Sesuatu yang harus ditutupi oleh seseorang kerana merasa malu atau rendah diri jika dilihat atau diketahui oleh orang lain disebut aurat. Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘aurah. Secara harfiah ‘aurah bererti “terbuka, kemaluan, telanjang, aib, cela dan cacat”.

Aurat yang terbuka biasa mengundang nafsu berahi orang yang melihatnya sehingga mengundang perbuatan yang tercela. Ulama sepakat bahawa menutup aurat wajib hukumnya, baik lelaki mahupun perempuan, terutama yang telah dewasa, iaitu dengan cara berpakaian.

Meskipun demikian, memperlihatkan aurat kepada muhrim atau suami isteri hukumnya mubah (boleh). Begitu pula untuk hal-hal darurat, seperti ketika berubat yang mengharuskan si pesakit memperlihatkan auratnya.

Salah satu surah yang digunakan para ulama untuk menetapkan hukum menutup aurat adalah surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.”

Sebhaagian ulama, terutama dalam mazhab Hanafi, berpendapat bahawa suara perempuan merupakan aurat. Hal ini didasari oleh firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan…” (Q. 24: 31)

Menurut mereka, membunyikan kaki saja tidak boleh, apatah lagi mengeluarkan suara yang dapat mengundang fitnah dan nafsu berahi. Adapun ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa suara perempuan bukan aurat. Kerana itu, mereka berhak ikut dalam berbagai kegiatan, seperti jual beli. Bahkan, isteri-isteri Nabi s.a.w juga banyak yang meriwayatkan hadis dan mengajarkan agama kepada semua orang.

Para ulama berbeza pendapat tentang batas aurat laki-laki dan perempuan. Menurut Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Syafie, batas aurat lelaki ialah anggota tubuhnya antara pusat dan lutut, sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Paha adalah aurat.” (Riwayat Bukhari)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa aurat lelaki adalah kemaluan. Ini didasarkan pada hadis daripada Anas bin Malik bahawa: “Nabi pernah membuka pahanya ketika beliau duduk bersama para sahabat.” (Riwayat Bukhari)

Adapun batas aurat perempuan, menurut jumhur ulama adalah seluruh tubuhnya, termasuk muka dan kedua-dua telapak tangannya, bahkan kukunya. Pendapat lain mengatakan bahawa aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua telapak tangannya. Imam Hanafi berpendapat bahawa kaki perempuan tidak termasuk aurat.

Setiap Muslim wajib menutup auratnya dengan cara berpakaian. Ada dua hal prinsip dalam Islam tentang pakaian. Pertama, larangan untuk berpakaian atau melakukan hal yang diduga dapat menimbulkan ransangan berahi kepada lawan jenisnya (Q. 24: 31). Kedua, ayat-ayat al-Quran tentang pakaian selalu diakhiri dengan ajakan bertaubat (Q. 24: 31) dan penyataan bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Q.33:59).

Ajakan bertaubat merupakan isyarat bahawa pelanggaran besar maupun kecil terhadap tuntutan memelihara pandangan kepada lawan jenisnya tidak mudah dihindarkan oleh seseorang. Kerana itu, setiap orang dituntut untuk berusaha sebaik-baiknya dan memohon ampun kepada Allah s.w.t atas kesalahan yang diperbuatnya.

Susunan AINUN ZAKARIA

Translate »