Awal  pagi minggu 8 November 2020, keputusan Pilihan Raya Presiden (PRP) Amerika Syarikat sudah diketahui. Menurut laporan Associated Press (AP), setakat awal pagi minggu (Malaysia), Joe Biden sudah melepasi jumlah minimum electoral votes (270), iaitu memperoleh 290 sedangkan Trump masih kekal dengan 214 sejak tiga hari lalu. The New York Times, mengesahkan Biden sudah tentu menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-46 pada bulan Januari 2021 dengan kedudukan 279 dengan memaparkan gambar penyokong-penyokong Demokrat menari gembira di Brooklyn sebaik sahaja disahkan melepasi jumlah minimum.

Sehingga Jumaat, sudah lima tiga saya menunggu keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Dalam tempoh tiga hari itu, keputusan sebenar siapa yang menang terus tergantung dengan kedudukan Joe Biden mendahului Donald Trump. Tapi, Joe Biden masih belum boleh diangkat sebagai pemenang mutlak walaupun Trump sudah dilihat bakal kalah. Ia berlaku di mana negeri-negeri yang dikategorikan sebagai swing states, mula menerima Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ‘boleh dipercayai’ berbanding Trump yang pernah dijolokkan sebagai Trumpish.

Akibat persaingan sengit di swing states, dalam kiraan awal sebahagiannya menunjukkan Trump ‘mungkin menang’, ada juga yang meleset setelah lebih 90 peratus jumlah undi dikira, kedudukan Trump semakin ‘tidak keruan’. Biarpun di beberapa swing states Trump mencapai kemenangan, perbezaan undi adalah kecil. Daripada 12 swing state, Joe Biden dilaporkan menang di 7 buah negeri iaity, Georgia (49.5 peratus undi), Arizona (49.6 peratus), Michigan (50.6 peratus), Nevada (49.9 peratus), New Hampshire (52.8 peratus), Pensylvania (49.7 peratus) dan Wisconsin (49.6 peratus) manakala Trump berjaya di Texas (52.2 peratus), Ohio (53.4 peratus), Iowa (53.2 peratus, Florida (51.2 peratus) dan North Carolina (50.1 peratus).

Biarpun ada calon-calon lain yang bertanding misalnya Jogersen (Libertarian), Hawkins (Parti Hijau) dan Blankenship (Constitution), hanya antara Joe Biden dan Donald Trump yang diberikan fokus oleh seluruh pengundi Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa. Calon-calon selain daripada Republikan dan Demokrat dilihat kurang berkemampuan, terutama daripada perspektif mekanisme kempen dan keahlian serta organisasi yang tersusun.

Kekalahan Trump ini melengkapkan sejarah kekalahan dua kali Republikan untuk mempertahankan jawatan di Rumah Putih bagi penggal kedua sejak tahun 1992. PRP 1992, penyandang daripada Parti Republik, George Herbert Bush (Bush Sr) kalah kepada calon Pari Demokrat, Bill Clinton. Bill Clinton menang dengan 370 electoral votes (43 peratus undi popular) manakala Bush Sr hanya sekadar mampu meraih 168 electoral votes (37.4 peratus undi popular). PRP 1996, Bill Clinton berjaya untuk berada di Rumah Putih bagi penggal kedua dengan 379 electoral votes (49.2 peratus) mengalahkan calon Parti Republik, Bob Dole dengan 159 electoral votes (40.7 undi popular).

Bagaimanapun, George Walker Bush (Bush Jr) berjaya menguasai Rumah Putih selepas PRP 2000 dan kekal untuk penggal kedua. Selepas Bush Jr., Rumah Putih dikuasai oleh Parti Demokrat menerusi kemenangan Barrack H Obama sehinggalah PRP 2016, Trump menang mengalahkan calon yang berpengalaman, kapitalis di Wall Street Journal dan golongan kaya, Hillary Clinton. PRP 2016 menjadi titik penting dalam kempen pilihan raya Amerika Syarikat apabila ‘post-truth’ berjaya digunakan dengan begitu berkesan, sehingga ia kemudian diisytiharkan sebagai ‘words of the year’ dan dimasukkan sebagai entri baharu Kamus Oxford. Perspektif ‘port-truth’ menjadi hakikat terbesar punca kemerosotan akhbar-akhbar utama dan media sosial (termasuk online) menjadi semakin berpengaruh, hinggakan dalam kempen PRP 2020, facebook, twitter dan youtube mengambil langkah ‘ketat’, tidak membiarkan komen-komen liar terhadap Demokrat berlaku.

Media sosial dikatakan mempunyai ‘minat menyokong Demokrat’ kerana mungkin rasa terancam dengan slogan Make America Great Again yang kembali dijadikan ‘tagline’ kempen Donald Trump. Sebahagian syarikat teknologi yang berada di California merasa ‘tertekan’ dengan sikap Trump terhadap kemasukan bakat asing sebagai pekerja di Lembah Silikon (penyelidikan teknologi, pereka kreatif perisian dan pembangunan isi kandungan). Sekatan perdagangan dengan China menyebabkan firma-firma teknologi dari Amerika Syarikat semakin tidak mampu bersaing akibat kontrak pembuatan peralatan dengan China terpaksa dibatalkan. Untuk kembali mengeluarkan produk yang sama di Amerika Syarikat, ia mengakibat kos pengeluaran meningkat.

Sikap China yang agresif dalam membina dan menyusun semula ekonomi dunia, setelah berjaya merampas kedudukan daripada Jepun, China dikatakan hampir semua produk ada. China bukan sahaja berusaha menguasai teknologi dan kepakaran pembinaan infrastruktur mega, bahkan bersedia bersaing dengan mana-mana negara dalam bidang automotif dan juga teknologi digital. Firma China telah dikeronyok oleh Trump dengan menuduh ‘turut menyiasat bagi pihak China’ menerusi teknologi digital setelah Huawei semakin berpengaruh dan giat membangunkan teknologi 5G.

Akhirnya, semua teknologi Huawei dilarang di Amerika Syarikat dan para pembekal komponen yang terdiri dari firma Amerika Syarikat turut terjejas pendapatannya. China tidak gentar, sebaliknya menguruskan teknologi sendiri dan terus mencipta perisian yang menarik seperti Tik Tok. Tik Tok menjadi isu ‘perdagangan’ dalam tahun terakhir pentadbiran Trump (15 September 2020). Turut diharamkan ialah aplikasi WeChat yang menyamai WhatsApp. Bukan setakat itu, Trump turut mengugut akan mengenakan ‘tindakan’ ke atas mana-mana syarikat Amerika Syarikat yang bekerjasama dengan syarikat teknologi dari China, termasuk Microsoft. Microsoft turut menginginkan tik tok berada dalam platform perniagaannya. Tahun 2019, Trump pernah mengarahkan aplikasi temujanji Grindr dilupuskan selepas dibeli oleh China

Seperti ramalan hari terakhir kempen, Joe Biden dijangka menang. Tapi perjalanan untuk benar-benar diisytiharkan pemenang terpaksa dilalui dengan ‘ancaman’ dan ‘mual’. Trump berusaha meyakinkan bahawa dirinya adalah pemenang “mutlak”, lantas mengeluarkan pelbagai ancaman dan kata-kata kesat ke atas pengundi Demokrat dan mempengaruhi penyokong-penyokongnya untuk bertindak.  Amerika Syarikat, pelopor dan pemegang tampuk demokrasi terbesar, terkuat dan diteladani, tidak seharusnya menyemai anarkisme politik ketika demokrasi itu sedang dibuktikan. Trump tidak seharusnya mengeluarkan provokasi dan menuduh PRP kali ini melibatkan penipuan. Ini kerana beliau tidak boleh menerima kekalahan dan seperti terdesak untuk mengekalkan kuasa.

Seperti diajar oleh Mencius (732-289 SM), seorang adiguru falsafah Kung Fu Tze atau Confucian sebelum Amerika Syarikat muncul sebagai sebuah negara kuasa besar membahagikan watak sejati atau xing kepada lima kebijakan (wuchang). Lima wuchang itu ialah (1) Cinta Kasih (Ren); (2) Kebenaran (Yi); (3) Susila (Li); (4) Bijaksana (Ti); dan (5) Kepercayaan (Xin). Falsafah pemikirannya bukan sahaja berpengaruh dalam kalangan masyarakat China, bahkan turut dipelajari sebagai salah satu kearifan timur dalam membimbing penguasa atau pemimpin ‘memancarkan sifat baik’.

Apakah Trump mempunyai ‘cinta kasih’ ? Sekali imbas, Make American Great Again boleh dikategorikan sebagai ‘cinta kasih’. Trump berusaha untuk menjadikan Amerika Syarikat kembali kuat sebagai adidaya, hegemonik dan kuasa tunggal ‘menggertak dunia’. Namun, ‘cinta kasih’ yang diamalkan oleh Trump tidak menjadikannya sebagai seorang ‘penyayang’ mahupun berjiwa belas kasihan.

Trump sudah gagal. Sejak memulakan kempen, dari peringkat penentuan calon bagi mewakili Parti Republikan hinggalah terpilih sebagai calon presiden, banyak tindakan beliau dilihat tidak menepati konsep ‘cinta kasih’. Beliau memperlekehkan sumbangan ‘kaum imigran’ dan atas dasarnya yang anti kaum imigran, semangat white supremacy menebal kembali. Trump melepaskan kemarahan, akan dipagari sempadan negaranya, ada tembok yang akan dibina, dan kebebasan pelabur rakyat Amerika Syarikat sedikit tersentak, harus melabur dalam negara sendiri.

Terdengar ungutan, misalnya daripada California. Sebagai sebuah wilayah yang terkaya di Amerika Syarikat, California banyak bergantung kepada kaum imigran, sama ada sebagai buruh kasar yang tidak sanggup dilakukan oleh kulit putih Amerika Syarikat sendiri hinggalah pekerja professional. California terkenal dengan kepesatan dan perlumbaan penyelidikan dalam bidang teknologi, terutama teknologi digital. Di sana terdiri banyak firma teknologi yang besar dan sentiasa bekerja keras untuk menambahkan aset kreatif, yang sebahagian besarnya turut disumbangkan oleh rakyat asing, termasuk dari China, India, Iran dan juga lain-lain negara. California bakal ‘keluar’ dari gabungan yang membentuk Amerika Syarikat. Mujurlah, setelah tamatnya penggal pertama, tindakan tersebut tidak berlaku.

California mempunyai 55 electoral votes. Setakat 66 peratus undi dikira, Joe Biden sudah memperoleh 8,969,107 undi (64.7 peratus) berbanding Trump 4,630,099 (33.4 peratus). California diletakkan sebagai negeri yang dikuasai oleh Demokrat, dan pada pemilihan 2016, Trump turut tewas di negeri tersebut. Trump peroleh 4,483,810 undi (31.62 peratus) hampir separuh daripada yang diraih oleh Hillary Clinton, calon Parti Demokrat dengan 8,753,788 undi (61.73 peratus). Kali ini, calon Demokrat dijangka memperoleh undi popular yang lebih besar di California. Ramalan itu menjadi kenyataan apabila Joe Bidin memperoleh 64.7 peratus undi popular manakala Trump sedih dengan 33.4 peratus undi. Meskipun undi popular Trump meningkat, undi Demokrat turut mengalami peningkatan daripada 2016.

Trump adalah orang yang tidak boleh menerima kebenaran, yakni kekalahannya. Sebab itulah beliau bukan sahaja mengancam akan menggunakan undang-undang bagi mencabar keputusan rakyat memilih sekiranya, negeri-negeri yang diramalkan menang tidak menyebelahinya. Apa yang berlaku, ada beberapa negeri yang asalnya dilihat cenderung memilih Republikan, kali ini kedudukan Trump begitu tercabar misalnya di Pensylvania, Arizona dan Texas.

Pensylvania menjadi negeri yang paling perlahan proses pengiraan undi. Sudah dua hari proses pengiraannya belum selesai walaupun petunjuk awal sudah mencapai 99 peratus. Ini kerana Trump tidak berpuas hati. Biden sudah mendahului dengan perbezaan yang tipis. Biden 49.6 peratus (3.337,069 undi) dan Trump 49.2 peratus (3,308,192 undi).  Dilaporkan masih ada 35,000 undi pos (awal) manakala 3,500 lagi undi tentera dan pengundi dari laur negara belum dikira.

Namun, Trump sudah mengarahkan mana-mana undi yang belum dikira, tidak perlu diambil kira, dan proses pengiraan undi mesti dihentikan. Trump percaya, proses pengiraan yang lambat itu boleh menyebabkan, perbezaan undi antaranya dengan Joe Biden akan berubah, manakala di negeri-negeri tertentu, kedudukannya akan tergugat bila diambilkira undi awal (yang awalnya dilaporkan menyebelahi Demokrat), da nada unsur-unsur penipuan. Ertinya, Trump tidak mempercayai kepada sistem yang pernah melonjakkan pencapaiannya pada tahun 2016.

Juga turut berlaku tunjuk perasaan daripada penyokong-penyokong Trump. Rudolph Guliani, bekas datuk bandar New York di awal pentadbiran George Bush, menjadi peguam kepada Parti Republikan. Guliani berusaha untuk mencari bukti tentang ‘penipuan’ pilihan raya dan juga penipuan semasa pengiraan undi dilakukan.

Dalam situasi Trump yang resah itu, Joe Biden kelihatan lebih tenang. Biden memberikan nasihat kepada penyokong-penyokongnya, sabar menunggu keputusan kerana Demokrat semakin hampir kembali ke Rumah Putih. Joe Biden menjadi orang kedua menolak Republikan untuk berkuasa selama dua penggal selepas Bill Clinton mengetepikan Goerge Bush Sr dalam pemilihan tahun 1992. Hanya seorang sahaja dari Republikan yang mampu memegang jawatan presiden selama dua penggal, iaitu Goerge Bush Jr berbanding Demokrat, Bill Clinton dan Barrack H Obama. Dari perspektif itu, Republikan dilihat kurang keupayaan berbanding Demokrat.

2016, walaupun Hillary Clinton kalah, beliau jauh lebih besar menguasai ndi popular. Seperti sebuah peribahasa, kalah dalam peperangan tapi menang dalam pertarungan. Ketika ini, untuk Trump (214) mengejar kedudukan Biden (264), ia bukan satu perkara yang mudah dan di kedudukan sekarang, Biden sudah menguasai undi popular.   Biden hanya memerlukan 6 lagi electoral votes untuk disahkan sebagai presiden Amerika Syarikat ke-46. Untuk membolehkan seseorang itu diisytiharkan menang, ia memerlukan 270 daripada 538 electoral votes. Dengan kedudukan itu, Trump perlukan  daripada 56 lagi electoral votes. Ia adalah sukar, tapi mungkin boleh berlaku jika ada keajaiban menyebelahi Trump.

Biden sudah pasti akan melangkah ke Rumah Putih dan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2021. Apakah keadaan yang sama akan berlaku semasa majlis angkat sumpah? Ketika Trump diisytiharkan menang, penyokong-penyokong Demokrat tidak boleh menerima kekalahan Hillary Clinton, mereka berkumpul dan merusuh. Bahkan ketika majlis angkat sumpah Trump, ia tidak memperlihatkan semangat ‘bersatu’ antara penyokong Demokrat dan Republikan. Tiada kehadiran bekas-bekas pemimpin Demokrat hadir manakala menjelang majlis itu, ia dicemari dengan protes. Ribuan penyokong Demokrat keluar di Washington bagi menyatakan bantahan mereka kemenangan Trump dalam tempoh kurang 24 jam majlis angkat sumpah.

Lebih 50 pemimpin Demokrat membantah Majlis Angkat Sumpah. Sesuatu yang membuktikan demokrasi di Amerika Syarikat tidak murni dan menepati amanat tersohor bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln (1809-1865): government of the people, by the people, shall not perish from the earth . Beliau adalah tokoh politik Republikan, dan “America will never be destroyed from the outside. If we falter and lose our freedoms, it will be because we destroyed ourselves.” Ertinya, Amerika sudah memusnahkan ‘diri’nya dengan kehidupan politik yang menghancurkan ‘nilai-nilai Amerika dari dalam’ termasuk sikap panas baran dan ‘bulldoze’ Donald Trump. Demokrasi yang dipelopori oleh Amerika Syarikat semakin busuk dan kehilangan ‘aura keyakinan’ atas kehendak dan kemaruk untuk berkuasa.

 

KAMARUN KH

*****

Translate »