Hari Raya Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri.
Bersandarkan aspek sejarah, ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat Madinah merayakan dua Hari Raya yang mereka warisi sejak zaman jahiliah lagi. Perayaan tersebut ialah `Nairus’ dan `Nahrajan’ iaitu hari besar yang berasal dari zaman Parsi Kuno. Perayaan ini dirayakan dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, meminum minuman yang memabukkan serta hidangan juadah yang mewah serta pelbagai.
Justeru, sebagai seorang pemimpin, Rasulullah s.a.w melihat jauh ke hadapan dan sentiasa mengambil kira faktor psikologi yang subur di kalangan masyarakat ketika itu. Atas dasar itulah, baginda telah mengubah sambutan perayaan itu supaya memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadi ibadah. Baginda Rasulullah menetapkan dua jenis hari besar yang perlu dirayakan oleh umat Islam iaitu seperti yang dijelaskan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasai:
“Sesungguhnya Allah menukar kedua Hari Raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Hari Raya `Aidil Adha’ dan `Aidilfitri.”
Apakah nilai-nilai yang dapat dipetik daripada peristiwa Aidilfitri ini? Unsur pertama adalah mewujudkan hubungan antara `Khalik’ sebagai pencipta dengan makhluk sebagai objek. Unsur kedua pula adalah berlegar sekitar hubungan `habluminnas’ atau kasih sayang sesama makhluk.
Unsur pertama dilakukan dengan menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah, mengagungkan asma-Nya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid iaitu `Allahu akbar, la ilaha illallah, wa lillahil hamd.’ yang bermaksud Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah yang berhak menerima puji-pujian. Kemudian, diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Unsur kedua terlaksana pada saat menjelang Hari Raya Aidilfitri iaitu dengan menunjukkan simpati kepada kaum yang lemah dan melarat dengan membayar zakat fitrah untuk fakir miskin. Dalam pada itu umat Islam dituntut mengeratkan hubungan sesama manusia dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Gabungan kedua-dua unsur yang terbit daripada hikmah Aidilfitri itulah yang memberikan jaminan menghindarkan umat manusia daripada kehinaan, kehancuran dan perpecahan.
Dalam tradisi kunjung-mengunjung, umat Islam saling mendoakan mudah-mudahan Allah akan menerima segala amal mereka, terutama ibadah puasa yang baru saja selesai dilaksanakan.
Semoga mereka dikurniakan Allah darjat `insan muttaqin’ yang merupakan kesan dan nilai utama daripada ibadah puasa yang dilakukan.
`Insan muttaqin’ adalah satu darjat yang tertinggi dalam kehidupan manusia yang beragama Islam. Insan yang bermakam di darjat ini adalah seorang yang memiliki watak dan sikap takwa. Sifat takwa itu tidak ubah seperti mutiara yang bersinar-sinar yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya dan sentiasa menjauhkan diri daripada larangan-Nya.
Sebenarnya perkataan takwa itu mencakupi seluruh kehidupan di alam maya ini. Antara sifat-sifat orang yang bertakwa (insan muttaqin) ialah pemurah dalam segala keadaan, baik waktu kaya mahupun ketika miskin, bersikap sabar dan tenang menghadapi masalah, pemaaf dan bukan bersifat pendendam, sentiasa berbuat kebajikan, sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
Persoalan pokoknya, bagaimanakah cara-cara merayakan hari besar ini yang merupakan sunnah Nabi? Kemuncak merayakan Aidilfitri ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai satu cara melahirkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan kemenangan kepada umat Islam selama berpuasa melawan hawa nafsu. Jika dilihat dari sudut hukum `ubudiyyah’, menunaikan solat Aidilfitri hanyalah `sunat muakkad’, satu sunat yang sangat dituntut. Lebih-lebih lagi menurut pandangan Islam, Rasulullah telah menganjurkan supaya umat Islam pergi ke kawasan lapang menunaikan solat Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Kaum-kaum perempuan, kanak-kanak dan kaum wanita yang uzur akibat haid dan nifas, juga disarankan menghadiri solat Aidilfitri biarpun tidak dapat menunaikannya kerana uzur syarie. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memanfaatkan khutbah Hari Raya yang dibacakan oleh khatib.
Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kalau kita tidak mempunyai pakaian untuk pergi ke tempat solat Aidilfitri itu?” Rasulullah menjawab; “Orang yang mempunyai dua persalinan pakaian hendaklah meminjamkan kepada saudaranya.”
Menurut ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan “Taqaballahu minna wa minkum” yang bermaksud `mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan’. Selain daripada itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan `Minal aidin wal faizin’ yang bererti `mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar’. Diceritakan bahawa mengucapkan kata-kata `Minal aidin wal faizin’ itu adalah kebiasaan para sahabat di zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.
Dalam satu riwayat, para sahabat Rasulullah bertemu sesama mereka pada Hari Raya Aidilfitri mereka akan mengucapkan “Mudah-mudahan Allah menerima amal kami dan amal kamu. Taqabballahu minna wa minkum. (Hadis riwayat Ahmad).
Cara kedua meraikan Aidilfitri ialah dengan melafazkan kalimah takbir, tahlil, tahmid, yang berbunyi `Allahu akbar, la ilaha ilallah, walillahil hamd’ yang bermaksud `Allah Maha Agung, tiada Tuhan selain Allah, dan Dialah yang harus dipuji’. Kalimah suci ini diiringi pula dengan ikrar `Shadaqa wa’dah, wa nashara abdah, wa a azzajun wahazamal ahza bawahdah’, yang bermaksud `Allah sentiasa benar janji-Nya, menolong hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya, menghalau kekuatan musuh dengan kekuatan-Nya sendiri’. Ikrar seperti inilah yang memperkuat semangat tauhid dan memberikan optimistik (pengharapan) umat Islam pada masa hadapan.
Cara yang ketiga adalah dengan mengeluarkan zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam, tidak kira besar atau kecil, tua atau muda, Kaya atau miskin, lelaki atau wanita sehinggalah kepada golongan hamba atau merdeka. Keutamaan zakat fitrah ini adalah untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim. Falsafah dan hikmah menunaikan zakat fitrah ini adalah untuk memastikan tidak adanya orang yang miskin dan melarat atau menderita kebuluran pada Hari Raya Aidilfitri. Inilah satu-satunya perayaan yang bersangkut paut dengan hubungan manusia sesama manusia serta terkandung unsur-unsur sosial dan kemasyarakatan yang tinggi nilainya.
Dalam konteks umat Islam di Malaysia, seharusnya sambutan ini dilihat sebagai satu semangat untuk memperkembangkan lagi syiar Islam supaya lebih mengesankan. Oleh yang demikian, masyarakat Islam di negara ini seharusnya tidak terkeliru yang seolah-olah menganggap Hari Raya sebagai satu hari untuk bersuka-suka sahaja seperti yang diiklankan oleh sebuah saluran televisyen. Dalam pada itu, sambutan Aidilfitri tidak disambut secara lahiriah sahaja sebaliknya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Amalan berhutang dan membuat persediaan berlebih-lebihan sudah menjadi amalan tradisi sesetengah masyarakat Islam di negara kita. Mereka sanggup bergadai dan berhutang asalkan persiapan Hari Raya dapat dilengkapkan selengkap-lengkapnya. Terdapat segelintir orang yang tidak berpuasa memberikan pelbagai alasan tetapi merupakan orang pertama yang paling ghairah membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya.
Perbuatan meniru budaya dan adat agama lain sewaktu meraikan Hari Raya Aidilfitri juga seharusnya dihindarkan. Sebagai contoh, setiap kali menyambut Hari Raya, segelintir umat Islam sanggup berhabis duit untuk membeli mercun sedangkan amalan membazir ini hanya akan menguntungkan bangsa lain.
Seharusnya Hari Raya Aidilfitri ini menjadi medan untuk kita umat Islam menilai segala usaha dan perjuangan yang telah kita lakukan pada tahun-tahun yang lalu. Kita harus segera merenung dan bertafakur apakah umur yang kita telah lalui diredai oleh Allah? Kita perlu melakukan intropeksi, apakah neraca kehidupan kita lebih berat kepada amalan baik ataupun amalan kejahatan?
Dengan kesedaran yang sedemikian, apa yang diharapkan adalah setiap orang akan berusaha memperbaiki diri dan posisi dalam kehidupan supaya tidak menjadi orang-orang yang rugi, baik dari segi kehidupan individu mahupun kehidupan bermasyarakat.
Oleh: Mohd Shauki Abd. Majid
Recent Comments