Pertubuhan politik-keagamaan bersifat rahsia yang berkembang di Basrah pada abad ke-4 Hijrah atau ke-10 Masihi dikenali dengan nama Ikhwan al-Safa (Persaudaraan Suci). Pertubuhan ini cuba mengembangkan pemikiran falsafah dalam rangka memperkukuh penerapan syariat Islam.
Bagi kumpulan ini, tidak ada pertentangan antara kebenaran akal (falsafah) dengan wahyu. Ikhwan al-Safa juga dikenali dengan beberapa nama lain: Khullan al-Wafa’, Ahl al-‘Adl, Abna’ al-HamddanAuliya’ Allah tetapi sering disebut dengan nama singkatnya: Ikhwanuna (Saudara Kita).
Ikhwan al-Safa dikenal secara meluas hasil daripada buku yang ditulis mereka, Rasa’ilIkhwan al-Safa, yang masih ada sehingga sekarang. Meskipun mendapat tentangan hebat daripada kumpulan Islam tertentu, namun mereka dianggap berjasa dalam mengembangkan falsafah dalam dunia Islam.
AKAL DAN WAHYU
Ada dua misi utama pertubuhan Ikhwan as-Safa yang saling berkaitan: pertama, memulihkan kembali badan utama Islam (umat) dengan meneguhkan semula etika Islam yang murni; dan kedua, memungkinkan terlaksananya syariat dengan menanamkan sikap rasional ke dalamnya agar tercapai kearifan dalam menjalankan perintah Allah s.w.t.
Menurut Ikhwan al-Safa, adanya dua cara (akal dan wahyu) untuk memperoleh keselamatan merupakan bukti kebaikan Tuhan. Kedua-duanya saling melengkapi.
Melalui akal, falsafah memberikan bukti tentang kebenaran, keyakinan dan kearifan; dan melalui wahyu, orang soleh akan memperoleh kecintaan Allah s.w.t serta meneguhkan ketaatannya kepada Allah s.w.t.
PENGARUH
Kumpulan Ikhwan al-Safa berpengaruh besar dalam memperkenalkan falsafah Yunani ke dunia Islam. Dalam usaha itu, mereka mendapat tentangan hebat daripada golongan yang cenderung menolak falsafah.
Para teologi (mutakallimun) yang menolak takwil berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, misalnya, cenderung menolak mereka.
SURAT IKHWAN AL-SAFA
Kitab Rasa’il Ikhwan as-Safa (Surat Ikhwan al-Safa) terdiri daripada 52 naskhah: 14 tentang matematik, 17 tentang ilmu alam serta fizik, 10 tentang epistemologi serta psikologi dan 11 tentang masalah agama serta ketuhanan.
Dalam bentuk lengkap, naskhah Rasa’il Ikhwan al-Safa terbit pertama kali di Bombay (1887-1889), kemudian Kaherah (1928) dan Beirut (1957).
SAUDARA (IKHWAN)
Menurut kitab Rasa’il Ikhwan al-Safa, Ikhwan al-Safa merupakan pertubuhan yang teguh dan mempunyai banyak anggota di merata tempat. Dalam kitab itu disebut, “Kami memiliki ikhwan (saudara) di kalangan orang terkemuka dan soleh di seluruh negara. Sebahagiannya terdiri daripada kerajaan, perdana menteri, gabenor, bangsawan, sasterawan, pedagang, ulama, ahli perundangan, pencipta kraftangan dan anak-anak mereka.”
Oleh sebab pertubuhan bersifat rahsia, maka pengajaran kepada pengikutnya pun dilakukan secara rahsia. Kitab itu juga menyebut bahawa dalam setiap golongan pengikut dihantar seorang akh (saudara, bentuk tunggal bagi kata ikhwan) yang terhormat dan bijaksana untuk memberikan bantuan serta nasihat.
Catatan: Ibnu Hayyan
Recent Comments