Ilmu perubatan Islam ialah pengetahuan perubatan yang dikembangkan oleh para ilmuwan Islam pada zaman kegemilangan Islam (abad ke-2 hingga abad ke-7 Hijrah). Perubatan moden tidak dianggap sebagai ilmu perubatan Islam kerana dikembangkan oleh para ilmuwan Barat sejak zaman kebangkitan mereka pada abad ke-15 Masihi.
Perubatan Islam bukanlah ilmu yang seluruhnya berasal daripada Islam. Ilmu ini dikembangkan oleh para ilmuwan Islam berdasarkan warisan intelektual sebelum Islam yang berasal dari Yunani, Parsi, India dan negara lain yang ketika itu mempunyai hubungan rapat dengan dunia Islam.
Sungguhpun begitu, perubatan Islam bukan sekadar hasil tiruan mahupun terjemahan daripada bahasa asing ke dalam bahasa Arab, namun mengalami perkembangan, asimilasi, bahkan “pengislaman”, sehingga memiliki keunikan dan identiti budayanya sendiri.
PERUBATAN ZAMAN NABI S.A.W
Ramalan perubatan telah dilakukan bangsa Arab, termasuk suku Quraisy yang menimba ilmu perubatan dari Negara jiran seperti Syria. Mesir dan Parsi. Haris bin Kaladah ialah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai doktor ulung.
Beliau berkelulusan Jundishapur, universiti klasik di Parsi yang terkenal dengan ilmu perubatannya. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, sesetengah orang Arab mengamalkan ilmu perubatan mereka dan meminta bayaran atas khidmat yang diberikan mereka.
SEJARAH
Sejarah perubatan Islam sama tuanya dengan agama Islam itu sendiri. Sejak Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan dakwahnya, selain mengajarkan hal yang bersifat keagamaan, baginda juga menyarankan agar para pengikutnya mempelajari hal keduniaan, termasuk ilmu perubatan.
Bahkan Nabi sendiri sesungguhnya memiliki beberapa petua kesihatan yang dikembangkan oleh sebahagian ulama menjadi Perubatan Nabi atau al-Tibb al-Nabawi.
ZAMAN KEGEMILANGAN
Abad ke- 10 dan ke- 11 merupakan zaman kegemilangan ilmu perubatan Islam. Banyak ilmuwan Islam yang menulis kitab perubatan pada masa itu. Kitab yang ditulis mereka jauh lebih maju daripada kitab terjemahan.
Jika pada abad ke-8 dan ke-9, orang Islam masih menjadi anak murid, maka pada abad ke-10 dan ke-11 mereka sudah menjadi guru. Buku bacaan yang sebelumnya berasal daripada kitab terjemahan sudah diganti dengan pelbagai ensiiklopedia ilmu perubatan yang ditulis oleh ilmuwan Islam sendiri.
Kegiatan penterjemahan ilmu perubatan ke bahasa Arab merupakan titik tolak munculnya tokoh perubatan Islam. Dalam gambar kelihatan satu halaman buku berjudul al-Diryaq (Ubat Penawar Racun), hasil terjemahan para ilmuwan Islam daripada buku Galenus yang bertajuk Antidote.
BANYAK MENDAPAT PERHATIAN
Sewaktu Islam berjaya, perubatan ialah cabang ilmu pengetahuan selain falsafahyang paling banyak mendapat perhatian daripada para khalifah yang berkuasa. Ratusan karya perubatan dari Yunani, Parsi dan India diterjemahkan secara besar- besaran. Baitulhikmah di Baghdad dan Darulhikmah di Kaherah ialah dua “syurga” tempat berkumpulnya para ilmuwan dan penterjemahan.
Di tempat seperti itulah, puluhan buku perubatan asing diterjemahkan dan dipelajari. Doktor bedah di Iran melakukan pembedahan. Meskipun pada waktu ini kurang maju dibandingkan dengan dunia Barat, namun perubatan Islam mencatat sejarah panjang yang memberikan sumbangan besar kepada ilmu perubatan dewasa ini dan pernah mengalami keagungannya pada zaman kegemilangan Islam.
AL-RAZI
Salah seorang ahli perubatan Islam yang terkenal ialah Muhammad bin Zakaria al-Razi yang lebih terkenal dengan Rhazes di Barat. Sumbangan al-Razi sangat bernilai. Bahkan, orang menyebut tabib yang juga ahli falsafah ini sebagai tabib terbesar yang pernah dimiliki Islam.
Al-Razi dilahirkan di Rayy, Parsi (Iran). Latar belakang pendidikan dan masa kecilnya tidak banyak diketahui orang. Beliau mula terkenal sewaktu mengusahakan sebuah klinik kesihatan yang kemudiannya menjadi salah sebuah hospital terbesar di Baghdad.
Al-Razi terkenal kerana sumbangannya yang besar dalam kajian tentang cacar. Al-Razi dipercayai telah menulis lebih daripada 50 buah buku tentang perubatan. Bukunya telah diulang cetak dan diterjemahkan ke berbagai- bagai bahasa, termasuk bahasa Latin dan Yunani.
AL- HAWI
Karya terbesar al-Razi ialah al-Hawi, ensiklopedia yang memuatkan pelbagai istilah dan teori perubatan. Sebahagian besar teori dalam buku ini ditulis berdasarkan pengalaman dan penelitian al-Razi sendiri selama menjadi tabib. Selama bertahun-tahun, al-Hawi dan karya al-Razi lainnya diajarkan di universiti ternama di Eropah.
Karyanya ini kemudian mempengaruhi dan memberikan sumbangan yang cukup besar dalam perkembangan ilmu perubatan moden.
AL-QANUN FI AL-TIBB
Al-Qanun fi al-Tibb (Peraturan Dalam Perubatan) karya Ibnu Sina terdiri daripada lima bab. Bab pertama mengandubgi takrif yang digunakan dalam istilah perubatan. Bab kedua tentang petua penyembuhan yang ditulis mengikut abjad.
Bab ketiga memuatkan huraian pelbagai penyakit. Bab keempat mengulas penyakit dan kes- kes khusus dalam perubatan, seperti pembedahan dan keracunan. Bab kelima tentang ubat- ubatan dan beberapa terapi penyembuhan yang lain.
Al-Qanun fi al-Tibb sering dianggap sebagai ensiklopedia perubatan paling lengkap kerana memuatkan hamper semua jenis penyakit dan ubat- ubatan yang pernah diketahui manusia hingga zaman Ibnu Sina.
IBNU SINA
Tokoh lain yang juga berperanan penting dalam sejarah peubatan Islam ialah Ibnu Sina. Selain sebagai tabib, beliau juga dikenali sebagai ahli falsafah. Ibnu Sina memiliki karya besar yang mewakili dua disiplin ilmu yang didalaminya, iaitu al-Qanun fi al-Tibb dalam bidang perubatan dan al-Syifa’ dalam bidang falsafah.
Kedua-dua karyanya ini sama besarnya dan sama pentingnya dalam disiplin ilmu masing- masing. Kedua-dua karya ini jugalah yang menempatkannya sebagai ilmuwan terbaik dalam bidang perubatan dan falsasfah.
Ibnu Sina telah menulis tidak kurang daripada 100 buah buku tentang pelbagai disiplin ilmu, 16 buah daripadanya tentang perubatan. Karyanya yang paling agung dalam bidang perubatan ialah al-Qanun fi al-Tibb yang taraf popularitinya di Eropah hanya dapat disamakan dengan karya Galenus dan Hippocrates.
AL- TABARI
Pengarang besar pertama dalam perubatan Islam ialah Ali bin Rabban al-Tabari. Beliau menulis buku Firdaus al-Hikmah (Taman Hikmah) pada tahun 850.
Karyanya ini mempunyai nilai khusus dalam bidang patologi, famakologi dan diet, serta menggambarkan sifat sintesis aliran perubatan baru yang mulai muncul ketika itu. Selepas al-Tabari, kemudian lahirlah ratusan doktor dan ahli perubatan dalam Islam.
Catatan: Ibnu Fattah
Recent Comments