Seperti orang merajuk, Tugiman tidak mahu peduli. Dia yang sudah lebih empat puluh tahun bergerak cergas dalam UMNO cukup kecewa dengan apa yang sudah dan sedang berlaku. UMNO berpecah dari dalam manakala Perikatan Nasional semakin kehilangan makna euforia seperti induknya, Pakatan Harapan (PH). Keseronokan bulan madu yang terpaksa ditamatkan lebih awal walaupun masih dalam mood berbulan madu; sejak malam pertama ‘perkahwinan’ sudah ada bibit-bibit permusuhan.

PH tumbang kerana perbalahan dalaman dan sampai ke kemuncaknya bila Dr Mahathir merasakan sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri tidak dapat dipertahankan selepas mesyuarat yang tegang pada malam 21 Februari 2020.

Perikatan Nasional juga akan tumbang kerana ‘ikatan perkahwinan’ sudah, sedang dan terus dipersoalkan tanpa ada keinginan untuk menyelamatkan ‘rumahtangga; umpama masih tinggal sebumbung tetapi ‘berlainan bilik’.

Sehari selepasnya, Azmin menganjurkan perhimpunan dan perbincangan di hotel Sheraton membentuk kerjasama dengan Muafakat Nasional. Di sebelah petang, Dr Mahathir dijangka membuat pengumuman penjajaran semula kerjasama politik ataupun barisan kabinet. Ia tidak berlaku, apa yang berlaku ialah keesokannya Dr Mahathir menulis surat peletakan jawatan.

Pakatan Harapan terpecah-pecah; Bersatu berantakan dan PKR hilang 11 kerusi yang dimenanginya. Muhyiddin kemudian menulis surat menyatakan Bersatu menarik diri daripada Pakatan Harapan dan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi PPBM. Mahathir menjadi ketua kepada lima budak hitam. Cabar mencabar, akhirnya lima budak hitam hilang keahlian Bersatu.

Kumpulan penentang Anwar Ibrahim kemudiannya menyertai Bersatu, kecuali Baru Bian. Bersatu semakin membesar berbanding ketika diterajui Dr Mahathir. Bersatu sudah ada 30 wakil rakyat, dan semakin kuat apabila PAS lebih bersedia menyokong pendaftaran Perikatan Nasional berbanding UMNO. Tapi, kekuatan itu belum cukup. Akibatnya, UMNO cuba bertindak sebagai ‘king maker’ bukan lagi PAS.

Ketika kemunculan Perikatan Nasional ramai melihat perkembangan tersebut seolah-olah sedang menuju kepada ketuanan Melayu-Islam. Walaupun kabinet dibentuk turut disertai oleh bukan Islam, secara zahirnya, lebih ramai wakil rakyat Melayu-Islam dan diberikan jawatan yang lebih utama (empat menteri kanan) dan orang Melayu-Islam kembali menerajui Kementerian Kewangan. Azmin Ali memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang ketika PH berkuasa dipegang oleh Darell Leiking, Bumiputera bukan Islam dari Sabah (Warisan).

Menteri propaganda (KKMM) diberikan kepada Saifudin Abdullah, selepas Gobinh Singh Deo secara automatik tidak ada peranannya lagi. Nampak sangat teratur, tetapi sesekali kedengaran rintihan dan kejian kerana wakil rakyat UMNO tidak diberikan jawatan menteri lebih kanan. Tiada jawatan timbalan perdana menteri.

Mat Sabu penasaran kerana tidak lagi dapat ‘naik helikopter’ dan tempatnya digantikan oleh Ismail Sabri Yaacob. Ismail Sabri mendapat sanjungan yang besar kerana setiap hari ‘berpakaian cantik’ dan membuat sidang media mengenai COVID-19 manakala Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan COVID-19 dari perspektif kesihatan.

Sesudah 10 bulan berlalu, rumahtangga yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) ‘sudah terpecah-pecah’, tulis Nor Miswary Ramli, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut, Hanna Yeoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kerajaan PH dan Speaker Selangor yang pernah diserang oleh seorang ahli akademik kerana ada ‘agenda Krisianiti’.

Juga pernah dipanggil oleh pihak polis atas lontarannya di twitter mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur. Sebelumnya, perkahwinan bawah umur heboh bila seorang ‘peniaga getah di Gua Musang’  berusia 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Perkahwinan dikatakan berlaku di Selatan Thailand, dan kedua ibu bapa kanak-kanak itu adalah warganegara Thailand. Mereka mengambil upah ‘menoreh getah’ di Gua Musang. Lelaki itu sudah mempunyai isteri dan  pernikahan  dengan kanak-kanak perempuan tersebut adalah untuk yang ketiga. Dua kesalahan yang dihadapi oleh di pembeli getah itu, berpoligami tanpa kebenaran dan berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran.

Kenapa cerita ‘perkahwinan’ tersebut menarik minat saya untuk dibandingkan dengan situasi politik yang sedang berlaku sekarang? Ada dua sebab: pertama perkahwinan Perikatan Nasional berlaku secara tergesa-gesa; kedua, perkahwinan berlangsung hanya atas dasar ‘nafsu’ bukan kasih sayang. Bagaimanakah perkahwinan itu dikatakan tergesa-gesa? Kalau perkahwinan si peraih getah mendapat ‘restu ibu bapa’, apakah UMNO yang bersekutu dengan Bersatu mendapat ‘restu’ daripada keseluruhan ahli-ahlinya? Itu persoalan yang sangat menarik.

Jika keseluruhan ahli UMNO merestu ‘penjodohan’ tersebut; bagaimanakah ‘restu’ itu diperolehi. Apakah ia mendapat keputusan konsensus daripada 191 Bahagian UMNO? Saya tidak pasti. Presiden UMNO-lah yang harus menjawab kerana beliau dikatakan ‘sangat beriya-iya’ untuk berkahwin dengan Bersatu. Perkahwinan itu diharapkan dapat membantu ‘menghapuskan kezaliman tahap tertinggi’ yang dilakukan di era pentadbiran PH selama 22 bulan. Itu maksud Ahmad Maslan ketika memperkatakan tindakan UMNO untuk mendesak Muhyiddin Yassin membubarkan Dewan Rakyat dengan segera.

Saya kira, UMNO tidak memperoleh keputusan konsensus mengenai ‘perkahwinan’ itu. Sekurang-kurangnya Tengku Razaleigh tidak bersetuju, walaupun beliau dilantik sebagai penasihat UMNO. Apakah dengan tindakan Tengku Razaleigh membelakangkan keputusan en-block UMNO untuk menyokong Belanjawan 2021 (tidak hadir ketika undian belah bahagi) dan merintis kerjasama semula dengan Dr Mahathir itu sudah memperlihatkan tanda-tanda ‘perpecahan dalam UMNO” pasca perkahwinan dalam Perikatan Nasional?

Kenapa ketika Tengku Razaleigh ‘menolak’ perencanaan UMNO itu tidak dikritik oleh Presiden UMNO dan juga bekas Presiden UMNO? Ia kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam sikap dan ‘keadilan’ di pihak Presiden UMNO dan bekas Presiden UMNO. Presiden dan bekas Presiden UMNO terlalu banyak legasi yang memberatkan. Kesemuanya sedang diperhatikan oleh rakyat.

Rakyat juga kembali melihat siapakah sebenarnya yang lebih banyak berkorban untuk memajukan UMNO? Rakyat tahu, Tengku Razaleigh pernah ‘mewakafkan’ tanah yang dipunyainya untuk membolehkan Putra World Trade Center dan Bangunan UMNO berdiri. Beliau juga yang banyak mengusahakan dana pembinaan kededua bangunan yang menjadi kebanggaan UMNO. Jasa dan baktinya semacam dilupakan. Bahkan ketika PWTC dirasmikan, kehadirannya tidak dijemput. Seolah-olah bangunan ikonik UMNO itu tidak ada kena mengenai dengan Tengku Razaleigh.

Itu adalah budaya UMNO. Siapa yang berada di atas, sentiasa ada cara untuk melupakan siapakah yang pernah berjasa. Dr Mahathir membawa budaya itu dengan mengetepikan sumbangan para guru dalam membentuk UMNO; membawa masuk lebih ramai golongan korporat sehingga UMNO dilihat sebagai ‘lubuk kekayaan’. Masing-masing berebut mendapat projek dan kontrak sehingga UMNO pada suatu terus bergelumang dengan ‘politik wang’.

Setelah segelintir pemimpin UMNO kaya raya, mereka lupa kepada perjuangan memperkasakan agenda Melayu dan Bumiputera. Hanya kedengaran begitu bersemangat ketika membentuk resolusi dan berbahas mengenai Ucapan dasar Presiden. Tetapi, selepas berakhirnya Persidangan Agong Tahunan (PAU), perangai mencari projek, melobi tender, dan mengajukan cadangan bagi memperoleh rundingan terus bertali arus.

Pejabat menteri ‘penuh sesak’ hingga ke lewat petang. Berbagai proposal diterima dan pelbagai ‘cadangan bijak’ dibuat. Hasilnya, mereka yang memperoleh projek atau tender tidak jujur. Apa yang diperoleh itu ‘dijual’ kepada kontraktor lain, termasuk bukan Melayu. Mereka melobi atas kehendaki pihak lain. Atau juga, guna syarikat tertentu sebagai proksi. Ia telah membuka banyak masalah dan ketirisan.

Akibatnya banyak projek gagal disiapkan dan kerajaan rugi berbilion ringgit. Bangunan sekolah gagal disiapkan, dan perlu ada pelan pemulihan bagi mengatasi projek sakit. Makmal komputer (hasrat membangunkan Sekolah Bestari) terbengkalai. Keperluan kepada makmal sains dikurangkan, maka usaha menjayakan dasar 60:40 (Sains dan Sastera) terbantut. Kini ditukar pula kepada STEM (Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik) juga ada halangan besar bila PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris) dilaksanakan. PPSMI menyebabkan ramai pelajar Bumiputera kecundang kerana bahasa Inggeris adalah bukan bahasa percakapan seharian mereka.

Guru juga bermasalah, kerana tidak semua guru terlatih mahir berbahasa Inggeris. Bahkan guru bahasa Inggeris juga mempunyai kelemahan besar dalam pertuturan dan komunikasi bahasa Inggeris. Timbul pula cadangan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah, maka ada pula konsep penutur jati. Jutaan ringgit diperuntukkan. Bahkan, gaji seorang guru bahasa Inggeris yang dibawa masuk lebih tinggi daripada guru tempatan. Program itu tidak diteruskan.

Bila PPSMI digantikan dengan MBMMBI (Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris). Namun, MBMMBI nampaknya ‘hangat’ seketika, dan selepas Muhyiddin digugurkan daripada kabinet, tidak kedengaran lagi kisah dan cerita bagaimana MBMMBI hendak diterapkan. Tahun 2021 adalah ‘tahun kompromi terakhir’ di mana semua sekolah wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kalau Mahathir gagal dengan Wawasan 2020 ketika dia adalah PM pada tahun 2020; Muhyiddin juga gagal dengan MBMMBI pada tahun 2021, kerana beliau adalah PM pada tahun 2021. Kededua-duanya seumpama sendiri merobohkan dasar yang dibuat sebelumnya.

Ada pengecualian, kelas-kelas tertentu yang diluluskan melaksanakan DLP (Dual Languange Programme) terus boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama. SJKC dan SJKT masih kekal berpengantarkan bahasa ibunda. Ia tidak boleh diusik. Jika diusik, ia boleh menyebabkan ‘perang politik’ dan ‘ konflik perkauman’.

Kita sudah saksikan. Kes pengenalan semula tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Malaysia bagi tahun empat SJKC dan SJKT pun menyebabkan Dong Jiao Zong melalut sehingga salah tafsir ada kaitan dengan “Islamisasi” dan ada pemimpin DAP mempertikaikan kemurnian tulisan jawi, ada majalah atau buku lucah dihasilkan mengggunakan tulisan tersebut. Sebenarnya, dalam bahasa apa pun, aksara tulisan apa pun, ia boleh ditulis dan dicetak apa sahaja, termasuk doa-doa suci agama tertentu mahupun kata-kata lucah dan seksis. Ia terpulang kepada penulis dan juga stigma masyarakat.

Itulah kita lihat, ketika politik semakin menggila, banyak dasar dan program yang baik untuk rakyat tergendala. Ketika PH memerintah, kurikulum sejarah nak dirombak, pengiktirafan UEC diperdebatkan manakala subsidi kepada rakyat dikurangkan kerana ‘rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada bantuan kerajaan’. Bila semuanya dipersalahkan, maka rakyat mula bercakap, pemimpin bukan lagi memikirkan masalah rakyat. Pemimpin asyik mencari peluang mengekalkan kuasa.

Setelah PH tergelincir dan terlucut kuasa, kuasa juga menjadi masalah besar dalam Perikatan Nasional. PAS yang memiagamkan Muafakat Nasional mula ‘merasakan seronok’nya dapat kuasa. PAS mula berusaha untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Perikatan Nasional, dengan menyokong kerjasama itu menjadi sebuah institusi yang legal. UMNO tidak bersedia kerana kekal dengan prinsipnya, kerjasama itu hanya sehingga PRU ke-15.

Oleh sebab PRU ke-15 belum ada petunjuknya yang jelas, UMNO mula membuka langkah untuk bersilat. UMNO berunding untuk menyokong Anwar Ibrahim, dan bulan Oktober tahun lalu dengan yakin Anwar mengumumkan sudah cukup ‘nombor’. Bila isu itu meltus, Zahid mengisytiharkan ‘gencatan politik’ atas alasan tumpukan kemaslahatan rakyat yang terancam oleh COVID-19.

Anuar Musa melanjutkan apa yang sudah berlaku. Anuar Musa mempertegaskan keputusan yang dibuat oleh UMNO. NO Anwar NO DAP. Zahid mula kepanasan, kerana surat yang ditulisnya dan disaksi serta disokong Najib tular. Zahid mula merasakan dirinya bersalah dan perlu membersihkan imejnya, maka Anuar Musa dipecat sebagai Setiausaha BN. Anuar terima, tetapi Anuar pertikaikan cara pemecatan itu dibuat. MIC dan MCA turut rasa terkejut kerana pemecatan itu tidak dibuat berdasarkan konsensus pemimpin BN. Ia adakah keputusan Zahid, yang mungkin didokong oleh mereka yang pro-Zahid dan Najib.

Jika mengambil kenyataan Ahmad Maslan sebagai bukti, nyata mereka yang pro-Zahid dan Najib amat terdesak. Ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti, dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram diteruskan oleh Perikatan Nasional. Ini bermakna, kumpulan pro-Zahid dan Najib sudah buntu, dan kebuntuan itu perlu dinyahkan dengan mendesak PRU ke-15 diadakan dengan segera, sebelum lebih banyak keputusan dibuat.

Ada dua senario yang melakarkan keresahan itu. Najib sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM 210 juta. Tengku Adnan Tengku Mansor sudah dihukum ‘bersalah’. Ahmad Maslan masih belum ada keputusan. Bung Mokhtar dikenakan denda kerana berpoligami tanpa kebenaran, tetapi kesnya berkaitan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram belum berakhir.

Kesemuanya ini telah memberikan tekanan kepada UMNO. Imej UMNO sudah tersungkur. Jadi, untuk mengelakkan imej UMNO menjadi lebih buruk, ia perlukan kejutan yang baharu walaupun terpaksa menunjukkan ketegasan prinsip dan perjuangan secara pura-pura. Kejutan yang terbaik ialah sentiasa menghidupkan ‘perkahwinan tidak bahagia’ dan kehidupan rumah tangga sepanjang bersengketa dalam Perikatan Nasional.

Kerana Bersatu yang menunjangi Perikatan Nasional ada sikap membuli, maka UMNO perlu mencipta situasi sentiasa bermusuh dengan Bersatu. Apatah lagi bila Bersatu juga berusaha untuk membina tapak politik yang lebih kukuh. Setiap orang ada ego masing-masing; UMNO ada ego dan Bersatu pun ada egonya. Apatah lagi sebahagian pemimpin Bersatu wajar menunjukkan tindakannya adalah lebih baik daripada UMNO kerana ‘katak-katak’ itulah yang akan menentukan Bersatu kekal atau pupus dalam PRU ke-15.

Dalam tempoh kurang empat tahun, Bersatu alami perpecahan. Kumpulan pro-Mahathir tersingkir tetapi kumpulan pro-Muhyiddin menyerlah dengan bantuan ‘katak-katak’ sama ada katak UMNO, katak PKR dan katak-katak lain yang kemudiannya cenderung menyokong kerana ‘ada makanan’. Edisi lompat si katak lompat tetap menjadi sejarah ‘cemerlang Bersatu’ dan kisah pilu UMNO.

Apa tidaknya, ketika UMNO kehilangan kuasa, 16 wakil rakyatnya melompat. Selepas melompat bersama Muhyiddin, kesemua mereka mendapat ‘makanan yang enak’ dan ‘cukup banyak’. Kumpulan pro-Azmin memang semua tahu, selagi berada dalam PKR, ‘nasib mereka’ sentiasa bermasalah;  Anwar Ibrahim sedang ‘menghalang perjalanan mereka’, dan kerana itu mereka perlu berani bertindak melarikan diri daripada Anwar. Itulah yang berlaku, akhirnya mereka menghidupkan nafas Muhyiddin.

Katak-katak itulah sedang memainkan peranannya secara agresif. Ia perlu bertindak dengan cepat, secara fizikal mahupun mental. Secara mental, mereka menaja pelbagai propaganda untuk menyalahkan UMNO sebagai parti gila kuasa. Ia turut mencari jalan bagaimana menarik ahli UMNO menyertai Bersatu, dan dalam tempoh tiga bulan, Bersatu akan ada 8,000 cawangan di seluruh negara.

Bagaimana caranya, boleh lakukan apa sahaja kerana ‘matlamat tetap menghalalkan cara’. Betul atau salah, beretika atau tidak, itu bukan kriteria. Matlamatnya, ahli Bersatu mesti ramai, tidak cukup dengan 600,000 orang ahli. Itu adalah yang dijelaskan oleh Hamzah Zainudin, strategis Bersatu yang dikhususkan untuk merancakkan pertambahan ahli daripada UMNO.

Azmin pula memainkan peranan untuk menambahkan ahli secara ‘senyap-senyap’ daripada PAS dan PKR. Geliganya tindakan Azmin Ali telah dapat dihidu. PAS Gombak sudah memberitahu, ada cubaan untuk keluar daripada PAS dengan menawarkan ganjaran besar. Bila PAS dan UMNO bercakaran, Azmin akan terus kekal di Gombak. Pemimpin PAS Gombak itu ‘tidak gelap mata’, tegas dengan keputusan akan terus menyokong UMNO sebagai calon di Gombak untuk bersaing dengan Azmin. PAS tidak akan meletakkan calon.

Itu janji yang masih kekal. Mungkin boleh berubah, ia bergantung kepada keputusan PAS sama ada kekal berpiagam Muafakat Nasional atau ‘berkahwin’ dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Kemungkinan itu tetap ada, kerana PAS sekarang dilihat sedang bermain kayu tiga.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir mendedahkan sebab PH terlucut kuasa dan beliau ‘terpaksa meletakkan jawatan’. Semalam, Dr Mahathir menjelaskan, sudah memberikan nasihat agar tidak bekerjasama dengan UMNO tetapi Muhyiddin tidak ‘dengar nasihat’, maka Perikatan Nasional akan roboh sebagaimana diramalkan lebih awal.

Bilakah Dr Mahathir merupakan seorang penasihat yang baik? Bilakah Dr Mahathir menghormati setiap nasihat? Mahathir memang ‘Sudah Lupa’. Beliau pernah berkata, sesuatu nasihat yang diterima, tidak semestinya dilaksanakan. Itu nasihat, bukan arahan. Ingatlah apa yang Mahathir pernah ucapkan. Mahathir juga tidak mendengar nasihat, akibatnya UMNO dibatalkan pada tahun 1988 menerusi keputusan mahkamah.

Mahathir juga tidak mendengar nasihat. Sebaliknya Mahathir sentiasa mencetuskan kontroversi kerana itu adalah satu cara mencabar statusquo. Akhirnya, cabaran Dr Mahathir bersahut. Hubungan dengan istana menjadi keruh; ia menjadi pendorong untuk segelintir kecil rakyat Malaysia menolak dan mempertikaikan keputusan YDPA memilih Muhyiddin berdasarkan ‘budi bicara’ walaupun ia begitu jelas keabsahannya menurut Perlembagaan Malaysia.

Kalau absah, kenapa Khalid Samad melalut dan meracau berlari seperti ‘tidak cukup tanah’ mempertikaikan kerajaan Perikatan Nasional sebagai ‘kerajaan pintu belakang’? Kenapa Dr Mahathir terus ber’munajat’ dan ber’tasbih’ bahawa Muhyiddin wajib dijatuhkan. Kenapa Dr Mahathir sangat terdesak untuk melakukan ‘undi percaya’ dan bergerak mencari pengaruh untuk bermusuh dengan Anwar yang dipercayai sebagai calon PM ‘terbaik PH Plus’. Kenapa nama Shafie Afdal tiba-tiba muncul?

Anuar mungkin menjadi ‘kambing hitam’ dalam pergolakan dalaman UMNO. Tetapi, Anuar Musa tidak berlebihan, beliau hanya mempertahankan apa yang diyakini dan perjuang sebenar yang sedang berlaku dari dalam UMNO sendiri. Sebab itulah, dalam kes tersebut, Anuar Musa mendapat perhatian yang lebih menarik daripada Ahmad Maslan dan juga Zahid Hamidi.

Anuar tidak melatah, tetapi tetap komited untuk berjuang bersama UMNO. Anuar telah meletakkan satu amaran buat pemimpin UMNO bahawa, rakyat semakin diletakkan di bawah telapak kaki pemimpinnya sendiri. Maka, tidak mustahil tapak kaki pemimpin UMNO akan sengal dan tertusuk duri selepas ini, kerana rakyat sudah lama menginginkan pemimpin mereka ‘bersih dan dilihat bersih’. Rakyat tidak mahu pemimpin bermasalah dan tidak menghormati integriti, sombong dan keras kepala.

Kalau UMNO nak roboh, robohlah sekali lagi. Kalau UMNO nak kembali gagah, UMNO perlu mengetepi atau merehatkan pemimpinnya yang bermasalah. Kalau Perikatan Nasional nak hancur, hancurlah kerana Perikatan didominasi oleh Bersatu. Kalau Bersatu nak hancur, biarkanlah ia berlaku kerana Bersatu dipenuhi oleh ‘aneka jenis katak’. Ada katak beracun dan ada katak yang boleh dimakan oleh orang lain (bukan Islam). Yang penting, katak-katak itu dibiarkan ‘sakit perut’ dan lemas tenggelam di dalam selut berpaya.

Kalau nak roboh, robohlah: Jangan Perjudikan Agama, Bangsa dan Negara.

Mahanor Saleha

Translate »