Prince, terjemahan bahasa Inggeris (1943) dan Le Petit Prince, versi asal berbahasa Perancis (1943) yang cukup tersebar luas. Difahamkan sudah lebih 140 juta naskhah terjual di seluruh dunia dan diterjemahkan ke dalam 301 bahasa dan dialek.
Biarpun ia adalah novel kanak-kanak, penulisnya Antonie de Saint-Exupery (1900-1944) dedikasi kepada orang dewasa kerana orang dewasa adalah bermula daripada kanak-kanak untuk difahami dunia kanak-kanak, kreativiti dan keinginannya. Cukup klasik, tetapi falsafahnya masih segar dalam perspektif sekarang walaupun latar yang dibina adalah berbeza atau sudah melangkau lebih 70 tahun lalu.
Banyak nilai moral yang saya dapat kutip menerusi pembacaan novel berkenaan, termasuk sikap orang dewasa yang memandang rendah idea kanak-kanak dan tidak dapat memahaminya, kerana kanak-kanak sangat tidak sukakan angka. Dunia kanak-kanak, sebenarnya ada dalam kotak fikir orang dewasa, tetapi kerana kedewasaan itulah orang dewasa sering sengaja tidak memahami naluri kanak-kanak, kerana sentiasa melihat kanak-kanak belum matang dan memahami kehidupan serta dunia sepenuhnya.
Bagaimanapun, dalam pengembaraan ketika terdampar di padang pasir, seorang juruterbang (orang dewasa) banyak belajar dan mula menghormati seorang kanak-kanak iaitu Putera Cilik. Daripadanya kita mengenai tujuh karakter manusia, masing-masing ada kegilaannya tersendiri.
Atas kegilaan manusia itu mengingatkan saya kepada kata-kata pujangga yang cukup menarik, dari seorang ilmuan dan ulamak terkenal di nusantara, walaupun beliau tidak pernah belajar secara formal ke peringkat PhD. Jasa dan pemikirannya jauh mendepani keilmuan seorang yang berkelulusan PhD dan buah fikirannya hingga sekarang masih ada kehebatan dan warna-warninya.
Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah 1908-1981) cukup hebat pemikirannya. Saya kutip salah satu mutiara kata yang tak lekang dek panas dan reput dek hujan “Jika hidup hanya sekedar hidup, babi di hutan juga hidup. Jika bekerja hanya sekedar bekerja, kera juga bekerja”. Maknanya, dalam hidup ini manusia bekerja bukan sekadar untuk ‘makan’, melepaskan keinginan seks ataupun bersosial (haiwan sosial), manusia mengatur, menyusun dan menghormati susila agar lahir tata hidup yang harmoni, semuanya wajib dilakukan sebagai ibadah, bukan untuk memuaskan kehendak sendiri.
Manusia mempunyai dua kontinum yang saling bertemu dan dalam masa yang sama berpisah, hablum minallah dan hablum minnas dalam peraturan amar makruf dan nahi mungkar. Sebab itulah al-Ghazali (1058-1111M) menegaskan bahawa ‘dunia adalah ladang di akhirat’. Ertinya, apa yang kita ‘tanam’ akan kita ‘tuai’ nanti di alam kehidupan yang abadi, alam barzakh. Itulah dalam setiap karangannya, hujjatul Islam itu sangat menekankan kepada pembinaan ‘rasa cinta’ terhadap sesama manusia dalam hubungan kemasyarakatan dan kekeluargaan dengan berbekalkan nilai-nilai ‘kepatuhan dan keimanan’ kepada Allah SWT, bukan untuk mendapat penghargaan dan sanjungan ‘hanya manusia’. Hidup, kehidupan dan seluruh usaha memenuhi tuntutan hidup wajib dilaksanakan menurut cahaya keimanan dan bukan menyombong diri.
Saya temui kemudian untaian kata-kata itu di kulit buku ‘bacaan umum’ berbentuk satira yang ditulis oleh Abdillah Firman Hasan, Jangan Hidup Seperti Babi dan Kera (2013), yang turut mengingatkan saya kepada mesej Tere Liye, dalam novel Hujan (2016) sehingga minda saya menerawang lantunan bait-bait puisi Ebiet G Ade dalam lagu, Berita Kepada Kawan. Semuanya masukan-masukan itu menjadi sesuatu ‘ingatan’ juga ‘amaran’ cukup berkesan trauma Tsunami 2014, bencana banjir lumpur (desa Sodiarjo, Surabaya tahun 2004), duka Palu, malapetaka tahun baharu (2021) di Sulawesi Barat mahupun pelbagai tragedi yang pernah kita dengar dan terbitnya simpati.
Antara dua tulisan tersebut (Abdillah dan Tere Liye), Abdillah banyak memperkatakan perihal keagamaan manakala Tere Liye membawa kesedaran kepada masyarakat bahawa secanggih mana pun teknologi, ia tetap tidak mampu mengatasi bencana. Di situ munculnya keyakinan bahawa kuasa Allah SWT Maha Besar, bahkan manusia yang secerdik atau sehebat Albert Einstein pun tidak akan mampu melawan misalnya tentang hujan, kita banyak berterima kasih kerana limpahan titisan air dari langit menjadikan seisi alam cukup segar dan redup mata memandang dengan kehijauan dan keindahan flora dan fauna. Namun, dalam masa yang sama, hujan juga membawa kita kepada ‘ketakutan’ dan ‘kekalutan’ kerana kebanjiran airnya boleh menjadikan kita lemas, tidak bermaya dan hilang segala apa yang kita miliki dan kumpulkan dalam hanya beberapa detik.
Hujan adalah simbolik kehidupan manusia, juga memperlihatkan betapa manusia sentiasa berfikir untuk mengatasi musibah dan mengharapkannya. Kita mungkin merasa sedih dan dukacita apabila hujan tidak turun, tanaman yang kita usahakan mati ‘kehausan’, tanah yang subur kering merekah dan mengancam kehidupan manusia dan binatang akibat kekurangan makanan sebagaimana kita dengar kebuluran di Ethiopia dan juga kemarau panjang di beberapa wilayah di Indonesia (1997) yang dikaitkan dengan fenomena El-Nino, yang kemudiannya diisytiharkan sebagai ‘bencana alam’ oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia.
Tanpa hujan, dunia seolah-olah ‘kering kontang’ dan hilang kehijauannya, pepohonan ‘hangus terbakar’, margastua kurus tanpa makanan dan manusia juga mati kebuluran. Hujan yang mencurah-curah tanpa henti, mengakibatkan banjir dan seterusnya kemusnahan seperti pernah direkodkan di Lembah Irrawadi (Myanmar) dan juga Lembah Chao Phraya (Thailand) atau di Malaysia, air termenung dan Bah Kuning (2014).
Abdillah, yang banyak menulis buku-buku mengenai Islam semacam melukiskan semula apa yang diperkatakan oleh HAMKA secara satira, dunia binatang yang diketuai oleh Singa, raja di rimba. Tere Leyi (nama sebenarnya Darwis, berasal dari Sumatera Selatan cukup dikenali dalam penulisan novel generasi baharu walaupun kerjayanya adalah sebagai seorang akauntan) kerana novel Hujan cukup meledak di pasaran sejak ia mula diterbitkan pada tahun 2016. Saya memiliki cetakan ke-35 tahun 2020. Ini bermakna, dalam tempoh kurang lima tahun, ia sudah mengalami cetakan sebanyak 35 kali. (Lumayan hasilnya, maksudnya, royalti yang diterima oleh Tere Liye daripada novel Hujan).
Saya kira dapat mengalahkan royalti Ombak Rindu kerana jangkauan khalayak Indonesia adalah lebih besar. Berbeza dengan Ombak Rindu, (cetakan pertama 2002 dan 2011 difilemkan oleh Osman Ali). Ada kontroversi antara Fauziah Ashari dengan penerbit Karya Bistari apabila naskhah itu dijadikan filem. Filem mendapat kutipan pecah panggung, tetapi, saya tidak pasti berapakah royalti yang beliau peroleh.
Saya hentikan polemik itu, kerana apa yang saya ingin kongsikan apakah nilai moral yang saya peroleh ketika khatam karya Abdillah Firmansyah Hasan dan Tere Liye, bukan nama yang sangat saya ‘tunggu’ kelahiran karya-karya mereka seperti kegilaan segelintir kanak-kanak sebaik sahaja siri baharu Harry Porter memasuki pasaran.
Saya kutip beberapa halaman Jangan Hidup Seperti Babi dan Kera (JHSBK) yang cukup menarik. Dalam satu acara tahunan, Singa selalunya akan tampil ke pentas berucap, sebagai kehormatan kepada raja di rimba. Ucapannya tidak bertele-tele seperti politikus, tidak ada sumpah, tiada retorik dan janji-janji manis. Singa yang sangat gembira dengan kehadiran hampir semua penghuni hutan, masing bercakap mengenai kehidupan mereka tanpa menyentuh atau menyindir kehidupan binatang lain. Masing-masing puas hati dengan apa yang mereka lalui. Ia menyenangkan raja di rimba, gembira melihat wajah dan air muka ‘rakyat’ begitu ceria sambil bernyanyi dan menari.
Raja di rimba bertitah: “wahai rakyatku penduduk rimba, apakah kalian yang hadir di sini merasakan kebahagiaan?”
Monyet menyahut pertanyaan itu: “Kami bahagia, wahai raja rimba. Raja bisa lihat sendiri bagaimana kami riang gembira pada malam ini.”
Binatang-binatang lain turut mengangguk setuju dengan jawapan Monyet. Sebagai membenarkan apa yang dikatakan oleh Monyet, burung Rajawali bersahut: “Kami selalu gembira, wahai raja,” dan kemudian ditambah oleh seekor Kijang, “Kami tidak pernah bersedih hati, wahai raja”. Kancil turut mengiyakan dan berkata: “Kami tidak pernah gelisah, wahai raja.“
Raja rimba menjadi semakin senang hati, kerana semakin banyak yeng memberikan pendapat semakin menunjukkan kemakmuran kehidupan penghuni hutan. Raja rimba mengambil kesempatan untuk bertanyakan kepada Sapi (lembu): Wahai sapi, bagaimana kehidupanmua saat ini?.”
Jawab Sapi : Aku sangat gembira dan bersyukur diciptakan menjadi sapi, sehingga dapat membantu manusia menikmati susuku. Dagingku pun banyak mengandung gizi untuk dimakan. Aku senang menjadi sapi daripada menjadi kucing yang hidup dan tidur dikolong-kolong rumah.”
Selepas mendengar jawapan itu, raja bertanya pula kepada Kucing: “bagaimana kehidupanmu wahai kucing?”
Kucing pun menjawab: Aku tidak pernah bersedih dan selalu senang diciptakan sebagai kucing, karena aku makan dengan menangkap tikus yang menjadi hama bagi sawah para petani.”
Ditanya pula kepada Tikus : “bagaimana denganmu wahai tikus?”
“Wahai raja aku bersyukur diciptakan Tuhan menjadi seekor tikus, karena dapat memakan sisa-sisa makanan manusia yang terbuang percuma, aku lebih senang menjadi tikus daripada manusia, ” jawab Tikus. Ia memulakan satu sindiran tajam. Oleh kerana raja merasakan ada sesuatu yang kurang enak, maka ditanyalah: “Kenapa?”
Jawab Tikus: “Wahai sang raja rimba, jika aku menjadi manusia tapi tidak memiliki amal kebajikan, maka tidaklah pantas aku disebut manusia, sebab manusia telah dianugerahi kesempurnaan akal, pikiran dan jiwa.”
Nah, jika itu tersangat berkesan, kritikan tikus perihal manusia, bagaimana pula manusia melihat dalam dirinya. Apakah manusia terus menjadi tikus, sebagaimana sedang berlarutan dalam masyarakat kita.
Ahli politik dengan ahli politik saling ‘tikus menikus’ sehingga muncul istilah politikus (politik + tikus). Kenapa dipanggil politikus, bukan juru politik ataupun pengamal politik? Perlu kita selidiki dan faham kaitannya, yang anda boleh huraikan berdasarkan perspektif masing-masing. (Bersambung).
KAMARUN KH
Recent Comments