Apakah benar keputusan Mahkamah Persekutuan itu mencabar syariah dan meletakkan Mahkamah Syariah “tidak ada apa lagi” yang ingin atau boleh dilakukan, seolah-olah bagunan yang tersergam indah tinggal sebagai ‘gajah putih’?

Dalam Islam, terdapat tiga struktur undang-undang, iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud ialah hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT terhadap mereka yang melakukan kesalahan atau kemungkaran (maksiat) dan sebagainya. Hukumnya dijelaskan dalam al-Qur’an dan amalan-amalan yang dilakukan semasa Nabi Muhammad SAW.

Tidak siapa pun berhak mencabar ketetapan tersebut, dalam apa keadaan dan alasan. Mereka yang mencabarnya dianggap kufar sehingga boleh ditafsirkan sebagai murtad, misalnya tidak percaya tentang keEsaan Allah SWT. Ia bukan sahaja tergelincir daripada prinsip tauhid, bahkan wajib disingkirkan (dipulau).

Ia kemudian berkembang ke fasa selanjutnya, para fuqaha berselisih pendapat mengenai hukuman terhadap mereka yang murtad. Sebahagiannya menyatakan mereka yang murtad boleh dibunuh manakala sebahagiannya berpandangan, seseorang yang murtad masih diberikan peluang kedua, yakni dengan memujuk dan memulihkan keyakinan tersebut selagi pemurtad itu tidak mengecam ajaran Islam.

Jika seseorang itu berhasrat murtad, setelah diberikan nasihat dan bimbingan masih kekal dengan keputusan tersebut, maka sebahagian ulama berkata: ‘biarlah dia pergi’. Kerana itu, siapa yang ekstrem dan siapa yang manusiawi? Apakah keputusan ‘biarlah dia pergi’ bertentangan dengan hukum syarak?

Misalnya, kes yang membabitkan seorang pengarang keturunan India, yang asalnya (lahir) beragama Islam, warganegara Britain yang menerima fatwa hukuman bunuh oleh pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Khomeini ekoran persendaannya terhadap beberapa ayat al-Qur’an sebagai ‘surah syaitan, satanic verses’, Salman Rusydi.

Hingga kini, fatwa tersebut belum dicabut (dibatalkan) namun ada di antara pemimpin Islam membuka ruang taubat kepada Salman Rusydi untuk kembali memahami Islam sebagai cara hidup dan agama yang rahmah. Mengambil contoh daripada kebijaksanaan dakwah Nabi Muhammad SAW yang mendapat kecaman dan ancaman bunuh daripada pelbagai penjuru termasuk dalam kalangan leluhurnya, kaum Quraisy.

Atas kelembutan cara dakwah dan teladan peribadi yang diamalkan, sebahagian besar yang menentang Rasulullah SAW akhirnya bersyahadah, kecuali beberapa orang termasuk Abu Jahal. Begitu juga dengan cerita seorang Yahudi buta berkulit hitam yang setiap hari mengecam Rasulullah SAW. Namun, Rasulullah SAW tidak membalas kecaman itu dengan kekerasan.

Walaupun kisah masyhur ini, menurut penjelasan dalam Irsyad al-Hadith siri ke-173, “tidak menjumpai asal atau sumber kisah ini’, kisah ini tetap menjadi bahan untuk menjelaskan dakwah Rasulullah SAW dengan lemah lembut, penuh kesabaran (dedikasi) dan bukan reaksioner sebagaimana ‘politik dakwah’ yang kita alami di Malaysia.

Biarpun ‘tidak diketahui sumbernya’, ia cukup popular dan signifikan dengan pola dakwah Islam, saya kutip naratif tersebut sebagai bahan perbandingan dan perbincangan, bukan bertujuan menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Nabi Muhammad SAW, sebagai ‘pendustaan’.  Saya melihatnya sebagai satu kisah warisan yang popular dan penuh dengan pengajaran. Itu sahaja, bukan seperti menghidupkan sebuah dongeng.

Kisahnya, Rasulullah SAW mendekati Yahudi buta dan miskin itu di pasar Madinah di setiap pagi berbual-bual dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Tidak kurang juga ketika makanan itu disuap, Rasulullah SAW mendengar kecaman dan kutukan ke atas baginda, termasuk hasrat membunuh baginda. Setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar as- Sidik bertanyakan kepada Aisyah, apa lagi sunnah Rasulullah SAW yang tidak dilakukannya.

Beritahu Aisyah: Engkau mengikuti kesemua sunnahnya, kecuali satu perkara, iaitu memberi makan kepada seorang Yahudi buta setiap pagi.

Abu Bakar segera mengambil makanan dan terus pergi ke pasar Madinah mencari Yahudi buta itu. Yahudi buta menyedari bahawa tangan yang menyuapkan makanan ke mulutnya kali ini adalah berbeza dengan tangan Rasulullah SAW. Akhirnya, diberitahu bahawa orang yang menyuapkan makanan ke mulutnya adalah Rasulullah SAW, dan baginda sudahpun wafat.

Dengan rasa insaf, Yahudi itu kemudiannya terbuka pintu hatinya, mendapat hidayah untuk memeluk Islam. Ini bermakna, jika kelembutan dan kesabaran menyelimuti setiap langkah dan kata-kata, ia dapat mencairkan hati orang yang menentang atau mengecam kita.

Itulah kehebatan ajaran Islam yang wajar dipraktikkan, bukan dengan cara mengecam seolah-olah orang lain itu ‘tidak Islam’ ataupun ‘kelompok kami sahaja yang betul dan benar’. Mereka yang bertentangan pendapat, pemikiran dan perilaku wajar dikenakan kecaman yang keras, kalaupun tidak mampu dimusnahkan.

Itulah imej yang kita peroleh dalam imaginasi segelintir pendokong politik, yang sebahagiannya dipanggil ustaz dan ustazah, yang ikut menjerat emosi awam berkaitan dengan petisyen Nik Elin mahupun kenyataan PM X bahawa kerajaan tidak campur tangan, selaras dengan prinsip pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi.

Mengenai kecenderungan ‘menghukum’ al-Ghazali menjelaskan:

“Aku melihat engkau wahai saudaraku yang dikasihi dan teman yang taksub (dengan puak atau mazhab masing-masing), bahawa apabila pendengaran kamu terganggu oleh pihak yang iri hati yang menyerang dengan kritikan terhadap sebahagian kitab yang kami tulis mengenai rahsia-rahsia tentang bagaimana agama berperanan dan apabila mereka mendakwa karya-karya berkenaan mengandungi pandangan yang bertentangan dengan doktrin Mutaqaddimin dan Mutakallimun, dan bahawa penyimpangan daripada mazhab al-Asy’ari walau hanya sejengkal daripada mereka adalah kafir, dan bahawa berpisah daripada mereka (Asyairah) walau sedikit adalah penyelewengan dan kehancuran …jiwa kamu menjadi gelisah dan marah, fikiran kamu menjadi keliru dan berkecamuk.

Tetapi, aku nasihatkan kamu wahai saudaraku dan teman yang taksub, bertenanglah dan jangan menjadi terganggu. Kawal emosi kamu, bersabar dengan apa yang mereka katakan dan berpisahlah dengan mereka secara sopan. Tidak perlu cemburu kepada mereka yang tidak menjadi sasaran kedengkian dan tohmahan, dan jangan pula cemburu kepada mereka yang tidak pernah dituduh sesat dan kafir. Apakah ada pendakwah yang lebih sempurna dan waras daripada penghulu segala rasul? Meskipun begitu, mereka (orang kafir) menuduhnya sebagai orang gila!

Apakah ada ucapan yang lebih tinggi dan lebih benar daripada ucapan Tuhan sekalian alam? Meskipun begitu mereka pernah mengatakan ia adalah dongeng umat terdahulu!

Maka janganlah kamu sibuk dengan pertikaian dengan orang-orang ini, atau berharap untuk menjawab mereka. Usaha sedemikian adalah sia-sia seperti bercakap kepada orang yang tidak dapat mendengar. Adakah kamu tidak pernah mendengar kata-kata: Setiap permusuhan boleh dihapuskan. Kecuali permusuhan orang yang memusuhi kamu dengan hasad dengki. (Iman al-Ghazali, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik, terjemahan daripada Faysal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zandaqah oleh Farhan Affandi dan Anwar Yusof, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2018, hal. xii-xiv).

EJS yang dikanunkan oleh negeri-negeri dan diluluskan oleh DUN masing-masing sebenarnya termasuk dalam persoalan takzir, iaitu undang-undang yang dibuat oleh manusia, bukannya undang-undang Allah. Ertinya, kerana undang-undang tersebut adalah takzir, ia boleh dipinda, dimansuh dan seterusnya diwujudkan kembali dalam suasana yang lebih baik dan adil setelah melalui proses-proses yang sah.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan keseluruhan undang-undang, hanya membatalkan mana-mana perkara yang sudah dikanunkan dalam undang-undang Persekutuan. Itu sahaja, maka tidak sebab kita perlu menegaskan bahawa dengan pembatalan 16 perkara dalam EJSK menjadikan Mahkamah Syariah berada di persimpangan dan Syariah dalam bahaya.

Menurut Profesor Mohamad Hashim Kamali, bekas pensyarah undang-undang Islam kelahiran Afghanistan yang mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak tahun 1980-an, istilah syariah seringkali diterjemahkan sebagai ‘hukum Islam’ dan kerananya ia sering menjadi pokok perdebatan dan pertentangan yang panas, sama ada dalam kalangan Muslim ataupun bukan Muslim.

Petikan-petikan berikutnya diambil daripada salah sebuah buku tulisan beliau, Membumikan Syariah: Pergulatan Mengaktualkan Islam, terjemahan daripada Shariah Law: An Introduction oleh Miki Salman, Bandung: Penerbit Noura Books (PT Mizan Pustaka), 2013.

Syariah secara harafiah bermakna ‘titian menuju sumber air atau titian menuju kebahagiaan dan keselamatan, “yang jelas untuk diikuti dan harus dijalani oleh orang yang beriman bagi mendapatkan panduan di dunia ini dan keselamatan di akhirat. Secara umum, Syariah merujuk kepada perintah, larangan, panduan dan prinsip dari Tuhan untuk perilaku manusia di dunia ini dan keselamtannya di akhirat.

“Panduan suci ini dan yang lainnya memungkinkan manusia meninggalkan dorongan hawa, yakni hasrat tanpa batas dan kecenderungan berbuat jahat; membimbing manusia menuju kebajikan dan kebenaran, serta menjadikannya terhormat dan dipercaya sebagai khalifah Allah di bumi. Oleh kerananya, manusia dipercaya mengemban tanggungjawab menegakkan keadilan dan pemerintahan yang baik sesuai dengan panduan Syariah.” (hal.19).

Istilah ini, menurut Hashim Kamali, “hanya muncul sekali dalam al-Qur’an dan digunakan sebagai lawan kata hawa (hasrat sekehendak hati)” dan ayat yang mengandungi “Syariah” ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu ayat ke-18 dalam surah al-Jaathiyah (surah ke-45, juzuk ke-25) yang bermaksud:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syari’at (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syari’at itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” (hal.4).

Jelas Hashim Kamali lagi: Dua turutan lain dari akar kata syara’a (untuk memulai atau memberlakukan sesuatu) yang muncul dalam al-Qur’an juga menguatkan …konsepsi al-Qur’an pada hakikatnya adalah teosentris. Dalam salah satu ayat-ayat yang dimaksud, dikatakan:

Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.” (surah as-Syura (42), ayat ke-13). (hal.7).

Al-Ghazali dalam semi autobiografinya menceritakan mengenai ‘betapa cuai dan lemahnya iktikad orang ramai …merosotnya amalan dan melemahnya keimanan mereka” yang dirumuskan kepada empat sebab, iaitu (1) mereka yang mendalami ilmu falsafah; (2) golongan yang mengikuti jalan tasawuf; (3) golongan yang terpengaruh dengan ajaran mazhab Ta’limiyyah; dan (4) perlakuan orang kenamaan dan alim pada pandangan ramai.

Mereka yang mendalami falsafah, akan menyandarkan setiap pendapat berdasarkan logik akal yang berlebihan sehingga ada yang cuba membuat generalisasi mengenai hal-hal yang ghaib. Disebabkan tidak tercapai oleh akal, mereka menyatakan persoalan-persoalan seperti itu tidak wujud dan rasional, sedangkan hal-hal itulah sepatutnya membawa manusia memahami kedudukannya sebagai musafir, pengembara dan hamba Allah SWT.

Bagi mereka yang memilih jalan tasawuf, mereka melupakan kehidupan yang perlu dijalani ketika hidup, hanya menumpukan pada kenyataan mencari kebahagiaan di akhirat semata-mata. Sebenarnya, kelompok ini juga merupakan kelompok yang tidak memperoleh kebahagiaan di akhirat, kerana tidak melaksanakan tanggungjawabnya di kehidupan dunia, yang memerlukan perseimbangan antara ibadat dan muamalah (kemasyarakatan).

Mereka yang terpengaruh dengan ajaran Tailimiyyah (kelompok batiniyyah) dan menurut al-Ghazali, matlamat utama mereka ialah menghapus atau mengkerdilkan aturan wahyu. Mereka mendakwa bahawa mereka mampu menetapkan dakwaan berkenaan makna batin, yang pada akhirnya membawa kepada pengabaian dasar agama. Kelompok ini mendakwa, pada zahirnya terdapat sisi batin yang mengalir pada ayat al-Qur’an dan hadis, sebagai pati bagi kulit.

Dalam bentuknya, zahir menimbulkan kecurigaan bagi orang jahil dan bodoh dengan gambaran yang jelas. Bagi golongan yang berakal dan cerdik, yang zahir itu merupakan simbol atau isyarat mengenai hakikat spiritual tertentu. Al-At’limiyyah dan atheis berkembang di Khurasan manakala al-Batiniyyah atau seangkatannya, al-Qaramitah dan al-Mazdakiyyah berkembang di Irak, ketika itu.

Ini tidak bermakna kelompok ini tidak muncul di mana-mana negara, ia dapat dilihat daripada sikap dan perilaku yang bersifat anti-sosial dan menghabiskan keseluruhan masanya dengan bertafakur atau bertapa, sedangkan sifat-sifat ini tidak digalakkan oleh Islam. Tafakur dan pertapaan boleh dilakukan, tetapi tidak melampaui batas, yang dikenali sebagai berkhalwat, uzlah dan sebagainya.

Al-Ghazali melakukan hal yang sama, tetapi tidak sepenuhnya sepanjang ‘pengembaraan spiritual’ selama sepuluh tahun setelah meninggalkan Baghdad pada tahun 1095. Ketika itulah beliau menghasilkan beberapa buah kitab dan magnum opusnya, Ihya Ulumuddin.

Jelas al-Ghazali: Aku memperuntukkan masa untuk bertemu dengan beberapa individu. Aku bertanya siapakah di antara mereka yang mengabaikan syariat. Aku persoalkan apakah keraguan yang mendorong ia berpendirian demikian. Aku selidik apakah akidah dan rahsia yang menjadi pegangannya dan bertanya kepadanya: Kenapa engkau mengabaikan syariat? Jika kau beriman kepada akhirat, tetapi tidak bersiap sedia untuknya malah menjualnya untuk membeli dunia, maka adalah bodoh!

“Kerana kau boleh menukar dua barang dengan satu barang. Jadi, bagaimanakah kau boleh menjual sesuatu (akhirat) yang tiada kesudahan dengan hari-hari (dunia) yang terbatas? Jika kau tidak beriman kepadanya, bererti kau telah kafir! Maka aturlah dirimu untuk memperoleh iman. Perhatikan dengan teliti dan carilah sebab-musababnya mengapa dan di manakah punca yang menjadikan kau memendam kufur di lubuk jiwa?

“Kufur terpendam inilah pegangan batinmu,. Kufur inilah menyebabkan kau berani melakukan apa saja secara terang-terangan, meskipun kau tidak mengisytiharkan kufur kepada masyarakat, kau bermuka-muka dengan topeng iman, dan berpura-pura hormat bila disebut syarak!” (Imam al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan, terjemahan daripada al-Munqidz min al-Dhalal oleh Anwar Yusof dan Farhan Affandi, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2017, hal.104-106)

Berdasarkan sejarah umat Islam, persoalan hukum turut menjadi sesuatu yang cukup besar sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan, terutama dalam hal-hal yang tidak dijelaskan secara langsung dalam al-Qur’an dan sunnah, yang pada awalnya sangat bergantung kepada tafsiran para ahli feqah.

Akibat tafsiran itulah menjadikan umat Islam berpuak-puak dan tidak kurang pula saling mendakwa hanya pendapat kelompok mereka sahaja yang ‘benar dan betul’, sehingga pendapat yang bertentangan berhadapan dengan ancaman dan tragedi.

Disebabkan tafsiran yang pelbagai tentang hukum dan sesuatu permasalahan. Umat Islam di Malaysia seringkali bertelagah mengenai pendekatan masing-masing sedangkan semua umat Islam terus bersyahadah, membaca kitab yang sama, bersembahyang kiblat yang sama, tetap ‘ada kafir’ kerana menentukan seseorang itu kafir adalah kelebihan yang ada pada kelompok mereka ke atas kelompok lain.

Biarpun kes kekalahan Kerajaan Kelantan dalam petisyen Nik Elin dan anak perempuannya, telah muncul dakwaan terhadap tindakan tersebut, termasuk diancam bunuh. Setakat ini (14 Februari 2024), Nik Elin membuat tiga laporan dan pihak polis telah membuka tiga siasatan terhadap ugutan tersebut (Harian Metro, 14 Februari 2024).  Diancam bunuh kerana didakwa  bertindak seperti orang kafir, membuang Islam, yakni syariah. Demagogi di gelegar syariah.

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »