Atas keperluan kelangsungan penerbitannya, Forbes perlu lebih mesra dengan kapitalis, jika tidak keluarannya akan berhadapan dengan masalah, sebagaimana dihadapi oleh penerbitan-penerbitan yang pernah muncul sebagai majalah berita terbesar dan cukup berpengaruh seperti Times, Newsweek, Asia Newsweek dan sebagainya.
Forbes masih merupakan majalah perniagaan yang berwibawa dan belum lagi gagal walaupun berhadapan dengan saingan daripada majalah yang sama, yang lebih terkemudian diterbitkan seperti Fortune (1929) dan Bloomberg Businessweek (diperbaharui daripada Business Week yang pertama kali diterbitkan bulan September 1929).
Forbes diterbitkan sebanyak lapan edisi setahun, manakala Fortune sejak tahun 2021, diterbitkan sebanyak enam edisi setahun (sebelumnya, antara 10 hingga pernah mencapai kemuncaknya, 24 edisi antara tahun 1978-2009) dan Bloomberg Businessweek diterbitkan setiap bulan (12 edisi setahun).
Forbes juga mempunyai berita analisis ekonomi dan perniagan dalam talian (Forbes.com) dan berganding bahu dengan badan penyiaran (FOX TV) untuk memantapkan pelaporan analisis ekonomi, perniagaan, pelaburan, industri dan komentar geopolitik dunia
Dari segi jumlah naskhah yang terbitkan, Forbes, mencecah 514,184 pada tahun 2023; Bloomberg Businessweek, 325,000 (2018) dan Fortune, 825,202 (2018). Ertinya, Forbes masih merupakan majalah perniagaan yang cukup besar pengaruhnya berbanding dengan majalah-majalah yang sama buat masa sekarang,.
Majalah Fortune berusaha menyaingi Forbes, dengan memperkenalkan penyenaraian Fortune 500, senarai 500 buah syarikat yang menghasilkan pendapatan tahunan terbesar, di Amerika Syarikat. Ia kemudian dikembangkan kepada semua syarikat yang berjaya di seluruh dunia, Fortune 500 Global.
Jadi, tentunya ada kepentingan yang hendak dijaga, empati yang perlu ditunjukkan jika mahu terus mempertahankan kelangsungannya (survive).
Dalam laporan Forbes Advisor 20024, kita temui senarai berikut: Bandaraya yang paling selamat, Bandaraya yang paling tidak selamat, berdasarkan tujuh parameter yang ditetapkan.
Tujuannya adalah sebagai panduan kepada rakyat Amerika Syarikat yang berhasrat memilih destinasi pelancongan mereka bagi tahun 2024.
Parameter itu ialah :
(1) Risiko Perjalanan (20 peratus),
(2) Risiko Jenayah (17 peratus);
(3) Risiko Keselamatan Peribadi (17 peratus);
(4) Risiko Kesihatan (17 peratus);
(5) Risko Keselamatan Infrastruktur (10 peratus);
(6) Risiko Bencana Semulajadi (10 peratus); dan
(7) Risiko Keselamatan Digital (9 peratus).
Ia diukur pada skala tertinggi ialah 100, dan secara kumulatifnya, Kuala Lumpur meraih skor 55,36, yang menyebabkan kedudukannya ke kategori risiko besar bagai rakyat Amerika Syarikat untuk melancong.
Pada skor itu, Kuala Lumpur berada di tangga 29 dunia, yakni satu tangga di bawah 30 bandaraya (penengah atau 30 buah bandaraya paling selamat). Ertinya, pada tahap itu, Kuala Lumpur bukanlah merupakan bandaraya yang paling tidak selamat daripada 60 bandaraya yang dijadikan bahan tinjauan pendapat.
Ada perbezaan yang ketara antara makna risiko dan tidak selamat atau bahaya. Tidak selamat bererti sudah ada kepastian manakala risiko, masih belum ada kepastian yang jelas, sekadar bayangan fikiran (minda). Risiko masih bersifat mungkin.
Kamus Dewan (edisi keempat, cetakan 2007, hal.1336) memberikan maksud berikut tentang makna risiko: (1) kemungkinan atau bahaya kerugian, kemungkinan mendapat bahaya atau kerugian; dan (2) akibat atau hasil yang kurang menyenangkan (daripada sesuatu tindakan dan lain-lain; padah.
Oxford English-Malay Compact Advanced Learner’s Dictionary (cetakan 2007, hal.1270, terjemahan Asmah Haji Omar) memberikan makna risk (risiko) seperti berikut: (1) (kejadian) kemungkinan bertemu dengan bahaya atau mengalami bahaya; kerugian; (2) orang atau benda yang diinsurankan atau mewakili punca risiko; dan, (3) bersetuju tidak membuat tuntutan bagi kerugian, kecederaan, dan sebagainya; atas tanggungan sendiri.
Ertinya, risiko itu sesuatu yang belum terjadi dan dibayangkan mungkin terjadi. Namun, apa yang terjadi itu belum pasti, ia di antara dua garis yang dibayangkan oleh fikiran, positif atau negatif.
Dalam perniagaan, seseorang yang berani mengambil risiko, orang itu beroleh kejayaan dan juga boleh jadi mengalami kerugian yang parah. Bahkan muncul frasa: high risk, high opportunity.
Inilah yang cuba disemai oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila bertekad untuk menjadikan muara Sungai Kuala Terengganu sebagai pusat sukan air antarabangsa, apabila memperkenalkan Monsun Cup pada tahun 2005.
Tun Abdullah tidak mahu masyarakat pesisir pantai merasa ‘bosan’ dan ‘tidak tahu nak apa’ menjelang musim tengkujuh di akhir tahun. Sekurang-kurangnya dengan memperkenalkan Monsun Cup, ia akan menghidupkan suasana dan menjadikan sebahagian penduduk pesisir air (laut) tidak terus berduka sementara menunggu ‘ombak laut teduh’.
Keberanian sangat diperlukan dalam membuat sesuatu keputusan, kerana keberanian itulah membawa kepada kejayaan yang besar. Sebab itulah ada yang berkata; jika takut gagal jangan berani mencuba. Orang yang tidak mahu mencuba, orang itulah sebenarnya gagal. Sebabnya, kegagalan itu adalah jalan sebenar menuju kejayaan.
Kata Hamka, bagaimana seseorang itu boleh berjalan, berlari dan sebagainya kalau takut jatuh ketika belajar merangkak, berdiri dan seterunya melompat. Orang yang takut jatuh sebenarnya orang yang tidak pernah memanjat pokok dan tidak pernah merasai seronoknya berada di atas pokok, sama ada untuk mengambil buah atau sebagainya.
Orang sebegitu adalah orang yang penakut, tidak berani menghadapi cabaran dan persaingan, sedangkan hidup adalah proses yang perlu dijalani dengan cabaran, dugaan dan tindakan yang berani.
Tetapi, keberanian itu bukan berani melakukan kesalahan (undang-undang, peraturan, norma dan sebagainya), tetapi keberanian keluar daripada masalah dan menyelesaikan apa yang menjadi halangan.
Secara jelasnya, bandaraya yang berada dalam tahap ‘paling selamat’ ialah:
(1) Singapura;
(2) Tokyo;
(3) Toronto, Kanada;
(4) Sydney, Australia;
(5) Zurich, Switzerland;
(6) Copenhagen, Denmark;
(7) Seoul, Korea Selatan;
(8) Osaka, Jepun;
(9) Melbourne, Australia; dan
(10) Amsterdam, Netherlands..
Bagi bandaraya yang ‘berisiko tinggi’ yang ditafsirkan sebagai ‘tidak selamat’ atau ‘bahaya’ ialah :
(1) Manila, Filipina;
(2) Lagos, Nigeria;
(3) Yangon, Myanmar;
(4) Karachi, Pakistan; dan
(5) Caracas, Venezuela.
Di peringkat Asia bandaraya yang paling selamat (kurang risiko) ialah:
(1) Singapura;
(2) Tokyo, Jepun;
(3) Seoul, Korea Selatan;
(4) Osaka, Jepun;
(5) Taipei, Taiwan;
(6) Hong Kong;
(7) Abu Dhabi, UAE;
(8) Dubai, UAE;
(9) Bangkok, Thailand; dan
(10) Kuala Lumpur, Malaysia.
Di peringkat negara-negara ASEAN, kedudukannya bandaraya yang paling berisiko buat pelancong Amerika Syarikat, Forbes Advisor 2024 menyenaraikan:
(1) Yangon, Myanmar (global, 3);
(2) Manila, Filipina (global, 5);
(3) Jakarta, Indonesia (global, 11);
(4) Ho Chi Minh, Vietnam (global, 20);
(5) Kuala Lumpur, Malaysia (global, 29); dan
(6) Bangkok, Thailand (global, 30).
Ertinya, beberapa bandaraya yang menjadi tumpuan pelancongan di Asia Tenggara, ada risiko yang cukup besar bagi pelancong Amerika Syarikat, yang tentunya ada kaitan dengan perkembangan politik (dalam dan kesan geopolitik dunia) yang berlaku di sesebuah negara.
Setakat ini, kita belum benar-benar boleh mempercayai bahawa tidak ada keselamatan langsung bagi seseorang pelancong di Caracas mahupun yang mengungjungi Kuala Lumpur.
Dalam kumpulan bandaraya paling berisiko, Caracas, Venezeula mencapai skor maksimum, iaitu 100 peratus. Rumus laporan Forbes Advisor: “highest health security risk, reflecting the low level anda quality healthcare services anda infrastructure,” manakala Jabatan Pentadbiran Amerika Syarikat (US State Department) pernah mengeluarkan kenyataan Caracas berada pada tahap 4 (Do Not Travel): “it the lowest travel safety rating” berdasarkan kejadian dan indeks jenayah.
Sayangnya, Kuala Lumpur yang kita banggakan sebagai sebuah ibu kota, ada kehidupan malam yang turut menyumbang kepada persekitaran yang tidak selamat.
Banyak cerita yang dengar, akibat mabuk dan cemburu berlaku pergaduhan di kelab malam, kemalangan jalan raya (pemandu mabuk), kecurian (rompakan jalanan), pergaduhan dalam kalangan imigran, dan sedang mengisi budaya jenayah kematian dalam kalangan mereka yang dilaporkan hilang sama ada diculik ataupun lari daripada rumah.
Malaysia sekarang menjadi sebahagian negara yang tidak selamat, penuh kebimbangan dalam kalangan rakyatnya sendiri apabila berlakunya tragedi bunuh sehingga jasad yang ditemui tidak cukup sifat (kes seorang guru, Allahyarhamah Istiqomah dari Masai, Johor yang jenazah tidak lengkap ditemui di Melaka akhir Disember 2023), dibunuh dan mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah bulan Julai 2024; dan terbaharu, seorang penyanyi ditemui terapung di Sungai Kelang, Selangor (Shah Alam) setelah keluar berjoging pada malam 14 Ogos 2024.
Walaupun kematian Nidza Afham, 23 tidak menunjukkan ada bukti jenayah yang berlaku, ia mengundang kepada pelbagai spekulasi, termasuk kemungkinan beliau ditolak ke sungai. Kesemuanya ini membangunkan pelbagai persepsi.
Belum pun masyarakat boleh merasa tenang dengan kematian seorang kanak-kanak autism, Zyan Rayyan Abdul Mattin yang dilaporkan hilang dan jasadnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.
Proses mencari kanak-kanak hilang dan juga menjejak bukti kematiannya, cukup menyibak nurani masyarakat Malaysia, kerana ia membabitkan pelbagai kaedah digunakan, dari pencarian biasa hinggalah penggunaan anjing pengesan, menyoal siasat penduduk dan menggunakan visual daripada dashcam kereta yang berada di persekitaran pertempatan itu.
Kalau pun proses mencari siapa pesalahnya memakan masa yang agak lama, kita cukup rasa bahawa kejadian jenayah sedemikian tentunya tidak dapat dikurangkan selagi masyarakat tidak bersedia mencegahnya dan menjadi pengawal sosial yang berkesan.
Pada luarannya, kita nampak, semakin ramai orang tidak takut kepada hukuman yang dikenakan di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Selain itu, muncul pula pelbagai persepsi terhadap anggota polis, apabila anggota polis sendiri terlibat membunuh Nur Farah Kartini (Sinar Harian, 25 Julai 2024); seorang pelajar sekolah menengah dilanggar hingga mati Muhammad Affendi Muhd Zamrie, 17 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh pada 15 Disember 2023 (Malaysia Gazette, 1 Julai 2024); dan pegawai polis ditangkap kerana melindungi aktiviti haram di ibu negara (Berita Harian, 4 April 2024).
Sebelumnya, kita ketahui bahawa kejadian bunuh berlaku disebabkan oleh motif mencuri, cemburu, berhutang dan perebutan sesuatu, tetapi kali ini, ia berkembang kepada ‘asmara berdarah’, ia dilakukan oleh orang yang dikenali.
Mangsa menjadi sasaran disebabkan oleh takut rahsia hubungan gelap terbongkar, juga kerana mengesyaki bahawa pasangannya berselingkuh (ingin atau telah berkahwin lain), rasa benci kepada pasangan tetapi enggan bercerai, masalah kewangan (hutang) dan menagih hutang yang diberikan kepada mangsa.
Semuanya itu, secara tidak langsung menggambarkan keadaan keselamatan diri, keluarga dan orang lain yang cukup meresahkan. Kejadian jenayah bunuh, percubaan bunuh bukan sahaja menyebabkan emosi tidak selamat menganggu, bahkan kadangkala kita turut berfikir, apakah hal itu berlaku di kota besar sahaja?
Jawapannya, tidak. Jenayah berlaku di mana-mana, hatta di kampung yang sering kita bayangkan ‘tenang’, ‘aman’ dan ‘tidak kompleks’ sudah ikut tergugat.
Kita dengar (baca berita akhbar) ada orang mati (peniaga) ditembak dengan pistol ketika sedang menutup kedai di Kampung Beris Lalang, Bachok, Kelantan pada 5 Februari 2015; Nur Ayuni Asin @ Zakaria mati (dalam perjalanan ke hospital) terkena tembakan yang dilepaskan oleh salah seorang daripada tiga lelaki apabila dua buah kereta bergesel di simpang empat Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan (Oktober 2010); seorang pemuda berusia 20 tahun cedera pada kedua belah kaki ditembak oleh dua individu dalam perjalanan pulang menonton perlawanan bolasepak di televisyen di sebuah kedai makan di Kampung Pauh Sembilan, Tawang, Bachok, Kelantan pada awal pagi Khamis, 3 Disember 2015.
Lain-lain kes jenayah yang dilakukan oleh yang dikenali, yang cukup menyentap emosi kita ialah:
(1) tiga orang termasuk dua beradik (anggota samseng mati ditembak polis 3 sekeluarga (pasangan warga emas dan seorang cucu perempuan berusia 11 tahun) dibunuh sebelum rumahnya dibakar di Kampung Paya Redan, Muar, Johor pada 9 Ogos 2024;
(2) Pemandu lori bunuh suami teman wanita di Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor antara 22 dan 23 Jun 2014;
(3) Seorang bekas penjaga stor dan teman wanita bebas daripada hukuman gantung bersubahat membunuh suaminya sendiri di sebuah rumah di Petaling Jaya, 16 Februari 2012;
(4) Rangka mayat seorang ibu tunggal yang memiliki seorang anak (Bella, atau nama penuhnya, Mila Sharmila Samsudah, 32) ditemui (19 Januari 2024) dalam keadaan tidak sempurna di sebuah rumah sewa kosong di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat setelah pencarian 36 hari dilakukan (dilaporkan hilang pada 14 Disember 2023) dan teman lelaki ditangkap atas dakwaan terbabit membunuh; dan,
(5) Cukup menyayat hati ialah Cikgu Istiqomah yang mayatnya ditemui tanpa kepala, kaki dan tangan di dalam tong sampah di longkang tepi jalan berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember 2024 (Istiqomah dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023, dan berdasarkan ujian DNA (2 Ogos 2024), polis mengesahkan mayat tidak lengkap itu adalah Istiqomah pada 19 Ogos 2024.
Itulah antara ‘asmara berdarah’ dan tragedi yang menyebabkan kematian yang akan menjejaskan imej sebagai negara paling selamat, walaupun banyak organisasi pernah meletakkan Malaysia:
(1) Negara kedua paling aman di Asia Tenggara 2023;
(2) Negara Paling Disayangi (daripada 20 buah negara) (Insider Monkey 2023);
(3) Negara Ketiga (selepas Jepun dan Thailand) tumpuan destinasi pelancongan paling popular untuk sambutan Tahun Baru Cina (Agoda, 23 Januari 2024);
(4) Tempat Kedua Negara Paling Aman dan Makmur di Asia Tenggara 2023 dan ke-43 daripada 167 negara di dunia mengatasi Thailand (64), Indonesia (63) dan Singapura (ke-17) berdasarkan Laporan Legatum Prosperity Index; dan,
(5) Lokasi Paling Selamat Untuk Bersara Dengan Perbelanjaan Kos kurang RM 9,100 sebulan (Go Banking Rates) untuk warga asing (purata keperluan perbelanjaan sebulan ialah RM 4,550).
Syukurlah menjadi rakyat Malaysia, walaupun ada masalah, bukan kita tidak dapat atasinya. Kita dapat atasinya sekiranya di antara saling ingat mengingati, berwaspada kerana ‘malang tidak berbau’ dan ‘tanpa ada masa yang khas’, dengan mendidik setiap daripada kita agar tidak menghampiri apa-apa sahaja faktor yang menjerumuskan kepada aktiviti jenayah.
Hati perlu bersih dan sentiasa tersemat, jika terlepas dengan ‘tali gantung’ kerana didapati bersalah, ia bukan bermakna akan terlepas sepenuhnya keazaban daripada Allah SWT.
Bagi mereka yang bukan beragama Islam, perlu disematkan dalam hati setiap orang, mengejar kemewahan itu tidak salah, tetapi yang salahnya ialah bagaimana kemewahan itu diraih, dikumpul dan diterjemahkan dalam setiap tindakan dan moralnya. Bukan sahaja fikiran yang menetapkan jalannya, ia perlu diseimbangkan dengan jiwa yang murni, bersih dan jujur dalam setiap jelmaan falsafahnya.
KAMARUN KH
Recent Comments