Cadangan mewajibkan Sijil Halal ke atas semua premis perniagaan makanan (restoran atau kedai makan) muncul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar memberikan reaksi terhadap kemusykilan warganet terhadap status halal makanan yang dijual di enam buah enam rangkaian kedai makanan. Cadangan itu kemudiannya disambut oleh Ahli Parlimen Seputeh melahirkan ‘suara kebimbangan’ jika ia dikuatkuasakan kerana ia dianggap sebagai tindakan yang membebankan para peniaga, terutama penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.
Bagi sesebuah restoran, kedai makan atau kiosk penjaja kecil, walaupun dipamerkan pelekat “No Pork No Lard’, ia masih belum menandakan makanan itu halal untuk dimakan oleh umat Islam. Status halal, bukan hanya bergantung kepada tidak menggunakan bahan-bahan mentah yang diharamkan, bahkan ia meliputi kaedah memproses sehingga terhasil makanan siap dimakan dan juga aspek-aspek lain seperti cara penyimpanan bahan mentah, kebersihan dapur, peralatan memasak, membersihkan bahan mentah dan yang lebih penting ialah bagaimana bahan mentah itu (seperti daging) itu diperoleh (cara penyembelihan).
Binatang ternakan yang halal dimakan (lembu, kambing, biri-biri, ayam, burung merpati, arnab dan sebagainya), jika tidak disembelih menurut syarak, ia tidak halal dimakan oleh umat Islam. Syarak menetapkan, hendaklah dipotong dengan alat yang tajam (dibahagian halkumnya) yang dapat mengeluarkan darah dan memutuskan urat pernafasan (bukan seluruh lehernya sehingga terputus), dan disembelih oleh orang Islam serta disunatkan dimulakan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim dan berselawat. Ia bukan disembelih dengan mengetuk kepala sehingga mati atau sekadar mencucuk benda tajam di leher untuk mematikannya.
Polemik Sijil Halal
Namun, dalam dua situasi serang menyerang itu, muncul lagi satu serangan yang dilihat tidak memahami makna antara ‘cadangan’ dan ‘dasar’ (Malaysiakini, 9 September 2024). Cadangan masih merupakan idea, ia belum berkembang menjadi sebuah keputusan yang bersifat mandatori, walaupun cadangan itu mempunyai bentuk mandatori ke atas semua premis perniagaan makanan bermasak. Dasar merupakan suatu keputusan yang mempunyai kuasa undang-undang, perlu melalui proses yang panjang sehingga ia boleh dikuatkuasakan.
Bila dikuatkuasakan, setiap pihak yang berkaitan akan ada prosedurnya. Bagi pemilik atau pengusaha kedai makanan, ia adalah mandatori untuk mendapatkan Sijil Halal. Sijil Halal itu akan dikeluarkan setelah semua prosedur dipenuhi dan sekiranya berlaku ketidakakuran (pelanggaran), ia boleh ditarik balik dan pengusaha kedai makanan boleh didakwa berdasarkan peraturan (undang-undang) yang digazetkan secara sah.
Persoalan kedua ialah adakah menjadi kesalahan bagi seorang menteri untuk mengumumkan sesuatu perkara atau cadangan tanpa mendapat persetujuan Jemaah Menteri terlebih dahulu? Jawabnya, ia bukan sesuatu yang bersifat mandatori. Jika itulah syaratnya, bermakna sifat dan sikap yang harus ada ialah tidak bercakap apa pun selagi tidak mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Apa akan jadi akhirnya? Apakah menteri itu hanya ‘rubber stamp’; tidak mempunyai ruang untuk menjawab sesuatu isu yang muncul, kecuali setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Dr Mohd Naim hanya memberikan cadangan berdasarkan peranan dan tanggungjawabnya dalam kapasitinya sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, bukannya, menjawab hal-hal yang di luar portfolionya.
Ketiga, Adakah Menteri Hal Agama tidak bersikap jujur apabila memberikan cadangan tersebut? Yang jelas ialah Dr Mohd Naim cukup jujur bila memberikan cadangan sedemikian bagi menghapuskan rasa was-was umat Islam untuk memilih menu di premis makanan yang tertulis “No Pork No Lard”, kerana status makanan yang disediakan belum boleh diterima sebagai halal. Lainnya, sekiranya semua restoran atau pengusaha kedai makanan mempunyai Sijil Halal yang sah, ia akan dikunjungi oleh umat Islam tanpa was-was dan ini akan menunjukkan makanan yang disediakan tidak diragui halalnya.
Jadi, dalam isu Sijil Halal, ia tidak merugikan pemilik atau pengusaha premis makanan. Ia akan meningkatkan bilangan pelanggan, dan ia tidak akan diragui oleh pelancong-pelancong dari negara-negara Islam yang rigid dengan persoalan makanan halal. Jika pun mereka itu bukan pelanggan yang sensitif dengan status halal, ia turut mendapat manfaatnya kerana sesuatu yang halal itu dijamin bersih dan suci daripada unsur yang tidak menyihatkan.
Jika ingin berdebat berdasarkan persepsi, tidak ada penghujungnya. Jika memberikan pandangan dianggap sesuatu yang ‘tidak betul’ dan ‘tidak sepatutnya’ (mendahului Jemaah Menteri) ia bukan kaedah pengurusan yang boleh dipanggil “open leadership” dan “empowerment”. Ia dilihat seperti sebuah delusi dalam sebuah sistem politik yang terbuka dan partisipatif. Hadnya tetap ada, ia tertakluk kepada kenyataan-kenyataan yang kontradik ataupun yang konflik dengan sesuatu dasar.
Cadangan ‘mewajibkan Sijil Halal’ harus dilihat sebagai suatu cadangan untuk membaiki kelemahan-kelemahan yang berlaku dan mengatasi pelbagai masalah yang muncul apabila peniaga tidak jujur dalam perniagaannya. Sering menggunakan frasa yang mengelirukan dan mencuba pelbagai strategi untuk menormalisasikan sesuatu kepatuhan diri seseorang.
Sering berlaku promosi yang tidak menepati etika perniagaan, kerana matlamatnya adalah jelas, mencari keuntungan yang tinggi dengan menggelecek fobia sesuatu kelompok. Banyak contoh yang kita dapati, banyak percubaan yang kadangkala umat Islam sendiri kurang peka, dan akhirnya timbul penyesalan setelah semuanya terbongkar.
Teresa Kok Yang Kontroversi
Teresa Kok adalah bekas Menteri Industri Perladangan dan Komoditi antara tahun 2018-2020, yang sangat diingati oleh rakyat Malaysia di atas cadangannya, menanam buluh bagi menggantikan kelapa sawit. Ketika itu, harga kelapa sawit cukup rendah, bahkan ada frasa sinis mengenainya: Lebih mahal belacan daripada kelapa sawit. Teresa juga diingati kerana tidak menggunakan minyak sawit sebagai minyak goreng, sebaliknya menggunakan minyak sayuran. Namun, setelah jadi menteri, pandai pula berkempen agar setiap rakyat Malaysia menggunakan lebih banyak minyak sawit, dalam sandiwara “Sayangkan Minyak Sawit’.
Kali ini, Teresa menimbulkan keluhannya, jika Sijil Halal diwajibkan, ia akan membebankan para peniaga –terutama penjaja kecil – kerana proses dan yuran mendapatkannya bukan mudah dan percuma. Ia melibatkan kos yang tinggi, dan menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, yang pernah mengusahakan perniagaan restoran, ia sedikit rumit dan buat masa ini, Sijil Halal tidak perlu. Jika sesebuah restoran atau premis makanan, pembekal barang dapur mempunyai Sijil Halal, ia merupakan satu kelebihan. Orang Melayu-Islam tidak was-was untuk membeli barangan tersebut.
Isu Sijil Halal timbul apabila tular sekeping surat yang menggunakan Letterhead JAKIM menyatakan enam buah restoran berangkai: Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgabi dan Bungkus Kaw Kaw tidak memiliki Sijil Halal. Dalam jawapan Menteri di JPM, tidak semua premis perniagaan jenama itu mempunyai Sijil Halal
Kemudian, Dr Mohd Naim Mokhtar memberikan cadangan, akan diwajibkan semua restoran mendapat Sijil Halal. Teresa ‘tidak setuju’ sebabnya “membebankan’. Komen Teresa itu menjadi semakin berkembang sehingga ada pihak membuat laporan polis. Polis kemudiannya, memanggil Teresa untuk dirakamkan keterangan. Muncul pula penyokong-penyokong Teresa di Bukit Aman bagi menggambarkan cukup bersoladiriti. (Malaysiakini, 9 September 2024).
Bagi Teresa, kenyataannya tidak salah, dan atas pendirian itu beliau memberikan pula komen, pihak polis tidak sepatutnya menyiasat. Apakah pendirian Teresa itu tepat? Polis memanggilnya ke Bukit Aman untuk ‘mendapat maklumat’ mengenai kenyataannya, sama ada benar atau tidak laporan-laporan yang telah dibuat sebanyak lima laporan kesemuanya. Polis hanya mahu mendapat pengesahan, pengesahan berdasarkan peraturan-peraturan yang sedia ada dan berkuatkuasa itu sahaja. Jika didapati melanggar atau boleh disabitkan, ia mungkin boleh didakwa. Jika didakwa sekalipun, ia belum bermakna Teresa bersalah. Beliau masih diberikan peluang untuk ‘membela diri’.
Bagi pihak polis, apabila menerima Laporan Polis, pihaknya perlu menyiasat dan mendapatkan bukti. Setelah laporan siasatan disiapkan, pihak polis akan menyerahkannya kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan, sama ada didakwa atau tidak. Maknanya, proses tersebut boleh jadi panjang atau pendek. Ia bergantung kepada bagaimana serius atau tidak pelanggaran itu berlaku.
Sejarah Produk Halal
Proses memberikan Sijil Halal di Malaysia terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Menurut rekod, pensijilan halal (dan Logo Halal) mula diperkenalkan tahun 1994, manakala pemeriksaan (pengauditan) dimulakan tahun 1998. Syarikat Ilham Daya dilantik untuk melaksanakan prosedur pengauditan sebelum JAKIM membuat keputuan untuk mengeluarkan Sijil Halal.
Sebelumnya, pensijilan halal pertama kali diperkenalkan tahun 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan diikuti oleh JAKIM tahun 1974, setelah ditubuhkan Pusat Penyelidikan Bahagian Hal Agama Islam. Tahun 1994, Pusat Penyelidik diberikan peranan sebagai badan penyelaras dan pengawal selia produk halal, dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
November 1992, Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam, ditubuhkan dibawah JAKIM dan mula beroperasi pada 16 Januari 2003. Bermula dari situ satu keputusan dibuat, semua pengurusan halal dilaksanakan oleh JAKIM dengan penggunaan logo baharu. Pada 1 November 2005, Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam ditukar kepada Bahagian Hab Halal.
Ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pemain industri, kesedaran umat Islam terhadap produk halal, ekonomi global yang mula memikirkan piawaian kebersihan dan kesucian makanan (dan produk), pengeluaran pensijilan halal diserahkan kepada Halal Industry Corporation Sdn Bhd (HDC) tahun 2008. Namun, atas beberapa masalah, urusan pensijilan halal dikembalikan kepada JAKIM mulai 1 Ogos 2009.
Bagi memenuhi tuntutan yang semakin bertambah, JAKIM mewujudkan dua seksyen di Bahagian Hab Halal, iaitu (1) Urusetia Majlis Halal Malaysia (MHM), yang berfungsi sebagai mengurus pensijilan halal dan penguatkuasaan status halal; dan (2) Bahagian Pengurusan Halal (operasi pensijilan halal, pengauditan, pengesahan rumah sembelih di dalam dan di luar negara, penguatkuasaan halal dan analisis halal).
Ketika ini, tidak semua pengilang makanan, pengeluar makanan, pengusaha barangan (produk) dan perkhidmatan memiliki Sijil Halal. Namun, kerana adanya tekanan-tekanan tertentu, ada pemilik premis perniagaan tidak jujur, mempamerkan Sijil Halal palsu atau Logo Halal yang tidak diiktiraf oleh JAKIM. Akibatnya, masyarakat awam mempersoalkan kesahihannya. Apabila isu itu timbul, JAKIM wajib bertindak dan mengeluarkan kenyataan sama ada betul atau tidak.
Inilah yang berlaku apabila sekeping surat yang mengatakan bahawa enam restoran terbabit tidak mempunyai Sijil Halal, sebaliknya, ada sebahagian rangkaian makanan itu mempunyai Sijil Halal dalam kategori tertentu dan hanya disahkan halal di peringkat tertentu. Ia tidak memberikan makna, semua cawangan itu sah halal, sebagaimana pada tanggapan sesetengah orang. Sebabnya, Sijil Halal itu hanya sah digunakan di premis yang sudah diperiksa, diaudit dan dikawal selia oleh JAKIM
Beban Kepada Peniaga
Atas kebimbangan tersebut dicadangkan kemungkinan semua restoran, kedai makanan, kedai kopi dan sebagainya diwajibkan mempunyai Sijil Halal, maka itulah Teresa Kok menyuarakan pandangannya, akan membebankan para peniaga, terutama peniaga bazar, pasar malam, peniaga tepi jalan, car boot sale, lunch box (homemade) dan sebagainya.
Katanya, kos mendapatkan Sijil Halal ‘mahal’ dan proses untuk mendapatkannya mengambil masa, mematuhi prosedur. Ia memerlukan perbelanjaan yang besar, termasuk menyediakan tempat memasak (bukan sahaja hygienic, bahkan bersih, tidak bercampur bahan mentah halal dan tidak halal, serta kefahaman tukang masak mengenai halal).
Apa pun alasan Teresa Kok, ramai yang memberikan reaksi ‘tidak bersetuju’ walaupun Setiausaha Agung DAP menyatakan itu adalah pandangan peribadi, bukan mewakili parti dan tidak melanggar undang-undang. Benar, pandangan Teresa Kok tidak melanggar undang-undang, tetapi kenapa perlu bersuara sebegitu. Ia seolah-olah berusaha menambahkan lagi ‘luka orang Melayu’ kerana beberapa hari sebelumnya telah ‘menolak cadangan pembinaan Residensi Suria Madani’ di Seputeh.
Alasannya. Ia akan menambahkan lagi kesesakan dan kepadatan penduduk. Memang semua orang tahu, Seputeh merupakan kawasan yang terpadat di Kuala Lumpur. Ada seramai 322,511 penduduk dan 10,404 orang sekilometer persegi. Ia melepasi purata kepadatan Kuala Lumpur, iaitu 8,519 orang setiap satu kilometer persegi,
Segelintir pihak melihat ‘penolakan’ itu berunsur politik, yakni sebahagian penduduk nanti akan melibatkan orang Melayu, sedangkan dalam fikiran bukan Melayu, Seputeh sepatutnya kekal sebagai dominasi bukan Melayu. Akibatnya, ‘penolakan’ itu dianggap bersifat politik, seperti juga pandangan Teresa Kok berkaitan mewajibkan Sijil Halal. Majlis pecah tanah Residensi Suria Madani telah berlangsung pada 29 Ogos 2024 oleh Perdana Menteri dan Teresa Kok turut hadir.
Teresa cadangkan projek itu dipindahkan ke tempat lain. Sebabnya, Seputeh sudah terlalu padat. Pada fikiran Teresa, cadangan itu tidak bermakna beliau menentang Residensi Suria Madani. Alasannya, biarpun dinafikan ‘menentang’, secara tidak langsung merefleksikan tidak setuju, dibina di Seputeh, tempat lain OK. (Malaysia Gazette, 1 September 2024; dan Malaysiakini, 30 Ogos 2024).
Ekonomi Halal
Berkenaan halal, kesedaran masyarakat global semakin meningkat untuk mendapatkan produk halal bagi kegunaan keluarga di seluruh dunia, terutama dalam kalangan negara-negara majoriti Islam dan juga negara minoriti Muslim. Walaupun tidak banyak premis perniagaan halal di negara berkenaan (bukan majoriti Islam), sekurang-kurangnya ada seksyen yang meletakkan tanda halal, atau mempamerkan produk halal.
Secara globalnya, nilai pasaran produk dan perkhidmatan halal dijangka mencecah AS$ 5 trilion (RM 21.6 trilion) pada tahun 2030, yakni enam tahun lagi. Menurut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Malaysia dikenali sebagai peneraju industri halal global, menetapkan standard kecemerlangan dan inovasi yang menjadi penanda aras (benchmarking). (Berita Harian, 8 September 2024).
Oleh itu, MATRADE menafikan bahawa dengan memperoleh Sijil Halal ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada pengeksport. Itu adalah pandangan yang berdasarkan logik budaya, sebaliknya, produk halal akan mudah dieksport ke negara-negara Islam, terutama Timur Tengah. Jika syarikat dikatakan terbeban dengan prosedur mendapatkan Sijil Halal, bererti syarikat itu belum bersedia untuk berganjak daripada amalan tradisinya. Ini akan merugikan mereka sendiri. Produk tersebut tidak diterima dalam kalangan negara-negara majoriti penduduk Islam.
Prosedur dan kawalan halal yang diamalkan oleh Malaysia mendapat pengiktirafan daripada banyak negara, termasuk dalam kalangan negara bukan Islam. China, Thailand dan beberapa negara pengeluar produk makanan sedang berusaha menjalin kerjasama untuk mengukuhkan produk mereka dalam pengesahan halal. Ini kerana mereka melihat potensinya adalah cukup besar.
Dalam pasaran domestik, dengan mempunyai Sijil Halal dan mempamarkan Logo Halal dipembungkus produk ia akan menarik pembelian oleh umat Islam sebagaimana yang diharapkan. Umat Islam merupakan penduduk majoriti Malaysia (sekitar 64 peratus). Ini bermakna, pembeli dalam kalangan umat Islam adalah besar berbanding bukan Islam. Oleh itu, kerana memerlukan sokongan umat Islam, para peniaga hendaklah jujur mengenai status halal yang mereka tunjukkan. Pengeluar produk atau peniaga yang cuba ‘menipu’, lambat laut akan dikenakan tindakan undang-undang dan ini akan menjejaskan perniagaan mereka.
Sayang sekali, penggunaan Logo Halal sepatutnya dipastikan boleh disemak secara dalam talian dengan mudah, sama ada menggunakan QR code atau nombor siri pengesahan Sijil Halal sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Apabila sesuatu produk (ubat-ubatan), kosmetik, ubat tradisional diluluskan, ia boleh disemak dengan menggunakan nombor notifikasi. Ia sedikit sebanyak dapat mengelak daripada tertipu oleh dakwaan dan promosi para penjual.
Jika pengguna merasakan ‘was-was’, sebelum membeli mereka boleh membuat semakan dengan cepat dan mudah bila mempunyai nombor pengesahan atau QR code. Begitu juga bila sesuatu produk telah ditarik balik status halal atau tamat tempoh. JAKIM harus memikirkan ke arah itu, demi menjaga umat Islam daripada mengambil bahan-bahan yang terlarang atau tidak halal.
Halalan Toyyiban
Bagi umat Islam, konsep halalan toyyiban menjadi rukun dalam mendapat dan menggunakan sesuatu produk, kerana mereka percaya, dengan mengambil makanan (produk) halal, ia akan melahirkan insan berjiwa murni, hati yang bersih dan minda yang sihat (sihat fizikal dan pemikiran). Mengambil makanan, sama ada sebagai pengguna mahupun penyedia makanan (penjual) termasuk dalam amal ibadah.
Bagi penggunaan diri, ia dianggap sebagai fardhu ain, manakala sebagai penjual, ia dalam kategori fardhu kifayah atau muamalat. Dalam konteks Islam, ibadat bukan hanya sembahyang, berpuasa, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah, ia meliputi apa yang kita makan, apa yang kita jual, apa yang kita pakai dan guna, interaksi sesama manusia berbuat baik dan mencegah kemungkaran, dan urusan dalam kehidupan (berpasangan, berkeluarga, mendidik dan mengasuh anak-anak, hubungan sosial dan sebagainya).
Dalam hal makanan, al-Qur’an memberikan kebebasan untuk mengambil apa sahaja jenis makanan yang ada, tetapi dengan syarat, ia adalah halal (halal toyyiban) dan tidak berlebihan atau mengikut jejak syaitan. Allah SWT berfirman, dengan maksud, (surah al-Baqarah ayat ke-168):
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata.”
Dalam mentafsirkan ayat tersebut, Ibnu Katsir mengatakan bahawa urusan makan dan minum orang yang beriman termasuklah hal-hal berkaitan tempat makanannya, atau lokasi perniagaan dan bekerja. Turut diterangkan, daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada Sa’ad bin Abi Waqas RA agar memelihara makan dan minum: Sesungguhnya Allah tidak akan menerima doanya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya. (Riwayat al-Tabrani).
Itu dalam pesanan yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam dalam diri masing-masing, kerana apa yang kita makan dan minum akan membolehkan kita membesar, sihat dan dilihat perkasa (secara fizikal kerana ia menumbuhkan daging). Atas sebab itulah para ulama berijtihad untuk menyenaraikan apa yang dibolehkan (halal) dan juga yang wajib dihindari (haram).
Umat Islam diharamkan memakan bangkai (binatang yang telah mati, tidak disembelih menurut syarak); binatang yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit (antaranya, babi, burung-burung liar, binatang buas dan pemakan bangkai, ikan dan makanan laut yang beracun); tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan (mengandungi bahan kimia, mendatangkan alergik dan yang hidup di dua alam); produk yang mengandungi gelatin (daripada binatang yang tidak halal dimakan dan disembelih menurut syarak); berpakaian yang tidak menutupi aurat (ketat tapi telanjang, kain yang nipis dan melekat di badan sehingga menampak sosok badan, memancarkan ‘cahaya’ atau blink-blink dan inside out); dan hubungan sosial yang tidak menepati syarak (pergaulan bebas, pasangan hidup serumah tanpa perkahwinan dan bukan muhrim, menipu, mencuri, dan sebagainya).
Persoalkan Kewajaran
Kesemua larangan itu adalah demi untuk kebaikan manusia – hati, jiwa, fikiran, fizikal dan kemasyarakatan – kerana manusia diberikan akal fikiran untuk menjalani proses kehidupan beradab dan bertatasusila. Ertinya, jika mengambil makanan dan minuman yang diharamkan, ia akan mempengaruhi emosi, jiwa dan fikiran seseorang. Dari situ akan timbul pelbagai penyakit, penyakit fizikal, mental dan kebejatan sosial yang boleh meruntuhkan nilai dan martabat diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Atas sebab itulah apabila seseorang mempermainkan isu halal untuk kepentingan tertentu, umat Islam akan bangkit mempersoalkan kewajarannya, terutama apabila bukan Islam mempertikaikan penggunaan Sijil Halal. Sijil Halal bukan wajib, tetapi ia membantu seseorang untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang tidak memudaratkan sama ada daripada perspektif akidah mahupun kesihatan diri.
Sensitiviti Tercabar
Nampaknya, kontroversi pendirian peribadi Teresa Kok, walaupun dipertahankan tidak melanggar undang-undang, akan menyebabkan sensitiviti umat Islam tercabar. Ini menyebabkan ada pihak melihatnya berunsur politik. Teresa Kok dilihat seolah-olah ‘membela’ peniaga bukan Islam yang turut membenarkan umat Islam membeli makanan yang mereka sediakan, yang tidak diketahui status halal dengan jelas (bahan mentah dan cara memprosesnya, termasuk ramuan-ramuan yang digunakan). Oleh kerana itu, ada yang mengesyorkan, jika untuk mendapatkan Sijil Halal adalah ‘beban’, dicadangkan supaya semua premis perniagaan bukan Islam meletakkan pelekat “Makanan Tidak Halal” atau “Dilarang Umat Islam Membeli dan Memakan Makanan di Premis Ini”.
Ia seperti larangan umat Islam agar tidak menggunakan khidmat Rumah Urut, Sauna yang disediakan oleh bukan Islam atau menggunakan pekerja berlainan jantina sebagaimana pernah dikuatkuasakan pada suatu ketika di hotel dan rumah-rumah urut. Kita juga mungkin merasa lebih selesa jika peniaga bukan Melayu, yang enggan mendapatkan Sijil Halal jujur bila berurusniaga, menjual produk dengan memberitahu bahawa ia dibuat oleh bukan Islam, status halalnya tidak dapat dipastikan.
Saya teringat kepada ahli rombongan yang mengunjungi Beijing sekitar tahun 2006/2007, bagaimana nak mengenlpasti sesebuah restoran itu menyediakan makanan halal atau tidak. Sebelum berangkat, kami diberitahu hanya boleh masuk ke restoran yang menggantungkan tanglung berwarna hijau. Jika restoran itu menggantungkan tanglung berwarna merah, ertinya makanannya adalah tidak halal. Ramai juga yang was-was walaupun masuk ke restoran yang menggantung tanglung berwarna hijau.
Secara seloroh, salah seorang daripada kami menjawab, untuk atasi was-was tersebut, mintalah pada pekerja untuk bersyahadah, termasuk tukang masak. Sanggupkah anda berbuat demikian jika masuk ke restoran nasi kandar, biarpun ada hiasan dinding berhampiran kaunter mempamerkan ayat-ayat al-Qur’an.
Ertinya, jika premis perniagaan di Malaysia mempamerkan Sijil Halal yang sah, ia akan membantu umat Islam untuk melangganinya, dan akan membesarkan pendapatannya. Sebab itulah Teresa Kok, atau bukan Islam tidak perlu ‘marah’, ‘melenting’ ataupun memberikan reaksi seperti ‘menolak’. Dengan memberikan reaksi terbuka sebegitu, ia akan menimbulkan tafsiran yang juga negatif, termasuk cuba dikaitkan dengan 3R.
Oleh kerana rasa tidak setuju dibuat secara terbuka, pihak polis telah membuka kertas siasatan. Dilaporkan, PDRM telah menerima lima laporan berhubung pendirian Teresa Kok membabitkan isu Sijil Halal. Oleh kerana itu, Teresa Kok tidak harus mempersoalkan tindakan polis memanggilnya untuk dirakamkan kenyataannya (10 Septermber 2024). Soalnya, apakah Teresa Kok akan dihadapkan ke mahkamah atau tidak, ia bergantung kepada laporan siasatan dan keputusan Jabatan Peguam Negara.
Tanggungjawab Sosial Korporat
Apa pun, umat Islam di Malaysia sangat mengharapkan JAKIM akan dapat mengotakan atau meneliti cadangan itu dengan serius. Jika premis atau pengendali makanan (kiosk, foodtruck, car boot sale, penjaja pasar malam dan sebagainya) tidak mampu ‘membayar fee’ untuk mendapatkan Sijil Halal. JAKIM perlu memikirkan bagaimana untuk melaksanakannya, termasuk dengan memberikan subsidi atau potongan khas.
Jika ini boleh dilakukan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial (corporate social responsibility), ia adalah satu keputusan yang sangat wajar dan dapat menyerlahkan pelaksanaan syiar Islam dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Ia akan membolehkan Malaysia dipandang ‘melaksanakan syariah’ dari perspektif makanan dan produk halal secara meluas, bukan hanya oleh peniaga besar dan pengeksport sahaja.
Ia dilihat “membumi” oleh seluruh rantaian perniagaan – kecil, sederhana dan besar – yang suatu ketika Malaysia dikenali kerana berjaya memulakan inisiatif membina skala Indeks Syariah Malaysia (ISM, selepas 2018, sepi tanpa berita) dan akan dilihat sebagai mercu tanda baharu dalam penghayatan Islam.
KAMARUN KH
Recent Comments