Sebal rasa bila ada yang kondem, jika kita tidak bersetuju dengan apa yang ulama ucapkan, maka secara automatiknya kita dikatakan bencikan ulama. Saya tertanya-tanya, apakah itu merupakan hukum mandatori atau hanya bersifat persepsi?

Jika ia bersifat mandatori, bererti setiap kata-kata semuanya “betul dan benar”, mesti diterima dan ditelan tanpa soal. Sedangkan sebagai orang Islam, kita diajar bahawa tidak ada manusia tanpa berbuat salah dan kerana itu kita sentiasa diminta untuk bermuhasabah diri, serta berserah kepada-Nya untuk menentukan sama ada benar atau salah.

Premis bahawa ulama pewaris nabi, adalah benar, tetapi bukan semua ulama benar-benar boleh dikatakan sebagai pewaris nabi. Ulama yang meletakkan keseluruhan masa dan baktinya untuk berdakwah, tanpa memikirkan ‘kesenangan dunia’ itulah sebenarnya pewaris nabi, dan sentiasa bermuhasabah untuk mencari kebenaran serta mendekatkan diri dalam mencari redha-Nya.

Seperti diingatkan oleh peribahasa Melayu: Bumi mana tak ditimpa hujan, Laut mana yang tidak berombak, hatta padang pasir sekali pun yang dikatakan tandus, kering dan gersang tetap akan ditimpa hujan. Hujan pula turun dalam pelbagai bentuk: renyai-renyai (gerimis), lebat, bersama ribut, hujan air batu dan tanpa henti berjam-jam lamanya.

Hujan bagi sesetengah orang membawa harapan dan setengahnya pula disambut dengan resah. Akibatnya hujan tanpa henti dan lebat dalam jangka waktu tertentu, boleh menyebabkan banjir dan jika hadir bersama ribut, boleh menyebabkan bencana yang lain, berakhir dengan musibah yang lebih dahsyat.

Ketika musibah banjir akibat hujan melebihi kadar biasa, ramai pula yang mengeluarkan pendapat masing-masing, banjir mungkin tidak akan menyebabkan kehilangan yang dahsyat sekiranya fauna dan flora tidak diganggu. Begitulah juga dengan ulama, ulama yang berjuang di jalan Allah SWT akan ‘menyejukkan iklim (jiwa) kehidupan’ sebaliknya ulama yang oportunis akan menimbulkan ‘musibah kehidupan’.

Kita mungkin teringat dengan banjir yang melanda bahagian Hulu Kelantan pada tahun 2014, air termenung dan rumah-rumah dihempap oleh kayu balak. Atau kita kembali bersedih bila terkenangkan banjir besar di Lembah Klang (khususnya di Hulu Langat dan Shah Alam) yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

Ada yang mentafsirkan banjir terburuk itu sebagai karma yang dihadirkan oleh Allah SWT sebagai ‘peringatan kepada manusia’ agar tidak menarah bukit, menggondol hutan dan melakukan maksiat. Ia adalah balasan Allah SWT di atas kelalaian, tamak dan haloba manusia dalam mencairkan khazanah alam demi mendapatkan keuntungan material.

Firman Allah SWT dijadikan sandaran, bahawa bencana itu berlaku kerana akibat manusia yang merosakkan fauna dan flora: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (surah ar-Rum, ayat ke-41).

Menyorot perkara itu, Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki menulis:  Alam sekitar adalah antara amanah kepada umat manusia yang berperanan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.  Daripada kepelbagaian manfaat yang terhasil menerusi penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan baik, pelbagai nikmat yang boleh diperoleh manusia.

“Justeru, alam sekitar seharusnya dijaga sebaik mungkin kerana alam dan manusia saling bergantungan.

“Sepatutnya, alam semula jadi yang indah ini dipulihara dengan sebaik mungkin supaya krisis bencana alam yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.” (Harian Metro, 16 Januari 2020).

Begitu juga sengketa yang terjadi antara sesama manusia. Sejak generasi kedua lahir, iaitu dua orang putera Nabi Adam AS, Habil dan Qabil berlaku ‘permusuhan’ yang cukup tragis.

Adam AS dan Hawa, pasangan dari yang berasal daripada surga itu melahirkan dua pasangan kembar: Habil kembar sekandung dengan Labuda dan Qabil kembar sekandung dengan Iqlima. Setelah dua pasang anak kembar itu mencapai umur akil baligh, Allah SWT memerintahkan mereka dinikahkan rentas sekandung.

Qabil dicadangkan bernikah dengan Labuda manakala Habil dengan Iqlima. Oleh kerana rupa paras Iqlima lebih cantik daripada Labuda, Qabil tidak bersetuju dan muncul perasaan iri hati terhadap Habil. Qabil dirasuk syaitan untuk membunuh Habil bagi membolehkannya berkahwin dengan Labuda.

Nabi Adam AS yang enggan melanggar perintah Allah SWT kemudiannya mendapat petunjuk untuk menyelesaikan konflik terbabit. Sebagai penentu, Nabi Adam AS menganjurkan agar kedua puteranya mengajukan ‘hadiah’ dan daripada hadiah yang dibawa itu akan dinilai siapakah yang bakal berkahwin dengan Labuda.

Diriwayatkan bahawa Qabil mempunyai ladang pertanian manakala Habil mempunyai ternakan kambing. Setelah itu, kedua-dua saudara itu menyerahkan ‘kurban’nya sebagaimana disyaratkan. Habil memberikan hadiah ‘kurban’ dengan seekor kambing yang paling gemuk manakala Qabil pula menghadiahkan hasil tuaian pertanian yang paling tidak berkualiti (kualiti paling rendah).

Setelah itu, Allah SWT menurunkan api sebagai petunjuk dan tanda bahawa ‘kurban’ kedua-dua putera Adam AS itu diterima.  Secara alaminya, korban yang diberikan oleh Qabil lebih mudah dan cepat terbakar, api telah membakar ‘hadiah kurban’ tersebut.  Melihat kepada peristiwa itu, Qabil menjadi sangat marah dan berkata: Sungguh aku benar-benar akan membunuhmu hingga engkau jadi menikahi saudara perempuan kembarku.”

Habil menjawab: Sesungguhnya, Allah hanya menerima (kurban) dari orang-orang yang bertakwa. Namun, kata-kata itu tidak mampu menyekat kemarahan Qabil, dan dalam surah al-Maidah, ayat ke-28, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan mengerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Susungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam.”

Dua putera yang dilahirkan oleh ibu dan bapa yang sama, Adam AS dan Hawa AS, secara fitrahnya memiliki dua sifat dan peribadi yang berbeza. Habil adalah seorang yang lemah lembut, dipenuhi dengan iman dan taqwa, tidak berpendirian ‘kejahatan harus dibalas dengan kejahatan’, sebaliknya, berserah kepada kententuan-Nya.

Berbeza dengan Qabil, mempunyai jiwa yang keras dan peribadi yang cenderung ‘matlamat menghalalkan cara’, dengan hati yang keras membunuh saudaranya, Qabil hanya kerana ingin beristerikan Labuda, yang dicadang akan dijodohkan dengan Habil, dengan asas tidak sekandung dari segi kelahirannya (serahim).

Ada juga riwayat mengisahkan, selepas pergaduhan itu, Qabil mendapat inspirasi bagaimana caranya menyempurnakan jenazah saudaranya daripada pengetahuan daripada cara seekor burung gagak (yang menang) menanam bangkai seekor lagi burung gagak (yang kalah). Dua ekor burung gagak itu bergaduh antara mereka, akhirnya salah seekor menjadi korban tragis.

Ia sama dengan kisah perseteruan antara dua saudara, Qabil dan Habil.  Habil terkorban dan dibunuh oleh saudaranya sendiri, Qabil. Setelah menyaksikan ‘perang gagak’ itu, Qabil berkata: Duhai celakanya aku. Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku?.” Akhirnya, Qabil berbuat demikian, dan menguburkan jenazah saudaranya, Habil sebagaimana dilihat seekor gagak yang menang menguburkan seekor burung gagak yang kalah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Oleh kerana itu, Kami menetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil bahawa siapa yang membunuh seseorang bukan kerana (orang yang dibunuh itu) telah membunuh orang lain atau kerana telah berbuat kerusakan di bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua manusia). Sebaliknya, siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, dia seakan-akan telah memelihara kehidupan semua manusia. Sungguh, rasul-rasul Kami benar-benar telah datang kepada mereka dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas. Kemudian, sesunguhnya banyak di antara mereka setelah itu melampaui batas.” (surah al-Maidah, ayat k-32).

Secara fitrahnya, manusia adalah makhluk terbaik yang Allah SWT ciptakan dan sangat berbeza dengan lain-lain makhluk yang hidup. Di celah-celah kehidupan manusia itulah Allah SWT mengirimkan para Nabi dan Rasul untuk mengajar manusia (sebagai petunjuk hidup, live role model) untuk menjadikan setiap manusia (pengikutnya) sebagai masyarakat yang beradab dan bertaqwa, yakni tidak meletakkan kehendak hidup semata-mata berpaksikan nafsu.

Atau dalam istilah psikologi tingkah laku ialah untuk mencapai kesenangan diri semata-mata kerana diri sendiri (selfish) dan hanya berkisar kepada ‘kehendak-kehendak’ yang tidak pernah puas. Manusia mempunyai kehendak-kehendak yang tidak terbatas, dan kehendak-kehendak (needs) itulah menjadi peransang (motivasi) berbuat apa sahaja asalkan dapat ‘meraih kepuasan peribadi’, (sekadar bayangan) biarpun kadangkala melanggar kehendak-kehendak orang lain.

Inilah yang terjadi dalam setiap masa dalam sejarah peradaban manusia sehingga menimbulkan pelbagai sengketa, tragedi dan konflik yang tidak pernah selesai secara mutlaknya. Seorang pengamal sufi Abad Pertengahan, Fakhruddin al-Razi (Muhammad bin Umar bin al-Husayn al-Razi al-Bakri, yang lahir pada 25 Ramadhan 543/544H (1148/1148M) dan meninggal 1 Syawal 606H/ 4 April 1210M) berkata:

“…apabila seseorang dapat mengecapi apa yang disukainya…perlu kita sedar bahawa ‘perkara yang disukai’ tidak semestinya perkara yang bermanfaat dan ada pula yang berbahaya.”

Al-Razi menghuraikan dua kontinuum – yang disukai dan yang dibenci – dengan memberikan makna terhadapnya berdasarkan perkiraan ‘kelazatan’ yang manusia rasai, fikir dan akibatnya, kerana di sebalik ‘kelazatan’ akan muncul bersamanya ‘kemudharatan’ atau dipanggilnya ‘kelazatan yang tercela.’ Umpama kita rasa enak bila kopi yang pahit dan kita minum jika dimasukkan gula, sehingga aroma pahit kopi ‘hilang’.

Namun, akhirnya, akibat kelazatan itu kita boleh menyebabkan masalah kesihatan apabila gula berlebihan dan kopinya tersangat manis. Ia melibatkan proses yang lama, kerana badan setiap daripada kita memerlukan gula sebagai tenaga, tetapi gula berlebihan boleh mengakibatkan diabetes, mengumpul kolestrol jahat dan menjadi punca cepatnya merebak sel-sel kanser.

Dalam risalahnya, al-Matalib al-Aliyah (terjemahan Risalah Tentang Kelazatan Yang Tercela (Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn Bhd, cetakan ke-2, 2024), membahagikan kelazatan dalam kehidupan dunia kepada tiga: kelazatan inderawi, kelazatan khayali dan kelazatan aqli. Kelazatan inderawi dirujuk sebagai kelazatan (keseronokan) yang diraih menerusi pancaindera yang lima –indera batin dan indera zahir – tetap ada batasnya, terutama indera zahir.

Kelazatan khayali (imagination) adalah keseronokan yang hadir menerusi aktiviti khayalan (fantasi) atau membayangkan (shadow thinking seperti keseronokan masa lampau atau nostalgia) manakala kelazatan aqli, dapat dinikmati menerusi kaedah berfikir terhadap sesuatu perkara dan apa yang difikirkan itu dapat disingkap makna atau bentuknya. Sifat kelazatan khayali dan kelazatan aqli masing-masing terhasil melalui proses berfikir atau refleksi namun ia berada dalam keadaan niskala (bukan wujud fizikal). Antara kelazatan khayali perlu disepadankan dengan kelazatan inderawi, dan kelazatan aqli pula dicapai menerusi kekuatan akal.

Itulah yang menyebabkan manusia sentiasa berjuang untuk mencapai kelazatan aqli, kerana kelazatan itu dilihat sebagai ‘puncak segala-galanya’ setelah mereka meraih kelazatan inderawi. Kelazatan aqli juga menyebabkan muncul pelbagai situasi yang antara satu dengan lain bertentangan sehingga menyebabkan berlakunya konflik. Konflik yang tidak dapat dikawal itulah membawa kepada krisis dan sengketa atau perlawanan, sehingga boleh mencetuskan keburukan yang fatal.

Habil merasakan ‘kelazatan khayali’ dengan beristerikan Lambuda yang cantik, hatinya akan menjadi tenang (bahagia) dan merasa bangga. Pada satu peringkat (imaginasi) ia mungkin ada benarnya, tetapi dalam perihal yang lain ia tidak semestinya bahagia itu berkekalan, kerana kebahagiaan itu sangat relative atau subjektive, bergantung kepada nilai manusia dalam mentafsirkannya.

Kebahagiaan sebenar adalah kebahagiaan yang hadir dalam diri (jiwa dan hati) yang tulus ikhlas, kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab dan ketenang minda yang bersandarkan kepada ketentuan-ketentuan yang diatur antara kepatuhan ‘perintah dan larangan’. Itulah sebabnya secara tuntasnya kebahagiaan itu tidak diletakkan kepada tahap kepemilikan material (kebendaan) tetapi kepada hati dan minda yang tenang. (Malik Badri, Memelihara Jiwa:Petua Daripada Tabib Kurun ke-9 (Abu Zayd al-Balki), edisi terjemahan bahasa Melayu, K.Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd., cetakan ke-2, 2024)

Sejak perang saudara antara Habil dan Qabil, konflik terjadi di setiap penjuru kehidupan sehingga berlakunya keruntuhan fatal sejarah peradaban manusia, perang merebut harta (dalam kalangan ahli keluarga), perang saudara (akibat perbezaan pendirian), perang antara etnik, kaum, kelompok dan negara. Semuanya berlaku kerana terdorong oleh kerakusan hawa nafsu.

Kehidupan yang berpaksikan hawa nafsu itulah menjadi manusia bukan sekumpulan masyarakat yang beradab, manusia yang terhasil adalah manusia anti-sosial dan hidup dalam kemilau kebendaan. Untuk mengawal, memandu manusia menjalani kehidupan berdasarkan fitrah kehidupan yang beradab, bermasyarakat dan saling bekerjasama, Nabi-Nabi dan Rasul-rasul dihadirkan sebagai petunjuk.

Petunjuk itu kemudian diwarisi sebagai ‘ilmu hidup’ dan ilmu-ilmu itu seterusnya berkembang berdasarkan perkembangan pemikiran manusia. Perihal untuk menyelesaikan masalah kehidupan yang muncul kemudiannya, selari dengan peredaran masa dan tuntutan ‘ubah suai (improvement)’ berdasarkan semangat zaman.

Namun, semangat zaman dan cabaran semasa telah menyebabkan pemikiran dan asas-asas agama dikesampingkan, sehingga hanya dilihat daripada perspektif ritualnya, bukan sebagai kerangka gaya hidup. Inilah yang berbeza di antara pemikiran masyarakat dan ketentuan Islam.

Dalam masyarakat bukan Islam, ilmu dilihat semata-mata sebagai kemajuan dan pembaharuan, tidak ada kaitannya dengan sikap dan fahaman keagamaan. Dalam masyarakat bukan Islam, agama semakin diterima sebagai salah satu ciri budaya, dan budaya pula dilihat sebagai kerangka dalam penentuan cara hidup.

Islam sangat berbeza. Ini kerana Islam merupakan cara hidup (ad-deen), dan kehadirannya akan menentukan corak budaya. Islam tidak dilihat sebagai salah satu ciri budaya, sebaliknya, budaya itu dicorakkan oleh faktor keagamaan. Namun, disebabkan oleh berlakunya perubahan falsafah pendidikan, kehadiran ilmu-ilmu yang terlalu empirik menyebabkan perspektif agama diukur sebagai faktor yang terpisah dan bersepadu kerangkanya.

Akhirnya, masyarakat Islam semakin bergeser dengan pelbagai fahaman dan aliran pemikiran sehingga mereka terjebak dengan ‘pesona dunia’ melampaui makna kehidupan sebenarnya yang dipolakan oleh adab dan peraturan-peraturan keagamaan.

Hal inilah yang menyebabkan Imam al-Ghazali terus menggali perspektif keilmuan dan kepentingannya dalam Islam, bukan hanya untuk meraih kedudukan dan memenuhi matlamat keduniaan semata-mata, termasuk menentukan hakikat kemasyarakatan (berorganisasi atas kepentingan kuasa semata-mata), ia wajib diselaraskan dengan hakikat dan keperluan manusia secara luaran dan dalaman (spiritual).

Dengan tegasnya, Imam al-Ghazali (memetik pandangan Ibnu al-Mubarak) menjelaskan: “…hanya orang yang berilmu termasuk dalam kalangan manusia, kerana ilmu membezakan antara manusia dengan binatang ternakan. Manusia itu mulia kerana ilmu yang dimilikinya, bukan kerana kekuatan yang ada padanya, bahkan unta lebih kuat daripada manusia. Bukan kerana siaznya, malah gajah lebih besar daripada manusia. Bukan kerana sifat beraninya, kerana singa ternyata lebih berani daripada manusia. Bukan kerana kuat makannya, kerana perut seladang lebih besar daripada manusia. Malah bukan kerana kekuatan nafsunya, kerana sekecil-kecil burung pun lebih banyak mengawan daripada manusia. Bahkan manusia dicipta kerana sifat berilmunya.” (Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin: Menghidupkan Ilmu Agama, Jilid 1 (Kitab Ilmu) terjemahan Mohamad Helmi Marjunit dan Zahid M Nasir, K.Lumpur: IBDE Ilham Sdn, Bhd., cetakan kedua, 2023, hal. 22)

Hanya nabi-nabi dan para rasul sahaja yang tidak berbuat salah, dan dikategorikan sebagai ‘maksum’. Nabi-nabi dan rasul-rasul mendapat petunjuk langsung daripada Allah SWT, yang kemudiannya, para nabi dan rasul mengajarkan kepada manusia bagaimana ‘hidup lebih baik’ dan berproses untuk ‘mencari keredhaan-Nya’.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »