Bukan sekali Datuk Ahmad Maslan membuat kenyataan ‘bodoh’ dan ‘menghina’ rakyat kebanyakan. Kalau ditelusuri kenyatan-kenyataan beliau sejak berada dalam ‘sirklus kuasa politik’ ada banyak kenyataan ‘dungu’ yang telah menyinggung perasaan orang ramai.
Kita mungkin ingat bagaimana Ahmad Maslan menjelaskan tentang pencapaian akademiknya yang cemerlang, iaitu CPGA 3.85 sehingga membangkitkan stigma mereka yang berkelulusan tinggi tetapi tidak mencapai tahap setanding atau melebihi dirinya tetap dianggap ‘kurang berprestasi’. Biarpun ada yang menyangkal pandangannya dengan fakta, Ahmad Maslan nampak sekali lagi berpandangan jelek bahawa mereka yang tidak mempunyai kelulusan PhD tidak akan memahami perlunya PRU ke-15 diadakan segera.
Ahmad sangat berbangga dengan apa yang diperolehnya ketika masih bergelar pelajar. Pernah dinobatkan sebagai Tokoh Murid, Pelajar Terbaik SRP, Pembahas Terbaik Piala Perdana Menteri dan Anugerah Emas selepas berjaya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari UKM. Beliau pernah belajar di SMS Johor (1979-1983), Rosenhill College (New Zealand, 1984-1985) dan Universiti Victoria (New Zealand, 1986-1988).
Mungkin kerana beliau pernah bertugas di Biro Tata Negara (1991-1994), sedikit sebanyak terbawa-bawa dengan resam ‘pembingkaian minda’ maka itulah beberapa kenyataan dilihat mual dan terlalu bersifat retorik, yang kadangkala menuai kemarahan mereka yang mendengarnya.
Kita pernah ‘marah’ dengan penjelasan Ahmad Maslan terhadap keperluan kerajaan menukarkan rejim sistem percukaian negara daripada Sale and Servives Tax (SST) kepada Good and Sales Taxes (GST). Ketika GST mula diperkatakan sejak tahun 2011, ia menimbulkan pelbagai interpretasi, termasuklah interpretasi dikaitkan dengan tindakan untuk menutupi amalan tadbir urus yang tidak sepatutnya berlaku ke atas 1MDB, selepas tersebarnya Laporan Audit 2015.
Ketika mempertahankan program-program kerajaan, rakyat mula mempersoalkan ketelusan dan ketirisan, peningkatan kos sara hidup, Ahmad Maslan tampil dengan seruan untuk melaksanakan dua atau tiga kerja bagi meningkatkan pendapatan. Kenyataan tersebut menimbulkan pelbagai tafsiran sehingga beliau mula dilihat seorang yang sangat ‘jahil’ dan suka mengalihkan isu yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.
Ramai melihat Ahmad Maslan adalah seorang propgandis yang gagal, dan tidak cekap mengambil contoh untuk mempertahakan keputusan kerajaan melaksanakan GST bermula 1 April 2015. Ahmad Maslan juga dikecam kerana mempamerkan aksinya memasak nasi goreng bersama timun. Sesuatu yang pelik kerana timun sepatutnya tidak hias di dalam kuali ketika nasi sedang digoreng. Timun bukan ramuan wajib untuk menyediakan nasi goreng, ia sekadar pelengkap hiasan atau hiasan tambahan semasa nasih goreng itu dihidangkan. (Astro Awani, 14 Jun 2015).
Akhir tahun 2015, Ahmad Maslan mengakui beliau melakukan ‘tiga kerja’ sendirian bagi menampung kos sara hidup yang tinggi, iaitu dalam kerajaan dan parti. Suatu hujah yang dilihat ‘sangat bodoh’ dan terlalu simplistik (dipermudahkan). Rakyat memahami, Ahmad Maslan mempunyai kedudukan dalam parti (Ketua Penerangan UMNO), Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen. Suatu syllogism yang tidak boleh diterima kerana ketiga-tiga pekerjaan itu adalah saling berkait dengan induknya, iaiatu UMNO. Kalau Ahmad Maslan bukan menyertai UMNO, tentu beliau masih lagi kekal sebagai penceramah atau fasilitator di BTN.
Ahmad Maslan adalah seorang Ahli Parlimen. Ahli Parlimen itu kemudiannya diberikan jawatan sebagai Timbalan Menteri (oleh PM dari UMNO), dan juga Ketua Penerangan UMNO. Ertinya, jika beliau bukan Ahli Parlimen, beliau tidak mungkin dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ia berbeza dengan rakyat biasa, seorang kerani tidak mungkin dapat memegang jawatan sebagai pengarah di organisasi yang memberikannya pekerjaan.
Memang rakyat Malaysia berusaha gigih mencari rezeki yang halal, walaupun tidak semua yang halal untuk menjajikan pendapatan yang besar dan tinggi. Apa yang penting ialah pendapatan yang diterima itu ada keberkatannya. Bukan berpendapatan tinggi, kerana gaji Ahmad Maslan sebagai timbalan menteri adalah berkali ganda tingginya daripada seorang penoreh getah. Memang ramai orang tahu, Ahmad Maslan adalah anak seorang penoreh getah dari Benut, Pontian, Johor.
Tetapi kerana kepintaran politik dan nasib baik itulah menjadikan Ahmad Maslan ‘tidak kekal mewarisi pekerjaan sebagai penoreh getah’. Beliau telah dibantu untuk mendapatkan pendidikan terbaik, tetapi setelah berjaya, beliau seolah-olah lupa bagaimana orang lain menjalani hidup dalam keadaan ‘serba kekurangan’ kerana dirinya sudah bergelar Yang Berhormat. Orang lain ‘mesti hormat’ kepadanya, bukan beliau ‘mesti hormat’ orang lain, iaitu orang biasa.
Sejak awal lagi sudah menjelma ‘nilai sombong’ dan ‘kebesaran diri’ menurut istilah popular dari Pantai Timur, atu ego dalam perkamusan psikoanalisa Sigmund Freud atau ujub dan riak, akar kepada takabur daripada perspektif Islam. Ia bertambah menjadi-jadi apabila diberikan sedikit kuasa, walaupun kuasa itu hanya dalam parti seperti yang sedang dilakukannya sekarang.
Setelah diserang dengan kritikan tajam selepas merasionalkan kenapa UMNO mendesak Muhyiddin untuk membubarkan Dewan Rakyat, Ahmad Maslan seolah-olah seperti ‘cacing kepanasan’ apabila hanya terkena penangan ‘peluru bebering basikal’ yang dilastik beberapa orang.
Sebaik sahaja menerima pelantikannya sebagai Setiausaha BN selepas Anuar Musa digugurkan, Ahmad Maslan bercakap mengenai dua sebab yang menjadi desakan UMNO. Sebab pertama ialah pembahagian jawatan dalam kerajaan tidak menguntungkan UMNO walaupun parti itu telah menyumbang kerusi terbesar bagi menjayakan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional setelah Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020.
Peletakan jawatan itu menyebabkan Pakatan Harapan yang memenangi PRU ke-14 tidak mempunyai majoriti untuk mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan yang sah. Ia berlaku kerana perpecahan dalam Bersatu dan PKR yang menunjangi kerajaan Pakatan Rakyat sejak 10 Mei 2018. Selain kerajaan peringkat persekutuan berubah, ia turut mengubah kuasa parti politik di Johor, Perak, Kedah dan Melaka.
Situasi politik di Kelantan walaupun masih kekal ditadbir oleh PAS, secara realpolitik, Kelantan sudah tidak mempunyai pembangkang, kerana UMNO dan PAS sudah bergabung dalam Muafakat Nasional pada 14 September 2019. Situasi yang sama juga berlaku di Terengganu, kerana tidak ada pemenang lain di negeri yang pernah digelar ‘negeri minyak’ selain PAS dan UMNO.
Ia tidak seperti di Kedah, walaupun PAS dan UMNO menguasai kuasa di DUN Kedah, masih ada wakil rakyat daripada parti lain yang memenangi kerusi di negeri Jelapang Padi itu. PAS memiliki kerusi terbanyak, iaitu 15 manakala UMNO sekadar di pinggiran dengan 2 kerusi. Bersatu menguasai 6 kerusi, PKR 7 kerusi, Amanah 4 kerusi dan DAP 2 kerusi.
Setelah kemelut pertukaran kerajaan di Kedah, Perikatan Nasional mempunyai kedudukan yang kukuh dengan kerjasama PAS-UMNO dan Bersatu menjadikan ia menguasai 23 daripada 36 DUN. Kelompok pembangkang berada di posisi yang boleh dianggap sedikit lemah dengan hanya tinggal 13 kerusi DUN, iaitu 5 PKR, 4 Amanah, 2 DAP dan 2 Pejuang (pecahan Bersatu).
Setelah ‘berbulan madu dalam rasa tidak tenteram’ dalam Perikatan Nasional pada bulan Oktober lalu menunjukkan sikap yang jelas untuk menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin dengan tindakan memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Surat sokongan yang ditandatangani oleh presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi Hamidi dan disaksi serta disokong oleh bekas Perdana Menteri ke-6, Najib Tun Razak bertarikh 1 Oktober 2020 terdedah kepada umum.
Mungkin surat sokongan meminta wakil rakyat UMNO memberikan sokong enbloc kepada Anwar Ibrahim itu telah menimbulkan krisis dalam selanjutya. Mungkin juga surat itu adalah salah satu bukti kenapa Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan telah mempunyai sokongan yang kuat dan menyakinkan serta mengisytiharkan kerajaan pimpinan Muhyiddin ‘telah tumbang’ (Utusan Malaysia, 23 September 2020; dan benarnews.org., 13 Oktober 2020).
Bila terjerat dengan tindakan tersebut, Zahid Hamidi kemudiannya cuba mengawal kerosakan dengan melakukan ‘gencatan politik’ terhadap kerajaan Perikatan Nasional (Astro Awani, 21 Oktober 2020). Ekoran dakwaan Anwar Ibrahim, Muhyiddin dilaporkan telah menemui Yang di Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz Kuantan untuk mendapat perkenan diisytiharkan darurat atas alasan ‘mengekang kejangkitan wabak COVID-19’ yang lebih besar pada 24 Oktober 2020.
Sebelum itu tersebar cerita bahawa bakal dilantik seseorang sebagai Perdana Menteri (interim) bagi menyelesaikan kemelut politik dan nama yang disebut ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Ia bertiup kencang kerana pada yang sama Anwar Ibrahim mengadap, Tengku Razaleigh dipanggil menghadap di sebelah petang.
Bagaimanapun, penjelasan Tengku Razaleigh ‘bukan cadangan PM interim’ kerana beliau dipanggil ke Istana Negara atas kapasiti pengalaman politiknya, orang yang paling lama menjadi anggota Dewan Rakyat (sejak 1974 dan ADUN pada tahun 1964) tanpa terputus (kalah), hanya untuk berbincang mengenai situasi politik semasa yang sedang berlaku dalam negara.
Atas keperluan yang tidak memadai, SPBYDA menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan ‘darurat kesihatan’ dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 25 Oktober 2020 setelah mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu. Kenyataan itu menyebut: “Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,”
“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.”
SPBYDA menyeru semua pihak saling bekerjasama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan melupakan pelbagai politicking yang sedang berlaku. SPBYDA juga yakin apa yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah ‘terbaik’ dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19. Intipati kenyataan itu mungkin menjadi kaitan yang kuat dengan keberkenanan SPBYDPA untuk menerima cadangan mengisytiharkan ‘Proklamasi Darurat’ mula 13 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 sebagaimana tular di pelbagai media sehari sebelum PKP dilaksanakan semula di enam buah negeri, PKPP di dua buah negeri dan PKPB di negeri-negeri lain.
Kenyataan Ahmad Maslan kedua mengenai keengganan Kerajaan Perikatan Nasional campur tangan dalam pengendalian kes-kes mahkamah yang membabitkan pemimpin UMNO turut menampakkan kebodohannya sendiri. Ia umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila Muhyiddin menegaskan, kerajaan tidak akan campur tangan dalam sistem kehakiman dan mahkamat berhak untuk meneruskan perbicaraan yang didakwa ‘kezaliman Dr Mahathir, Tommy Thomas dan Latheefa Koya’ walaupun mereka sudah ‘tidak ada’ (dalam kerajaan).
Netizen mulai berang. Seolah-olah UMNO berkongsi kuasa membentuk Kerajaan Perikatan Nasional mahu ‘menghapus bagasi’ pemimpinnya yang terlalu berat dengan memutuskan perbicaraan (kes digugurkan) sebagaimana dilakukan oleh Tommy Thomas ke atas: Kes Rasuah Lim Guan Eng (3 September 2018); Penyokong dan mereka yang mempromosi LTTE; Kenyataan hasutan MP Pasir Gudang (26 Julai 2018); perhimpunan haram MP Kampar (27 Julai 2018); Perhimpunan Haram Setiausaha PKR Perak (27 Julai 2018); Hasutan R Sivarasa dalam perhimpunan Kita Lawan (30 Jun 2018); Hasutan N Surendan dalam kes Liwat II, Anwar Ibrahim (27 Ogos 2018); Isyarat lucah Siti Kassim dalam Forum RUU 355 (11 Februari 2019); Hasutan kartunis Zunar (30 Jun 2018); dan, Penghinaan Ratu Naga terhadap Najib-TPPA (25 Julai 2018).
Mungkin Ahmad Maslan mahukan, sekiranya Tommy Thomas boleh lakukan, Muhyiddin juga wajib campur tangan untuk membebaskan mereka yang didakwa oleh ‘kezaliman’ tersebut, termasuk dirinya yang didakwa menerima wang 1MDB, yang dianggap sebagai dana parti biasa. Ahmad Maslan turut mempertikaikan bagaimana SPRM menawarkan kompaun berpuluh kali ganda daripada jumlah wang diterima.
Selepas dua perihal itu telah ‘menusuk hati dan perasaan’, Ahmad Maslan kembali dengan lelehan kognitif berhubung keperluan mengadakan PRU dalam tempoh terdekat, termasuk ketika COVID-19 semakin meningkat. Dua kenyataan teruk itu, kalau rakyat boleh berbaris di pasar raya, maka tidak ada sebab PRU tidak boleh diadakan, hanya sehari. Kenyataan kedua, bila netizen mempertikaikan kewajaran mengadakan PRU ketika pandemik memuncak, Ahmad Maslan menyindir, mereka yang ada PhD faham mengenai perkara itu.
Sayang, Ahmad Maslan sudah termasuk dalam kategori mereka yang sangat suka melanggar ‘titik buta’ hanya kerana merasa hebat dan pandai. Ia seumpama kapten kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912 di Lautan Atlantik. Disebabkan kapal persiaran mewah dan dianggap terbesar ketika itu, kapten kapal tidak menjangkakan bungkah ais yang dilanggar itu dapat menenggelamkan Titanic. Atas pendiriannya yang bongkak dan sombong itu akhirnya dianggarkan lebih1,500 orang daripada 2,224 penumpang dan anak kapal meninggal dunia.
Apakah gesaan Ahmad Maslan itu akan diambil risiko oleh Muhyiddin? Nyatalah bahawa Muhyiddin telah belajar dengan apa yang berlaku di Sabah. Akibat galak untuk menumbangkan kerajaan Sabah selepas Musa Aman dibebaskan, pemimpin-pemimpin Bersatu dilihat terlalu ingin berkuasa di Sabah. Ada hubungan dengan beberapa buah parti, termasuk membawa balik ‘katak-katak’ yang menyokong Warisan kepada pakatan baharu. Shafie Afdal dapat membaca ‘sepak terajang’ politik yang berlaku, akhirnya membuat cadangan kepada TYT agar dibubarkan DUN Sabah dan pengundi diberikan pilihan siapakah yang lebih layak.
Fenemona kempen di Sabah telah menyebabkan negeri itu begitu ‘menakutkan’ kerana kes-kes baharu COVID-19 bertambah dengan cepat. Semasa berkempen, SOP yang ditetapkan dilanggar manakala kunjung mengunjungi terus menjadi wadah kempen yang terbesar. Mobilisasi petugas, tempatan dan dari Semenanjung, akhirya telah menularkan virus COVID-19 sehingga Sabah kekal beberapa minggu dengan jumlah kumulatif jangkitan terbanyak. Setakat 14 Januari 2021, sejumlah 42,288 kes (28.6 peratus) di Sabah dan kini bertukar kepada Selangor dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 43,164 kes (29.1 peratus).
Ketika ini, setelah dilastik dengan ‘peluru’ yang lebih tumpat dan menyakitkan, Ahmad Maslan akhirnya tampil memohon maaf sesiap yang terkilan kerana tidak memahami keperluan segera PRU disebabkan tiada PhD. Beliau dilihat berlapik dalam permohonan maaf itu, ‘saya anak penoreh, bukan sifat saya hina orang’ untuk mendapatkan simpati. Orang ramai sudah kenal siapa Ahmad Maslan, banyak kenyataan dan pendirian politiknya umpama ‘kaduk naik junjung’ sebaik sahaja mempunyai sedikit kedudukan, atau kemajuan dalam organisasi.
Lantaran itu tidak salah jika ada yang menggelarkan Ahmad Maslan termasuk dalam kalangan oportunis politik dan sangat cenderung mempromosi diri sebagai titik yang wajar menuntut sesuatu tindakan menyebelahinya.
Paling mengecewakan ialah Ahmad Maslan juga tidak cerdik kerana beliau belum mempunyai PhD. Beliau hanya ada dua ijazah MBA, iaitu satu daripada University Victoria dan satu lagi daripada UKM. Tak tahulah jika salah satu adalah setaraf dengan DBA yang melayakkan dirinya ‘memahami keperluan PRU disegerakan.”
Jangan-jangan PhD itu diverifikasikan sebagai ‘people’s of head damage’ kalaupun tidak ‘pakatan hasad dengki’ kerana kita sangat kesian kepada mereka yang benar-benar bekerja keras belajar hingga lulus PhD. Kini muncul dua kumpulan ahli akademik, kesemuanya ada PhD: satu kumpulan bergabung secara longgar seramai 222 orang menulis memorandum menolak cadangan PRU diadakan ketika COVID-19 masih mengganas; dan, satu kumpulan lagi yang berada dalam Majlis Profesor Negara menolak Proklamasi Darurat. Kededuanya tersebar secara meluas dalam media sosial.
Majlis Profesor Negara (14 Januari 2021) menafikan berita penolakan mereka terhadap Proklamasi Darurat dan “kenyataan yang tular itu palsu”. Apa yang dipersetujui oleh Majlis Profesor Negara dalam mesyuarat mereka “berdasarkan kepakaran dan kebitaraan masing-masing’ ialah ‘bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui ini benar-benar memenuhi matlamat untuk menangani wabak COVId-19 serta kesan-kesan negative berkaitan dengannya. MPN juga tegas menekankan agar tumpuan harus juga diberikan agar addenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara”, tulis Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara sebagaimana disiarkan dalam Harakahdaily, 14 Januari 2021.
Ahmad Maslan akan terus meninggalkan legasi; walaupun memohon maaf kerana ‘bukan perangai saya untuk rendahkan orang lain. Bererti itu bukan disengajakan,’ akan diingati oleh keseluruhan rakyat Malaysia kebingaian dirinya yang sudah dicap, cerdik tidak boleh ditegur, bodoh sudah memasuki tahap bahlol dan bakal sampai ke tahap banghal. Apa yang perlu Ahmad Maslan lakukan, berhati-hatilah bila mengeluarkan kenyataan agar mulut manis tidak mengeluarkan bau busuk dan untuk berkumur dengan Betadine atau Listerine ia sudah tidak mampu lagi. Sudah banyak kali Ahmad Maslan memperbodohkan ‘orang awam’ maka apa yang diperbodohkan itu ‘adalah doa untuk menjatuhkan kecerdikan diri sendiri’.
Mahanor Saleha
Recent Comments