Pada 16 Oktober 2024, Astro Awani melaporkan bahawa Mufti Perlis mengkritik keras Menteri Agama kerana mensyaratkan akidah Asya’irah dan Maturidiyyah sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah. Pada pendapatnya, RUU Mufti Wilayah akan menjadikan keislaman seseorang di Wilayah Persekutuan tidak mencukupi sehingga dia beraqidah Asyai’rah, Maturidiyyah, serta bertasawuf mengikut Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali. Malah beliau juga mengatakan RUU ini akan mencetuskan sesat-menyesatkan, kafir-mengkafirkan antara umat Islam dalam negara.
Ingin saya memulakan dengan permohonan maaf kepada Sohibus Samahah Mufti Perlis, atas sebab tidak bersama dengan pendapat ini. Ianya tersasar dari konteks, seperti yang diterangkan oleh Tun Abdul Hamid Abdullah, di mana;
“Tafsiran “Ahli Sunnah Waljamaah” dalam subseksyen (4) adalah untuk tujuan seksyen itu, iaitu seksyen 3 berkenaan pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti. Tajuk seksyen itu adalah “Mufti dan Timbalan Mufti”. Seksyen itu bermula dengan kata-kata “Bagi maksud seksyen ini…”
Selepas itu diikuti pula dengan tafsiran kata-kata “Ahli Sunnah Waljamaah” itu. Ertinya, syarat yang disebut dalam tafsiran itu hanya terpakai bagi pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti.
Maaf kerana saya percaya, naratif dan persepsi seolah-olah negara akan terjerumus dalam perbalahan sektarian atas takrifan ini, sebenarnya adalah kenyataan yang boleh mencetuskan perbalahan. Punca utama adalah khilaf pendapat yang kemudiannya digunakan sebagai senjata untuk menyerang, memperkecilkan dan menghina pihak lain di platform media sosial atau podcast, merupakan punca utama perbezaan pendapat bertukar menjadi kebencian dan dendam. “Cherry-picking” atau memilih isu-isu tertentu, kemudian mengepilkannya kepada manhaj lain, sudah tentu mengundang reaksi yang negatif dari pihak tertuduh.
Maaf, tetapi saya juga faham bahawa untuk mendapat liputan media yang luas, perlu mengeluarkan kenyataan yang sensasi. Dengan keadaan umat Islam kita hari ini, algoritma media sosial dan peranan berita, optik menjadi komoditi yang sangat berharga dalam jual-beli perhatian audiens. Namun perlukah ilmuwan, agamawan, atau pemimpin mengambil kaedah ini untuk mengejar populariti? Adakah dengan memperlekehkan pengetahuan Menteri Agama, hujah Dato’ Mufti akan lebih kuat, atau hanya ad hominem? Seperti kenyataan Tun Abdul Hamid, “Hujah ilmiah hendaklah tertumpu kepada alasan-alasan yang menguatkan atau melemahkan sesuatu pendapat mengenai isu yang dibincangkan, bukan dengan menyerang peribadi orang berkenaan dan membuat tuduhan liar terhadapnya.”
Maaf kerana saya lihat bantahan Dato Mufti telah menjurus kepada serangan peribadi ke atas Menteri Agama, hinggakan beliau dijadikan watak penjahat dalam naratif yang dibina. Sedangkan ramai yang tahu bahawa usaha membawa RUU ini untuk dibahaskan adalah usaha kolektif, dari satu kepimpinan ke kepimpinan seterusnya. Tambahan lagi, Kertas Cadangan RUU Mufti ini telah dipertimbang dan mendapat perkenan YDPA pada 12 Mac 2024, menurut resolusi .
Maaf juga kerana saya keliru dengan kenyataan 97% penduduk Wilayah Persekutuan tidak mampu memahami aqidah Asya’irah Wal Maturidiyah. Apakah relevannya takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi kelayakan Mufti dan Timbalan Mufti Wilayah, dengan keislaman orang awam? Mengapa perlu kaitkan dengan orang awam dalam konteks RUU ini? Bahkan kenyataan yang ia akan bawa kepada budaya takfir, kafir-mengkafir, adalah generalisasi tersasar. Bolehkah orang awam generalisasi golongan Salafi-Wahabi senang mengkafirkan orang, atas tindakan kumpulan ISIS, JI dan Abu Sayyaf?
Akhir sekali, maaf kerana terlintas di dalam fikiran bahawa wujud agenda lain di sebalik bantahan ini, yang tidak berlandaskan logik dan fakta yang tepat. Kemudian ia disambut pula oleh para penyokong, dan digandakan kekeliruan awam, hingga hilang isu pokoknya. Menggunakan kaedah hinaan sambil melawak, bina persepsi dalam gurauan, hanya akan meruntuhkan sifat toleransi antara pihak yang berbeza pendapat. Adakah mereka ini bercita-cita untuk memegang jawatan Mufti Wilayah, tetapi tidak setuju dengan takrifan RUU tersebut?
Sepatutnya mereka duduk bersama-sama mufti-mufti yang ada diseluruh Malaysia mencari solusi bukan pergi kepada media atau ceramah pada orang awam dengan tujuan untuk sensasi isu tersebut.Inilah penganut aliran islah,tajdid yqang meruntuhkan sendi-sendi atau prinsip-prinsip usul dalam Islam yang pernah terjadi dalam tragedi kerosakan ummah dalam senjang sejarah Islam.
Dalam konteks RUU Mufti Wilayah, memartabatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu hal yang utama, namun tidak kurang pentingnya untuk memastikan institusi kefatwaan di Wilayah-Wilayah Persekutuan mempunyai wibawa tersendiri. Kritikan terhadap takrifan Ahli Sunnah Wal Jama’ah jika tidak diurus dengan baik dan beradab, disulam pula dengan persepsi takfir dan tabdi’, hanya akan memburukkan keadaan umat Islam pada hari ini.
Mungkin sudah tiba masanya untuk menggerakkan kembali intelek masyarakat awam, dengan pendekatan Naqli berasaskan wahyu dan pendekatan Aqli yang rasional. Penerapan ilmu Naqli dan Aqli sangat penting agar generasi muda dapat menghayati agama Islam dengan berkesan. Hasilnya, orang awam dapat mengamalkan pengetahuan di dalam kehidupan seharian mereka, dan menjauhi fahaman yang masih tersekat dalam kejumudan.
Sumber: alfalahmadani.my
Recent Comments