Dalam konteks Malaysia, hari ini kita dapati berlakunya krisis yang melanda kepimpinan negara salah satunya disebabkan kurang berkesannya peranan dan fungsi ulama bagi menasihati umara. Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam sebuah negara Islam, ulama boleh memainkan peranan besar bagi menasihati pemimpin negara ketika ia dilihat menyimpang daripada jalan yang sepatutnya. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Ghazali, kepada ulama rabbanilah harapan rakyat untuk menyaksikan pemimpin berada dalam landasan yang betul kerana ulama diberi kekuatan menyampaikan amar ma’ruf nahi munkar tanpa rasa takut ditangkap atau kehilangan jawatan.
Sesebuah negara akan menjadi kuat dan makmur apabila pemimpin berganding bahu dengan para ulama, dan kedua-duanya saling berinteraksi bagi membangun kemaslahatan ummah. Sebab itulah Al-Ghazali memerihalkan dengan jelas mengenai peranan ulama sebagai penasihat.
Iapun beranggapan bahwa kehancuran rakyat dikarenakan kehancuran raja-raja, kehancuran raja-raja dikarenakan kehancuran para ulama’, dan kehancuran ulama dikarenakan kecintaan mereka kepada harta dan kedudukan. Barang siapa yang dikuasai oleh dunia, maka tidak akan mampu beramar ma’ruf nahi munkar terhadap raja dan pembesar
Al-Ghazali menyifatkan golongan atau ulama rabbani ialah mereka yang hidupnya tidak terpesona dengan kemewahan (duniawi) dan kesehariannya hidup dalam keadaan zuhud, sentiasa mengingati Allah SWT, jiwa yang suci.
Secara jelasnya, ulama rabbani itu boleh gambarkan seperti berikut;
(1) orang yang berilmu dan mengamalkan ilmu yang dipelajarinya;
(2) ilmu dan amalan kesehariannya adalah untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT;
(3) setiap apa yang dilakukan adalah ‘dari Allah, untuk Allah, kepada Allah dan demi Allah’, bukan ada kepentingan lain;
(4) dengan ilmu yang ada padanya, dikembangkan pula kepada orang lain;
(5) ilmu yang dikembangkan itu dengan tujuan membentuk tata susunan masyarakat berdasarkan nilai-nilai rohani dan jasmani yang berteraskan kerangka akhlak dan akidah;
(6) struktur masyarakat yang terbina membentuk masyarakat madani (bukan masyarakat sivil dalam pengertian falsafah barat); dan
(7) organisasi yang terlahir daripada struktur dan kepentingan masyarakat dibina dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan (bukan kebersamaan atau penyeragaman).
Sayangnya ketika pertelingkahan atau persaingan kuasa berlaku yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara, tidak muncul ulama-ulama yang berani memainkan peranan bagi menjernihkan suasana sedangkan menurut al-Ghazali, ulama hendaklah berfungsi sebagai pihak yang menasihati umara.
Ulama yang mementingkan kemewahan (kebendaan) dan memburu kuasa seringkali menutupi langkah pencerahan bagi menegakkan agama. Perangkap kebendaan telah menyebabkan prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan dan tanggungjawab awam dilanggar, akhirnya orang awam mula leka dan asas kenegaraan semakin hancur.
Kehancuran sesebuah peradaban mempunyai kaitan kuat dengan persoalan moral atau etika di semua peringkat. Ulama yang mementingkan kemewahan fizikal dan pangkat, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang korup, kerana ulama juga ikut terbabit dengan rasuah.
Akhir-akhir ini, Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang kurang memberansangkan di samping kejatuhan nilai mata wang dalam sistem ekonomi yang saling bergantung, ada ulama meletakkan dirinya ke kancah pemalsuan ilmu. Ulama sanggup menggunakan kepintaran hujahnya untuk mempengaruhi orang awam hanya semata-mata mencari populariti, yang kalau diterjemahkan ialah berusaha memasukkan dirinya dalam bingkai politik dan kuasa.
Itulah kelemahan dalam peradaban yang lahir selepas peradaban Islam, ilmuan berkecamuk dengan pertentangan sosial, nilai-nilai kehidupan masyarakat dan paling mendukacitakan ialah nyah spiritual atau kerohanian. Akhirnya, masyarakat yang terbina daripada kerangka tersebut adalah ‘masyarakat yang sakit’ dan dalam kesakitan itu muncul pula perilaku tamak, adu domba dan saling bercanggah sehingga membentuk aliran pemikiran yang berakhir dengan perpecahan dan penyanjungan kelompok tertentu. Juga membentuk kelompok anti agama (free thinker) dan tidak mempercayai Tuhan (atheis).
Pada zaman al-Ghazali, ulama memainkan peranan yang cukup besar bagi mempastikan pemerintah tidak bertindak sewenang-wenang, tidak rasuah dan tidak menyelewengkan amanah yang diberikan rakyatnya. Membisunya para ulama hanya akan menyebabkan timbulnya kezaliman dari pemerintah yang sedang berkuasa. Para ulama pada zaman al-Ghazali tidak mengenal erti takut dalam menyatakan kebenaran. Oleh sebab itu, mereka mengawasi pemerintah sedaya upaya kerana mereka tahu bahawa orang yang mati dalam hal ini termasuk sebagai syuhada (mati syahid).
Dari Jabir RA, Nabi SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik syuhada adalah Hamzah bin Abd al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan imam lalu memerintahnya (berbuat ma’ruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang munkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu.” (Ibnu Majah dengan sanad Shahih).
Pada asasnya, institusi ulama di Malaysia banyak diwujudkan seperti mana kewujudan institusi mufti sama ada di peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri. Mereka telah cuba memainkan peranan sebagai pihak yang memberi nasihat kepada pemimpin kerajaan atas isu-isu tertentu yang membabitkan kepentingan rakyat. Institusi ulama wujud di luar kuasa kerajaan dan berperanan sebagai entiti masyarakat sivil seperti persatuan ulama dan pertubuhan Islam yang lain. Akan tetapi seringkali peranan mereka tenggelam dengan isu politik yang lebih besar dan kedengaran gaungnya bergema lebih nyaring. Kadang kala ulama juga dilabel partisan dan menyebelahi satu pihak kerana mempunyai pendirian yang sama terhadap sesuatu isu.
Hakikatnya, institusi ulama mungkin belum boleh dilihat berjalan dengan baik dan berkesan hanya kerana wujud segelintir ulama yang lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara berasingan. Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ‘ulama suu’, ulama yang boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.
Tuduhan sedemikian hanya menyebabkan jarak antara ulama dan umara menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu didekatkan melalui program-program tertentu. Tidak dinafikan, program-program berbentuk nadwah ulama dan perhimpunan ulama telah diadakan, tetapi ia hanya sekadar program bercorak ad-hoc untuk tujuan tertentu sahaja.
Oleh sebab itu, idealnya institusi ulama diletakkan dalam kedudukan bebas daripada mana-mana kepentingan kekuasaan. Kedudukan yang bebas tidak hanya menjadikan institusi ulama berwibawa dan tidak tercemar dengan kepentingan politik, malah ulama boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam setiap aspek keagamaan dan kenegaraan.
Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan ulama itu sendiri. Kegagalan ulama sebagaimana yang berlaku di Iran dengan konsep wilayatul faqih-nya, akan menjejaskan kredibiliti dan kehormatan institusi ulama kerana tidak berjaya dalam menyelesaikan persoalan sosial, ekonomi dan politik.
Gambaran ini memberikan tafsiran bahawa golongan berpendidikan agama yang menerajui agensi agama bukan merupakan pemimpin yang berkesan dalam mengelola sesebuah organisasi. Hal ini kerana sifatnya terlalu mengharapkan kesempurnaan sedangkan kaedah meraih kesempurnaan tidak dapat diterjemahkan dengan baik dan berkesan.
Hakikatnya masalah yang menimpa negara juga masalah ulama. Ulama yang berwibawa bersedia memberi teguran dan nasihat dengan perasaan kasih sayang kepada umara. Begitu pula umara akan menerima teguran dan nasihat itu dengan berlapang dada disertai dengan keinsafan bahawa teguran itu bertujuan untuk mencapai kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru itu, persefahaman dan saling pengertian di antara ulama dan umara amat penting supaya tidak timbul jurang yang boleh membawa kepada krisis kekuasaan. Persefahaman hendaklah berasaskan kepada nilai-nilai kebaikan yang disepakati sepanjang zaman sebagai kebaikan oleh seluruh umat manusia.
Dalam karya lain al-Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk yang menjadi rujukan penting kepada cara dan kaedah menasihati umara, al-Ghazali menyatakan ada tiga kaedah menyampaikan teguran iaitu menyampaikan kritik secara halus. Bila cara ini tidak berkesan, maka al-Ghazali menyarankan ulama untuk menulis surat. Bila cara menulis surat tidak juga membuat penguasa kembali ke jalan agama dan masih menyimpang, al-Ghazali berpendapat umara itu tak layak mendapatkan sokongan dan memutuskan hubungan dengan penguasa tersebut.
Menurut Imam al-Ghazali, ulama memainkan peranan penting untuk mendampingi seorang pemimpin dengan memberikan nasihat, pandangan dan memperbaiki setiap tindakan sekiranya pemimpin berkenaan mengambil sikap “tunggu dan lihat” dan kurang peka terhadap kepentingan umat Islam. Disebabkan ulama mempunyai kepakaran ilmu keagamaan dan pemimpin mempunyai kemahiran dalam ilmu bernegara, antara keduanya bukan sekadar saling memerlukan, tetapi juga saling berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat.
Oleh: Dr Alies Anor Abdul
Recent Comments