DONALD TRUMP tanpa apa-apa halangan dan cubaan menghalang akan meninggalkan Rumah Putih beberapa hari sebelum Joe Biden dijadualkan memasukinya pada 20 Januari 2021, iaitu Rabu ketiga dalam kalendar bulan pertama yang banyak diharapkan dapat melenyapkan ‘banyak kisah dan cerita’ geopolitik antarabangsa. Sepanjang empat tahun pentadbiran ‘Yes! You’re Fired’ benar-benar meninggalkan ‘rasa dungu’ sebahagian besar pengundi Amerika Syarikat dan penduduk dunia, yang paling menyakitkan ialah umat Islam dan pemerintah negara China.
Dengan negara China, Trump menggunakan teori hukum rimba apabila menyekat, menaikkan tariff dan cukai terhadap produk keluaran negara tersebut, menghalang pengembangan teknologi 5G yang dijuarai oleh Huawei Technologies daripada China, melarang syarikat-sayirakat teknologi daripada bekerjasama (membeli dan melabur) dalam pelbagai platform isi kandungan yang dibangunkan oleh firma atau individu dari China (halangan terhadap Tik-Tok), dan sebagainya.
China membalas dengan tindakan yang sama, menaikkan tariff dan cukai produk Amerika Syarikat sehingga harganya berkali ganda tinggi manakala produk keluaran negara China dipasarkan secara meluas di seluruh dunia. Hasilnya, dalam kekalutan Donald Trump untuk mempastikan “Amercan Great Again”, produk keluaran Amerika Syarikat semakin tidak laku kerana alternatifnya boleh diperoleh daripada China dengan mutu yang berpatutan dan harga lebih rendah.
Meskipun China mengamalkan ideologi politik yang berbeza, konsep demokrasi yang dipraktikkan sepanjang pentadbiran Donald Trump telah mengalami pengjengkelan besar, Amerika Syarikat tidak lagi menjadi model demokrasi moden paling sempurna. Demokrasi era Trump bersalut feodalisme, kebohongan dan pengalaman autokratif dalam kepemimpinan, pembentukan dasar luar dan diplomasi dengan negara-negara sehingga Donald Trump dikatakan sebagai penjenayah dan mengalami piromania.
Donald Trump dikaitkan dengan perlakuan jenayah kerana didakwa terbabit ‘membunuh’ seorang saintis nuklear Iran, mengarahkan serangan ke atas rombongan berkereta yang dinaiki oleh seorang jeneral Revolusi Iran, meningkatnya rusuhan perkauman di Amerika Syarikat.
Feodalisme dikaitkan dengan pelantikan anaknya, Ivana Trump dan suami, Jared Kruscher dalam pentadbiran Rumah Putih manakala isterinya, Melania Trump menjadi faktor kepada pemecatan seorang pegawai yang didakwa memotong perbelanjaan lawatan ke Afrika. Semua itu dilakukan untuk membolehkan Trump dilihat dapat bekerja dalam lingkungan keluarga sehingga menolak tradisis demokrasi yang selama ini dipraktikkan, melantik seseorang berdasarkan kepakaran dan kebolehan, bukan atas faktor nepotisme dan kekeluargaan.
Beberapa orang pegawai yang berpengalaman, berpengaruh dipecat dengan begitu mudah oleh Donald Trump atas ‘tidak senang’ dan perbezaan pendirian dalam pelbagai agensi (National Security Agency), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jabatan Kehakiman (DoJ), Peguam Negara dan perkhidmatan diplomatik.
Menteri Luar Luxemberg mengelarkan sikap dan apa yang dialami oleh Donald Trump sebagai piromania politik (political pyromania), yang sepatutnya dibawa ke Mahkamah Jenayah untuk diadili kerana menganjur dan mendorong kepada rusuhan di Bangunan Capitol pada hari Rabu, 6 Januari 2021 setelah semua gugatannya untuk menghalang pemasyhuran Joe Biden gagal.
Jean Asselborn berkata, “Trump is a criminal, a political pyromaniac who should be sent to criminal court. He’s a person who was elected democratically but who isn’t interested in democracy in the slightest” dan apa yang berlaku pada hari itu adalah “a 9/11 attack on democracy itself, and Trump was the one who egged it on.” (Rujuk: (https://www.wionews.com/world/trump-is-a-criminal-and-political-pyromaniac-who-should-be-sent-to-criminal-court-luxembourgs-foreign-minister-356452).
Piromania bermakna ‘penyakit yang menyebabkan keinginan yang tidak dapat dikawal untuk menyebabkan kebakaran’ manakala orang menderita penyakit itu dipanggil piromaniak. Dalam kamus psikologi, seseorang yang menderita piromania memperolehi ‘kelegaan’ atau perasaannya menjadi ‘nyaman’ setelah ‘dengan sengaja membakar’. Ini bererti, piromaniak melakukan ‘dengan sengaja membakar’ adalah untuk kepentingan peribadi’ yang kadangkala sukar untuk dikendalikan walaupun sedar ia adalah sesuatu yang sangat membahayakan.
Trump sedar dengan mendakwa ‘undi kemenangan telah dicuri’ dan kemasukan undi ke pusat penjumlahan yang perlahan, waktu terlalu lama mengira undi dan ‘undi hantu’ akan menyebabkan reputasinya sebagai presiden akan ‘musnah’, ia bukan sesuatu yang patut dielakkan. Dengan sokongan barisan peguam yang diketuai oleh Rudy Guliani (bekas Datuk Bandar New Zyork) ketika Tragedi World Trade Center (11 September 2001), memohon agar keputusan kemenangan Joe Biden dibatalkan dan mengira semula jumlah undi.
Akibat tuntutan dan tindakan tersebut, kemenangan Joe Biden walaupun sudah diketahui umum tidak dapat disahkan sehinggalah disahkan oleh Sanet yang bersidang pada 6 Januari 2021. Ketika para Ahli Sanet membuat perkiraan dan penentuan sah itulah Trump mendorong penyokong-penyokongnya untuk merusuh, dengan memanjat pagar Bangunan Capitol dan menceroboh masuk. Akibatnya, empat orang terbunuh manakala puluhan perusuh ditangkap dan beberapa orang anggota keselamatan cedera.
Ekoran kenyataannya yang provokatif, syarikat-syarikat yang menyediakan kemudahan media online telah menggantung akaun Donald Trump. Syarikat-syarikat tersebut ialah Facebook, Twitter, Instgram dan Redditt dan dengan penggantungan itu, Trump berikrar untuk memajukan platform media sosialnya sendiri. Atas sekatan tersebut, Trump menjadi pemimpin dunia pertama dihalang menggunakan Facebook selama 14 hari. Twitter pula menggantung akaun peribadi Trump secara kekal (88 juta pengikut). Youtube mengumumkan akaun Trump digantung mulai 12 Januari 2021.
Ketika memasuki perlumbaan untuk mewakili calon Republikan, Trump sudah dilihat sebagai calon yang tidak berkopeten disebabkan tiada pengalaman dalam politik dan diplomasi. Bagaimanapun, disebabkan kaedah kempen Trump yang mudah dipercayai oleh kumpulan marginal, beliau didapati berjaya mengalahkan lain-lain calon yang berpengalaman.
Setelah membawa obor Republikan, Trump menyusun pasukan kempen dengan cemerlang walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan juga online sebagaimana lawannya Hillary Clinton. Kejayaan pasukan Trump telah disahkan menerusi pendekatan post-truth sehingga tahun 2016 dipilih sebagai tahun post-truth. Masyarakat Amerika Syarikat turut menggambarkan dua orang calon presiden ketika itu, Hillary Clinton dan Donald Trump adalah ‘memilih di antara calon terburuk’ yang pernah dilahirkan oleh sistem politik Amerika Syarikat. Di antara kededuanya, Trump dianggap calon terburuk.
Imej Trump yang buruk tetap menjadi pilihan pengundi Amerika Syarikat, terutama dalam kalangan pengundi kulit putih pertengahan apabila agenda kempennya ialah untuk memulihkan sektor pekerjaan dengan mengehadkan kemasukan kaum imigran, meletakkan dasar agar pelabur tempatan mengutamakan pelaburan domestik dan membatalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang dimeterai di akhir penggal kedua pentadbiran Barrack H. Obama (4 Februari 2016 di Auckland, New Zealand).
Bagi Trump, melaksanakan TPPA bererti Amerika Syarikat membawa masuk pelabur luar negara ke negaranya, dan ini boleh mengakibatkan kemasukan pekerja imigran oleh syarikat-syarikat asing, terutama dari China, yang dilihat sangat berusaha untuk menjadi kuasa ekonomi pertama selepas berjaya menolak Jepun di tangga kedua sekitar pertengahan tahun 2000. Jepun dilihat tidak akan mampu mengejar kembali China, sebaliknya, ramai melihat India boleh melakukan atas kapasiti tenaga buruh yang ramai dan peningkatan golongan pakar, terutama dalam bidang teknologi.
Walaupun India mengalami pertumbuhan ekonomi domestik yang tinggi berbanding Jepun dan Korea Selatan, India tidak mempunyai produk perdagangan yang banyak dan besar, melainkan dalam sektor-sektor yang dimiliknya secara tradisi. 60 peratus tenaga kerja India berada dalam sektor pertanian dan hasil pertanian membentuk 28 peratus daripada KDNK. Selain itu, India mengeksport minyak bertapis. Ia mungkin akan berhadapan masalah kerana India bukanlah pengeluar minyak yang banyak, bergantung kepada import minyak mentah daripada Arab Saudi, UAE dan negara-negara Eropah.
Ekoran sikap dan dasar kerajaan pimpinan Narendra Modi, pengimportan minyak mentah daripada negara-negara Arab akan berhadapan masalah sekiranya krisis dengan Pakistan dan soal syarat kewarganegaraan penduduk Wilayah Assam tidak dapat diselesaikan dengan baik. Akan ada reaksi balas daripada negara-negara Arab dan Afrika Utara yang menjadi pengeksport minyak terbesar dunia.
Nampaknya, kejayaan terbesar Donald Trump sepanjang empat ialah mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel, yang kemudiannya memindahkan operasi Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv. Keputusan Amerika Syarikat itu diikuti oleh beberapa negara sekutu, iaitu Brazil, Guatemala. Paraguay, Kosova, Serbia, Australia dan Honduras. Ketika Kedutaan Amerika Syarikat dibuka operasinya di Jerusalem (14 Mei 2008), ia disambut oleh kehadiran wakil daripada 32 buah negara yang menjadi penyokong Amerika Syarikat. (https://www.liputan6.com/global/read/3527518/daftar-32-negara-yang-hadir-dalam-pembukaan-kedubes-as-di-yerusalem).
Sejak beberapa tahun isu konflik Israel-Palestin tidak dapat diselesaikan akibat bantahan daripada negara-negara Islam, Donald Trump membuat ‘roadmaps’ yang baharu, iaitu tidak melaksanakan perundingan dua pihak. Apa yang dilaksanakan oleh Trump ialah mengusahakan normalisasi oleh negara-negara Arab terhadap Israel, yang mana dimulai dengan pengiktirafan Jerusalem, menarik bantuan kewangan dan mengancam keahlian dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, menarik diri daripada Majlis Pemeriksa Atom Antarabangsa dan meningkatkan bantuan kepada Israel. Hal ini telah memberikan kelebihan kepada Israel, sehingga negara itu dilihat semakin bongkak dan besar kepala. Mesir dan Jordan sudah lama mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Normalisasi negara Arab dengan Israel, menerusi perantaraan Jared Krusched, telah dimulai oleh UAE dan diikuti oleh Bahrain, Sudan, Maghribi dan ia akan menyebabkan Arab Saudi serba salaha. Serba salah Arab Saudi, usahanya mempertahankan Inisiatif Arab bakal ‘kehilangan’ kerana pengaruh UAE semakin jelas sejak memulakan normalisasi dengan Israel. Arab Saudi pernah melancarkan permusuhan dengan Qatar (5 Jun 2017), yang kemudiannya disokong oleh lapan lagi negara (Bahrain, Comoros, UAE, Maldives, Mauritania, Mesir, Yaman dan sebelumnya Libya menjelaskan sudah lama memutuskan hubungan dengan Qatar). Qatar pula merasakan keadaannya adalah lebih baik tanpa Arab Saudi.
Semasa krisis tersebut, Qatar memperoleh bantuan daripada Turki, Rusia dan Iran untuk mendapatkan barang makanan. Setelah berkrisis selama beberapa bulan Arab Saudi menyampaikan salam persahabatan semula pada 5 Januari 2021. Ada yang melihat perdamaian tersebut ada kaitannya dengan kekalahan Donald Trump. Ketika pentadbirannya, Iran digunakan oleh Amerika Syarikat dan Israel sebagai ancaman utama bagi negara-negara Teluk. Ini kerena peningkatan Iran dalam banyak perkara, termasuk kemajuan teknologi dan kelebihan negara itu ‘membebaskan diri daripada kongkongan Amerika Syarikat.
Akibatnya, Israel akan mencari apa sahaja maklumat untuk membuktikan bahawa Iran adalah musuh sebenar negara-negara Arab dan Afrika Utara atas dua perkara yang sudah lama menjadi faktor krisis. Pertama ialah Iran merupakan sebuah negara yang dihuni oleh penganut Syiah, di mana Syiah tidak mengiktiraf lain-lain aliran keyakinan termasuk Sunni –Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Isu itu sentiasa diperbesar-besarkan oleh Barat untuk membolehkan negara-negara Islam sentiasa bermusuh dan berperang sesama sendiri.
Faktor kedua ialah sejarah peperangan yang membabitkan negara-negara Arab, yakni Parsi. Parsi terus diperkemaskan sebagai seumpama ‘kolonial’ bagi negara-negara Arab, dan walaupun sejarah itu adalah sebelum Islam, ia terus didakyahkan sebagai musuh yang wajib ditentang. Sebab itulah Iran sentiasa mendapat pelbagai halangan dan sekatan oleh Arab Saudi, termasuk kemasukan bakal-bakal haji daripada Iran.
Iran juga didakwa akan sentiasa mencari peluang untuk ‘menjajah’ dan ‘muncul sebagai kuasa dominan di Teluk’. Hal yang sama pernah didakwa ke atas Irak, yang akhirnya George Bush Jr melakukan penjarahan hingga negara itu ‘porak peranda’ dan belum lahir sebagai sebuah negara demokrasi yang lebih baik selepas terbunuhnya Saddam Hussein (31 Disember 2006). Trump terus mengenakan jarum tersebut, sehingga berjaya menarik negara-negara Arab untuk ikut bernormalisasi dengan Israel.
Trump turut dipersoalkan dengan pendiriannya terhadap Korea Utara apabila bertemu dan berunding dengan pemimpin tersebut, yang kemudiannya tidak menguntungkan Amerika Syarikat. Apabila Trump membuat keputusan untuk menarik diri daripada keahlian Perubahan Iklim dengan mendakwa negara itu lebih bersih, ia diketawakan oleh masyarakat dunia. Dia pernah menyifatkan agenda perubahan iklim sebagai palsu dan retoriknya telah memakan diri. Trump mendakwa China sengaja melaksanakan kempen tersebut bagi menjadikan produk Amerika Syarikat tidak kompetitif, tetapi, hari ini ternyata banyak produk Amerika Syarikat gagal di pasaran dan sebahagian produknya terganggu beberapa ketika setelah China enggan memenuhi permintaan daripada syarikat Amerika Syarikat mengeluarkan komponen.
Antara produk dari Amerika Syarikat yang terjejas ialah iPhone, yang sebelumnya turut membeli komponen daripada pengeluar China. China pula terus mengeluarkan produk teknologinya yang lebih canggih dan memenuhi selera pengguna. Sebahagian besar produk telekomunikasi China telah menguasai pasaran, hanya Samsung setakat ini masih boleh bersaing dengan jenama China, iaiti Vivo, Oppo, Xiaomie, Leagoo, Lenovo, Zopo, ZTE dan Meizu selepas Huawei mengalami sedikit rencatan akibat perang perdagangan yang dilancarkan oleh Donald Trump.
Apa yang paling berhasil daripada ‘keangkuhan dan kesombongan Donald Trump’ ialah meletakkan Amerika Syarikat sebagai negara ‘terkaya kes COVID-19’ dan paling ramai meninggal akibat pandemik tersebut, yang pada awalnya dikatakan ‘rakyat Amerika Syarikat’ kebal dan mempunyai tahap kesihatan terbaik di dunia. Trump turut melahirkan sindrom anti-China ekoran wabak COVID-19 yang dikesan bermula di Wilayah Hubei, iaitu di sebuah bandar bernama Wuhan. Apa yang dihadapi dan kesukaran yang dialami oleh rakyat Amerika Syarikat seumpama karma yang terpaksa ditanggung atas ‘doa dan dosa Trump’ memperlekehkan semua orang yang mengembalikan pekikan ‘You are Fired’
Rakyat Amerika Syarikat tidak kebal, Donald Trump dan isterinya, Melania juga tidak kebal. Akhirnya, pasangan itu telah disahkan terkena jangkitan COVID-19 pada 2 Oktober 2020. Rudy Guliani juga disahkan dijangkiti COVID-19. Antara sebab Donald Trump terkena jangkitan ialah kerana bersama Hope Hicks yang sudah disahkan positif turun daripada Air Force One tanpa memakai pelitup muka semasa berkempen di Minnesota (30 Oktober 2020).Hick kemudiannya dikuarantinkan dalam Air Force One selepas mengalami masalah pernafasan.
Bulan Julai 2020, Trump menolak menggunakan pelitup muka. Menurut Trump, “Saya tidak setuju jika pelitup muka wajib digunakan oleh semua rakyat Amerika Syarikat. Memakai pelitup muka menyerlahkan ‘kebebasan tertentu’. Bulan Mei 2020, Setiausaha Akhbar Mike Pence, Katie Miller dikatakan sudah pulih daripada jangkitan COVID-19. Lagi seorang yang dilaporkan positif dalam bulan Mei ialah seorang anggota Tentera Laut yang berkhidmat di Rumah Putih, dan beberapa orang lagi. Seperti komen media, Trump yang meremeh dan memperkecilkan ‘serangan virus COVID-19’ akhirnya menyerang diri, isteri, anak lelakinya (Donald Trump Jr), kakitangan Rumah Putih dan keseluruhan kes pada 18 Januari 2021 ialah 24,482,050 kes dengan 407,202 kematian.
KAMARUN KH
Recent Comments