Apakah benar Menteri Agama dan kerajaan perpaduan ‘tidak mencelah’ dalam petisyen Nik Elin?

Biro Undang-Undang Amanah (KANUN), melalui kenyataan setiausahanya, Marwan Abdullah menafikan dakwaan LUHAM (Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS) dengan  menyelar PAS yang menikus dalam kes Iki Putra.

Dalam kes Nik Elin, PMX memainkan peranannya secara proaktif. Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Mohd Naim Mokhtar mengarahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mencelah dan membantah petisyen tersebut.

Kerajaan Perpaduan atau Madani, kata Marwan, menyahut seruan Sultan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang. (https://harapandaily.com/2024/02/17/kanun-selar-luham-pas-membisu-semasa-dalam-kerajaan/)

Ertinya, PAS bukan sahaja cekap mencium ‘salah orang lain, dan dalam masa masa mencipta ‘scapegoat’ agar orang lain sentiasa dilihat buruk, salah dan tidak berbuat apa-apa setelah imejnya tercalar. Inilah salah satu sisi buruk demokrasi.

PAS pernah berkata, demokrasi adalah bukan daripada Islam. Tetapi, PAS tetap menerima demokrasi, kini larut dalam demokrasi sehingga tindakan berubah menjadi hedonikrasi.

Aksi politik dijalani menurut kehendak nafsu (politic of desire), hasrat kepentingan diri dan kepentingan parti kadangkala menjulur ekstrim dan tidak rasional, hasrat dan kepentingan  rakyat berkabus tebal. Misalnya, bila kita membuat penilaian apakah pencapaian selama lebih 30 tahun berkuasa di Kelantan, sudah terpenuhkah asas-asas Membangun Bersama Islam?

Kadangkala terasa bahawa dalam ekosistem politik yang diamalkan di Kelantan semacam politik hedonism, hanyalah milik para ‘tirani’, bukan milik rakyat. Bila rakyat bertanyakan bekalan air bersih yang terputus, dan lebih banyak paip tidak mengalir, ada banyak alasan yang ‘kurang meyakinkan’.

 Jawapan seumpama itu merupakan sejenis bentuk ‘kerinduan batin’ yang terhalang, tiada penyelesaian yang meyakinkan sehingga membingkai lelucon. Bak pungguk merindukan bulan, tak terdaya si pungguk ke bulan walaupun bulan penuh nampak dengan jelas.

Apakah aksi politik yang memperbodohkan rakyat itu bukan politik hedonism sebagaimana diistilahkan oleh Leo Strauss (1899-1973) dalam bukunya, On Tyrany: An Interpretation of Xenophon’s Heiro, edited Alexandre Kojeve, New York: Free Press, 1991).

Kadangkala ada yang merasakan bahawa demokrasi adalah sebuah kehampaan, terselubung kehambaran bila rakyat dimanipulasi, keputusan bersimpang siur, suara diniagakan, kejujuran (fakta) diparodikan (sejumlah 49 laporan polis telah dibuat ke atas pempengaruh media sosial berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan 9 Februari 2024, Malaysiakini, 18 Februari 2024) dan istilah ‘amanah dan tanggungjawab’ sudah tidak lagi teras parti dan aktor politik.

Membaca aksi politik sedemikian mengingatkan saya kepada Jalaludin Rumi yang bukan sahaja terkenal denan Mathnawi, juga kumpulan ceramah spiritual. Dalam salah satu ceramah Rumi berkata:

Sifat-sifat buruk – zalim, iri, dengki, serakah, keras hati, dan sombong – ketika ada dalam dirimu, kau merasa biasa saja. Namun, saat kau melihat sifat-sifat itu pada diri orang lain, kau segera menghindar dan merasa tersengat.

“Seseorang tidak jijik pada kudis dan kurap di tubuhnya sendiri. Ia mencelupkan tangannya yang luka ke dalam sup sayur kemudian menjilatnya. Sama sekali tidak muak. Namun, jika ia melihat bekas di tangan orang lain, ia akan menghindari sup orang itu dan tidak mahu memakannya.

“Sifat-sifat buruk ibarat kudis dan kurap. Ketika kudis dan kurap itu ada di diri sendiri, seseorang tidak merasa menderita. Namun, jika ia melihat bekas-bekasnya saja pada orang lain, ia merasa jijik, mual dan perlu menjauhinya.” (Jalaludin Rumi, Fihi Ma Fihi: 71 Ceramah Rumi Untuk Pendidikan Ruhani, diterjemahkan oleh Abu Ali dan Taufik Damas, Jakarta: Penerbit Zaman, cetakan ke-2, 2016, hal.65).

Hakim tunggal yang tidak bersetuju ‘mendengar’ petisyen Nik Elin dan anak perempuannya, menyifatkan tindakan pempetisyen tidak ada ‘locus standi’ (hubungan yang cukup) dan melabelkan pempetisyen sebagai ‘busy body’ atau ‘penyibuk’. Hakim tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli. (Harian Metro, 9 Februari 2024).

Dalam konteks ini, Nik Elin dan anak perempuannya memanglah ‘penyibuk’ kerana berusaha mencabar bidang kuasa DUN Kelantan mengenai penggubalan undang-undang EJSK. Sibuknya ada merit dan sangat terkait dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan sesuatu ketentuan tidak boleh berlaku (ada) pertindihan ataupun percanggahan antara satu sama lain.

Salahkah jika Nik Elin dan anak perempuannya menjadi penyibuk? Nik Elin menjadi penyibuk kerana ia sedar, kemungkinan akan berulang lagi kes-kes yang didakwa di Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan.

Lubang tersebut sebenarnya telah terbuka sebelum Nik Elin dan anaknya memfailkan petisyen. Ertinya, kenapa lubang yang terbuka itu tidak ditampal atau ditutup agar saman menyaman seterusnya tidak berlaku? Itulah kesilapannya.

Pintu hadapan rumah sudah terbuka, tapi penghuninya tidak peka. Bayangkan apa kemungkinan akan berlaku, termasuk di Kelantan, pantang tingkap atau pintu terbuka, ada yang makhluk yang menyelusup masuk. Ia bukan keadaan pada tahun 1960-an dan 1970-an, rumah boleh ditinggalkan tidak berkunci, atau pintu rumah terbuka luas kerana penghuni ke kedai yang berhampiran.

Nik Elin melihat itu adalah keadaan yang tidak harmoni. Jadi, petisyen itu bertujuan untuk membolehkan penggubal undang-undang (wakil rakyat) lebih berhati-hati, bukan hanya sekadar menggubal undang-undang tanpa melihat persoalan teknikal.

Jadi, kekalahan kerajaan Kelantan adalah atas kesilapan teknikal, bukannya meletakkan ‘syariah dalam bahaya’. Ertinya, Takiyuddin perlu berhati-hati buat kenyataan, kerana beliau adalah seorang peguam bukan hanya memikirkan perspektif politik dan desakan nurani parti yang dianggotainya.

Tular di media sosial, seruan untuk bermaksiat di Kelantan. Walaupun ia dalam bentuk jenaka, Kerajaan Kelantan harus memikirkan kerana hukuman ke atas kesalahan-kesalahan dalam EJSK adalah lebih ringan daripada Kanun Kesiksaan, maka ‘bolehlah ramai buat maksiat di Kelantan’.

Misalnya, maksimum hukuman liwat ialah maksimum penjara 3 tahun, sedangkan dalam Kanun Kesiksaan 20 tahun. Turut dipersoalkan, adilkah EJSK mengenakan hukuman yang lebih ringan kepada orang Muslim, sedangkan dalam kes yang serupa, hukuman adalah lebih berat disabitkan kesalahan menurut Kanun Kesiksaan.

Jawapan yang diberikan boleh kita terima, kerana ada had yang ditetapkan di Mahkamah Syariah tidak boleh melangkauinya dalam menjatuhkan sesuatu hukuman denda, penjara atau sebat.

Seseorang berseloroh, patutlah kes-kes jenayah mencanak naik di Kelantan, termasuk dalam kalangan remaja Islam. Laporan Astro Awani, pada 4 Julai 2023, yang memetik kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun,  antara Januari hingga Jun 2023, kes jenayah seksual dan sosial melibatkan remaja termasuk pelajar sekolah ‘membimbangkan’.

Setengah tahun sudah ada 42 kes, sedangkan keseluruhan kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya (2022) adalah 79.  Begitu juga dengan jenayah seksual, dalam tempoh enam bulan pertama 2023 ada  84 kes, kurang 15 kes daripada keseluruhan kes pada tahun 2022.

Kes-kes itu disiasat mengikut Seksyen 323, 506 dan 147 Kanun Kesiksaan. Timbul pula persoalan: Kenapa bukan di bawah EJSK? Sedangkan majoriti kes membabitkan remaja Islam? Jika disiasat di bawah Kanun Kesiksaan, adakah kes itu boleh didakwa di bawah EJSK?

Itulah rasional kenapa saya menolak demagogi yang sedang bermain untuk membentuk pemikiran rakyat agar percaya keputusan penghakiman ke atas petisyen Nik Elin dan anak perempuannya menjadikan ‘syariah dalam bahaya’, atau dakwaan Mahkamah Syariah yang megah dari segi pembinaannya akan menjadi ‘gajah putih’; atau selepas ini peguam syari’e yang boleh mencari makan dengan mengambil kes-kes jenayah syariah ikut menganggur kerana EJSK sudah diharamkan.

Ringkasan penghakiman Tun Tengku Maimun sudah boleh dibaca oleh masyarakat awam. Secara jelasnya, keputusan penghakiman itu tidak bersangkut paut dengan Mahkamah Syariah, hanya mengenai keesahan perkara-perkara itu sahaja yang dibuat, juga tidak berlarutan hingga mencabar Islam. Mana-mana yang sudah terperangkap dengan demagogi itu, berhentilah kerana akal rasional anda sudah diceroboh masuk.

Ruginya hidup ini sekiranya fikiran kita menjadi ‘jumud’ dan dapat dapat berfikir dengan baik, sedangkan Allah SWT menciptakan manusia berbeza dengan lain-lain makhluk atas kedudukan akal. Dengan akal kita berfikir, maka berfikirlah secara kritis, hatta melanggar atau mencabar kebiasaan kita.

Tetapi, jangan sampai mencabar Allah SWT. Jadilah, hadamlah keputusan penghakiman itu baik, tidak tergopoh-gopoh. Akibat tergopoh-gopoh itulah menjadikan kita tidak rasional, mengatur langkah sumbang dan songsang dengan ‘kebenaran’. Sedangkan kita tahu, ‘kebenaran’ itu sangat bergantung kepada fakta, bukan tafsiran semata-mata.

Namun, sebaik sahaja keputusan itu dibuat, Setiausaha Agong PAS melabelkan ia sebagai #BlackFriday, yang bermaksud hari Jumaat Yang Gelap. Pelabelan itu sendiri sudah boleh difahami sebagai salah satu daripada beberapa teknik propaganda. Saya menolak #BlackFriday, kerana dalam Islam hari Jumaat adalah cukup dimuliakan, berkah dan perenungan fitrah diri.

Jadi, renungilah hari Jumaat itu membuktikan bahawa sesuatu yang hendak kita lakukan, perlu dilihat secara teliti, mendalam dan menyeluruh, bukan hanya berdasarkah ‘ghairah rasa’ atau lantunan emosi.

Saya tidak pernah menemui mana-mana istilah yang mengecewakan mengenai mana-mana hari yang ada, walaupun dalam sejarah Islam berlaku pembunuhan, tragedi dan musibah yang besar. Belum ada yang mengatakan #BlackFriday.

Tahap ‘keburukan’ atau ‘negatif’ adalah cukup berat, kerana yang saya temuinya ialah ‘hari yang malang’, bukan hari yang membekas seperti itu. Pelabelan seperti itu bukan datang atau bermula dalam budaya Islam, walaupun kita tahu ada hari dalam sejarah yang mengecewakan, seperti kalah dalam peperangan, berlaku musibah besar dan sebagainya.

#BlackFriday : Kita amat sedih, ini adalah Black Friday. Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam. Saya sebagai peguam tahu apabila satu undang-undang jenayah syariah negeri dibatalkan, bermakna undang-undang jenayah di negeri lain dalam keadaan bahaya dan kritikal.

Kita imbas kembali apa yang diucapkan oleh Takiyuddin Hasan, yang memulakan propaganda untuk menimbulkan rasa marah orang awam terhadap kesemua entity dalam kerajaan perpaduan, termasuk Perdana Menteri, dan juga sistem kehakiman.

Fahamilah, kesemua itu dibingkaikan oleh doktrin agihan kuasa, dan malangnya, sebagai pemimpin, penggubal undang-undang dan kuasa pemutus ada di tangan Justice Bao (siri tv sepanjang 236 episod dan pernah ditayangkan di 8TV/Metrovision).

Namun, Justice Bao turut membentuk legande dan antara untaian kata-katanya yang menarik ialah:

  • The essence of governing is to have a cleansed heart,
  • the strategy of life is to follow upright ways.
  • An elegant stem will eventually turn into pillar,                                                                  
  • refined steel cannot be bent into a hook.
  • Rats and sparrows overjoy when the granary is full,                                                                  
  • rabbits and foxes worry when grassland dies.
  • History books contain teachings by those deceased:                                                                            
  • Don’t leave your descendants with only embarrassment!

Hakim-hakim yang membuat keputusan, hanya membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang, dan mereka bukanlah penggubal undang-undang. Jadi, dalam hal ini, yang patut dipersalahkan ialah mereka yang terbabit dalam penggubalan undang-undang, bukannya mereka yang membuat keputusan berdasarkan undang-undang.

Khairy Jamaludin dalam ulasannya menyifatkan komen Takiyuddin itu keterlaluan dan wajar dikecam. (https://www.facebook.com/share/r/nUOX3k6xMthYc8vc/?mibextid=OVwfS57).

Setelah terkena sindiran, Takiyuddin mula menyalahkan jabatan-jabatan agama negeri, menteri agama kerana tidak ‘mencelah’ dalam petisyen Nik Elin. Soalan itu sebenarnya dibangkitkan sebagai menutupi kelemahan beliau sendiri, semasa menjadi salah seorang menteri dalam kabinet Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia, tidak mengambil peluang memohon kebenaran untuk mencelah (kes Iki Putra).

(BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

Translate »