Awal pagi Rabu (31 Julai 2024) ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Pahlawan, seorang pejuang pembebasan kemerdekaan Palestin, khususnya Hamas telah dibunuh oleh agen-agen Israel dengan serangan peluru berpandu di sebuah rumah tetamu di Teheran, Iran.

Dalam serangan brutal (peluru berpandu) itu, dilaporkan dua orang terkorban, dan paling mengundang simpati antarabangsa ialah kematian Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas bersama seorang pengawal peribadinya.

Ismail Haniyeh diberikan rumah tetamu oleh kerajaan Iran sepanjang kehadirannya ke Teheran bagi meraikan pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, yang diadakan pada hari Selasa, 30 Julai 2024, iaitu beberapa jam sebelum Israel melancarkan serangan brutal tersebut.

Masoud adalah pemenang dalam pilihan raya Presiden Iran yang diadakan pada 28 Jun dan 5 Julai 2024 bagi menggantikan Ebrahim Raisi yang terbunuh dalam nahas helikopter di timur Azerbaijan pada 19 Mei 2024. Nahas helikopter itu turut membunuh Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Badollahian.

Bagaimanapun, nahas helikopter itu berlaku kerana keadaan cuaca buruk. Iran dengan rasminya menafikan bahawa tragedi tersebut ada kaitannya dengan gerak kerja Mossad, agen perisikan Israel walaupun sebelum rombongan Ebrahim berlepas pulang, didakwa terdapat sebuah helikopter berada di kawasan yang berhampiran dengan helikopter yang membawa Ebrahim diletakkan.

Ada dakwaan bahawa agen Mossad berbuat demikian kerana Ebrahim Raisi mengarahkan serangan balas membabitkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke arah Isreal pada 13 April 2024. Serangan balas itu berlaku selepas dua minggu tentera Israel menyerang kedutaan Iran di Lubnan (1 April 2024) menyebabkan beberapa orang pegawai kanan Iran terbunuh.

Ketika kedutaan Iran diserang, seorang pegawai kanan tentera Iran memberi amaran bahawa tiada satu pun misi diplomatik Israel yang akan selamat. Ebrahim Raisi turut memberikan komen bahawa Iran akan membalas serangan Israel itu sebagai amaran, tetapi tidak berhasrat mengheret sama Iran ke dalam peperangan yang lebih besar.

Serangan Iran itu telah membuka mata elit kuasa Israel. Dengan menggunakan senjata yang cukup sederhana, Iran telah berjaya menembus masuk ke pertahanan Iron Drome Israel yang dikatakan tercanggih di dunia. Israel dengan segera menjelaskan 99 peratus tembakan peluru berpandu dan dron Iran berjaya dipintas.

Namun, serangan balas Iran itu menyebabkan Israel semakin gelabah setelah menilai semula ketahanan sistem pertahanannya yang berkali ganda lebih mahal daripada senjata yang digunakan oleh Iran, yang menembak secara jarak jauh.

Sebelumnya, Israel kecewa kerana kecanggihan kereta kebal dan sistem pertahanannya telah berjaya dilumpuhkan oleh senjata paling sederhana yang dimiliki oleh Hamas, dan pada hari pertama serangan telah berjaya membunuh anggota tentera dan orang awam, selain ketepatan strategi sehingga menampakkan Hamas seperti telah mencapai kemenangan awal.

Iran yang turut menyokong Palestin, termasuk membantu pejuang-pejuang Hamas daripada kelengkapan senjata, kewangan dan sebagainya dilihat sebagai ancaman kepada Israel. Selain membantu Hamas, Iran juga turut membantu pejuang Hizbullah di Lubnan, dan pejuang Houthi di Yemen.

Akibat hubungan rapat Iran dan pejuang Houthi, negara itu dicap sebagai musuh oleh Arab Saudi. Akibatnya, Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Iran pada tahun 2007, di mana ketika itu, Arab Saudi dengan bantuan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas pejuang Houthi.

Pejuang Houthi dianggap sebagai kumpulan pemberontak yang berusaha untuk menyingkirkan pemerintah yang disokong oleh Arab Saudi. Sengketa tersebut akhirnya reda apabila China memainkan peranan sebagai orang tengah bagi memulihkan semula hubungan diplomatik antara kedua negara.

Persetujuan itu membuka lembaran baharu, Iran dan Arab Saudi saling membuka kedutaan masing-masing beberapa bulan selepas perjanjian tersebut ditandatangani. Kehadiran China mula dirasakan lebih menarik berbanding peranan yang dimainkan sebelumnya oleh Amerika Syarikat.

Negara-negara Arab dan Afrika Utara mula mengalih pandangan kepada China. Manakala China semakin mendapat tempat dalam pembangunan infrastruktur baharu di rantau itu. Hal itu menyebabkan pembabitan syarikat-syarikat pelaburan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah semakin mengecil, yang kemudiannya menjadikan negara-negara Arab seperti cuba berjarak dengan pemain tradisinya.

Mengulas mengenai serangan balas Iran ke atas kem pertahan Israel, Ebrahim Raisi mengakui bahawa negaranya tidak akan ikut bersama mengheret perang yang lebih besar di Timur Tengah. Iran menyokong Palestin (Hamas) dan Lubnan (khususnya Hizbullah) dan serangan yang dilakukan sebagai memenuhi janji untuk membalas dendam di atas serangan yang dilakukan oleh Israel ke atas aset dan kepentingannya di Lubnan. .

Iran juga menyokong pejuang Houthi di Yemen, yang turut melancarkan amaran buat Israel yang menyerang ganas bagi membalas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Houthi menunjukkan solidariti ke atas Palestin, selain melancarkan serangan jarak jauh, aktivis-aktivis menahan mana-mana kapal milik Israel yang melalui perairannya sebelum memasuki Laut Merah dan Terusan Suez.

Selain menghalang, Houthi juga turut menenggalam beberapa buah kapal dagang milik Israel. Kapal-kapal yang dikatakan akan memasuki perairan Israel juga diarahkan untuk berpatah balik atau menukarkan haluannya.

Situasi ini menyebabkan sistem perdagangan melalui jalan laut berhadapan dengan kos yang semakin meningkat kerana terpaksa menggunakan perjalanan yang jauh, menerusi Cape of Hope di Afrika Selatan. Pengendali pengangkutan perkapalan akan menanggung kos penggunaan minyak yang lebih banyak, kos insuran yang meningkat dan masa yang lebih panjang untuk sampai ke Eropah.

Houthi juga turut mengancam akan ‘memutuskan kabel dasar laut’ yang berada di perairannya bagi menganggu sistem rangkaian internet global. Beberapa hari lalu, sebahagian besar perisian Microsoft yang digunakan dalam navigasi pesawat awam terganggu teruk, namun belum ada laporan mengenai punca gangguan tersebut berlaku.

Houthi bukan sahaja berjaya melancarkan serangan jarak jauh ke Israel, turut menyekat perjalanan kapal-kapal milik Israel di Laut Merah daripada meneruskan perjalanan merentasi Terusan Suez sebelum tiba di pelabuhan Israel.

Setelah Ismail Haniyeh disahkan terbunuh, Iran mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan bertindak balas sekali lagi terhadap Israel, bukan disebabkan sokongannya kepada pembebasan Palestin semata-mata, tetapi kerana kebiadapan Israel melakukan tindakan brutal di Iran sehingga membunuh tetamunya. Ismail sangat rapat dengan pemimpin Iran.

Ayatollah Ali Khameini, pemimpin tertinggi Iran melafazkan ikrar, negaranya akan membalas dendam di atas serangan tersebut dan juga solidariti membela kematian pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh.

Penjenayah dan pengganas rejim Zionis telah membunuh tetamu kesayangan kami di dalam rumah kami dan membuat kami bersedih, tetapi ia membuka jalan untuk hukuman berat dikenakan ke atasnya”, sentak Ayatollah Ali Khameini ketika mengulas tragedi itu sebagaimana dilaporkan oleh media Iran.

Setakat ini, Israel belum mengakui bertanggungjawab mengenai serangan tersebut walaupun Iran sudah mengenal pasti ia dilakukan oleh agen-agen Mossad. Tetapi, rakyat Israel seolah-olah membayangkan bahawa mereka telah mencapai kejayaan besar dalam misinya melumpuhkan pejuang Hamas, dengan terbunuhnya Ismail Haniyeh.

Hal itu dilihat oleh pejuang Hamas sebagai ‘kemenangan singkat’ kerana kemunculan Hamas bukan atas keperluan peribadi seseorang, ia muncul sebagai gerakan perlawanan melawan penjarah dan penjajah yang merampas hak rakyat Palestin.

Mahmoud Darwis pernah menulis: Gantung aku di atas pelepah tamar. Gantung aku…kerana aku tidak pernah mengkhianati kurma.  Tanah ini milikku, dan sejak dulu aku perah susu unta dan airnya secara sukarela. Negeriku bukan seikat cerita. Bukan kenangan. Bukan sawah gerimis. Negeriku bukan cerita dan bukan nyanyian. Bukan cahaya di atas pamor pedang. Negeriku kemarahan orang asing atas kesedihan….Di atas rerumputannya terbang seperti pohon kurma. Gantung aku di pelepah kurma. Gantung aku kerana aku tidak pernah mengkhianati kurma.

Ia sekali lagi mengingatkan anak muda Hamas kepada bait-bait puisi yang cukup segar memotivasikan mereka untuk bangkit berjuang walaupun nyawa menjadi galang gantinya. Bagi Hamas, seorang Ismail Haniyeh ‘telah mati’ akan lahir lebih ramai lagi anak-anak Palestin yang sedia berkorban demi tanah airnya, leluhur mereka yang telah dirampas oleh Zionis.

Iran sangat berpengalaman dengan tindakan agen-agen Mossad dalam beberapa siri pembunuhan yang membabitkan pakar nuklear, pemimpin kanan Tentera Revolusi Iran, sejak Israel melihat Iran adalah salah sebuah kuasa yang boleh mengancam ‘kebuasan Israel’ untuk menguasai geopolitik Timur Tengah.

Mossad pernah bertanggungjawab memberikan maklumat palsu kepada Amerika Syarikat berkenaan proses pengayaan uranium sebagai sumber tenaga masa depan, yang dilihat Israel sebagai permulaan membangunkan senjata nuklear.

Iran sedar negara itu tidak lagi boleh bergantung kepada penggunanan minyak selama-lamanya, biarpun Iran merupakan salah negara pengeluar minyak yang penting di Asia Barat.

Atas maklumat palsu itu, Iran telah disekat dan dikenakan tindakan embargo oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Bahkan, agen-agen Mossad dengan bangganya melemparkan serangan propaganda ke atas Iran sehingga Iran menjadi sebuah negara yang ditekan oleh kebanyakan negara dalam Kesatuan Eropah.

Aset-aset Iran di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dibekukan.

Namun, Iran tidak mudah mengalah dengan tekanan-tekanan yang berlaku. Iran sedar, Amerika Syarikat bila-bila pun akan memberikan tekanan setelah Revolusi Iran berjaya menyingkirkan kerajaan boneka yang dibentuk oleh Amerika Syarikat pada tahun 1979.

Iran juga mampu menjadikan rakyat Amerika Syarikat sebagai tahanan yang akhirnya membawa kepada kegagalan George Herbet Bush (Bush Sr) untuk mentadbir Rumah Putih untuk penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan November 1991.

Setelah anaknya, George Walker Bush (Bush Sr) mengambil alih penradbiran Rumah Putih, perseteruan dengan Iran terus membengkak selepas berlakunya Tragedi World Trade Center pada 11 September 2001.

Bush Jr meletakkan Iran dan Iraq sebagai ‘paksi keganasan’ malah ikut mengisytiharkan perang terhadap dua buah negara itu sebagai ‘kebangkitan semangat Perang Salib’

Setelah menerima kecaman, Bush Sr menukarkan orientasi perburuan anggota al-Qaeda di mana Osama benladin didakwa sebagai dalang dalam serangan WTC dan Pentagon kepada ‘memerangi keganasan.’

Tindakan Bush Sr itu sebenarnya untuk membantu menyamarkan imej buruk bapanya yang telah tewas kepada calon Demokrat, Bill Clinton.

Amerika Syarikat turut menggunakan badan pengawasan nuklear antarabangsa untuk menyiasat ‘kebenaran dakwaan Iran membangun senjata nuklear’ seumpama mengulangi alasan semberono terhadap Irak, mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (worl mass weapon).

Namun hasil siasatan tidak menampakkan Iran membangunkan senjata nuklear. Sama dengan siasatan bahawa Irak mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.

Sebenarnya dakwaan itu berdasarkan maklumat yang dikongkasikan antara Israel dan Amerika Syarikat.

Dakwaan itu adalah usaha Isreal untuk menghapuskan mana-mana pemimpin yang dilihat mempunyai kekuatan sokongan, yang perlu ditamatkan.

Jika tidak berbuat demikian, Israel bimbang hasratnya untuk menguasai seberapa luas kawasan di Palestin tidak akan mudah dilaksanakan.

Hasil siasatan, tidak ditemukan senjata pemusnah besar-besaran di Irak, dan keupayaan Iran untuk membangunkan senjata nuklear, tetapi Amerika Syarikat dan Israel tetap melakukan serangan propaganda agar masyarakat antarabangsa gentar dengan kebangkitan Iran dan kekuatan dalam yang berjaya dibangunkan oleh Saddam Hussein.

Saddam kemudiannya berjaya dibunuh. Bila munculnya Arab Spring, Muammar Gadafi turut menjadi sasaran pembunuhan kerana suara pemimpin Libya itu cukup lantang mengkritik PBB yang didalangi oleh Amerika Syarikat.

Setelah itu, Iran juga digeruni kerana mempunyai seorang pemimpin yang berani, Ahmadinejad.

Masyarakat dunia seolah-olah terbuai dengan laporan-laporan palsu mengenainya. Israel menjadi semakin besar kepala bila Amerika Syarikat mengenakan embargo ekonomi, minyak hanya boleh dieksport untuk mendapatkan bahan makanan, bukan tujuan yang lain.

Namun, Iran tidak patah semangat, membuka kerjasama dengan Rusia, dan secara rahsianya menjual minyak ke beberapa buah negara yang tidak sehaluan dengan pendirian politik Washington.

Dalam perkembangan terbaharu, Malaysia turut didakwa ada kaitannya membantu Iran memindahkan minyaknya setelah berada di perairan Malaysia.

Seorang pegawai dihantar ke Asia Tenggara untuk menyatakan kekesalan Rumah Putih mengenainya, selain ikut menyenarakan beberapa buah syarikat yang beroperasi di Malaysia, dan mengeksport peralatan tertentu yang digunakan membangunkan senjata nuklear dan peledak peluru berpandu.

Kunjungan Brian Nelson ke Malaysia pada bulan Mei lalu membawa maksud agar Malaysia tidak membantu Iran dan menyekat kemasukan dana ke Palestin menerusi Iran.

Walau bagaimanapun, Malaysia tetap bertegas, tidak akan mematuhi larangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat berhubung masalah tersebut.

Sebaliknya Malaysia bersedia mematuhi sebarang larangan yang ditetapkan oleh PBB.

Amerika Syarikat tidak berganjak dengan keputusannya, bahkan mengeluarkan senarai syarikat yang melakukan transaksi perdagangan dengan Iran.

Terbaharu, Amerika Syarikat mula mengenakan tekanan kepada mana-mana syarikat asal Amerika Syarikat yang beroperasi di luar negaranya agar tidak mengeksport semikondukter kepada China.

Kaitannya cukup jelas. Amerika Syarikat semasa pentadbiran Donald Trump melancarkan perang perdagangan dengan China.

Setelah Donald Trump kalah untuk menguasai Rumah Putih bagi penggal kedua, penggantinya, Joe Biden kekal melanjutkan perang perdagangan dengan China.

Oleh kerana China berjaya menandingi kehebatan teknologi telekomunikasi, dan kini pengeluaran kereta elektrik, maka eskport semikondukter dijadikan senjata bagi menggagalkan penguasaan China dalam dua bidang tersebut, iaitu telekomunikasi dan kereta elektrik.

China tidak patah semangat dengan tekanan itu.

Sebaliknya, Amerika Syarikat sangat tertekan apabila China berjaya menjadi mediator menyambung hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi yang terputus selama 7 tahun.

Kejayaan kedua China ialah menyatukan semula kelompok-kelompok pejuang Palestin menjadi satu kekuatan baharu untuk berhadapan dengan Israel.

Pemeteraian persetujuan Hamas, Fatah dan 12 lagi pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin menyebabkan Amerika Syarikat rasa tercabar. Ia tercabar kerana China mengambil inisiatif dan berjaya laksanakannya.

Imej China di mata masyarakat antarabangsa semakin menarik dan menyebabkan Joe Biden mungkin terkedu.

Dijangka, jika Joe Biden tidak menarik diri, dan jika beliau menang pada bulan November nanti, imej Amerika Syarikat akan terus terperosok.

Setakat ini, Joe Biden belum mampu ‘melawan’ kesungguhan China dalam memainkan peranan sebagai kuasa pengimbang. Ia adalah petunjuk kegagalan Amerika Syarikat yang pernah dijolok sebagai ‘polis dunia.’

Namun, jika Donald Trump kembali mentadbir Rumah Putih, Israel akan menjadi lebih besar kepada kerana keturunan imigran daripada Bavaria, Jerman daripada keturunan Yahudi Askhenazi.

Kelompok Yahudi inilah yang menjadi penganut Zionisme yang tidak ada nilai kemanusiaan, ganas dan sentiasa hidup dengan mencipta mitos, dan dalam sindrom penafian (denial syndrome), yang merupakan elit penjajah yang menjarah bumi Palestin.

Amerika Syarikat tercabar kerana tidak pernah berjaya untuk mengadakan perjanjian damai antara Palestin dan Israel.

Kegagalan tersebut dan kecemburuan terhadap penyatuan kelompok pejuang kemerdekaan Palestin itu menyebabkan Israel berada dalam keadaan yang lebih sukar.

Jika sebelumnya, selepas Yasser Arafat menanda tangani Perjanjian Oslo (1993), PLO yang dipimpinnya menjadi semakin tidak bermaya, akibatnya, ramai aktivis PLO berundur dan menyokong Hamas yang ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin. PLO menguasai Tebing Barat (West Bank), tetapi dikawal ketat oleh Israel.

Pada tahun 2006, Amerika Syarikat bersetuju diadakan pilihan raya Palestin, dengan andaian Fatah, parti politik sayap PLO dijangka akan mencapai kemenangan besar.

Namun, apa yang berlaku, Fatah berjaya memenangi Tebing Barat, manakala Gaza dimenangi oleh Hamas.

Keputusan tersebut menjadi punca perbalahan baharu, Israel dan Amerika Syarikat berusaha untuk melumpuhkan Hamas, sebaliknya mengiktiraf hanya Fatah yang menerajui Pihak Berkuasa Palestin (PNA).

Akibatnya, Israel melakukan serangan besar-besaran ke Gaza pada tahun 2008 dan menyebabkan ramai rakyat Palestin terkorban.

Keluarga Ismail Haniyeh merupakan penduduk Palestin yang terpaksa hidup di kem pelarian sejak negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948. Keluarganya berasal daripada Askhlon (sebelumnya dikenali sebagai Ashkalan dan Majdal).

Ismail dilahirkan pada 29 Januari 1962 di kem pelarian al-Shati, Semenanjung Gaza, yang dikawal oleh Mesir, selama dua tahun (1962-1963).

Selepas tercetusnya Perang Enam Hari (1967), Israel mengawal sepenuhnya Semenanjung Gaza, kecuali kawasan perbatasan dengan Mesir seperti Rafah.

Ismail merupakan graduan University Islam, Gaza. Mulai terbabit dengan Hamas setelah munculnya intifada pada tahun 1987, yakni selepas tamat belajar. Intifada pertama berakhir sebaik sahaja Yasser Arafat menandatangani Perjanjian Oslo (1993).

September 2000, muncul intifada kedua, yang juga dikenali sebagai intifadha al-Aqsa. Sehingga tahun 2005, intifadha kedua dilaporkan telah menyebabkan 5,000 penduduk Palestin dan 1,400 rakyat Israel terkorban.

Semasa di universiti, Ismail membabitkan diri dalam Blok Pelajar Islam (Islamic Student Bloc), sebuah pertubuhan yang secara meluasnya mendokong perjuangan Hamas.

Setelah berlakunya kebangkitan rakyat Palestin pada bulan Disember 1987, Ismail mengambil bahagian dalam protes terhadap penjajahan Israel, dan ketika itulah Ismail mula bertemu dengan Syeikh Ahmad Yassin, pengasas Hamas.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »