SOPAN-SANTUN, tatasusila, budi bahasa, adat atau kebiasaan yang penuh hormat, disebut adab. Makna adab menurut Kamus Dewan antara lain ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, dan budi pekerti yang halus. Kita tidak bimbang apabila penggunaan kata adab diganti dengan kata lain, seperti akhlak, budi pekerti, moral, etika dan lain-lain. Tetapi yang merisaukan cakupan daripada maknanya makin pupus atau ditelan globalisasi yang melanda dunia. Sehingga ada sesetengah orang sanggup mengungkapkan perkataan tidak sesuai dengan budaya orang melayu khususnya dalam hubungan raja dengan rakyat.Kemudian mengkelaskannya sebagai perkataan baik.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah beberapa hari yang lepas menzahirkan rasa amat dukacita baginda dengan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang memberi peringatan kpd Raja-Raja Melayu.Ia juga tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-raja Melayu. Kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

Akhlak yang mulia sebenarnya tercermin pada adab. Bangsa yang beradab adalah bangsa yang berakhlak mulia. Kerana itu akhlak dan adab tidak dapat dipisahkan. Lawan adab ialah biadap, yang bererti tidak beradab, tidak tahu sopan santun dan kurang ajar. Tentu saja orang yang biadap adalah orang yang berakhlak buruk.

Adab yang baik adalah bukti kesempurnaan jiwa dan kebaikan, sebagaimana adab yang buruk adalah bukti kekotoran jiwa. Demikian Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Adab yang baik adalah sebahagian daripada iman.

Sebaliknya, akhlak yang buruk atau tercela pada dasarnya timbul disebabkan oleh penggunaan dan potensi rohaniah yang tidak adil. Akal yang digunakan secara berlebihan akan melahirkan sikap pintar busuk atau penipu dan akal yang digunakan terlalu lemah akan menimbulkan sikap dungu. lnilah pangkal timbulnya akhlak yang tercela dan tidak ada budi bahasa.

Walaupun dalam al-Quran tidak ditemukan kata adab, tetapi terdapat banyak bentuk pujian mengenai akhlak Nabi s.a.w: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)

Justeru Baginda dijadikan Allah S.W.T. sebagai teladan bagi umat manusia (surah al-Azab: 21) bukan saja dalam soal ibadah ritual namun juga dalam soal tingkah laku dan sikap Baginda. Kamu tidak akan dapat memuaskan manusia dengan harta kamu, tetapi kamu dapat memuaskan mereka dengan adab yang luhur. Janganlah sampai Iidah ternoda oleh kotornya kata.

Mentaati pemimpin atau ulil amri merupakan rukun dalam usaha menegakkan maslahah siyasah (kemaslahatan politik) di mana dalam sesebuah negara, seseorang pemimpin itulah yang berusaha keras untuk membangunkan tatacara kehidupan yang aman, kuat dan meransang rakyat mencari kesejahteraan hidup sama ada kehidupan dunia mahupun akhirat. Al-Ghazali misalnya, mengibaratkan agama dan kerajaan itu sebagai dua perkara yang berkembar, dan kerana itu juga dikatakan agama adalah asas manakala pemerintah pula adalah pengawal. Apa-apa yang tidak mempunyai asas akan runtuh dan apa-apa yang tidak ada pengawal akan sia-sia. Ironinya, dalam perkembangan tertentu umat Islam sering bertelingkah kerana mempertahankan kehendak sendiri dan penyakit ini tidak boleh diubati kecuali dengan adanya pemerintah yang berkuasa dan ditaati bagi menyatukan pelbagai pandangan.

Berdasarkan dalil firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat ke-59, mentaati pemimpin yang beragama Islam dan memerintah kaum muslimin adalah suatu kewajipan. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika berbantah-bantahan (berselisih) dalam satu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nyajika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Ibn Taimiyyah menjelaskan: Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap muslim. Taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi, kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberikan hal memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala).

Prinsip ketaatan adalah suatu yang penting bagi sesebuah negara atau jemaah bagi membolehkan negara melaksanakan matlamat negara (ghayat al-daulah) secara berkesan2 . Hal ini ditegaskan melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa ayat ke 58 dan 59, Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.(Surah An-Nisa:58)

Islam mementingkan jemaah, bukannya individu. Persoalan ini telah membawa kepada penetapan rakyat untuk mentaati pemimpin, bagi tujuan mengelakkan pecah-belah, kemunduran ummah dan peperangan sesama sendiri. Mereka inilah yang akan dimuliakan pada hari kiamat, kerana menentang perpecahan, tidak mendengar dan mudah percaya kepada fitnah, menghancurkan sesame sendiri dan bekerjasama mencapai matlamat membangunkan sebuah negara maslahah.

Budaya hidup tiada masa yang lebih penting bagi umat Islam dalam menghidupkan budaya hidup berjemaah yang betul. Apa pun masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan secara berasingan. Justru untuk menyatukan umat Islam dan mengatasi perpecahan, budaya hidup berjemaah yang betul perlu disemarakkan. Nabi SAW menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: Dan sesungguhnya pada jemaah itu ada rahmat,dan pada perpecahan itu ada azab. (Hadis riwayat Iman Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).

Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi r.a pula berkata: Makna nasihat untuk para pemimpin kaum Muslimin ialah nasihat yang ditujukan kepada para penguasa mereka. Iaitu dengan menerima perintah mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara-perkara yang bukan maksiat kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal maksiat kepada al-Khalik. Tidak memerangi mereka selama mereka belum kafir, berusaha untuk memperbaiki keadaan mereka, membersihkan kerosakan mereka, memerintahkan mereka kepada kebaikan, melarang daripada kemungkaran serta mendoakan mereka agar mendapat kebaikan. Kerana dalam kebaikan mereka bererti kebaikan rakyat jelata seluruhnya dan kerosakan mereka bererti kerosakan rakyat seluruhnya.

Nasihat untuk pemimpin ialah dengan mencintai kebaikan, kebenaran dan keadilan, bukan lantaran individunya. Nasihat untuk para pemimpin dapat juga dilakukan dengan cara membantu mereka untuk sentiasa berada di atas jalan kebenaran, mentaati kebenaran dan mengingatkan mereka dengan cara yang baik, termasuk prinsip Ahli Sunnah Waljamaah, iaitu tidak sekali-kali melakukan provokasi atau penghasutan untuk memberontak terhadap mereka meskipun pemerintah itu berbuat kezaliman, tidak boleh melakukan provokasi sekali-kali baik dari atas mimbar, tempat- tempat khusus mahupun tempat-tempat umum. Jelas, Islam meletakkan adab sopan sebagai wadah untuk memelihara hubungan antara raja dengan rakyat. Hubungan yang kukuh di antara kedua-duanya akan menjadikan umat Islam lebih dihormati, disegani dan dapat dicontohi sebagai umat yang bersusila.

Wujud dua implikasi yang akan berlaku sekiranya rakyat tidak taat kepada raja atau pemimpin. Pertama, apabila rakyat dan penduduk tidak taat, ia akan membahayakan kewujudan negara dan sekaligus akan memusnahkannya. Tanpa ketaatan dan kepercayaan kepada pemimpin, kerajaan tidak akan tertegak dan berjalan sepertimana sepatutnya. Roda pemerintahan akan lumpuh dan muncul fitnah di mana-mana. Atas dasar itu, ketaatan kepada raja dan negara menjadi kayu pengukur utama bagi tegak dan utuhnya suatu negara.

Implikasi kedua, dengan rakyat tidak mentaati dan mempercayai pemimpin negara, maka segala perancangan dan agenda untuk memartabatkan Islam akan terjejas. Pemerintah tidak dapat membangun segala infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan umat Islam seperti pembinaan sekolah dan universiti Islam, penubuhan bank Islam, pembangunan ekonomi Islam dan pemerkasaan mahkamah syariah serta pengukuhan segala undang-undang yang membela kepentingan Islam.

Dalam konteks yang lebih luas, implikasi daripada tidak mentaati kepimpinan negara ialah wujudnya sikap yang ekstrem dalam diri manusia. Setiap kali mereka beranggapan pemerintah bertindak tidak adil atau zalim, mereka cenderung bertindak balas dengan cara-cara yang tidak beradab dan ganas dan mencetuskan mudarat yang lebih besar. Walhal, dalam Islam perjuangan yang bercirikan anarkisme, revolusi, kudeta, provokasi, propaganda serta rampasan kuasa adalah tidak sesuai dengan tuntutan fitrah agama dan ia adalah haram.

Mentaati raja atau pemimpin bukan bererti memuja pemimpin, kerana konsep pemujaan bukanlah daripada tradisi Islam. Sebaliknya, dengan memberi kepatuhan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin negara, maka sesungguhnya kita jualah yang menjadi penentu kepada kelangsungan dan kejayaan sesebuah negara.

Kesimpulannya, pendekatan menasihati pemerintah dengan cara beradab adalah pendekatan yang utama dalam mengekalkan kesepaduan ummah. Kepentingan agama dan kedaulatan ummah adalah perkara yang menjadi tanggungjawab ke atas pemimpin. Namun setiap manusia yang melakukan kesalahan perlulah diberikan nasihat dengan cara yang tepat dan beradab yang berlandaskan ajaran Islam.

Satu Cadangan yg baik oleh pemuda UMNO mencadangkan kerajaan dan Parlimen supaya mengubal satu undang-undang khas untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab dan dianggap derhaka terhadap Raja-raja Melayu.

Catatan: Ibnu Fayyadh

Translate »