“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahas dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” – (Surah An-Nahl, Ayat 125)
Wujudkah ruang untuk berhibur dalam Islam? Dan sejauh manakah umat Islam dapat menikmatinya? Jika dua persoalan ini ditimbulkan kepada ramai umat Islam, jawapannya hampir-hampir menimbulkan ketidakpastian.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah berhujah bahawa, “Islam tidak mensyaratkan bahawa percakapan umat Islam harus dipenuhi ucapan yang soleh sepenuhnya, bahawa diamnya mereka adalah meditasi, bahawa mereka hanya boleh mendengar bacaan al-Quran, dan bahawa semestinya menghabiskan masa lapang mereka di masjid. Sebaliknya, Islam mengakui bahawa Allah telah menciptakan manusia dengan keperluan dan keinginan, sehingga, kerana mereka perlu makan dan minum, mereka juga perlu berehat, dan bersenang-senang”.
Sebagai agama yang menepati keperluan fitrah, Islam tidak menghalang umatnya berhibur, namun hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam.
Syariat Islam diturunkan bukanlah untuk menyekat kebebasan manusia, tetapi bertujuan untuk mengawal dan mengatur keperluan manusia, untuk menjamin kesejahteran dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan. Justeru itu, hiburan dalam Islam adalah sesuatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Ia bukan hanya untuk mencari keseronokan semata-mata, atau memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan. Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani. Sebagai contoh, hiburan muzik yang diharuskan, adalah muzik yang berilmu, dan membawa kepada kemurnian hati sanubari insan.
Tetapi muzik yang bersifat kejahilan, merangsang kegelisahan hati atau nafsu adalah dilarang sama sekali. Seni kata lagu juga harus mengandungi mesej ke arah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan terhadap wanita secara berlebih-lebihan misalnya, terkandung kesesatan nafsu seksual dan erotisisme adalah haram.
Sudah menjadi fitrah bagi golongan muda untuk berseronok dan berhibur, kerana ia sesuai dengan jiwa muda mereka yang sedang mencari identiti diri. Tatkala mencari identiti muncul sifat ingin tahu dan sifat ingin mencuba sesuatu yang baharu. Golongan muda ini adalah yang paling terdedah dan paling senang dipengaruhi oleh hiburan tanpa batas. Keruntuhan akhlak remaja pada hari ini banyak disebabkan oleh terlalu asyik berhibur tanpa had, sehingga terjebak kepada masalah gejala sosial seperti minum arak, seks bebas, pengambilan dadah dan sebagainya.
Budaya hedonisme yang meresap masuk kedalam jiwa remaja pada hari ini, sebahagian besar adalah disebabkan pengaruh hiburan seperti muzik dan filem. Media massa dan media sosial menjadi penyumbang utama yang menyebabkan remaja terjebak dengan budaya ini, yang sememangnya dikuasai oleh tamadun barat.
Menjadi tanggungjawab pengamal media dan pembangun konten, untuk hidupkan kembali minat masyarakat kepada hiburan yang menjauhi hedonisme barat. Malaysia pada dekad 90-an contohnya, telah berjaya melahirkan budaya hiburan yang unik, di mana kita melihat timbulnya kumpulan-kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz, yang berjaya menjadikan hiburan islamik sebagai hiburan arus perdana. Maka ia menunjukkan bahawa usaha ini tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Sememangnya Islam tidak merestui ekspresi keindahan yang terlepas dari nilai-nilai luhur, tetapi Islam sangat merestui dan mendorong semua yang menampilkan keindahan yang sesuai dgn nilai-nilai moral dan jati diri manusia. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang tinggi dalam hiburan akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga menjadikan bangsa itu terhormat lagi disegani. Dengan demikian, kemajuan ekonomi dan teknologi akan berjalan seiring dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat kita yang berbilang kaum.
Gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam generasi muda kini pula, merupakan suatu cabaran besar kepada pembangunan masyarakat Madani. Maka perlu menghidupkan nilai akhlak dalam program-program hiburan, dan tingkatkan kreativiti, supaya dapat mengatasi cabaran ini.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments