Titah Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah: “…saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentiment #R (raja, agama dan kaum).” Maknanya, mempersoalkan keputusan yang telah dibuat berdasarkan kuasa budi cara dalam menyelesaikan kemelut tersebut, ia seumpama satu bentuk penghinaan.

Ini kerana, keputusan tersebut bukanlah keputusan peribadi Sultan Abdullah (SPBYDA ke-16), ia adalah keputusan yang turut diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, dan dilatari oleh kesahihan undang-undang oleh pakar undang-undang. Mereka turut memberikan pandangan dan nasihat sehingga kerajaan perpaduan telah berjaya dibentuk dengan Anwar Ibrahim sebagai penerajunya.

Ertinya, jika Muhyiddin mempersoalkan kenapa dirinya tidak dipanggil mengangkat sumpah, Anwar Ibrahim juga boleh persoalkan kenapa Muhyiddin, dengan kuasa budi bicara SPBYDA diputuskan mengangkat sumpah selepas berlakunya perundingan apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan.

Itulah yang setiap daripada kita, sebagai rakyat yang boleh berfikir dan tidak mengambil pendirian berdasarkan manipulasi situasi dan persepsi yang semakin berkuasa di era post-truth perlu melihat secara waras, bukan mempercayai mereka yang dilihat cukup kuat elemen toksik dalam pemikiran politiknya.

Kita mungkin akan kembali merujuk kepada bagaimana Donald Trump yang kalah dengan Joe Biden berusaha melakukan apa sahaja tindakan demi menghalang lawannya mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46. Antara dakwaannya ialah berlakunya manipulasi pengundian di beberapa electoral, dan seterusnya menggerakkan demonstrasi di Capitol Hill. Namun, semua tindakan itu gagal, sebaliknya, Donald Trump semakin terpaksa menunggu selama empat tahun untuk melakukan cabaran sekali lagi.

Pilihan Raya Presiden yang akan diadakan pada 4 November 2024 menjadi medan buat Donald Trump sama ada rakyat Amerika Syarikat bersedia menerimanya atau memberikan kemenangan kepada Kamala Haris, yang mungkin mencipta sejarah sebagai Presiden Amerika Syarikat wanita pertama dan orang pertama keturunan India-Amerika Syarikat berjaya menghuni Rumah Putih.

Seharusnya, Muhyiddin tidak memperbodohkan rakyat dan berikan peluang kepada kerajaan perpaduan untuk membina Malaysia keluar daripada ‘kepongan COVID-19’ sepenuhnya, dan menjana ekonomi semula. Namun, setelah berlaku beberapa perkembangan positif, Muhyiddin mula rasa bimbang dan cuak, peluangnya tidak akan menjadi lebih baik.

Apakah lagi rakyat masih mengingati apa yang berlaku sepanjang 17 bulan pemerintahannya, dan lebih menggerunkan, persoalan integiri yang sedang dihadapinya?.

Rakyat mungkin ingat rayuan Muhyiddin ketika kempen PRU ke-15, yang menyatakan pilihan raya tersebut merupakan peluang terakhir baginya. Jika Muhyiddin terus bermimpi untuk menjadi PM sekali lagi, mimpinya juga mungkin akan kandas, terkandas kerana PAS juga mempunyai calonnya yang pada pandangan umum lebih baik daripada dirinya. PAS sedang mempromosikan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, MB Terengganu.

Hal ini dapat kita telusuri semasa PRK Kemaman (2 Disember 2023), di mana PAS meletakkan beliau untuk bertanding. Dan berdasarkan gambaran yang ditonjolkan, Dr Ahmad Samsuri adalah pemimpin baharu PAS yang akan menjadi peneraju utama parti dan dilatih untuk membolehkannya menjadi PM sekiranya PAS mampu menang PRU seterusnya.

Ini membuktikan hubungan Bersatu dengan PAS ada ‘retak’ yang sedang menunggu ‘belah’. Selepas PAS menang di Kemaman, PAS mendepa kuasanya dalam PN, walaupun belum melakukan tekanan untuk mengubah kepimpinan PN, apabila memaksa Bersatu menerima cengkerangnya sebagai calon di DUN Nenggiri.

Kemungkinan-kemungkinan lain turut berlaku, termasuk ada percubaan PAS untuk melobi agar calonnya dipilih mewakili PN dalam PRK DUN Mahkota. Setakat ini, Amanah sudah memberikan harapan, akan menyokong calon BN (UMNO) biarpun pada awalnya, berhasrat bertanding di situ.

PH-BN berusaha untuk ‘tidak meretakkan’ kerjasamanya dalam kerajaan perpaduan walaupun ada cadangan agar gabungan tersebut meneruskan perjuangan secara solo daripada PAU 2024. Zahid sudah memberikan gambaran, bergerak secara solo setakat ini belum muktamad, kerana kemenangan di Neggiri belum cukup sebagai petunjuk yang BN, khususnya UMNO sudah pulih.

UMNO mungkin akan melihat semula dengan delusi politiknya apabila mengandaikan keputusan PRN Melaka dan Johor sebagai petunjuk sehingga dijangka mampu boleh menang pada PRU ke-15.

Sebaliknya, kemenangan BN semakin merosot berbanding keputusan PRU ke-14. UMNO hanya mampu menang 26 kerusi, dan UMNO menjadi sebuah parti yang kian kerdil dan tidak berdaya sehingga terpaksa berkongsi kuasa dengan musuh-musuhnya (DAP dan PKR).

Itulah politik, tiada sesuatu yang akan kekal selama-lamanya dan tidak ada kawan yang setia sepanjang hayat. BN hilang kawan, hanya masih kekal dengan parti-parti asal yang menubuhkan Perikatan (1955), UMNO-MCA-MIC.

Maknanya, Muhyiddin perlu memahami situasi itu, kerana PAS memang terkenal dengan kehendak politiknya yang kental mendominasi dalam mana-mana pakatan yang disertainya. Jika kedudukannya dilihat kurang kuat, maka dilakukan pelbagai tindakan untuk keluar. Juga apabila kedudukannya semakin kuat, PAS akan membuli rakan-rakan yang berkerjasama dengannya.

Sejarah telah memberikan kita kefahaman terhadap politik PAS, termasuk ketika bersama BN, APU, Pakatan Rakyat, mahupun Gagasan Sejahtera (singkirkan Ikatan bila tidak dapat menyumbang sebarang kerusi pada PRU ke-14).

Kemungkinan berkonflik dengan  Bersatu tetap ada, kerana kepimpinan Muhyiddin juga sedang dicabar dari dalam oleh sekelompok ‘katak politik’ yang menjadi sebahagian besar pemimpin pusat Bersatu.

Berkaitan dengan SD, pandangan Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, nampak benar bagaimana parti itu sedang menyebarkan falasi dan berusaha menormalisasikan kuasa budi bicara SPBYDA.

Dalam komen terbaharunya, ekoran pendedahan Zahid bahawa 10 SD yang ditandatangi oleh wakil rakyat BN ‘tidak sah’, Razali menyatakan: “Akuan Berkanun (SD) yang ditandatangani oleh semua ahli parlimen yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN)< Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 mempunyai klausa yang membatalkan semua perjanjian sebelum pilihan raya.” (Malaysiakini, 23 Ogos 2024).

Apa klausa itu? Tidak disebut dengan jelas klausa yang membatalkan semua perjanjian yang dibuat sebelum PRU ke-15. Apakah klausa itu merujuk kepada pindaan Perlembagaan Bersatu atau pandangan PM X terhadap Akta Anti Lompat Parti 2022, yang dikatakan ada kelemahan dan juga memungkinkan pelbagai tafsiran?

Saya tidak dapat menerimanya alasan tersebut jika ia dijadikan ‘terma rujukan’; kerana persoalan SD yang dibangkitkan itu sebelum berlakunya perihal ‘sokongan terbuka’ wakil rakyat Bersatu kepada PM X. Ia berlaku selepas beberapa bulan kerajaan perpaduan berjaya ditubuhkan.

Wakil rakyat pertama yang memberikan sokongan ialah MP Kuala Kangsar. Datuk Iskandar Zulkarnaian Abdul Khalid,12 Oktober 2023, diikuti Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, 30 Oktober 2023; Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, 7 November 2023; Jeli, Datuk Zahari Kecik, 8 November 2023; dan Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, 24 Januari 2024. Azizi merupakan penyandang dua kerusi, Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri.

Terakhir, ADUN Selat Klang, Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor membuat pengisytiharan menyokong kerajaan perpaduan pada 6 Mac 2024.

Bersatu mula tertampar telinga sendiri dengan keputusan Datuk Abdul Rashid kerana beliau sebelumnya ikut berkempen dalam PRK Kuala Kubu Baharu membantu meraih kemenangan buat DAP, sedangkan calon Bersatu dipilih untuk bertanding.

Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan pada 2 Mac 2024, dan ia kemudian diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tetapi ia hanya berkuatkuasa mulai 1 April 2024.

Ini bermakna, pindaan tersebut menjadi ‘tidak sah’ untuk memaksakan keenam-enam orang wakil rakyat Bersatu itu mengosongkan kerusi, sebabnya mereka tidak mengisytiharkan keluar parti, hanya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, hanya DUN Kelantan menerima permohonan Bersatu untuk mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong kerana Mohd Azizi dikatakan ‘berpaling tadah’. Persoalannya, bagaimana pula dengan keputusan yang pernah berlaku di Sabah apabila wakil rakyat Bersatu menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah?

Itu adalah percaturan yang tidak mahu dibincangkan oleh Bersatu, termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang juga merupakan ‘katak politik’, asalnya adalah daripada UMNO.

Setelah kalah pada PRU ke-14 kepada Datuk Rosol Wahid, Razali menyertai Bersatu. Rosol juga merupakan ‘katak’ daripada UMNO, di mana beliau mengisytiharkan keluar parti setelah UMNO hilang kuasa, dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaacob.

Razali kini ADUN Kijal dan menyandang jawatan sebagai EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah pimpinan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Razali menggantikan MP Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.

Wan Saiful meletakkan jawatan pada setelah dihadapkan dengan penggubahan wang haram dan rasuah membabitkan syarikat miliknya dalam lobi kontrak pembinaan jalan di Negeri Sembilan di bawah Projek Jana Wibawa.

Projek Jana Wibawa adalah inisiatif pentadbiran Muhyiddin untuk membantu kontraktor Bumiputera susulan pandemic COVID-19, dan mulai diperkenalkan pada bulan November 2020.

Setelah berubahnya kerajaan, Projek Jana Wibawa yang bernilai RM 5.7 bilion dibekukan untuk disiasat kerana ramai aktivis Bersatu dikatakan terlibat dalam proses pengagihannya kepada kontraktor. Beberapa orang aktivis Bersatu turut dihadapkan dengan rasuah dan salah guna kuasa dalam Projek Jana Wibawa, manakala Muhyiddin sedang berhadapan dengan kes menerima

Dua hari lalu (22 Ogos 2024) ada saksi menjelaskan bahawa Wan Saiful telah menerima wang sejumlah RM 49,000 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya oleh Penolong Pengurus Mayban Bukit Damansara, Fazilah Omar melalui sekeping cek bertarikh 25 Oktober 2022.

Wan Saiful berhadapan dengan tuduhan meminta rasuah dan menerima rasuah RM 6.96 juta antra 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu NepturisSdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road dari Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM 232 juta. (Malaysiakini, 21 Julai 2023).

Wan Saiful pernah membuat kenyataan bahawa tuduhan atau menggugurkan kes yang dihadapinya kerana mendakwa ada individu yang kononnya bertindak bagi pihak kerajaan untuk memfailkannya di mahkamah. Wan Saiful kemudiannya dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Parlimen dan akhirnya menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan sebelumnya adalah subjudis.

22 Julai 2024, Wan Saiful kehilangan isteri setelah Datin Alena Omar meninggal dunia akibat kanser usus.

Jadi, dalam isu integriti Bersatu memang cukup goyah. Daripada perspektif kepimpinan, Bersatu juga sudah goyah, tetapi ada formula sementara yang telah digunakan, termasuk cadangan melantik Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung Bersatu manakala Peja (Faizal Azumu) bersedia memberikan laluan kepada Hamzah Zainudin bertanding Timbalan Presiden Bersatu.

Ia bertujuan menyelesaikan kemelut dalaman, kerana Hamzah pernah dikatakan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan Presiden Bersatu. Pun begitu, Peja mula kepanasan selepas peranannya di Negeri Sembilan tidak menyerlah bahkan keinginan Bersatu memenangi lebih banyak kerusi terhalang, sedangkan prestasi PAS lebih baik.

Begitu juga dengan Azmin di Selangor. Bayangan pengaruhnya semakin memudar walaupun menang sebagai ADUN Hulu Kelang, tetapi tewas di Parlimen Gombak. Kegagalan Bersatu menguasai Selangor juga memberikan kesan buruk buat Azmin Ali, dan mungkin dalam PRU ke-16 imejnya dilihat bakal memudar.

Semua kemelut politik itu telah memanjang resah Bersatu. Dan, mungkin dalam resah itulah Muhyiddin semakin dilihat menjadi liabiliti buat Bersatu. Mohsin Abdullah dalam menulis: Pada hemat saya jika Muhyiddin pernah menjadi aset, kini beliau sudah menjadi liabiliti.

Maksudnya, Muhyiddin yang berhadapan dengan dakwan mahkamah di atas salah guna kuasa, dan terbaharu dengan ucapan yang dianggap mempertikaikan kuasa budi bicara SPYDA, menjadikan hubungannya dengan Istana Pahang dan Raja Pahang mulai keruh.

Akibatnya, jelas Mohsin Abdullah: “Seingat saya ini julung-julung kali seorang putera raja mengkritik lantang dan secara terbuka terhadap seorang pemimpin politik. Jelas ia mempunyai kesan bukan sahaja kepada Muhyididn tetapi juga kepada partinya dan gabungan politik yang dipimpinnya.

“Benar Muhyiddin sudah tampil berkata beliau tidak bermaksud hina institusi raja. Pada masa sama beliau tetap menegaskan ucapannya adalah ‘kenyataan fakta’. Terpulang interpretasi masing-masing namun biarlah polis menjalankan siasatan

Tambah Mohsin lagi: Walau apapun, apa yang didakwa diucap di Nenggiri dan penegasan apa yang diucap adalah ‘fakta’ memberi tekanan kepada Bersatu dan PN. PAS rakan kongsi Bersatu dalam PN setakat ini belum mengeluarkan reaksi rasmi. Memilih untuk mendiamkan diri.” (“Muhyiddin: Aset atau liabiliti”, (Free Malaysia Today, 21 Ogos 2024):

Secara jelasnya, PAS belum memberikan apa-apa ulasan mengenai dakwaan yang sedang Muhyiddin hadapi. Namun, Timbalan Presiden PAS hanya bercakap dalam konteks kesetiaan 17 wakil rakyat ADUN Pahang terhadap Sultan Pahang, dan secara tidak langsung, sokongan terhadap Muhyiddin sudah mula terjejas di Pahang.

Maknanya, tidak ada siapa lagi yang akan mempertahankan Muhyiddin jika orang akan mengecamnya, sekurang-kurangnya dalam kalangan wakil rakyat PN berhubung dengan isu tersebut.

Muhyiddin mungkin akan bersendirian, dan ia memberikan peluang untuk Hamzah Zainudin melonjak naik biarpun beberapa kenyataan cuba mempertahankan ‘fakta’ yang dianggap Muhyiddin sebagai ‘hal yang benar’.

Seorang lagi wartawan veteran, Hishamudin Aun menulis dengan kekalahan Bersatu di Nenggiri, Muhyiddin sedang dipersoalkan mengenai kepimpinannya:

Keadaannya mungkin tidak mudah buat Muhyiddin Yassin sejak beberapa hari ini kerana berhadapan siasatan polis berkaitan ceramahnya dalam kempen PRK Nenggiri minggu lalu yang didakwa menyentuh isu 3R. Dalam pada itu, presiden Bersatu itu juga tidak mampu terus berdiam diri terhadap pelbagai alasan kekalahan calon parti berkenaan yang didakwa mendedahkan perpecahan dalam parti.

“Menyusuli dakwaan Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri Annuar Musa bahawa lebih 2,000 penyokong gabungan itu tidak keluar mengundi, timbul juga dakwaan Bersatu terbahagi dua di antara Team A yang memihak kepada Muhyiddin dan Team B yang lebih cenderung kepada Azmin Ali hingga berlaku sabotaj.” (“Tambah pening Muhyiddin”, Free Malaysia Today, 21 Ogos 2024)

Ertinya, terlalu banyak masa yang menyebabkan bukan sahaja Muhyiddin ‘sakit kepala’, bahkan ramai pula pemimpin Bersatu terpaksa menanggung akibatnya.

Sakit kepala kerana dana parti dibekukan, pemimpinnya pula berhadapan tindakan mahkamah, arah haluan kepimpinan Muhyiddin semakin kalut dan hilang pedoman, maka tentunya, formula paling mujarab ialah ‘melanggar Muhyiddin’ sebagaimana Muhyiddin ‘melanggar Dr Mahathir’ dan “menyerang Najib’.

Muhyiddin sedang berhadapan dengan karma, walaupun beliau pernah menegaskan dirinya tidak akan terpalit dengan hal tidak baik kerana ‘anak tok guru’. Nampaknya, hubungan itu tidak menjadi penyebab Muhyiddin kekal sebagai aset Bersatu, kerana ada hal yang telah dilanggarinya. Akibat itu, karma sedang menghukum Muhyiddin, cuma bentuk dan keadaannya belum dimuktamadkan.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »