KEPIMPINAN bukan satu keistimewaan, tetapi ia adalah tanggungjawab. Ia juga bukan satu kemudahan, tetapi satu pengorbanan. Bukan juga sesuatu yang hanya untuk bersenang-lenang, tetapi adalah kerja keras. Kepimpinan juga bukan ruang dan peluang untuk bertindak sesuka hati, tetapi wadah untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesabaran. Seterusnya, kepimpinan adalah contoh dalam berbuat sesuatu dan mempelopori sesuatu tindakan.
Para pakar yang mengkaji al-Quran dan al-hadis menetapkan empat sifat yang harus dipenuhi oleh para nabi, yang pada hakikatnya adalah pemimpin kepada umatnya. Pertama, Al-Shidq yang bermaksud kebenaran dan kesungguhan dalam sikap, ucapan serta berjuang melaksanakan tugas. Sifat kedua ialah Al-Amanah atau kepercayaan, iaitu memelihara sebaik-baiknya tentang apa yang telah dipertanggungjawabkan, baik daripada Tuhan mahupun orang yang dipimpin sehingga mewujudkan keharmonian di kalangan semua pihak.
Seterusnya, Al-Fathanah, bermaksud kecerdasan yang melahirkan kemampuan untuk berhadapan dengan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dan keempat At-Tabligh, iaitu menyampaikan sesuatu dengan penuh kejujuran dan bertanggungjawab. Hal yang demikian itu diistilahkan sebagai sifat keterbukaan
Contoh terbaik dalam memperihalkan aspek kepimpinan ini ialah menerusi cara yang diaplikasi oleh Rasulullah Kepimpinan Rasulullah berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Baginda sayang dan kasih kepada umatnya, bukan hanya di bibir, tetapi dipamerkan pada perbuatan serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu menyintai Rasulullah dengan mematuhi segenap ajaran yang disampaikan oleh baginda dan sanggup pula berkorban dalam melaksana dan mempertahankan agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
Antara faktor yang mempengaruhi hubungan tersebut ialah ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, secara telus dan terus menyerap ke dalam jiwa orang ramai. Dasar-dasar kepimpinan baginda bersifat kerukunan di kalangan masyarakat serta terarah kepada kedamaian dan perdamaian yang abadi.
Baginda terlebih dahulu menyatukan tujuan hidup dengan akidah, kemudian ditautkan hati dengan hati, jiwa dengan jiwa, kerana segala sesuatu itu berkait rapat dengan sifat lahiriah yang bertunjangkan sumber-sumber rohaniah.
Rasulullah menyatakan, umat manusia berasal dari rumpun yang sama iaitu keturunan nabi Adam. Bermula daripada manusia pertama itulah, keturunan manusia bercambah dan oleh sebab itulah seharusnya semua umat manusia bersaudara dan sedar akan sifat saling memerlukan di antara satu sama lain, ibarat sebuah rumah. Kombinasi bahan-bahan dan peralatan mendirikan rumah seperti kayu, batu, simen, dan paku itulah yang memperkukuhkan sesebuah bangunan.
Nabi Muhammad menegakkan dasar-dasar kemanusiaan dengan menolak sebarang bentuk perbezaan di kalangan manusia dari segi keturunan, warna kulit, dan etnik. Oleh hal yang demikian itu, manusia seharusnya menggalas prinsip kerjasama atau taawun insan, bertoleransi atau tasamuh, menegakkan dasar-dasar keadilan, memupuk nilai murni, dan menyebarluaskan sifat kasih sayang sesama insan tanpa mengira kedudukan.
Aspek yang paling utama ialah menanamkan sifat hurriyah yang meliputi kemerdekaan agama, kemerdekaan jiwa dengan mengakui hak-hak asasi, dan kebebasan mengemukakan pemikiran serta pendapat.
Dalam surah al-Baqarah ayat 124, Allah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim bermohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim.
Bagaimanapun, Allah s.w.t. telah menggariskan satu syarat iaitu, Perjanjian Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang-orang yang berbuat aniaya. Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh orang tua, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu hakikatnya adalah keadilan.
Terdapat dua perkara asas yang sewajarnya difahami apabila membicarakan ayat di atas.
Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah. Dalam erti kata yang lain, ia merupakan satu amanah daripada Allah yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin.
Dalam satu peristiwa, seorang sahabat Nabi bernama Abu Dzar meminta kebenaran untuk mentadbir sebuah jabatan. Nabi bersabda: Kamu lemah, dan ini adalah amanah sekali gus dapat menjadi sebab kenistaan dan penyesalan di hari kemudian (apabila disia-siakan).
Dan perkara kedua yang dinyatakan di dalam ayat di atas, kepimpinan itu sifatnya adalah keadilan kerana ia berlawanan dengan penganiayaan sebagaimana yang disyaratkan dalam ayat tersebut.
Hal ini perlu ditekankan kerana salah satu syarat utama sebagai seorang pemimpin adalah mesti daripada kalangan mereka yang benar-benar layak dengan memiliki kelebihan dari sudut keilmuan, fizikal, keterampilan, kewibawaan, berakhlak mulia, berkemahiran dalam berkomunikasi, bakat dan ketakwaan kepada Ilahi.
Justeru, Rasulullah menolak permintaan Abu Dzar kerana baginda mendapati beliau lemah dan tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut meskipun sebahagian ciri-ciri tersebut ada di dalam diri Abu Dzar.
Justeru, kelayakan untuk memegang sesuatu jawatan itu mestilah diutamakan kerana sekiranya diabaikan, akan membawa kehancuran kepada bangsa, agama, dan negara.
Keadilan harus dirasai kepada semua pihak tidak kira sama ada kawan atau lawan. Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan anugerahkanlah rezeki dari buah-buahan untuk penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah pada hari kemudian.
Allah berfirman yang bermaksud: Dan kepada orang-orang kafir pun Aku beri kesenangan sementara (di dunia), kemudian (di akhirat) Aku paksa ia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah al-Baqarah: 126)
Jelaslah bahawa keadilan dituntut oleh Allah untuk diterapkan bukan hanya kepada kaum Mukmin (golongan sendiri) tetapi juga kepada pihak lain.
Oleh hal yang demikian itu, sama-samalah kita merenung diri, dengan apa yang ada pada diri daripada anugerah-Nya, apakah kita ini benar-benar manusia istimewa?
Catatan: Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments