Secara etimologi, amanah atau amanat bererti kejujuran atau kepercayaan. Berdasarkan terminologinya, amanah adalah sesuatu yang diberikan kepada pihak lain sehingga menimbulkan rasa aman (gembira, lega dll) bagi pemberinya. Sebaliknya, pihak penerima memelihara amanah dengan baik
Mengikut Imam Ibnu Al Athir dalam kitabnya al nihayah fi gharib al hadith wa al athar, amanah membawa maksud ketaatan, ibadah, kepercayaan dan jaminan keselamatan. Sedangkan pakar tafsir, Ibnu Kathir dalam karya legendanya tafsir ibnu kathir menafsirkan pengertian amanah sebagai ketaatan, kewajiban-kewajiban, melaksanakan perintah-perintah agama dan batasan-batasan hukum Islam.
Syekh Husain bin Abdul Aziz menjelaskan banyak perkara yang berkaitan dengan urusan sama ada urusan dunia ataupun agama dapat dikategorikan sebagai amanah. Kaedah dan asas hukumnya adalah segala sesuatu yang seseorang bertanggungjawab mengenainya, dan hak-hak yang telah diperintahkan Allah (SWT) agar ia menjaga dan menunaikan amanah itu, baik yang berkenaan dengan agama, jiwa manusia, akal, harta dan maruah atau kehormatan diri. Demikianlah dalam kehidupan kita seharian, perkataan amanah sudah rnenjadi bahasa seharian. Sebutan amanah dianggap sebagai kata biasa atau bersifat umum sedangkan kata amanah seperti yang tercatat di dalam al-Quran dan hadis mengandungi makna yang begitu mendalam dan merupakan salah satu kunci dalam konsep syariah, khususnya yang berkaitan dengan urusan muamalat.
Dalam konteks yang Iebih luas, kata amanah mempunyai makna yang mendalam dan fundamental dalam Islam. Ia bukan saja mempunyai kaitan yang erat dengan hakikat kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga sarat dengan nilai-nilai etika yang dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.
Di dalam Al-Quran, ada perintah menunaikan amanat kepada pemiliknya, disusuli dengan perintah menetapkan keputusan yang adil, kemudian dilanjutkan dengan perintah taat kepada Allah, rasul, dan ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) (lihat surah An-Nisa ayat 58-59) Pengurutan huraian ayat saperti ini menjadi petunjuk bahawa jabatan dan kebijaksanaan pengelolaan merupakaan amanat yang bersumber dari Allah, melalui masyarakat dan orang ramai, dan mereka menpunyai hak untuk memilih sendiri siapa yang mereka inginkan untuk maksud tersebut.
Allah telah menasihati Nabi Daud AS untuk melaksanakan tugas dalam pemerintahannya dengan adil. Ini ditegaskan dalam firmannya yang bermaksu: Hai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu sebagai Khalifah kami dimuka bumi. Oleh kerana itu berilah keputusan diantara manusia sesuai dengan syariat Kami. Jangan mengikuti hawa nafsu dalam mengambil keputusan sehingga kamu keluar dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang keluar dari jalan Allah dengan mengikut hawa nafsu akan mendapat azab yang pedih, kerana lalai akan hari pembalasan”. (Surah Shad ayat 26)
Lantaran inilah kuasa pemerintahan tidak sepatutnya diserahkan kepada mereka yang tidak beramanah, tidak ada kekuatan, goyah dan zalim. In sesuai dengan firmannya yang bermaksud: Allah berfirman kepada (Ibrahim as) sesungguhnya aku melantik kamu menjadi peminpin (pemerintah), Jawab (Nabi Ibrahim); ‘dan jadikanlah pemerintah itu dari keturunanku’. Lalu firmanNya; sesungguhnya kuasa pemerintahanKu tidak akan dicapai atau diberikan kepada orang yang zalim (maksud Al-Quran surah Al-Baqarah 124)
Justeru itu pergolakan politik di dunia hari dan selama-lamanya tidak dapat ditenteramkan kerana mengabaikan panduan yang begitu penting dari agama kita sendiri
Hanya orang yang jujur imannya kepada Allah (SWT) yang menjaga amanahnya. Lemahnya amanah bererti lemahnya iman seseorang insan. Justeru dalam menegakkan keadilan, pemimpin perlu bersifat amanah iaitu jangan sampai terpengaruh oleh hubungan suka atau tidak suka kepada seseorang. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang individu, kumpulan atau golongan mahupun kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.
Hubungan antara manusia akan terjaga jika amanah terpelihara. Begitu juga dalam suatu negara, jika pemerintah sebagai pemegang amanah rakyat menjaga dengan baik amanahnya, maka negara akan damai. Apabila amanah diabaikan, maka rosak pula hubungan antara sesama manusia. Allah (SWT) menyerah amanah kepada manusia. TujuanNya adalah untuk mengangkat manusia kepada kedudukan yang lebih tinggi dari malaikat, selagi manusia mengembangkan amanah itu dengan baik.
Kerjaya, kuasa, pengetahuan, pangkat, hutang, anak, harta benda dan bumi tempat kita hidup adalah amanah yang diberikan oleh Allah (SWT) kepada manusia. Oleh itu, amanah itu harus kita laksanakan dengan baik dan adil. Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram.
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Maksud Al-Quran Surah An-Nisa ayat 58)
Dalam mengulas ayat tersebut, Ibnu Taimiyah menyeru: Wahai para pemimpin Muslim, Allah memerintahkan kepada kamu supaya melaksanakan amanat dalam kepimpinan kamu, tempatkanlah sesuatu pada tempat dan tuannya, jangan pernah mengambil sesuatu kecuali Allah (SWT) mengizinkannya, jangan berbuat zalim, berlaku adil adalah keharusan dalam menetapkan keputusan hukum diantara manusia. Semua ini adalah perintah Allah (SWT) yang disampaikan dalam Al-Quran dan sunnah. Jangan melanggarnya kerana ia adalah berdosa.
Dalam konteks yang lebih luas, perkataan amanah bukan sahaja mempunyai kaitan rapat dengan hakikat tugas kekhalifahan manusia, iman dan akhlak tetapi juga penuh dengan nilai-nilai etika kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran negara. Allah (SWT) menetapkan bahawa kepimpinan manusia merupakan satu bentuk amanah. Maka kepercayaan untuk menguruskan alam ini perlulah difahami dan dilaksanakan sepenuhnya oleh setiap insan muslim.
Demikian juga ketika Allah (SWT) menceritakan tentang Nabi Yusuf (AS) ketika ia berkata kepada raja: Jadikanlah aku Bendahari Negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan (Surah Yusuf ayat 55).
Ini kerana dengan kekuatannya, Nabi Yusuf (AS) mampu melakukan pekerjaan dan tugas-tugas pentadbiran negara dengan baik. Dengan sifat amanahnya, beliau meletakkan dirinya pada tempat semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya. Malah dengan kekuatannya pula, beliau sanggup menunaikan kewajipan yang telah dipertanggungjawab ke atasnya.
Kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga adalah ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah (SWT). Dalam ertikata yang lain, ia adalah satu amanah daripada Allah (SWT) yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin. Disamping juga mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Kepimpinan sebenarnya adalah amanah bukannya kekuasaan, kepimpinan adalah tugas dan tanggungjawab bukannya keistimewaan.
Jelas bahawa nilai asas kepimpinan itu adalah amanah yang mengandungi prinsip-prinsip kebertanggungjawaban. Iktibar dari kisah Nabi Harun ketika diserah sementara untuk memimpin Bani Israel (ketika Nabi Musa a.s berkhalwat di Gunung Sinai) disebut oleh al-Quran sebagai seorang khalifah. Sebagai seorang khalifah ia memegang amanah yang dasar hukumnya adalah penugasan dan pesan-pesan Nabi Musa sendiri. Ketika Nabi Musa kembali melihat sebahagian umatnya telah menyeleweng dengan menyembah patung lembu emas, lantas Nabi Musa marah dan meminta Nabi Harun bertanggungjawab mengenainya.
Musa berkata, Hai Harun, apa yang mencegah kamu ketika kamu melihat mereka (umat Bani Israel) telah sesat, sehingga kamu telah (sengaja) melanggar perintahku? Harun menjawab: Hai putera ibuku, jangan lah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku: sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku: kamu telah memecah Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanatku (Surah Taha: 92-94).
Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal jilid 3 halaman 154 ada sebuah hadis Nabi (SAW) yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah ) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya.”(Riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Dalam negara kita, untuk menjana keutuhan Islam dan kekuatan umat, adalah menjadi tanggungjawab orang yang memegang amanah kuasa dan pangkat. Jika kalangan umat Islam yang diberi kuasa dan pangkat terbukti melakukan penyelewengan, maka umat lain di negara ini akan melihat dan menilai betapa kepimpinan negara itu tidak memiliki kredibiliti untuk dipertanggungjawab sebagai pemegang amanah bangsa.
Hal demikian, dengan sendirinya mencemar Islam. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat secara umumnya, malah dengan kelakuan jahat itu mereka telah mengakibatkan agama Islam juga tercela.
Oleh: Dr Syed Shah Mohamed
Recent Comments