Tentunya, sesorang yang dilihat berkesan – demagog – ialah mereka ada kepakaran dalam bidang yang diperkatakan, seperti Takiyuddin Hasan yang mendakwa ‘kedudukan syariah dalam bahaya’. Bahaya itu bukan suatu kebenaran, tetapi kebenaran imaginasi Takiyuddin yang ingin dipindahkan kepada pemikiran awam. Ia ikut diselit dengan emosi, bukan semata-mata penilaian rasional.
Beginilah citra demagogi yang kita hadapi sekarang, dan cukup muak atau menarik untuk kita tontoni dalam pelbagai platform media sosial untuk mencetuskan suasana contagious. Idea yang konsisten yang mereka kembangkan ialah mengenai ‘syariah’, ‘mahkamah syariah’ dan proses yang lama untuk membentuk EJSK sebagai menjawab masalah kompetensi dan kuasa yang membenarkan undang-undang itu dikanunkan.
Mereka menjawab perihal kompetensi dengan menyebut mereka yang terbabit ialah terdiri daripada beberapa orang peguam, tetapi yang tidak mereka akui ialah apakah ada desakan di sebalik penggubalannya.
Tentunya, agenda di sebalik EJSK ada hubung kait dengan aspirasi politik yang belum kecapaian, biarpun sejak merdeka, Kelantan dikuasai oleh PAS dengan tempoh yang lama.
BN hanya menguasai Kelantan sekitar 12 tahun (1978-1990, tiga penggal) dan secara bergandingan dengan PAS dan seterusnya Berjasa tiga tahun sebelumnya (1974-1977). Ertinya, sejak 1959 hingga 1974 (15 tahun) dan 1990 hingga 2024 (34 tahun), belum muncul perubahan undang-undang di Kelantan bagi menggantikan ‘undang-undang warisan penjajah’ yang dimaksudkan secara menyeluruh.
Bahkan dalam kes jenayah yang membabitkan penganut Islam, kebanyakan kes didakwa di bawah “undang-undang warisan penjajah’ bukannya EJSK 2019 ataupun hukum hudud yang pemimpin PAS berkata’ kita akan laksanakan’. Bila?
Apa masalahnya? PAS sendiri tidak bersungguh-sungguh untuk melakukan. PAS hanya menggunakan isu dan permasalahan syariah untuk memancing undi, dan Presiden PAS ikut mengulangi kenyataan lamanya, undang-undang penjajah masih kekal walaupun dah merdeka, (Malaysiakini, 14 Februari 2024).
Kenapa Haji Hadi tidak cekal dan kental memperjuangkan undang-undang Islam ketika PAS berada dalam kabinet selama 33 bulan (bukan bulan madu 33 hari)?
Pada satu sisi, kenyataan Presiden PAS itu menggambarkan hasratnya untuk menerapkan undang-undang yang pernah dilaksanakan pada zaman pramoden pada masa pascakolonial kini. Tidak ada sesiapa menafikan, Islam tetap sesuai dengan apa sahaja zaman dan situasi, tetapi apakah PAS sudah bersedia untuk menyesuaikan dengan hambatan dan cabaran semasa?
Benar, semangat tersebut sudah timbul beberapa dekad lalu dan wacana ke arahnya sudah diketengahkan. Kita sedar beberapa orang tokoh telah memperkatakannya. Misalnya Allahyarham Ahmad Ibrahim, Tun Abdul Hamid Mohamad dan beberapa orang yang lain. Mereka berusaha dalam kerangka profesionalismenya, bukan dalam kerangka politik yang tenggelam timbul political willnya.
Akibat ‘political will’ sangat tergencat oleh pasang-surut, penggantian ‘undang-undang warisan penjajah’ masih belum terlaksana sepenuhnya, hanya kembali bergema apabila terduduk dalam posisi hampir tersemban pada 9 Februari 2024, apabila 16 perkara daripada 68 diisytiharkan ‘tidak sah’ kerana “Badan Perundangan Negeri Kelantan/responden telah membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya” (Mahkamah Persekutuan, Ringkasan Penghakiman, h. 8).
Ringkasan Penghakiman tersebut juga menegaskan bahawa isu yang menjadi pertikaian (dan membentuk demagogi di gelegar syariah sebenarnya: “tidak kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahankan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes/petisyen ini” (h. 3).
Sudah sekian lama kita disuguhkan dengan wacana bahawa: “Islam menyuruh melaksanakan undang-undangnya, maka peruntukan-peruntukan mesti digubal mencakupi suruhan-suruhan agama tersebut.” Tetapi, bagaimana memberikan kefahaman mengenainya, dan tidak sepanjang hayat menggagau dalam kecetekan pengetahuan dan kefahaman.
Bukan semua umat Islam di Malaysia (lebih 17 juta) berpendidikan agama dan belajar syariah. Jumlah terbesar golongan muda Islam tidak pun dapat memahami makna syariah secara jelas dan memadai.
Apabila ada yang kritis bertanya, dan memberikan pandangan, maka secepat kilat orang itu dituduh ‘liberal, sekular’ dan lebih dahsyat lagi dilabelkan ‘sesat atau murtad’, atas garis hukum yang diimaginasikan, bukan menolak syariah. Menolak syariah bererti menolak Islam, mengulangi demagogi, kerana UMNO tidak mengambil perkataan Islam bagi menjenamakan parti, maka UMNO adalah ‘parti kafir’.
Atas ‘frasa’ itu, ada pemimpin PAS mendakwa UMNO sebagai parti murtad, menolak ‘Islam sebagai dasar perjuangannya’. (https://www.mstar.com.my/lokal/semasa//2012/11/18/nik-aziz-dakwa-umno-murtad.). Itulah juga yang premis ketika Haji Hadi mengeluarkan Amanat Haji Hadi:
“Saudara-saudara sekalian, percayalah.
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini [UMNO/BN] kerana kalau kita mati, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.
“Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku (terpisah/berasingan) agama suku.”
Inilah yang juga menjadi tafsiran ‘berat’ oleh aktivis PAS dalam Tragefi Memali (1985) yang dikatakan ‘soalan syaitan’ oleh Presiden PAS apabila hal itu disoal oleh wartawan. Inilah juga yang dikekalkan oleh Presiden PA apabila mengulas mengenai kegagalan kerajaan Kelantan dalam kes EJSK, “undang-undang penjajah’ walaupun kita telah merdeka’.
Mungkin kita boleh menamakan ia sebagai tragedi apabila Amanat Haji Hadi ‘dibuang’ daripada wall portal JAKIM pada masa Senator Idris Ahmad adalah Menteri Hal Ehwal Agama.
Apa pun yang dijelaskan tentang ‘pembuangan’ itu, ia tidak mampu menjawab kenapa ia berlaku semasa Idris Ahmad adalah Menteri Agama. Suatu kejayaan Idris untuk melupakan orang ramai tentang Amanat Haji Hadi, namun ia tidak semudah itu. Amanat tersebut masih mudah kita baca dengan hanya meng-google.
Tentunya, jika kita meneliti sejarah, wacana mengenai syariah kadangkala ditukargantikan dengan fiqh, walhal kedua istilah itu, menurut Hashim Kamali, kedua istilah ini:
“…tidak identik. Jika syariah disampaikan terutama melalui wahyu yang terkandung dalam al-Qur’an dan hadis sahih, maka fiqh terutama merujuk pada corpus juris yang dikembangkan oleh pelbagai mazhab, para fuqaha dan hakim, penggunaan penalaran hukum (ijtihad) dan pemberian pendapat (fatwa). (hal.5)
Pada huraian al-Tahanawi (Muhammad ibn ‘Ali ibn al-Qadi Muahmmad Hamid ibn Sabir al-Faruqi al-Tahanawi, meninggal 1158H/1745?) dalam Kashshaf Istilahat al-Funun wa’l-ulum al-Ismamiyya, istilah syari’ah itu sebagai “mashra’at al-mā’”, yakni “mata air,” sumber pewacanaan hukum Islam. (Rujuk: Ismail Lala, “An Analysis of Muhammad ibn Ali al-Tahanawi’s Approach in Kashaf Istilahat al-Funun: The Entry of Huwiyya, https://www.researchgate.net/publication/331899443_An_Analysis_of_Muhammad_ibn-Ali_al-Tahanawi’s-Approach_in-Kashashaf-istilahat-al-funun_-_The_entry_of_huwiyya, diakses 10 Februari 2024).
Di sepanjang sejarah, para ulama dengan kesedaran ilmu dan tekad masing-masing melaksanakan ijhtihd sebagai usaha menalar pelbagai sumber bagi memformulasi atau mengeluarkan hukum hakam yang difahami, atau berusaha memecahkan persoalan hukum semasa, yang akhirnya dikenali sebagai fiqh. Atas sebab itulah ia dianggap alami apabila sesuatu perkara itu mempunyai tafsiran yang pelbagai dan sangat berbeza.
Bahkan, apa-apa pandangan fiqh di Mahkamah Syariah, kandungan dan prosedurnya diubahsuai agar tidak memperlihatkan ada percanggahan menurut prosedur mahkamah, konteks setempat dan teknikal. Bagi yang mempelajari fiqh dan usul-fiqh, memahami bahawa semua penerapan hukum menerusi Mahkamah Syariah di mana-mana negeri pada dasarnya bukanlah ‘syariah’ per se, hanya sebagai satu usaha menerapkan satu bentuk pandangan fiqh yang dikatakan cukup banyak pandangan yang terbit hasil daripada ijtihad.
Inilah yang cuba diperkatakan oleh Khaled Abou el-Fadl dalam beberapa buku yang ditulisnya, termasuk Reasoning with God: Reclaiming Shari’ah in the Modern Age, 2014 dan Speaking in God’s Name: Islamic Law, Authority and Women, 2001).
Wael Hallaq menjelaskan bahawa semua undang-undang negara moden adalan mustahil akal untuk disamakan dengan hukum-hakam Islam, daripada perspektif ilmu mantik. (Wael Hallaq melalui The Impossible State:Islam, Politics and Modernity’s Moral Prediccament, New York: Columbia University Press. 2013.
Dalam konteks Malaysia, terdapat beberapa nama yang berusaha memberikan pandangan mengenai tema sedemikian, antaranya: Tamir Moustafa (salah sebuah buku tulisannya, Mengkanunkan Agama: Islam, Hak-Hak Liberal, dan Kenegaraan Malaysia, terjemahan daripada Constituting Reliogion Islam, Liberal Right, and the Malaysian State oleh Hazman Baharom, Petaling Jaya: SIRD, 2020; Iza Hussin, The Politics of Islamic Law: Local Elites, Colonial Authority and the Making of the Muslim State, Universty of Chicago Press, 2016; Maznah Mohamad, Legal-Bureacratic Islam in Malaysia: Homogenizing and Ringfencing the Muslim, Encounting Islam: The Politics of Religious Identities in Southeast Asia Journal, 2013); Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Shariazation of Malay-Muslim Identity in Contemporary Malaysia, JMBRAS, vol.91, part 2, no.315, 2018) dan Mohamad Hashim Kamali).
Berdasarkan kefahaman dan penerokaan pengetahuan (menerusi pembacaan, sumbang saran dan perbincangan intelektual yang saya ikuti), adalah apa-apa hukum yang diterapkan oleh Mahkamah Syariah pada hakikatnya bukanlah “hukum Allah”, sama ada dari perspektif sumber mahupun zatnya sendiri.
Namun, saya tidak menolak bahawa sumber dan hukum tersebut telah terbentuk menerusi pandangan fiqh dalam pelbagai tafsiran dan keputusan ijtihad atau fatwa. Hamparkanlah kesemuanya, fahamilah sejelas-jelas kerana di situlah kita akan menemukan jawapannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Masalahnya, di Malaysia, demagogi terus berlangsung tanpa hentinya sehingga tiga peringkat yang penting (individu, institusi pendidikan dan institusi politik) memahami bahawa hukum atau undang-undang yang digunakan di Mahkamah Syariah adalah ‘berteraskan syariah Islam’ dan kerana itulah setengah orang menjadi fobia akibat percayakan bahawa ‘mahkamah telah membatalkan hukum Islam”, secara jenuh walhal itu adalah pandangan demagog sambil berimaginasi, “syariah dalam bahaya’
Sampai bilakah ia akan berakhir? Ia boleh berakhir bila-bila masa jika kita mengambil pendirian kritis dan bersedia memahami konteksnya dengan jelas, iaitu tidak membiarkan demagogi terus berkembang di gelegar syariah. Kita membebaskan akal sihat daripada terpengaruh dengan putaran perbincangan apakah hukum yang mengawal kita, kerana hukum-hakam itu adalah kawalan luaran, yang sangat memandu dan mengawal diri ialah apa yang ada dalam jiwa kita sebenarnya.
Itulah apa yang diperkatakan oleh al-Ghazali dalam kitab-kitabnya. Disebabkan kelemahan, keterpengaruhan dengan ‘pesona dunia’, al-Ghazali memberikan solusi untuk memperbetulkan diri kita dari dalam, menyangkut hati dan jiwa. Bila hati dan jiwa dapat ditenteramkan, fikiran akan menjadi jernih, tidak tergoda untuk tidak menolak syariah.
Syariah itu adalah jambatan yang memandu kita untuk mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat, bukan persoalan kuasa dan bidang bagi menentukan apa hukumnya ke atas mereka yang melanggar perintah dan larangan-Nya.
Hukum hakam hanyalah kerangka kawalan. Ia boleh berubah dan ditambah atau dimansuhkan. Jika dalam EJSK ada kelompongan, maka perkuatkan kelompongan itu. Jika tidak mampu dilakukan kerana melangkaui bidang kuasa yang lain, maka tumpukanlah usaha untuk meminda kuasa itu, agar ia kembali serasi dan tidak saling ‘bertengkar’ atau ‘berkonflik’.
Tanggungjawab politikus yang wajib dilaksanakan ialah ‘memandaikan masyarakat’ bukannya meningkatkan budaya ‘memandai-mandai’. Akibat bertekyan dengan budaya “memandai-mandai’ itulah hidup rakyat semakin sukar dan adakalanya bercelaru. Ianya diburukkan lagi dengan tindakan mencetekkan ilmu menjadi semakin dangkal kerana takut ‘yang dikejar berciciran, yang didakap lari berkeliaran’, menjarakkan diri.
Itulah sebenarnya apa yang berlaku dalam masyarakat sehingga munculnya lebih ramai demagog dengan pelbagai wacana demagoginya. Cukup simplistik hujahan dan terjahan pandangan yang dibuat, sehingga nilai-nilai keterbukaan terkurung kemas dalam bakul kejumudan.
Agamawan, politikus bukanlah pemegang taruh ‘kebenaran’ yang mutlak, kukuh dan tidak tergugat, kerana rakyat juga adalah sebahagian daripada makna kebenaran itu sendiri. Perluaskan makna al-Islām ya’lū walā yu’lā ‘alayh — “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.”
Pencapaian sebenar ialah milik semua manusia, kerana Islam itu rahmah. Ia bukan hanya dalam kalangan agamawan, politikus ataupun individu tertentu, ia adalah milik ummah. Yang memimpin elaklah bersandarkan acuan demagogi, kerana ia bakal dicampakkan oleh rakyat yang sangat dambakan keikhlasan dan kejujuran, menjengah ke dalam putaran kehidupan yang membangkitkan rasa hormat, bekerjasama dan menebarkan kasih sayang.
Itulah sebabnya, Islam dikatakan sebagai agama yang damai, kerana kehadirannya untuk membangun akhlak dan kemuliaan insan, bukan membangun manusia dengan acuan ‘aku sahaja yang betul’ dan ‘orang semuanya salah’. Kerana ‘orang lain semuanya salah’, mereka sudah tersesat walhal yang menyesatkan ‘orang lain’ ialah demagog, yang cekap berdemagogi.
Kaedahnya tidak penting, yang lebih penting ialah hasilnya. Hasil itulah yang dinamakan kuasa sehingga kuasa itu pula diperlakukan seolah-olah dengan penuh kebitaraan (admonition) dan sangat idiosinkratik (idiosyncratic).
Hebatkah pencapaian sedemikian?
Hashim Kamali berkata: “klaim berlebihan yang berdampak pada perspektif Islam tentang keadilan dan pemerintahan di bawah supremasi hukum…bahawa lingkup penyalahgunaan utama di banyak negara Muslim masa kini bukanlah pada keadilan yang di tata secara hukum, namun di luar itu; penyalahgunaan kekuasaan eksekutif, pelanggaran hak dan kebebasan, dan kekerasan, baik oleh pemerintah mahupun para fundamentalis Islam. (hal.264)
Saya petik pesan Buya Syakur: Selagi dirimu tidak dapat menjadi lampu menerangi hatimu sendiri, maka seluruh lampu di segala penjuru kota tidak akan mampu menerangi jalanmu yang engkau telusuri. Sehingga engkau selalu menginjak aral melintang yang menyebabkan kakimu berdarah-darah.”
Juga sejambak puisi yang ditulis oleh seorang sufi Parsi pada Abad ke-13, Saadi Shirazi, yang pernah terpampang di pintu masuk PBB dan dikutip oleh Barrack H Obama, Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada tahun 2009 semasa mengucapkan Selamat Tahun Baru Parsi:
Human beings are members of a whole,
in creation of one essence and soul.
If one member is afflicted with pain,
other members uneasy will remain.
If you’ve no sympathy for human pain,
the name of human you cannot remain.
Terjemahannya:
Setiap ras manusia adalah anggota sebuah keluarga besar,
Di atas segalanya mereka berasal dari hakikat yang sama.
Jika kau tidak pernah merasakan derita orang yang tertindas dan teranyiaya,
Tidak patutlah kau disebut sebagai keturunan Adam.
Kerana itu, Sa’di menyarankan agar manusia tidak berlagak sombong dan angkuh, seperti terpahat pada batu nisan makam Naina Husamudin di Pasai:
Tak terhitung tahun-tahun melewati bumi kita
Bagaimana mata air dan hembusan angin
Apabila hidup hanya himpunan hari-hari manusia
Mengapa yang singgah sesaat di bumi ini angkuh dan sombong?
Sahabat, jika kau melalui makam seorang musuh
Janganlah bergembira, sebab hal serupa akan menimpa dirimu juga,
Wahai kau yang bercelak mata kesombongan, debu ‘kan menyusup
Merasuki tulang belulang bagaikan pupur dan bedak
Memasuki kotak tempat penyimpanannya.
Siapapun yang pada hari ini bersombong dengan hiasan bajunya
Kelak debu tubuhnya yang terbujur hanya tinggal menguap…..
(Abdul Hadi WM, “Gulistan” Sa’di: Sumber Kearifan Dari Timur, dalam Syeikh Musliuddin Sa’di Shirazi, Gulistan: Taman Kebajikan Dari Timur, terjemahan Gulistan Sa’di oleh Manda Milawati, Yogyakarta: Penerbit Navilla, cetakan kedua, 2002, hal.xvi dan xix-xx)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments