Malaysia menyokong pendirian Universiti Al-Azhar yang mengecam acara pembukaan temasya Olimpik Paris baru-baru ini kerana dilihat sengaja mempersenda agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata hak kebebasan bersuara dan berkarya tidak menghalalkan sebarang tindakan mempersenda kenabian

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan rasmi Al-Azhar Al-Sharif pada 28 Julai yang mengecam sekeras-kerasnya adegan-adegan yang dipaparkan pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris kerana menonjolkan unsur-unsur keterlaluan yang memperlecehkan kenabian yang suci dan agung atas nama kebebasan berkarya dan mencipta.

“Upacara pembukaan Sukan Olimpik yang diadakan pada 26 Julai lalu dengan penuh warna-warni di sepanjang Sungai Seine membawa satu kelainan berbanding upacara pembukaan sebelum ini.

“Namun keghairahan penganjur berkarya dan mencipta tanpa menghiraukan sensitiviti kepelbagaian agama, budaya dan kepercayaan dunia telah menjejaskan suasana kemeriahan pembukaan Sukan Olimpik 2024.

“Walaupun penganjur menafikan mereka mempunyai agenda tertentu dan tidak mempunyai mesej spesifik yang ingin disampaikan, namun watak-watak dan adegan yang dipersembahkan jelas tidak menghormati kepercayaan orang yang beragama yang percaya pada nilai, moral dan kemanusiaan yang luhur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis pembukaan sukan berpretij itu baru-baru ini mendapat kritikan masyarakat antarabangsa apabila mempamerkan aksi yang keterlaluan.

Calon pilihan raya Presiden AS mewakili Republikan, Donald Trump, menyifatkan ia sebagai “memalukan” kerana menampilkan acara yang keterlaluan.

Kremlin pula dipetik Arab News sebagai menyelar acara pembukaan itu yang mengalami pelbagai insiden di luar jangkaan serta menyifatkannya sebagai “kegagalan besar”.

Mohd Na’im berkata tindakan pengajur yang mempromosi budaya songsang turut dianggap berbahaya oleh pelbagai pihak.

“Ini termasuk mempromosi unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bercanggah dengan agama dan budaya sebahagian besar masyarakat dunia dan satu tindakan yang berbahaya.

“Perkara ini mengundang kemarahan masyarakat global yang mengimpikan keharmonian sejagat dicapai melalui penganjuran sukan yang berprestij serta menjalin hubungan erat sesama manusia,” katanya lagi

Sumber: malaysiakini.com

Translate »