Lailatul Qadar, Malam Suratan Takdir, malam bertemunya Langit dan Bumi untuk mengisytiharkan tanzil nan bersejarah perutusan wahyu Ilahi dalam bahasa Arab!
Lailatul Qadar, Malam Perkasa tatkala bertemunya Langit dengan Bumi bagi merayakan keberangkatan tiba diraja al-Haqq (Kebenaran) dalam istana kalbu Muhammad kekasih Allah yang nirmala lagi murni. Benarlah firman-Mu Ya Allah! “Telah datang kebenaran lalu hilang lenyaplah kepalsuan: sesungguhnya kepalsuan mudah lenyap.” Ketahuilah bahawa kepalsuan itu laksana fatamorgana di tengah gurun kerohanian!
Lailatul Qadar, Malam Ketenangan dan Keindahan, malam yang menjadi saksi bagi persilangan yang menakjubkan antara Keabadian dengan Kefanaan dalam jiwa-jiwa para mukmin agar mereka dapat turut merasai kemanisan pengalaman rohaniah Nabi Muhammad.
Hanya sanya Allah jualah yang mengetahui waktu tepatnya Lailatul Qadar! Apakah lagi yang hendak dirungsingkan? Bukankah Dia telah berfirman, “Ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingati kalian! Ayuh! Marilah kita mengingati-Nya dengan sebaik-baik zikir di sepertiga terakhir pada malam-malam Ramadan, mudah-mudahan Lautan Ridwan-Nya melimpah ruah ke dalam sanubari kita sehingga menjadikannya tasik-tasik kedamaian dan kebahagiaan nan indah permai!
Osman Bakar
24 Ramadan 1445/4 April 2024
Recent Comments