Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan Future Forward, di Perancis mereka boleh menubuhkan En Marche dibawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi.

“Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang yang sama”, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 24 Ogos 2020.

Hasrat bekas Ketua Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menubuhkan sebuah parti baharu menjadi kenyataan apabila beliau dan penyokong-penyokongnya mendaftarkan sebuah parti baharu bernama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) pada 17 September 2020. Tindakan itu telah menepis pandangan Mukhriz Mahathir yang sebelum itu berkata, kenyataan Syed Saddiq menubuhkan parti baharu disalah tafsir.

Hasrat Syed itu muncul selepas kelibatnya dalam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir bersama penyokong-penyokong yang dipecat daripada BERSATU tidak kelihatan. Namun, dalam PRK DUN Slim, Syed Saddiq turun membantu calon Bebas yang ditaja oleh Pejuang.

Melihat kepada perspektif penubuhan Muda Malaysia, walaupun penggunaan singkatan itu telah dipertikaikan oleh Onn Mahathir Md Nasir, ia mirip dengan sebuah NGO yang ditubuhkan pada tahun 2018,  Angkatan Demokrasi Milenial Bersekutu (Muda).

Onn Mahathir adalah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang, Integriti dan Antarabangsa Dewan Muda Johor (DMJ) mengingatkan kita tentang kegagalan Syed Saddiq ketika beliau adalah Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Armada, “adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal. Muda akan terus bergerak untuk pastikan agenda Syed Saddiq tidak bertapak di Johor.”

Ertinya, DMJ atau Muda adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan UMNO dan BN, yang bukan sahaja mengkritik pentadbiran PH bahkan cuba memperlekehkan kebolehan Syed Saddiq yang pernah berkontroversi dengan ‘terapi mandi ais’ dan kehilangan wang lebih RM 250,000 dari peti besi di kediamannya.

Kenapa Syed Saddiq melihat pentingnya sebuah parti bagi mewakili anak muda pelbagai kaum ditubuhkan? Ada tiga faktor yang mungkin menjadi pertimbangan beliau: (1) jumlah pengundi muda dalam senarai daftar pemilih semakin membesar; (2) aspirasi anak muda Malaysia bercapah dan perlu digembelingkan dalam satu perjuangan politik; dan (3) menarik perhatian anak muda agar terbabit menyertai parti politik.

Menurut Prof Datuk Ismail Sualman, dalam tempoh lima tahun dijangka seramai 7.8 juta pengundi muda akan memasuki keranjang politik Malaysia. Ia berdasarkan unjuran jumlah mereka yang berumur 18 tahun ke atas, setelah syarat minimum mendaftar pengundi diturunkan daripada 21 tahun. Ertinya, pengundi muda menjadi penentu, kerana mereka mempunyai jumlah yang besar, sekitar 48 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Kita juga mungkin mengingati bagaimana PH memperoleh kemenangan dalam PRU ke-14, yang salah satunya ialah sokongan anak muda kerana janji-janji yang diberikan begitu ‘menarik dan mempesonakan’ seperti peluang pekerjaan sehingga 1 juta, penghapusan bayaran balik pinjaman PTPTN atau tidak perlu membayar sekiranya gaji belum sampai RM 4,000 sebulan, menghapuskan kutipan tol di lebuh raya seluruh negara, penurunan harga petrol dan memperbaiki “kerosakan ekonomi” akibat rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai ketirisan di samping menurunkan harga barang akibat GST dan menukarkan kaedah pengutipan cukai menerusi sistem percukaian lama, SST.

Biarpun PH telah menghapuskan GST, dengan ‘bulan madu tanpa cukai selama tiga bulan’ dan memperkenalkan semula SST (September 2018), harga barangan tidak juga menjuman. Apa yang menjunam ialah harga komoditi, iaitu kelapa sawit dan getah menyebabkan rakyat yang bergantung kepada pendapatan daripada dua komoditi itu terpaksa hidup seperti ‘orang bercinta’ kerana ‘harga belacan lebih mahal daripada kelapa sawit’. Ia berlaku kerana PH gagal membesarkan pasaran minyak kelapa sawit sebaliknya, pasaran minyak kelapa sawit  ke China ditamatkan akibat kecaman PH terhadap kerajaan China yang banyak melabur dalam projek infrastruktur di Malaysia.

Dr Mahathir mengharapkan Jepun akan kembali menjadi pelabur terbesar di Malaysia, atau berusaha menghidupkan semula Dasar Pandang ke Timur, maka beliau segera membuka semula impian itu dengan mengunjungi Jepun, memohon pinjaman Samurai bagi membantu menyelesaikan hutang negara dengan faedah rendah, dan sebagai balasannya, Dr Mahathir dianugerahkan dengan ijazah kehormatan daripada beberapa universiti di Jepun. Sebahagian kunjungan Mahathir ke Jepun hanya untuk mengumpul anugerah, bukan membawa masuk pelaburan asing dari Jepun bagi membantu memulihkan ekonomi yang sudah kehilangan arah dan merudum, maka dalam tempoh 22 bulan PH ‘membaiki kerosakan’, hutang negara terus meningkat lebih RM 120 bilion.

Ia telah membangkitkan kemarahan penyokong-penyokongnya, maka penyokong-penyokong mula rasa tertipu dan mahukan PH membubarkan Dewan Rakyat agar diadakan PRU semula. Desakan-desakan itu kemudiannya menjadi semakin rumit apabila menteri-menteri lantikan Dr Mahathir tidak mampu berfikir dan merancang program yang dapat membantu rakyat sehingga prestasinya lebih kepada ‘politicking’, parti mana yang paling berkuasa, bilakah ‘proses peralihan kuasa’ dapat dilaksanakan, pemberhentian pekerja (model perniagaan berubah seperti Media Prima Berhad dan kumpulan Utusan Melayu) yang akhirnya seperti dimalukan dengan tinjauan pendapat umum oleh Malaysiakini pada akhir 2019.

Menteri-menteri yang mewakili BERSATU ‘tersemban’ dengan skor yang rendah berbanding pemimpin DAP, PAN dan PKR. Lebih memalukan skor yang diperoleh PM adalah lebih rendah daripada TPM (PKR) dan bahkan prestasi ‘broker tanah Kg Baharu’ lebih hebat daripada Dr Mahathir sendiri. Sesuatu yang dilihat sebagai satu ‘tekanan’ kepada BERSATU dan Dr Mahathir untuk segera berundur dan melaksanakan ‘proses peralihan kuasa’ lebih awal daripada APEC dan juga tarikh akhir yang ditetapkan oleh Otai Reformasi. Akhirnya, ia benar-benar berlaku dengan tekanan daripada pemimpin Bersatu dan PKR yang tidak mahukan Anwar menggantikan Dr Mahathir dan DAP terus berada dalam tampuk kuasa.

Bagi golongan muda, perubahan lanskap politik selepas ‘kejatuhan PH’, walau apa pun ejekan diberikan kepada Perikatan Nasional—kerajaan pintu belakang, tebuk atap ataupun bukan pilihan rakyat—ia tetap membawa harapan yang lebih baik apabila Muhyiddin dilihat lebih bersikap ‘abah’ berbanding Dr Mahathir yang sentiasa melihat, dirinya sahaja yang betul, benar, baik dan tidak salah. Muhyiddin mengambil pendekatan ‘tidak menyerang’ orang yang ‘menyerangnya’ dan lebih tenang. Akhirnya, Perikatan Nasional semakin diterima dan diharapkan dapat membantu menyelesaikan kemelut politik dan ekonomi, namun tidak semua yang diharapkan itu berjalan dengan ‘mulus’ dan ‘licin’.

Negara resah dengan jangkitan COVID-19, yang pada awalnya tidak dilihat sebagai ancaman besar oleh PH. Ketika Muhyiddin mengambil alih kuasa, COVID-19 semakin meningkat sehingga menggerakkan kerajaan melaksanakan PKP –Perintah Kawalan Pergerakan untuk memutuskan rantaian jangkitan. Ia berjaya, dan PKP digantikan dengan PKPP mulai bulan September 2020. COVID 19 kembali melonjak apabila mereka yang wajib melakukan ‘kuarantin kendiri’ melanggar SOP (kes Sivagangga) dan kembali mencemaskan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Jika dilihat daripada angka peningkatan harian, Sabah menduduki tempat pertama dan sehingga 9 November 2020, secara kumulatifnya mencecah hampir 20,000 kes, iaitu 48.32 peratus daripada keseluruhan kes setakat ini (41,181 kes setakat jam 12.00). Daripada 294 kematian yang ada kaitan dengan COVID-19, separuh daripadanya adalah dari Sabah (147 kes). Lima hari berturut-turut Malaysia mencatatkan jumlah kes melebihi 1,000 orang (3/11 -1,054 kes; 4/11 -1,032; 5/11 -1,009; 6/11 -1,755; dan 7/11 -1,168).

Bila ‘abah’ memutuskan untuk melaksanakan PKPB di seluruh negara, kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis, rakyat berbelah bahagi perasaannya, walaupun beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, kehidupan mereka semakin terhimpit. Peluang pekerjaan menjadi semakin tipis manakala syarikat-syarikat bukan sahaja mula melaksanakan ‘pengurangan kos operasi’ bahkan ada yang mengarahkan pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji – misalnya dua minggu dalam sebulan—kerana pendapatan jualan drastik merosot. Ini menyebabkan anak muda mula menimbulkan semula ‘rasa gelisah’ dengan kisah pengeluaran KWSP akaun 1 yang dihadkan sebanyak RM500 sebulan selama setahun (RM 6,000) dan tiada pelanjutan monotarium secara automatik sebagaimana dilaksanakan ketika PKP selama enam bulan (April hingga September 2020). Ia dilaksanakan secara bersasar, yakni bagi mereka yang memohonnya.

Jangkaan selepas ini, ekonomi rakyat menjadi semakin terhimpit, akibat ‘tiada kerja’ maka ‘tiadalah pendapatan’. Biarpun kerajaan berusaha menyuntik pelbagai insentif kepada syarikat seperti subsidi upah, syarikat juga tidak mampu mengekalkan kesemua pekerjanya kerana tiada pendapatan. Hotel-hotel tidak berpenghuni, kompleks beli-belah lengang bila rakyat membudayakan normal baharu –tidak ke tempat sesak—dan terpaksa berjimat untuk membeli keperluan makanan. Premis perniagaan yang dibenarkan hanya beroperasi dalam tempoh waktu dibenarkan (pasar basah sehingga jam 2 petang, kedai runcit sehingga 6 petang manakala restoran dan kedai serbanika sehingga 12 malam). Tetapi, rakyat sudah tidak lagi mengunjungi restoran waktu malam, cukuplah makan di rumah bersama keluarga dalam situasi ‘kekurangan pendapatan’ dan ‘pergerakan terhad’.

Apakah resah itu bakal membangkitkan ‘anak muda’ untuk melihat semula perana mereka dalam politik negara? Apakah anak muda sedia membabitkan diri dalam parti politik sebagaimana diharapkan oleh Syed Saddiq ketika beliau menyatakan hasratnya menubuhkan Muda Malaysia? Dari satu perspektif, Syed Saddiq mungkin berjaya menggerakkan semangat anak muda untuk berpolitik, tetapi sukar untuk membawa mereka menyertai parti politik. Ini kerana pendidikan politik di Malaysia masih belum memadai dan pandangan anak muda terhadap politik masih dipenuhi dengan nilai-nilai ‘kekotoran’ dan ‘bingkai kuasa orang tua’.

Meskipun setiap parti politik –kecuali Muda Malaysia—mempunyai sayap pemuda dan pemudi (orang muda), mobiliti mereka dalam parti masih terhad. Ribuan anak muda dikumpulkan dalam sayap parti, dan mereka tidak dapat bergerak melebihi sayap yang dibenarkan. Misalnya, jika berhasrat menduduki jawatan yang lebih tinggi, perlu melepaskan jawatan dalam sayap ‘orang muda’. Dari satu perspektif, ia adalah baik kerana tidak menjadikan jawatan dalam parti sebagai ‘monopoli’ seseorang, tetapi, sebagai anak muda, mereka juga ada ‘rasa takut’ dengan kekalahan dan ‘kehilangan’ apa yang dikendungnya. Hanya mereka yang benar-benar berani sanggup mencuba dengan risiko besar.

Misalnya, Khairy Jamaludin melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika bertanding kerusi Presiden UMNO. Akhirnya beliau tewas. Biarpun masih ahli UMNO dan Ketua Bahagian Rembau, Khairy seolah-olah ‘kehilangan wilayah kuasa’ dalam parti peringkat pusat, maka itulah persis dilihat ada ketikanya Khairy seperti ‘meracau’ dan lebih bebas menyindir parti sendiri. Dalam keadaan sedemikian, Khairy kadangkala dicap ‘seumpama kiambang’, akarnya tidak menjejaki ‘tanah UMNO’ da nada ketikanya, hanyut dalam tiupan angin.

Dalam masa yang sama, Khairy bakal dipindahkan ke kawasan bandar, tidak lagi kekal di Rembau. Ia bukan sahaja menimbulkan dilemma politik, akan turut memperlihatkan ‘kuasa penentu’ segala-galanya. Mohamad Hassan, yang kini Timbalan Presiden UMNO boleh berbuat apa sahaja yang difikirkan ‘selamat’. Sepatutnya, sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan ada ‘aura besar’, beliau tidak di Rembau. Beliau sepatutnya bertanding di Port Dickson, mengembalikan kegemilangan UMNO di Port Dickson daripada terus dikuasai oleh PKR atau Anwar Ibrahim.

Ia berbeza dengan budaya politik parti-parti pembangkang. Pengaruh tempatan tidak banyak mempengaruhi keputusan meletakkan calon. Umpamanya, Lim Guan Eng boleh menang di Pulau Pinang walaupun beliau bukanlah anak tempatan. Mohamad Sabu boleh menang di Kota Raja walaupun ditempat sendiri tewas (1982 tewas di Kepala Batas dan1986 tewas di Permatang Pauh). Beliau menang di tempat asing (1990- Nilam Puri, 1995- Kubang Kerian, 1999- Kuala Kedah, dan 2018 di Kota Raja). Ini bermakna, budaya politik UMNO masih bersifat local walaupun pemimpin-pemimpinnya bercakap mengenai glokal –think locally, act globally. Najib sendiri mungkin kalah jika bertanding di Kuala Terengganu atau Kubang Pasu.

Gaya politik baharu belum meresap sepenuhnya dalam UMNO. Sebab itulah UMNO tidak dapat mengekang ‘kebencian’ anak-anak muda, biarpun sayap pemuda dan puteri dibentuk sebagai langkah peremajaan parti. Puteri hanya dilihat sebagai sumbangan yang kecil berbanding pengaruh sayap wanita yang lebih veteran walaupun belum terhapus sepenuhnya fenomena ‘siling kaca’. Kisah-kisah ‘asmara’ dan ‘jatuh cinta’ turut menjadi sebahagian daripada kisah budaya politik UMNO sehingga ada yang membenarkan kenyataan, orang mudah masuk politik, kalau perempuan kerana 3G –genit, gebu dan gedik—manakala yang muda, mahukan projek (dan jawatan dalam kerajaan) ketika UMNO berkuasa.

Kini, untuk orang muda bersama UMNO ia sedikit sukar, kerana UMNO sudah tidak ada kuasa, dan dalam Kerajaan Perikatan Nasional umpama ‘pelengkap’ dan bukannya ada ‘kuasa pemutus’. BERSATU terus ‘mengawal’ dan ‘ada kuasa pemutus’ biarpun dari jumlah bilangan kerusi, lebih kecil berbanding UMNO. Itulah juga menjadi sebab kenapa UMNO tidak mahu mengabsahkan Perikatan Nasional dan kerjasama yang berlaku, hanyalah setakat membentuk kerajaan selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan. Ia berdasarkan persetujuan enblok (wakil rakyat), bukan dasar parti. Sebab itu, Perikatan Nasional dilihat ‘tidak kukuh’ dan hampir ‘tersungkur’ dengan tindakan Zahid Hamidi dan Najib untuk menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadikan Muhyiddin “jatuh”.

Setelah tersebarnya surat yang ditulis oleh Zahid Hamidi dan disokong oleh Najib, yang kemudiannya memberikan ‘harapan baharu kepada Anwar’, anak muda melihat bahawa politik Malaysia akan terus bergolak dengan percaturan kuasa oleh warlord. Budaya warlord sampai bila pun tidak akan terhapus, terutama dalam UMNO. Pejuang, walaupun belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, tidak terkecuali daripada budaya warlords. Taikun warlord Pejuang ialah Dr Mahathir yang dibantu oleh anaknya Mukhriz. Mungkinkah itu juga menjadi sebab Dr Mazlee Malik keluar daripada Pejuang?

Sayangnya, jika kejayaan Macron dijadikan contoh oleh Syed Saddiq untuk menggerakan Muda Malaysia, beliau mungkin akan gagal. Ia gagal kerana Macron sudah ‘menghina orang Islam’ dan tentunya, Syed Saddiq tidak menjangkakan hal itu berlaku. Bagaimanapun, di mata orang muda, Syed Saddiq bukanlah ‘ikon belia’ kerana dirinya turut dikaitkan dengan budaya yang kurang sopan apabila gambar-gambar clubbing ditularkan kembali, di samping kenyataannya yang disifatkan banyak paradoks dan tidak konsisten, retorik dan tidak membumi.

Biarpun Syed Saddiq memegang rekod sebagai menteri yang termuda pernah dilantik, jiwa mudanya tidak terhapus dengan ‘dunia keseronokan’ dan utopia. Beliau mungkin gagal untuk menjadikan Muda Malaysia sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh sebagaimana En Marche, yang ditubuhkan pada tahun 2016 mampu mempengaruhi pilihan pengundi dan memberikan peluang kepada Emmanuel Macron menjadi Presiden termuda di Perancis. Macron ada kekuatannya dengan track record ketika berada dalam kabinet sebelumnya. Syed Saddiq tidak ada ‘track-record’ yang menarik dan berkesan, kerana ketika berada dalam kerajaan, beliau turut diperlekehkan oleh orang muda sendiri, budaya yang diperlihatkan tidak cukup menempah aura positif golongan muda untuk berpolitik dan ‘ruang pengaruh’.

Muda Malaysia, meskipun cuba melangkaui persoalan etnik dan agama, ia dilihat boleh berjaya kerana dalam iklim politik Malaysia, kaum mana yang menjadi pelopor, maka parti itu akan terus dikuasai oleh kaum itu sahaja secara dominannya. Lihatlah apa yang berlaku ke atas DAP dan Gerakan. Ia ditubuhkan dengan sokongan besar bukan Melayu, maka bukan Melayulah yang mendominasinya. Begitu juga PKR, meskipun ada bukan Melayu bersama, ia tetap terus berusaha mengukuhkan kedudukan Anwar, kerana Anwar adalah segala-galanya bagi PKR. Anwar akan sekat sesiapa sahaja yang cuba mencabarnya. Dan, inilah yang terjadi kepada Azmin, diugut bila berhasrat bertanding jawatan Presiden PKR mencabar Wan Azizah. Pada suatu ketika, Anwar mengeluarkan senarai siapakah yang patut dipilih menduduki jawatankuasa tertinggi parti.

DAP juga berhadapan yang ‘sentuhan etnik’. Hanya beberapa kerat daripada perwakilan memilih calon Melayu menduduki CEC, dan pada suatu ketika, Lim Guan Eng terpaksa menyatakan ada computer glitch, hanya kerana ingin meletakkan Zairil Khir Johari berada dalam CEC, walhal pada keputusan awal, namanya tidak tersenarai. Gerakan juga dikuasai oleh bukan Melayu, walaupun keahliannya turut disertai oleh orang Melayu. Sesuatu perlu diperbetulkan, secara praktisnya jika parti-parti pelbagai kaum itu ingin benar-benar multietnik.

DAP cuba menunjukkan hasratnya dengan memberi ruang kepada orang Melayu menjadi calon. Ia juga dilihat kurang menarik, kerana calon Melayu itu hanya diletakkan di kawasan majoriti Melayu atau Melayu sebagai ‘deciding factor’. Seharusnya, DAP meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina, dan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu. Apakah itu sesuatu yang sukar dilakukan? Apakah DAP akan terus berstrategi, kawasan majoriti bukan Melayu bukan milik Melayu, ia adalah demi kelangsungan politik bukan Melayu? Apakah calon Melayu hanya sebagai ‘pelengkap’ atau ‘bonus’ bagi menunjukkan DAP sebuah parti multietnik? Apakah Melayu dalam DAP itu ‘trojan horse’?

Persoalan-persoalan tersebut perlu dirungkaikan oleh Syed Saddiq dalam Muda Malaysia, jika mahukan parti pimpinannya benar-benar berjaya membawa masuk ‘anak muda Malaysia’ sama ada yang sudah berparti atau yang melihat parti penuh ‘wasangka’ dan ‘kuasa orang tua’? Membuka minda anak muda untuk menyertai parti politik bukanlah mudah tetapi tidak juga ‘sukar’ sekiranya ‘parti itu boleh memenuhi cita rasa anak muda’ dan menghormati ‘kehendak anak muda’ tanpa disekat dan dihalang oleh aspirasi elit politik tua.

Saya pernah terbaca sebuah tulisan yang memerihalkan resah anak muda dalam kongkongan kuasa politik ‘orang tua’. Resah itu berbunyi : Permainan politik di Malaysia tidak menawarkan peluang yang sama terhadap semua rakyat. Anak seorang politikus akan melalui jalan yang mudah untuk terlibat dalam dunia politik berbanding anak orang biasa. Sayangnya, saya terlupa di mana tulisan itu disiarkan, siapa yang menulis,  bila dan di mana ianya disiarkan. Apakah ini akan terus kekal dalam halaman dan lanskap politik Malaysia? Apakah dengan tertubuhnya Muda Malaysia, ia berjaya menepis sindrom yang berpenyakit itu?

 

MONOSIN SOBRI

 

Translate »