Di Malaysia, kuasa budi bicara SPBYDA (dan Sultan atau Raja) merupakan keputusan yang tidak boleh dicabar setelah semua proses perundingan diadakan.

Hakikatnya, Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah adalah SPBYDA ke-16 selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai SPBYDA ke-15.

SPBYDA ke-15, tidak berhadapan dengan kemelut politik yang memaksa ‘kuasa budi bicara’ sepenuhnya digunakan, kerana keputusan PRU ke-14 mencukupi untuk PH membentuk kerajaan.

Ia berbeza dengan keputusan PRU ke-15. Tiga gabungan parti-parti terbesar (PH, PN dan BN) di Semenanjung tidak ada satu pun yang melepasi majoriti mudah (112 kerusi Dewan Rakyat). Ini menyebabkan kedudukan parlimen tergantung, dan sebuah kerajaan tidak dapat dibentuk.

Ia menjadi titik sejarah pertama sejak mencapai kemerdekaan, yang membuktikan konsep kerajaan campuran semakin diterima. Kerajaan campuran yang dimaksudkan ialah gabungan parti-parti selepas keputusan PRU atau PRN.

Secara keseluruhan, PH menang 82 kerusi manakala PN sebanyak 74 dan BN sebanyak 30. Ertinya, PN sangat memerlukan sokongan BN atau lain-lain parti untuk menunjukkan memiliki sokongan majoriti. SPBYDA telah memanggil ketua parti gabungan, dan akhirnya mencadangkan agar dibentuk kerajaan perpaduan bagi menjamin terbentuknya kestabilan politik.

Ini bermakna, dengan kerjasama PH dan BN, ia sudah mencukupi majoriti mudah berbanding jika berlaku kerjasama antara PN dan BN, hanya menghasilkan 104 kerusi.

Muhyiddin mengambil langkah mengumpulkan mana-mana wakil rakyat yang menyokongnya, dengan menandatangan Akuan Berkanun (SD), yang dikatakan berjaya dikumpulkan sejumlah 115 sokongan.

Namun, menurut Presiden UMNO, tidak semua 115 boleh diterima, kerana ada keadaan di mana beberapa orang wakil rakyat menandatanganinya sebanyak dua atau tiga kali. Ia berlaku dalam kalangan 10 SD yang diserahkan kepada SPBYDA sebagai bukti, ‘cukup nombor’.

SPBYDA tidak berpuas hati, lantas mencadangkan solusi lain. Dalam cadangan itu, Anwar Ibrahim bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan, tetapi Muhyiddin sebagai Pengerusi PN mengambil keputusan untuk kekal sebagai pembangkang. Kenyataan  (keputusan) ‘kekal sebagai pembangkang’ telah disahkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang.

Setelah SPBYDA memanggil Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, seperti diceritakan oleh Setiausaha Agong UMNO, Dr Asyraf Wasdi Dusuki, ke istana bersama-sama Timbalan Presiden UMNO, Mohd Hasan dan Naib Presiden UMNO, Dr Zambry Abdul Kadir.

Setelah diajukan cadangan bekerjasama dengan PH dan lain-lain untuk membentuk kerajaan perpaduan, Zahid memberikan pandangan, akan mendapat keputusan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dan akan memaklumkannya kemudian.

Pada malam itu, diadakan mesyuarat membincangkan cadangan SPBYDA. Akhirnya, mesyuarat yang berakhir pada jam 1.30 pagi bersetuju membentuk kerajaan perpaduan, dengan syarat DAP, yang sejak penubuhannya menjadi musuh UMNO dan BN, mematuhi tiga syarat.

Tiga syarat itu ialah apa yang kita kenali sebagai 3R – Race, Religion dan Royalty (Kaum, Agama dan Raja). DAP akur, dan berjanji tidak akan menyentuhnya. DAP akan hormatinya.

Akhirnya, kerajaan perpaduan berjaya dibentuk dan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai PM X pada 24 November 2024, setelah empat hari Dewan Rakyat tergantung.

Pada 3 Disember 2023 terbentuklah kabinet kerajaan perpaduan tanpa gabungan PN, yang membuat keputusan sebagai pembangkang. Ertinya, Muhyiddin menolak dan tidak sepatutnya beliau mempersoalkan kenapa ‘tidak dipanggil’ mengangkat sumpah jawatan.

Asas yang Muhyiddin gunakan, ‘cukup nombor’ bukanlah semudah keputusan ‘pertandingan sukan’ kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Maknanya, sesuatu pasukan akan diisytiharkan menang apabila mencetak mata yang lebih besar berbanding lawan. Itupun tertakluk kepada peraturan permainan. Ini bermakna, Anwar dilantik kerana sokongan yang diterimanya adalah lebih besar daripada apa yang sebenarnya Muhyiddin miliki.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Faysyal Wan Ahmad Kamal menafikan yang Muhyiddin tidak cukup bilangan kerana beliau adalah saksi yang melihat semua SD itu. Tetapi, Wan Ahmad Faysal kurang teliti, dan juga mungkin tidak menyemak secara sah mengenai kesemua 115 SD itu, dan beliau mengakui dirinya salah seorang yang menandatanganinya.

Oleh kerana SPBYDA menerima kesemua 115 SD yang dikatakan menyokong Muhyiddin, ada sedikit masalah, maka itulah sebabnya mungkin Muhyiddin tidak dipertimbangkan untuk mengangkat sumpah selepas itu. Ia berbeza sedikit dengan apa yang berlaku sebelum Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaacob diputuskan mengangkat sumpah jawatan. Pada ketika itu, belum ada Akta Anti Lompat Parti.

SPBYDA memanggil kesemua ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka. Hasilnya, Muhyiddin memperoleh pengakuan yang mencukupi untuk dilantik sebagai PM 7. Begitu juga dengan Ismail Sabri Yaacob. Dua keputusan itu berlaku pada masa Sultan Abdullah sebagai SPBYDA ke-16.

Jadi, pendirian itu tidak lagi boleh dipakai, SPBYDA memahami bahawa Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada tahun 2022 tidak membenarkan wakil rakyat bersetentangan dengan keputusan parti atau dipanggil keputusan enbloc. Keputusan individu tidak terpakai, tidak seperti dalam dua kes sebelumnya.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan PM 8, Datuk Dr Marzuki Mohamad berpendapat, oleh kerana Akta Anti Lompat Parti memberikan tafsiran yang berbeza, maka ia bukanlah satu konteks yang boleh dirujuk.

Sayangnya, pendirian Dr Marzuki itu adalah pendirian terbaharu, yakni pendirian yang ada sedikit sebanyak rujukan kes enam orang MP dan seorang ADUN (Selangor) yang tidak putuskan sebagaimana diimpikan oleh PN. Kedudukan mereka sebagai wakil rakyat tidak terjejas, kerana mereka tidak keluar parti, biarpun menyokong kerajaan perpaduan.

Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Kelantan. Speaker DUN Kelantan memutuskan DUN Nenggiri kosong ekoran penyandangnya menyokong kerajaan perpaduan dan PM X, kerana tafsirannya bertentangan dengan keputusan parti.

Akibatnya, PRK DUN Nenggiri diadakan pada 16 Ogos 2024. Dan, sehari sebelumnya, Muhyiddin bercerita semula mengenai 115 SD yang berjaya dikumpulkan, tetapi tidak dipanggil mengangkat sumpah oleh SPBYDA.

Akibatnya, Muhyiddin dituduh cuba memfitnah SPBYDA. Kertas siasatan dibuka, maka hebohlah suku-sakat PN dengan tafsiran yang cukup membuktikan bahawa mereka sebenarnya cuba menegakkan benang yang sudah lama basah.

Isu sokongan melepasi majoriti mudah berdasarkan SD bukanlah isu baharu, ia telah dibangkitkan sebagai salah bahan kempen dalam siri menjatuhkan kerajaan perpaduan sejak kerajaan itu berjaya dibentuk.

Bahkan, lebih dahsyat lagi apa MB Kedah menuduh, cadangan membentuk kerajaan perpaduan bukanlah cadangan SPBYDA, ia sesuatu yang bohong, yang hanya ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim. Alasannya, tidak bukti bahawa SPBYDA berbuat demikian, dan tidak ada saksi yang mendengar titah tersebut.

Namun, MB Kedah mungkin terlupa kenapa Presiden PAS membuat kenyataan untuk kekal sebagai pembangkang, Bukankah kenyataan itu sudah ada makna yang tersirat, keputusan kekal sebagai pembangkang adalah pilihan PN. PN membuat keputusan itu dan dalam masa yang sama bererti menolak apa yang dicadangkan oleh SPBYDA?

Ertinya, dakwaan bahawa kerajaan perpaduan bukan solusi daripada SPBYDA untuk menyelesaikan kemelut politik (Parlimen Tergantung), kita mungkin bertanya kepada MB Kedah, apakah beliau juga mengetahui dengan jelas apa solusi yang lain?

SPBYDA tidak boleh menerima SD (maksudnya membuat keputusan) yang dikemukakan, kerana ia bercanggah dengan apa yang terkandung dalam Akta Anti Lompat Parti. Hal ini tidak berlaku selepas  dua keputusan yang berbeza mengenai ‘kekosongan kerusi’(DUN Nenggiri diisytiharkan kosong pada 19 Jun 2024) dan enam kawasan Parlimen milik Bersatu tidak menepati dengan kehendak Bersatu (tidak diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Rakyat pada 9 Julai 2024)  dan juga keputusan bahawa DUN Selat Kelang kekal  oleh Speaker DUN Selangor pada 11 Julai 2024.

Mungkin juga kerana tidak berpuas hati dengan dua keputusan tersebut (Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN Selangor) telah mempengaruhi ‘emosi politik’ Muhyiddin sehingga membangkitkannya di dalam kempen PRK DUN Nenggiri. PAda kempen PRK DUN Sg Bakap, isu seperti itu tidak dibangkitkan, kerana PRK diadakah disebabkan penyandangnya meninggal dunia. PRK DUN Nenggiri, disebabkan Speaker DUN Kelantan isytiharkan ia kosong, dan Muhyiddin sangat berharap untuk ‘membuang’ wakil rakyat Bersatu, kerana mereka dituduh sebagai ‘pengkhianat’.

Secara dalaman, Muhyiddin hanya sekadar dapat melakukan tindakan memecat atau menggantung keahlian, tidak berupaya untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi yang dimenangi itu. Sebab itulah Bersatu membuat pindaan Perlembagaan Bersatu, tetapi, sokongan yang dibuat berlaku sebelum pindaan tersebut dikuatkuasakan. Ini bermakna, Bersatu sebenarnya gagal mengikat wakil rakyat untuk memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan dan PMX.

Ia berbeza dengan kes yang sedang dihadapi oleh ADUN Rembia, Muhammad Jailani apabila beliau secara rasminya menjadi ahli PAS. Oleh kerana exodus yang berlaku dalam kalangan wakil rakyat UMNO pascar PRU 12, UMNO melaksanakan pengisytiharan kepada mana-mana calon yang dipilih bertanding dengan pengakuan: tidak berpaling tadah, dan jika berbuat demikian akan dikenakan penalty RM 100 juta.

Ertinya, Jailani sedang berhadapan dengan tindakan tersebut, yang pada Jailani, tindakan itu sebagai usaha UMNO untuk memufliskan dirinya. Jailani pula menuduh UMNO sengaja ingin membangkrapkannya. Itu jawapan paling cetek oleh ADUN Rembia, kerana beliau secara moralnya salah dan wajib membayar harga yang mahal di atas pelanggaran kontrak, dengan melihat kepada keputusan yang pernah dihukumkan oleh mahkamah terhadap bekas MP Ampang, Zuraida Kamarudin.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir mendapati bon yang ditandatangani oleh Zuraida adalah sah dan mengikat. Justeru, Zuraida diarahkan membayar RM 10 juta kepada PKR (23 Jun 2023) dan kos mahkamah sebanyak RM 50,000. Proses rayuan kes ini masih belum selesai.

Tetapi, sekurang-kurang sebelum membuat keputusan menyertai PAS, Jailani patut mempertimbangkan ganti rugi yang terpaksa dibayar nanti, kerana itu adalah janji. Janji mesti ditunaikan, biarpun terpaksa bergolok-bergadai kalau tidak mahu dimasukkan dalam kategori bangkrap.

Ini membawa khabar gembira buat PKR, gembira kerana dokumen yang ditanda tangani ‘tidak akan meninggalkan parti’ adalah sah, dan tindakan undang-undang boleh dibuat ke atas pelanggaran kontrak tersebut.

Maknanya, setiap wakil rakyat BN yang berhasrat menyokong mana-mana parti selain parti komponen BN, mereka boleh bersiap sedia dengan bayaran ganti rugi yang akan diputuskan oleh mahkamah, kerana kontrak tersebut adalah sah dalam tempoh yang ditetapkan.

Mereka yang melanggarnya, boleh dihukum kerana melanggar kontrak. Setakatnya, mereka yang dikatakan menandatangani Akuan Berkanuh (SD) menyokong Muhyiddin belum dihadapkan ke mahkamah, kecuali ADUN Rembia.

Perkembangan-perkembangan tersebut menjadi kunci penambahan kecelaruan politik apabila sesebuah parti tidak benar-benar dominan. Kisah katak lompat sudah lama mewarnai politik Malaysia, dan yang menariknya, tiga ‘katak lompat’ pada tahun 2009 menyebabkan DUN Perak berpindah tangan.

Kita juga mungkin melihat kepada sejarah yang berlaku sebelumnya, termasuk di Sabah dan Sarawak pada suatu ketika.

Salah satu solusi yang menarik ialah apabila Dr Mahathir, yang ketika itu PM 4 memberikan keputusan sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah, yang bersifat serampang dua mata: memperkukuhkan kedudukan UMNO (BN) dan mengekang situasi pertukaran Ketua Menteri dalam masa yang singkat.

Namun, ia ada sedikit kecenderungan seumpama itu berlaku selepas PRU 12, di mana akhirnya Shafie Afdal mengambil tindakan membubarkan DUN Sabah untuk memberi laluan kepada PRN. Akhirnya, Shafie terpaksa akui peluangnya untuk kembali sebagai KM Sabah semakin tipis.

Dan Selepas PRN Sabah (2022), situasi yang sama berlaku di mana wakil rakyat daripada Bersatu menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah, dan tidak lagi bernaung di bawah parti yang berlambangkan Bunga Raya. Itulah sebab dan masalah dalam Bersatu, yang dilihat jika kurang hati-hati hayatnya akan menjadi seumpama Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan.

Atau mungkin akan hancur secara organik, dan kerjasama dalam PN boleh sahaja berakhir bila melihat secara beransur-ansur PAS sedang mendepakan tangannya untuk menjadi lebih dominan. DUN Nenggiri menjadi petunjuk awal, Bersatu dipaksa menerima calon DNA PAS, yang mana percaturan tersebut, cukup memperlihatkan kepimpinan Bersatu semakin lemah, sehingga ada yang berpendapat, watak Muhyiddin sudah banyak bertukar corak, sedang mengalami ‘transgender politik’.

Ia bukan sesuatu yang tidak disedari, sebaliknya ramai yang sedar ketika mengumumkan berundur diri, tidak sampai dua hari selepasnya menarik balik keputusan, dengan cerita, isterinya seolah-olah tidak bersetuju.

Maknanya, Muhyiddin tidak mempunyai kebitaraan dalam membuat sesuatu keputusan, banyak bergantung kepada orang lain, walhal beliau adalah seorang kelasi yang dikatakan cukup berpengalaman (MB Johor ke-13, pelbagai jawatan Menteri di peringkat pusat, Timbalan Perdana Menteri dan PM 8).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas hadir memberikan kenyataan kepada Bukit Aman, Muhyiddin dikatakan terkilan kerana SPBYDA tidak memanggilnya mengangkat sumpah, biarpun sudah ada 115 sokongan.

Kenyataan itu kemudiannya dikatakan sengaja disunting sehingga menimbulkan persepsi awam bahawa Muhyiddin cuba memfitnah baginda (menurut Wan Ahmad Faysal, ia ditular oleh portal PKR). Lantaran itu, 30 laporan polis telah dibuat, termasuk oleh pihak Istana Pahang.

Bekas Raja Permaisuri Agong turut melahirkan rasa terkilan dan merayu agar ‘hormati baginda, yang juga suami saya.” Anakanda Sultan Pahang, yang juga Putera Mahkota Pahang melalui Setiausaha Sulitnya, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan (18 Ogos 2024).

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »