Islam telah meletakkan perayaan sebagai suatu ibadah dan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru, syarak telah menyediakan garis panduan menyeluruh berhubung tarikh, masa, tatacara sambutan dan sebagainya. Jelasnya, perayaan dalam Islam hendaklah disambut dan diraikan berdasarkan garis panduan syarak serta perlu dijauhi daripada adat dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Namun sebahagian besar umat Islam belum memahami hakikat bahawa perayaan dalam agama, merupakan hadiah dari Allah SWT. Perayaan yang disambut dalam bentuk kegembiraan, kerana memperoleh keampunan dan dijauhkan daripada api neraka. Hadiah-hadiah ini disambut setelah seorang hamba bertungkus lumus mengerjakan tuntutan tertentu dengan ikhlas. Hari-hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha, dan juga Sayyidul Ayyam hari Jumaat, merupakan hadiah-hadiah dari Allah Yang Maha Pemberi.
Perayaan bukan sekadar meraikan hari raya dengan kegembiraan, juadah beraneka warna dan baju sedondon, sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam yang keliru. Matlamat perayaan dalam Islam adalah jelas iaitu mengajak umat Islam agar kembali kepada Allah SWT, seterusnya menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Justeru perayaan dalam Islam mengajak kita agar kembali kepada) Allah SWT, pada setiap urusan kehidupan kita. Insan yang berjaya menunaikan perintah ibadah dan melepasi ujianNya, wajar bergembira atas nikmat ini. Kegembiraan pada hari raya adalah kemuncak ketaatan dan ‘ubudiyyah kepada Allah SWT.
Allah juga telah menghiasi bumi dan langit. Semua dipersilakan menikmatinya dalam batas yang dibolehkan Allah. Memang tempat kehidupan di pentas ini dinamakan ‘Dunya’, yang dalam bahasa aslinya bermaksud dekat dan rendah, bahkan hina. Kedekatan dan kerendahan itu adalah jika dibandingkan dengan pasangannya iaitu ‘Akhirah’, yang terasa masih jauh, namun kekal dan mulia. Tetapi kerendahan dan kehinaan itu dapat menjadi jalan menuju kemuliaan dan keluhuran, apabila penghuni Dunya menghiasinya dengan nilai ilahi. Allah SWT mengingatkan kita di dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai.” – (QS Al-Hadid, Ayat
Kegembiraan ketika menyambut perayaan Islam, sepatutnya adalah kerana mendapat jaminan keampunan, dan terlepasnya seorang hamba daripada api neraka. Ia disambut seiringan dengan sentiasa mengingati Allah SWT, dan rasa syukur dengan segala pemberian-Nya. Sedangkan perayaan yang hanya disambut dengan keseronokan, pesta makanan hingga membazir dan bermegah-megah, hanya akan membawa kepada kelalaian akibat melayani gejolak nafsu. Perayaan yang dicemari dengan acara maksiat bukan gambaran sebenar mukmin yang gembira melaksanakan ibadah dan perintah Allah SWT.
Setiap sambutan perayaan dalam Islam, sebenarnya adalah kerana ia merupakan anugerah Allah SWT, lantaran kita memenuhi kehendakNya, serta bernatijahkan dengan keampunan dan kebebasan dari azab neraka-Nya. Begitu banyak hadiah-hadiah dari Allah yang boleh dinikmati oleh mukmin dengan menekuni amalan-amalan yang membolehkannya memperoleh hadiah-hadiah ini. Selain ibadah-ibadah harian yang diraikan antara satu
Jumaat hingga ke Jumaat berikutnya, ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mengembalikan seorang muslim kepada fitrah dan kesucian, kita juga semakin hampir dengan 10 hari terawal Dzulhijjah, yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A. Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud; (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah, al-Tirmizi)
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (Baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
Maka, marilah kita beramal dan perbanyakkan amal kebajikan sempena 10 hari awal Dzulhijjah, dan bersedia untuk menyambut Aidiladha dengan kefahaman perayaan Islam yang sebenar. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa melakukan amal soleh, sebagai bekalan di akhirat kelak.
“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” – (QS Al-Qasas, Ayat 83)
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments