Ada satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam pada setiap bulan Ramadan. Malam itu disebut Lailatulqadar. Al-Quran menyebutnya sebagai malam yang penuh berkat (Q.44:3) dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan (Q.97:3). Lailatul Qadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Biasanya, dalam menanti malam tersebut, umat Islam melakukan ibadat seperti solat malam atau membaca al-Quran untuk memperoleh Lailatul Qadar.
Memperoleh Lailatulqadar
Pengalaman mendapatkan Lailatul qadar merupakan pengalaman kerohanian dan individual. Ulama mengatakan bahawa tidak semua orang berjaya mendapatkan malam seribu bulan ini. dengan kata lain, Lailatul qadar tidak boleh ditemui begitu sahaja hanya dengan berjaga pada malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, kerana berjumpa dengan Lailatul qadar merupakan kemuncak prestasi dari segi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan kerohanian sepanjang bulan Ramadan.
Nisfu Syaaban
Sebahagian ulama percaya bahawa malam Lailatul qadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan, tetapi juga pada bulan Syaaban. Menurut mereka, Lailatul qadar turun pada malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban), malam yang juga biasa dirayakan oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. Pada mala mini turun beberapa kebaikan daripada Allah s.w.t, seperti syafaat, keampunan dan pembebasan daripada azab. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tatkala datang malam Nisfu Syaaban, Allah s.w.t memberikan keampunannya kepada penghuni bumi, kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling dari-Nya.” (Riwayat Ahmad)
Waktu Lailatul Qadar
Kebanyakan ulama dan orang Islam percaya bahawa Lailatul qadar berlaku pada bulan Ramadan, khususnya dalam 10 malam terakhir pada bulan ini. tidak seorang pun yang tahu bila sebenarnya Lailatul Qadar akan berlaku. Namun, daripada beberapa riwayat diketahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memberikan beberapa tanda mengenai akan terjadinya malam penuh berkat ini, seperti adanya hawa yang sejuk, suasana damai dan cuaca cerah.
Lailatul Qadar di dalam al-Quran
Al-Quran menyebut tentang Lailatul qadar dalam surah al-Dukhan ayat 3-4 dan surah al-Qadr ayat 1-5. Dalam surah al-Dukhan, al-Quran menggunakan istilah malam yang penuh berkat, malam ketika semua urusan manusia seperti hidup, mati, rezeki dan musibah dijelaskan Allah s.w.t dengan penuh hikmah. Dalam surah al-Qadr pula Allah s.w.t menyebut Lailatul qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malam ketika Jibril dan para malaikat lain turun ke bumi dan malam yang penuh kesejahteraan hingga ke pagi.
Susunan MAZNI SUHAIMI
Recent Comments