Resolusi RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibacakan Dr Syed Shahridzan Ben Agil (SUA Ilmuwan Ahli Sunah Wal Jamaah Malaysia) seperti berikut:

Pertama, akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang berlandaskan mazhab Asyairah dan Maturidiah adalah tonggak utama dalam memelihara kesucian Islam daripada ancaman pemikiran yang sesat. Oleh itu, usaha mempertahankan akidah ASWJ ini harus melampaui batasan sentimen politik kepartian, masalah peribadi di kalangan pendakwah serta perbezaan pandangan dalam hal-hal cabang (furu’).

Kedua, perbezaan pandangan di kalangan asatizah ASWJ, sama ada dalam cabang akidah, fiqh, atau tasawuf, mestilah diuruskan dengan penuh hikmah dan adab. Ini penting untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan ASWJ, yang boleh mencetuskan fitnah besar dan melemahkan ikatan persaudaraan sesama mereka.

Ketiga, agensi-agensi agama Persekutuan seperti Jakim, Jawi, TV Hijrah, Ikim, Yadim, dan lain-lain perlu berperanan dengan penuh komitmen dan menjiwai keputusan-keputusan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang disahkan oleh Majlis Raja-Raja. Ini penting untuk memastikan tiada perpecahan berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia, kerana agensi-agensi agama ini memainkan peranan yang signifikan dalam memberikan penerangan mengenai agama Islam.

Keempat, RUU Mufti Wilayah perlu diluluskan secepat mungkin di Parlimen memandangkan negeri Kedah telah lebih awal meluluskan Enakmen Mufti Dan Fatwa Negeri Kedah 2008. Bahkan, isi kandungan RUU Mufti tidak jauh beza dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003, Warta Kerajaan Sabah 2017, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 2020 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka Pindaan 2022. Wilayah Persekutuan tidak harus ketinggalan dalam usaha memartabatkan Islam melalui RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Kelima, RUU Mufti Wilayah tidaklah merendahkan kedudukan YDPA kerana fasal 4(1) menyebutkan ‘Mufti hendaklah membantu dan menasihati YDPA berkenaan semua perkara hukum syarak…’ Keadaan ini sememangnya telah dipraktik di seluruh negeri dalam Malaysia sejak dahulu. Tambahan lagi, Kertas Cadangan RUU Mufti telah mendapat perkenan YDPA pada 12 Mac 2024, hal ini bermaksud RUU Mufti ini telah dipertimbang oleh YDPA sebelum diperkenankan. Dakwaan bahawa RUU Mufti jika diluluskan akan memberikan kuasa mutlak kepada Mufti adalah tidak berasas sama sekali.

Keenam, RUU Mufti juga tidak mengganggu urusan orang bukan Islam, jauh sekali mengikat negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mufti Wilayah dalam RUU Mufti ini hanya terhad kepada urus tadbir fatwa, falak, penentuan arah dan lain-lain yang hanya berkait amalan orang Islam di Wilayah Persekutuan sahaja.

Ketujuh, RUU Mufti bukanlah suatu perkara baharu dalam negara kita. Ia penambahbaikan kepada akta sedia ada. Pengamalan sedia ada sebelum ini terbukti tidak mengganggu golongan bukan Islam atau hak negeri Sabah dan Sarawak. Justeru, tiada yang perlu dirisaukan golongan bukan Islam atau orang Islam di negeri-negeri lain.

Kelapan, agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri-negeri seperti Jakim, Jain, Jabatan Mufti mestilah dipelihara kesuciannya. Sebarang usaha untuk merendah dan memperolok-olokkan agenda agama mestilah diambil tindakan segera agar ia tidak merebak lebih parah.

Kesembilan, kerajaan perlu memandang serius perpecahan dalam kalangan ilmuwan Islam yang sering menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat. Kerajaan perlu berpandukan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah dan MKI bagi memastikan tindakan ilmuwan Islam berlandaskan kebenaran.

Sumber: alfalahmadani.my

Translate »