Kisah Mansur al-Hallaj (al-Husain ibnu Manshur al-Hallaj (858- 922M/244-) yang berlaku pada zaman pertengahan Islam mungkin menjadi contoh menarik mengenai demagogi di gelegar syariah dalam sejarah umat Islam. Mansur al-Halaj merupakan seorang muslim yang taat beribadat dan mempunyai kecerdasan berfikir yang menarik dalam setiap perucapannya sehingga beliau dihadapkan dengan kenyataan ‘Akulah Kebenaran’, Ana al-Haq.

Ia merupakan ‘suatu pengakuan’ yang akhirnya membawa padah, dakwaan yang sangat berbahaya dan dituduh menjadi agen Qarmathiyah, bertentangan dengan Sunni. Semasa dijalankan proses tersebut, kedua tangan dan kaki al-Hallaj dipaku; tubuhnya dicincang, dibakar dan debunya tersebar ke seluruh penjuru oleh angin yang bertiup.

Pembunuhan kejam ke atas al-Hallaj itu menjadikan ia sebagai tragedi dalam ekspresi mistik. Walhal, al-Hallaj adalah seorang ahli sufi yang pernah berguru dengan seorang zahid yang diberikan jolokan sebagai ‘guru sufi pertama’, iaitu Imam Junaid al-Baghdadi (Imam Junaid bin Muhammad bin al-Junaid Abul Qasim al-Qawariri al-Khazzaz al-Nahawandi al-Baghdadi, 830-910M).

Namun ketika hukuman bunuh telah dijatuhkan kepada al-Hallaj, al-Junaid tidak memberikan apa-apa ulasan yang diminta oleh penguasa, dan dalam masa yang sama beliau adalah ketua Qadhi di Baghdad. Setelah beberapa kali diminta, akhirnya al-Junaid menulis: Berdasarkan syariat, dia bersalah. Menurut hakikat, Allah Yang Maha Mengetahui.”

Jawapan itulah akhirnya membawa kepada kematian al-Hallaj, walaupun al-Junaid melihat apa yang diucapkan oleh al-Hallaj merupakan ‘rasa hati gelojak spiritual’. Ia hanyalah satu bentuk simboisis atau lantuman rasa ada ‘kebersamaan’ dengan nilai-nilai yang dipancarkan oleh cahaya Illahi, bukan kebenaran mutlak yang menjadi milik Allah SWT.

Sebab itulah, al-Ghazali berusaha mempertahankan kenyataan al-Hallaj dan kemudian diteruskan oleh Abdul Qadir Jailani. Ada yang mengatakan, kitab Misykatul Anwar, yang ditulis oleh al-Ghazali ketika ‘berkhalwat dan mengembara’ sebagai satu bentuk pembelaan terhadap al-Hallaj, seorang yang sedang mabuk cinta sehingga ke tahap trance (hypnosis, larut bersama). Pengalaman yang sama kita peroleh daripada Jalaludin Rumi yang dikaitkan dengan tarian berputar-putar (darwish).

Ia berdasarkan kenyataan: Wahai saudaraku (semoga Allah membimbingmu untuk memperoleh kebahagiaan teragung yang sejati, mencalonkanmu untuk bermi’raj menuju puncak pada persada tertinggi, menyinari pandangan hatimu dengan cahaya hakikat, dan menyucikan nuranimu dari segala sesuatu selain yang haqq.

Sebagaimana diketahui, kebanyakan kitab yang ditulis oleh al-Ghazali, ditulis disebabkan ada permintaan untuk menulis atau memberikan sesuatu penjelasan terhadap sesuatu perkara. Al-Hallaj yang dihukum bunuh lebih 136 tahun dengan tarikh kelahiran al-Ghazali, tidak bermakna puisi-puisi yang dilantun olehnya lenyap bersama raganya.

Puisi-puisinya terus hidup dan terus mempengaruhi dunia kesufian, tasawuf dan kesusasteraan Arab atau Parsi. Terdapat pandangan bahawa kitab Misykatul Anwar ditulis kerana memenuhi permintaan pewaris puisi al-Hallaj. (Ady Amar, Al-Hallaj: Tragedi Kematian dan Eskpresi Mistiknya, https://www.ngopibareng.id/read/al-hallaj-tragedi-kematian-dan-ekspresi-mistiknya-635764)

Di Malaysia, hal yang hampir sama telah muncul apabila Kasim Ahmad menulis sebuah puisi yang mengandungi frasa ‘dan Tuhan sudah mati’ (dalam puisi Sidang Roh, 1960). Frasa yang lain tidak banyak dipersoalkan, hanya frasa terakhir sajak tersebut.

Maksud Kasim, kematian itu bukan Tuhan yang sebenarnya, tetapi ‘semangat ketuhanan dalam diri manusia’ yang disasarkan kepada penguasa ‘telah mati’, apabila tidak cakna kepada permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Juga, sebuah pertubuhan antara negara yang ‘mengawal selia’ dunia (pi bi bi), yang ‘tidak berperlembagaan di hati’”.

Ia berbeza dengan apa yang ditulis oleh Kipanjikusmin (dalam cerpennya yang berjodol Langit Makin Mendung, 1968), yang cukup jelas menyindir Nabi Muhammad SAW ketika mengenderai buraq dalam peristiwa isra’ dan mikraj. Buraq itu digantikan dengan kenderaan ciptaan manusia, yang dipanggil roket atau sputnik untuk sampai ke Sidaratul Muntaha.

Bagaimana demagogi disebarluaskan?

Secara lumrahnya ia berkaitan dengan power of mouth, atau hebatnya kata-kata yang disampaikan seseorang sehingga diulang-ulang tanpa henti oleh seseorang. Dalam istilah psikologi, yang disandarkan kepada kesan media sosial, muncul satu istilah yang dinamakan sebagai contagion, penularan. Contagion bukan sekadar apa yang kita fahami dengan satu lagi istilah, iaitu viral.

Contagion lebih hebat kesannya, kerana ia bersambung-sambung sehingga membentuk kelompok yang bergerak sebagai aktivis, Viral hanya sekadar di permukaan, yakni jarang melampaui tahap perbincangan dan wacana lebih besar. (Jonah Berger, Contagious: Why Things Catch On, 2013 dan Invisible Influence: The Hidden Forces That Shape Behavior, 2016)

Selepas Perang Dunia II, kebanyakan negara-negara Islam mencapai kemerdekaan daripada penjajah seperti Perancis, Britain, Sepanyol dan sebagainya. Pada tahun 1920-an, muncul sebuah pergerakan sosial di Mesir, khususnya di bandar Ismailiyyah yang berhasrat untuk mengembalikan cara hidup Islam dengan menyingkirkan imperalisme budaya.

Setelah beberapa tahun bergerak cergas dalam aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan, Ikhwanul Muslimin menghadirkan diri sebagai sebagai sebuah pertubuhan politik. Namun, pertubuhan yang mendapat sokongan awam itu tidak dilayan secara adil oleh pemerintah yang dibelakangi oleh kepentingan Barat.

Beberapa kerusi yang ditandingi mencapai kemenangan dalam pilihan raya, ianya dinafikan dan Ikhwanul Muslimin berhadapan tekanan.  Tidak sanggup berhadapan dengan kuasa dari bawah, akhirnya dengan helah dan strategi politik, Ikhwanul Muslim dibatalkan dan beberapa orang pemimpinnya dibunuh.

Pembunuhan terhadap pengasasnya, Hasan al-Banna (1949) tidak mematikan semangat sebaliknya, mengubah pendekatan sehingga pertubuhan itu dianggap mula menerapkan fahaman radikal, dengan mentafsirkan kembali beberapa istilah yang dilihat boleh memberikan kesan menolak kerajaan yang memerintah.

Semasa pertubuhan itu dipimpin oleh Syed Qutb, beberapa pendekatan yang terdapat dalam sejarah Islam dan istilahnya diberikan nafas baharu sesuai dengan orientasi politik. Antara istilah yang cukup berkesan ialah ‘jahiliyah moden’. Bagi Syed Qutb, sesuatu masyarakat dan negara yang tidak melaksanakan sistem Islam adalah masyarakat jahiliyah atau sistem jahiliyah.

Istilah ‘jahiliyah’ digunakan bagi menyakat mereka yang menyimbang daripada kebenaran dan kerana itu, ilmu yang muncul daripada falsafah ilmu yang salah akan menghasilkan tasawur yang salah. Tasawur yang salah akan melahirkan sistem yang menyimpang.

Bagaimanapun, istilah itu digunakan dan berkembang secara cukup emosional sehingga menerbitkan tindakan keras terhadap kelompok yang dilabelkan sebagai “jahiliyah’ iaitu tidak mempraktikkan sistem Islam. Idealisme itu kemudiannya menjadi wacana yang lebih besar, sehingga munculnya istilah Negara Islam.

Wacana politik turut mempengaruhi sistem berpolitik di Malaysia apabila munculnya satu kelompok ulama dalam UMNO melihat parti yang ditunjangi oleh orang Melayu dan semangat Melayu tidak menzahirkan secara jelas kedudukan Islam dalam pemerintahan.

Pada tahun 1951, kelompok ulama itu menubuhkan Parti Islam se Tanah Melayu dan meletakkan gagasan untuk menjadikan Islam sebagai kerangka pemerintahan. Sejak itu, pertentangan ideologi antara UMNO dan PAS menjadi semakin parah, sehingga melibatkan doktrin kafir mengkafir pada tahun 1960-an.

Oleh kerana ingin menyekat kemenangan UMNO di Kelantan, PRU kedua selepas merdeka (1964) dicemari dengan dakwaan bahawa sesiapa yang tidak menyokong PAS adalah kafir. Ia sebagai reaksi terhadap kenyataan dan tindakan Tunku Abdul Rahman dalam strategi politiknya untuk merampas Kelantan.

Pada PRU 1 (1959), Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang berjaya dikuasai oleh PAS. PAS menyertai pilihan raya di Terengganu pada tahun 1964, dengan alasan, parti itu belum mempunyai kekuatan untuk mencabar Perikatan (kemudian dikenali Barisan Nasional, 1974)

Doktrin kafir terhadap UMNO menjadi doktrin yang sangat mempengaruhi perubahan psikologi masyarakat Melayu apabila kenyataan Haji Hadi Awang yang dilontarkan pada 7 April 1981 dianggap sebagai kredo politik dan sosial, mungkin sebagai reaksi ‘geram’nya apabila Anwar dikatakan bakal menyertai UMNO. Doktrin itu tersebar luas, bahkan dicetak dijadikan seumpama pembangkit semangat di hampir keseluruhan markas parti di seluruh negara.

Ada pendapat lain mengatakan, salah satu sebab kenapa doktrin itu muncul ialah pengangkatan Dr Mahathir sebagai PM ke-4 menggantikan Tun Hussein Onn yang ‘dipaksa bersara’ pada 18 Julai 1981.

Perbincangan mengenai pengangkatan Dr Mahathir sudah pun berlaku pada akhir 1980, dan dengan itu, ia menarik minat Anwar untuk mendekati UMNO. Anwar kemudiannya menemui Dr Mahathir dan diterima menyertai UMNO pada 30 Mac 1982.

Sebab yang lain ialah Anwar berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-6 (1982). Dan, tentunya Anwar perlu memilih UMNO, jika memilih PAS untuk menang di Permatang Pauh atau salah kerusi Parlimen di Pulau Pinang agak sukar. Ini kerana, BN mendapat sokongan daripada MCA dan Gerakan. Gerakan merupakan pemenang utama di Pulau Pinang sejak PRU ke-3 (1969).

Rintisan pertemuan itu bermula dengan peranan Ibrahim Ali, yang memberitahu Tengku Razaleigh. Tengku Razaleigh membuka ruang pertemuan dengan Dr Mahathir, kerana Tengku Razaleigh tidak mempunyai kuasa apa-apa jawatan kepada Anwar. (Ibrahim Ali, Perjuangan Tanpa Nokhtah, Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 2016, hal.309-317).

Secara rasminya, Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Haji Hadi pernah bersama-sama Anwar dalam ABIM dan dikatakan sangat mengharapkan Anwar menyertai PAS. Hadi kecewa dan turut kecewa ialah Fadhil Nor.  Oleh kerana parti politik yang berteraskan sokongan orang Melayu berhadapan dengan dua perspektif ideologi – nasionalisme Melayu (UMNO) dan Islam (PAS) – sedikit sebanyak telah mengakibatkan munculnya satu bentuk keresahan yang boleh dianggap sebagai universal.

UMNO yang menjadi jaguh dengan nasionalisme Melayu menjelaskan, mereka juga kekal memperjuangkan Islam sedangkan PAS, ikut memperkatakan berkenaan nasionalisme Melayu dan Islam sebagaimana muncul pada kerangka politik Dr Burhanudin Helmy.

Namun, selepas berlaku perubahan kepimpinan PAS, dan tersingkirnya parti itu daripada BN (1977), pergeseran ideologi politik menjadi semakin tidak ada hujungnya. Para pemimpin PAS memperbesar-besarkan nasionalisme Melayu UMNO sebagai perjuangan asabiyyah, dan muncul beberapa pengakuan daripada pemimpinnya, “tidak bangga dilahirkan sebagai orang Melayu, tapi bangga dilahirkan sebagai seorang Islam”.

Akhirnya, kemunculan Haji Hadi sepenuh masa dalam PAS ‘gelora politiknya’ mencapai kepada pengakuan “darah orang UMNO halal dibunuh’, dan “kita menentangnya kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyyah”.

Hadi sebenarnya memberikan penekanan kepada makna jahiliyah yang digagaskan oleh Syeq Qutb (dihukum bunuh tahun 1966), maknanya, doktrin itu sedikit sebanyak dipengaruhi oleh idealisme politik pemimpin Ikhwanul Muslimin itu.

Pada satu tahap kita menampakkan bahawa penegasan Haji Hadi itu sebagai halatuju perjuangan PAS, yakni untuk menukarkan semua undang-undang yang dianggap tidak Islamik, undang-undang yang dinamakan syariah.

Soalnya, berjayakah beliau laksanakan setelah sekian lama memimpin PAS? Apakah perjalanan PAS menepati prinsip syariah?

Persoalan semasa yang sedang dipersoalkan oleh ramai orang, apakah PAS tidak melanggar makna syariah apabila tidak berusaha membayar hutang yang ditagih oleh sebuah syarikat percetakan yang mencetak akhbar Harakah? Apakah alasannya? Apakah kerana Harakah itu organisasi berasingan, maka PAS tidak bertanggungjawab untuk membayar hutang?

Ramai yang menyindir PAS, bukankah membayar hutang itu suatu kewajipan dan hukumnya adalah berat? Atas sandaran ilmu apakah pemimpin PAS berusaha untuk mengelak daripada membayar hutang? Tentunya, desakan-desakan demi desakan akan menghasilkan budaya kotrakdiksi yang besar dalam diri pemimpin PAS?

Apakah PAS akan menggunakan alasan atau kelompongan undang-undang warisan penjajah untuk mengelakkan dari membayar hutang, kerana syarikat asal pertama sudah diisytiharkan muflis?

Muflis atau tidak, hutang wajib dibayar, sebabnya pemilik syarikat yang muflis itu memerlukan wang bagi membiayai kos perawatannya. Begitu juga dengan seseorang yang mati meninggal hutang, anak-anaknya wajib membayar hutang-hutang tersebut. Roh si mati digambarkan terawang-awangan selagi hutang-hutangnya tidak dijelaskan oleh anak-anaknya.

Jika si mati meninggalkan pusaka, harta yang ditinggalkan wajib dijual untuk membayar hutang, dan anak-anaknya bertanggungjawab untuk menyelesaikannya, atau menampung kekurangan yang berlaku. Inilah syumulnya Islam, bukan mencari alasan untuk tidak membayar hutang.

Itulah sebabnya, selagi isu ini tidak dapat diselesaikan, PAS terus dianggap gemar mencetuskan polemik dan menggunakan demagogi agar tindakannya dilihat betul, benar dan wajib disokong, termasuklah kes pembatalan 16 perkara dalam EJSK 2019.

Untuk menggerakkan demogagogi, secara mekanismenya ia memerlukan tiga tahap, iaitu individu, institusi pendidikan, dan institusi politik. Untuk mencapai kesan yang diharapkan, tentunya ia memerlukan sokongan padu.

Sokongan padu boleh hadir dalam dua keadaan: seorang atau sekumpulan pemimpin berkarismatik alias demagog dan sebuah idea yang konsisten (bukan sebuah idea yang benar atau betul sepenuhnya. Ia mungkin separuh benar atau sama sekali tidak benar). Paling penting, ialah bagaimana idea itu dipersembahkan (mesej dibentuk) dan siapakah yang akan memperkatakannya.

BERSAMBUNG

MAHANOR SALEHA

Translate »