Abu Marwan bin Zuhr adalah seorang doktor tersohor di Andalusia dan dianggap di antara pakar kedoktoran / perubatan terkemuka di dunia sepanjang zaman. Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-A’la Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadi.
Beliau juga dipanggil dengan nama Al-Iyadi kerana nenek moyangnya berasal daripada Kabilah Iyad, sebuah kabilah Arab Adnaniyah. Di Eropah, beliau dikenali dengan nama Avenzoar.
Seorang orientalis Jerman, Carl Brockelmann, menyebut Ibnu Zuhr dalam bukunya Tarikh Al-adab Al-Arabiyah dengan nama Abdul Mulk bin Au Bakr bin Muhammad bin Marwan. Padahal sebenarnya ini adalah nama bapa Ibnu Zuhr.
Ibnu Zuhr berasal daripada keluarga yang kebanyakannya berkecimpung dalam bidang kedoktoran / perubatan. Bapa, anak lelaki, dan anak perempuannya bekerja sebagai doktor. Kedua-dua puterinya juga seorang doktor pakar perbidanan dan penyakit wanita. Keluarga besar Zuhr telah menetap di Syatibah, salah sebuah kota di Andalusia, semenjak abad kesepuluh Masihi. Antara abad kesepuluh hingga ke-13 Masihi, terdapat enam orang keturunan keluarga besar Bani Zuhr yang menonjol dalam kedoktoran / perubatan.
Abu Marwan Zuhr dilahirkan di Kota Banjalur, Andalusia, pada tahun 464 H / 1072 M. Sejarah kehidupannya lebih banyak dihabiskan di Seville. Pada awalnya beliau telah mengabdikan diri kepada Al-Murabithun, kemudian mengabdikan diri kepada Al-Muwahhidin.
Beliau telah menjadi doktor peribadi kepada Sultan Al-Muwahhidin, Abu Muhammad Abbul Mukmin bin Ali.
Segala hasil karya Ibnu Zuhr berbicara tentang ilmu kedoktoran / perubatan, yang ditulis dengan gaya bahasa ilmiah yang amat tinggi. Buku-bukunya dipenuhi dengan istilah-istilah ilmiah yang menunjukkan keluasan dan kedalaman pengalaman ilmiahnya. Gaya bahasa yang dipakai oleh Ibnu Zuhr merupakan gaya bahasa yang membuat pembacanya berasa senang, kerana bukunya dihiasi dengan hal-hal yang bersahaja dengan komentar-komentar yang membuat orang kadangkala tersenyum dan tertawa. Semua itu dicatatkan dalam bukunya berdasarkan pengalaman peribadi dalam dunia kedoktoran / perubatan .Di antara karya-karya penting Ibnu Zuhr ialah:
1) At Taisir Fi Al-Mudawalah Wa At-Tadbir
Di dalam buku ini beliau mengupas secara terperinci buku Al-Qanun karya Ibnu Sina dan Almilki karya Alibin Abbas Al-Majusi. Di dalam buku ini juga beliau membicarakan tentang gejala-gejala penyakit dalaman dan masalah pembedahan. Ibnu Zuhr membahagikan bukunya ini ke dalam tiga bahagian. Setiap bahagian berisi beberapa kajian dan setiap kajian itu juga membahas beberapa penyakit yang menimpa salah satu bahagian daripada organ tubuh atau bahagian tertentu daripada tubuh. Buku ini ditutup dengan suatu pembahasan yang dinamakannya “Aljami”, yang berisikan nama-nama atau alat-alat kedoktoran / perubatan, bimbingan khusus tentang meracik ubat-ubatan, dan cara pemakaiannya. Buku ini merupakan karya Ibnu Zuhr yang paling popular dan telah diterjemahkan oleh Barafisiyius ke dalam bahasa Latin pada tahun 1490 M. Kemudian buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa Eropah lainnya.
2) At-Taghdziah
Buku ini ditulis oleh Ibnu Zuhr atas perintah Sultan Al Muwahhidi, iaitu Abu Muhammad Abdul Mukmin bin Ali. Dalam buku ini beliau berbicara tentang makanan dan minuman dengan pelbagai ragamnya: makan, tidur, mandi, bersukan, dan prinsip-prinsip kesihatan yang bersifat umum.
3) Al-Iqtishad Fi Ishlah Al-Anfus Wa Al-Ajsad
Buku ini ia tulis sebagai persembahan untuk Sultan Al-Murabithun, iaitu Ibrahim bin Yusuf Ibnu Tasyfin.
4) At Ta’liq Fi Ath-Thib
Buku ini berisi nasihat-nasihat tentang ilmu kedoktoran / perubatan. Manuskrip buku ini terdapat di perpustakaan Tesytir Beti di Dublin, ibu negara Republik Ireland.
5) At Tiryaq As Sb’ini dan ringkasannya
Buku ini ia tulis untuk Sultan Muhammad Abdul Mukmin.
6) At-Tadzkirah
Buku ini memuatkan arahan, bimbingan dan panduan untuk anaknya dalam mempermudah aktiviti kedoktoran / perubatan. Buku ini sudah diterjemahkan dan dicetak dalam bahasa Perancis.
7) Al-Jami
Berbicara tentang minuman dan ubat yang digunakan dalam menyembuhkan penyakit.
Ibnu Zuhr berpendapat bahawa terapi terbaik untuk mengubati organ tubuh yang sakit adalah dengan merendam bahagian yang sakit itu ke dalam air yang dingin. Beliau juga dikatakan membius pesakit dengan cara meletakkan alat pembius di hidung dan di mulut pesakit ketika hendak dilakukan pembedahan.
Ibnu Zuhr meninggal dunia di kota Sevilla pada tahun 557 H / 1162 M dalam usia lebih 90 tahun.
Catatan: Ibnu Fayyad
Recent Comments