PAS mungkin merasakan, jika mereka ‘bergabung mempertahankan isu stoking’, ia bakal memperlihatkan pendirian yang bersebelahan dengan sekutunya. PN tidak membuat sebarang keputusan mengenai isu tersebut, bahkan Gerakan sudah menyuarakan bahawa gabungan yang disertainya itu ‘tidak berminat’ ikut bersama.

Keputusan tersebut sedikit sebanyak memberikan kita gambaran bahawa dalam persoalan agama, PN tidak bersedia melakukan tindakan ‘membantah’ disebabkan takutnya mereka kepada bayang-bayang politik yang sudah kelihatan menyebelahi UMNO. Ia cukup berbeza dengan apa pernah dilaksanakan oleh PAS ketika mempersoalkan keputusan KDN menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland dan pemansuhan 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan.

PN cukup menentang apa sahaja keputusan yang dilaksanakan oleh UMNO. Bagi PAS, jika UMNO memperjuangan sesuatu isu terlebih dahulu, dengan menyokong atau bergabung ‘membantah’ parti itu akan dianggap cukup bersandiwara dan ia berbeza dengan parti-parti lain. Mungkin pada anggapan PAS, jika bersatu atau menyokong perjuangan sedemikian, ia akan menimbulkan imej sebagai ‘pak turut’ atau tenggelam dalam suara-suara lantang parti lain yang pernah ia ‘bermusuh’.

Sekaligus membawa makna bahawa PAS hanya akan mengeksploitasi isu yang akan memberikan gambaran bahawa perjuangannya benar-benar membawa pemekaran imej sebagai pelopor memperjuangkan Islam atau pemimpin Islam di atas kelompongan kelompok-kelompok lain.

Biarpun MCA dan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan, atas kepentingan ekonomi mereka boleh bersatu menyatakan pendirian, apatah lagi dengan membuat bantahan atau memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart persoalan kaum tetap menjadi keutamaan. Dua parti itu sedar, KK Mart mempunyai kekuatan ekonomi yang besar, dan keuntunganya juga cukup menarik.

KK Mart diasaskan oleh pasangan suami isteri yang berasal dari Sarawak, dan dalam kes ini sedikit sebanyak memperlihatkan parti-parti dari Sarawak tidak bersama menyuarakan pandangan terhadapnya, mengecam dan memberikan nasihat berhubung dengan apa yang berlaku. Ia seolah-olah membayangkan parti-parti dari Sarawak mahukan isu tersebut ditamatkan segera atas faktor kepentingan Sarawak dan perpaduan antara kaum.

Dianggarkan seluruh rangkaian kedai serbaneka KK Mart mampu meraih keuntungan sekitar RM 1.5 juta setiap minggu. Ini bermakna, dalam sebulan KK Mart di seluruh negara memberikan keuntungan bejumlah RM 45 juta.  Jika boikot benar-benar memberikan kesan kepada perniagaan KK Mart, dalam tempoh dua minggu (13 hingga 27 Mac 2024) ia telah menyebabkan syarikat itu kehilangan keuntungan berjumlah RM 3 juta.

Ia menjadi suatu kehilangan yang cukup dirasai dan pada masa yang sama menunjukkan apa yang dipelopori oleh Dr Akmal Salleh merekodkan kejayaan awal. Sekiranya berterusan dalam tempoh yang lama, misi boikot mungkin tercapai. .

Sebelum ini, akibat boikot mana-mana produk yang syarikat pengeluarnya (termasuk pemilik francais) menyokong keganasan dan genosid Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023, turut merasai kesannya. Pemilik rangkaian minuman kopi yang beribupejabat di Seatle, Amerika Syarikat, iaitu Starbucks yang ada cawangannya di Malaysia, yang diuruskan oleh Berjaya Food telah mengakui kemerosotan perniagaannya.

Sebuah cawangan Starbucks di Subang Jaya dilaporkan telah ditutup, sama ada kaitan yang jelas dengan boikot terhadap mana-mana entiti yang menyokong keganasan Israel atau tidak, ia tetap dianggap telah alami kemerosotan pelanggan dan beroperasi dalam situasi kerugian yang besar.

Mungkin ada faktor lain yang ikut mempengaruhi, namun gambaran umum tetap dikaitkan dengan kesan boikot Israel kerana penutupannya setelah diumumkan Starbucks rugi besar dan dalam masa boikot Israel masih belum reda.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Berjaya Food. Bagaimanapun visual tentang penutupannya cukup tertular di media sosial dengan caption “permanent close’ menerusi aplikasi Google. Ia menjadi suatu pengalaman pahit oleh Starbucks. Ia juga memberikan pengajaran buat pengasas Kumpulan Berjaya sehingga merayu agar boikot tersebut dihentikan walaupun ramai orang Melayu menyindir kenyataan tersebut, bukan orang Melayu yang rugi, tetapi taikun yang rugi.

Benar ada ramai pekerja Starbucks adalah orang Melayu, yang bakal kehilangan pekerjaan sekiranya rangkaian penjual kopi premium dari Amerika Syarikat itu ditutup, namun yang sangat orang Melayu tekankan ialah secara tidak langsung menolak perlakuan dan tekanan oligarki. Oleh kerana mahu menjaga kepentingan taikun atau sistem oligarki, maka orang Melayu perlu tunduk kuasa yang ada pada sistem itu. Itu tidak sanggup dilakukan oleh lebih ramai orang Melayu.

Mungkin ada faktor lain yang ikut mempengaruhi, namun gambaran umum tetap dikaitkan dengan kesan boikot Israel kerana penutupannya setelah diumumkan Starbucks rugi besar dan dalam masa boikot Israel masih belum reda. Pada rangkaian makanan segera McDonald, kisah itu cukup memberikan mereka pengajaran. Sebelumnya, McDonald Malaysia menafikan bahawa mereka terbabit menyokong Israel. McDonald Malaysia adalah entiti yang dikendalikan oleh pihak atau syarikat yang berbeza, kerana itu tidak terbabit dengan tindakan menyokong Israel.

Bahkan pemilik francais McDonald yang berpusat di Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak kaitan dengan tindakan cawangan di Israel yang menyediakan makanan percuma kepada tentera Israel sebagaimana dijadikan asas memboikot produk berjenama tersebut.

Sistem perniagaan rangkaian McDonald memberikan kebebasan kepada setiap syarikat yang mengendalikan lesen francais untuk menentukan hala tujunya masing-masing. McDonald hanya mengenakan yuran francais dan memberikan nasihat dari kualiti dan produk yang dijual di seluruh dunia.

Jadi, setelah beberapa bulan mengalami situasi yang kurang memberansangkan, McDonald Malaysia akhir mempunyai u turn apabila menarik balik saman ke atas sekelompok pertubuhan bukan kerajaan yang menyeru pemboikotan ke atasa jenama mereka. Pemegang francais makanan segera itu dalam kenyataannya menyatakan penarikan balik saman ke atas BDS – Boycott Diversement Sanctions – setelah berpuas hati dengan  proses mediasi yang dilaksanakan. Namun, bagi pihak yang menggunakan strategi itu, penarikan balik saman fitnah tersebut tidak berasaskan merit dan asas perundangan, serta BDS Malaysia konsisten untuk meneruskan tindakan boikot.

Apakah yang dinamakan BDS? Dalam bahasa Melayu, BDS diterjemahkan sebagai ‘boikot, lupus dan Sekat. Gerakan tersebut dikatakan mula muncul pada 9 Julai 2005, diasaskan oleh Omar Baghouti dan Ramy Shaath yang mendapat ilham daripada kejayaan gerakan anti apartheid dari Afrika Selatan.

Mereka membandingkan apa yang berlaku di Afrika Selatan semasa dicengkam oleh supremasi kulit putih terhadap penduduk tempatan. Dalam penelitian sejarah, kekejaman rejim kulit putih di Afrika Selatan adalah tidak sekejam apa yang dilakukan oleh Israel terhadap masyarakat Palestin.

Gerakan itu cukup mempengaruhi banyak pihak dan mula mendapat perhatian dalam kalangan akademik termasuk di Amerika Syarikat. Meskipun di awalnya, mereka yang mempromosikan empati dan menunjukkan minat membantu menghapuskan kesengsaraan rakyat Palestin ditekan, dinyahkan kedudukan oleh penguasa, termasuk pentadbir universiti, ia menjadi sesuatu yang sangat ditakuti oleh Israel ketika ini.

Gerakan ini semakin menjadi perhatian dunia apabila muncul misi kemanusiaan yang cukup menampakkan Israel kian terdesak, biarpun Amerika Syarikat dan sekutunya menyokong tindakan ganas tersebut.

Namun, tidak selama-lamanya masyarakat dunia boleh dibohongi dan bersetuju dengan apa yang didakwa oleh Israel, termasuk menyerang dan membunuh penduduk Palestin sebagai reaksi balas atau mempertahankan diri. Ia seolah-olah menggambarkan rakyat Palestin yang membuat masalah dan sukakan peperangan, Israel tidak sejahat yang disangkakan.

Mendiang Edward W Said, salah seorang pelarian Palestin yang menjadi warganegara Amerika Syarikat merupakan salah seorang yang cukup berpengaruh dalam menyatakan isu Palestin dalam kalangan ahli akademik. Pandangan-pandangan Edward Said telah mencabar kepercayaan yang selama ini menjadi pegangan pihak otordok keamaan dunia, yang sengaja membayangkan betapa perlunya penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Arab-Israel dan kini, bertukar menjadi lebih spesifik dan khusus Palestin-Israel.

Penyelesaian dua negara itu memberikan maksud, Israel dan Palestin adalah dua negara yang berjiran dan berdaulat, sedangkan sejarah tidak melihat bahawa ada keperluan yang sah mengenai tuntutan negara haram Isreal. Ia merupakan rekayasa bahasa politik yang diimpikan oleh Pakatan Zionis Antarabangsa dan satu bentuk pertimbangan yang berlebihan.

Keadaan menjadi semakin membantu apabila Israel membuat serangan ganas terhadap penduduk Gaza setelah pilihan raya Palestin membuktikan bahawa PLO tidak lagi berpengaruh. Palestin terbelah dua, Hizbullah berkuasa di Gaza manakala PLO di Tebing Barat. PLO semakin diyakini tidak lagi membawa perjuangan Palestin, tetapi mulai diresapi dengan perspektif zionisme.

Menurut Profesor Ilan Pappe, salah seorang ahli akademik yang melihat kamus politik Palestin-Israel yang tidak adil dan kurang bersetuju dengan otordoksi keamanan menjelaskan kaedah yang dilaksanakan dalam usaha menegakkan keamanan –konflik Palestin-Israel- seperti ‘ungkapan yang sejajar dengan realiti kontemporari ala novel 1984 yang dinukil oleh Orwell. Meskipun begitu, ungkapan-ungkapan ini turut diguna pakai oleh kelompok yang berasa jijik dan tidak puas hati dengan jalan penyelesaian tersebut (seperti yang disebutkan oleh Noam Chomsky, seorang pakar bahasa yang cukup lantang mengkritik kaedah politik Amerika Syarikat dan Israel) …namun gagal melihat jalan lain yang lebih realistic untuk menamatkan pendudukan Israel yang zalim di Tebing Barat dan kepungan yang dikenakan di Semenanjung Gaza.

“Hakikatnya, bahasa hegemonik di tampuk kekuasaan di Barat dan wacana dalam kalangan pemimpin Israel dan ahli politik Palestin di tanah Palestin sendiri masih terus berpaksikan kamu lama ini.” (Noam Chomsky dan Illan Pappe, Perihal Palestin, terjemahan Maryam Zakiah, Petaling Jaya: The Biblio Press Enterprise, 2024, hal.23-24_.

BDS merupakan gerakan yang muncul oleh aktivis dari segenap lapisan masyarakat, Palestin dan Israel, segenap penjuru dunia menggunakan model solidariti anti-aparteid. BDS mendapat tempat di kampus-kampus sehingga muncul program Minggu Israel Aparteid, yang mula melihat konflik Palestin-Israel dalam kerangka peneroka-penjajah (settler colonialisation), yang merupakan gubahan konsep daripada teori dan sejarah kolonialisme. Umpamanya, tentang perangai dan budaya penjajah.

Apabila tiba di sesebuah negara, mereka bukan sahaja menghalau dan menyeksa penduduk tempatan (asal, atau lebih awal) bahkan ikut membunuhnya sebagai tindakan genosid. Hal ini berlaku di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan juga di Afrika Selatan, yang asasnya membawa kepada genosid penduduk asal.

Hal ini sudah, sedang dan akan terus dilakukan oleh Israel. Sebab itulah dalam keganasan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023, yang telah mengorbankan lebiih 32,000 penduduk Gaza, memusnahkan ratusan premis kesihatan, sekolah dan hospital, sekatan bantuan makanan, ubat-ubatan yang dilakukan dilihat benar-benar bersifat genosid.

Jika sebelumnya Pakatan Yahudi Antarabangsa mengecam tindakan Adolf Hitler sebagai genosid dalam apa yang dipanggail holocaust, kini diprakktikan secara terancang dan berterusan oleh Israel. Atas sebab itulah beberapa negara yang sebelumnya menjadi penyokong Israel mula menunjukkan pendirian yang berbeza.

Akhirnya, Amerika Syarikat yang dilihat sebagai ‘pelindung dan pembela’ Israel mengambil sikap berkecuali dalam keputusan menamatkan serangan Israel ke atas Gaza dalam pengundian di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yakni mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata pada 25 Mac 2024. Malaysia menggesa agar keputusan yang dicapai itu segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi rakyat Palestin menjadi korban.

Amerika Syarikat turut memikirkan kesannya secara diam-diam, kerana persekitaran ekonomi dunia semakin menolak pembabitannya, manakala kemunculan blok ekonomi baharu bakal memberikan kesan yang mendalam pada masa selanjutnya.

Misalnya, kemegahan Amerika Syarikat terhadap kuasa dolar sudah dicabar oleh keperluan mengnyahkan dolar (dedolarization) oleh BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan disokong oleh lebih 30 buah negara, keagresifan China dalam pelaburan dan eksport dan kini mula mengingatkan Amerika Syarikat mengenai industri automotif, pesawat udara, aeroangkasa dan juga telekomunikasi.

Inilah sedikit sebanyak kesan BDS yang ikut dialami oleh jenama francais yang beroperasi di Malaysia, termasuk produk-produk lain yang dikeluarkan oleh firma antarabangsa. Setakat ini, hanya Starbucks melihat hubungan yang cukup menarik kerugian suku terakhir 2023 dengan tindakan boikot, yang dikenali sebagai BDS tersebut.

Menurut pengasas konglomerat Kumpulan Berjaya, Vincent Tan bahawa kerugian yang dialami oleh entiti francais Starbuck rugi lebih RM 42 juta untuk tempoh suku tahun keempat (September-Disember)  2023. Kerugian itu akibat pemboikotan pelanggan, terutama Muslim daripada memasuki dan meminum kopi berjenama Starbucks.

Kita boleh membuat telahan, tentunya kerugian itu paling memuncak ialah antara Oktober hingga Disember 2023, sebabnya Israel tidak menunjukkan keinginannya untuk menghentikan serangan ke atas Gaza.

Ertinya, semakin lama semakin banyak syarikat yang ada hubungannya dengan Israel akan mengalami kemerosotan perniagaan. Menurut laporan, cawangan Starbucks pertama ditutup pada tahun 2004 ialah Subang Jaya. Subang Jaya adalah kawasan yang dihuni oleh masyarakat kelas menengah. Jadi, sokongan untuk memboikot atau mengurangkan pembelian produk yang dikeluarkan oleh firma yang menyokong Israel mendapat sambutan, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, bukan Melayu juga cuba elak daripada membelinya.

Di permulaan boikot produk yang dikeluarkan oleh syarikat asing yang bersengkongkol dengan Israel menyebabkan beberapa pasar raya membuat potongan harga luar biasa, yang sebelum ini tidak berlaku. Produk-produk berjenama Lifebouys (produk mandian), Sunlight (cecair pencuci pinggan), Pantente (shampoo), Sensodyne  (pasta gigi), serbuk perasa maggie diturunkan harganya di pasar raya besar Lotus. Ini menunjukkan jika harga tidak diturunkan, kemungkinan produk-produk tersebut akan terputus hubungan penggunaan oleh sebahagian masyarakat Malaysia.

Begitu juga dengan KK Mart. Khabarnya, semasa pembukaan rasmi cawangan terbaharunya di Kuala Kangsar (16 Mac 2024), sekilogram gula pasir kasar dijual serendah RM 0.10. Ia mungkin satu kaedah untuk menunjukkan bahawa KK Mart tetap mendapat sambutan daripada orang Melayu walaupun tindakan memboikot baharu bermula.

Turut dilaporkan salah sebuah cawangan KK Mart di Melaka menggunakan visual Ketua Menteri Melaka bagi menarik pelanggan dalam promosi Jualan Rahmah, yang mungkin tidak akan dibuat sekiranya tidak ada seruan boikot.

(Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »