Haji Hassan bin Haji Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Haji Hassan al-Hafiz di kalangan masyarakat setempat dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang sangat mengambil berat tentang pendidikan agama.
Ayahnya, iaitu Haji Abu Bakar bin Abu adalah merupakan seorang Imam Masjid di Kuala Sungai Baru. Masjid Kuala Sungai Baru merupakan masjid utama bagi sembilan buah kampung iaitu Kampung Kuala, Kampung Hilir, Kampung Permatang, Kampung Ladang, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Telok Gong, Kampung Air Molek dan Kampung Bukit Chempedak.
Ayahnya memimpin masjid tersebut sepanjang hayatnya. Ketika Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Abu Bakar mengambil tugas menjadi imam, sebuah masjid baru telah dibina bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
Masjid baru itu dibina daripada batu bata sementara masjid lama yang diperbuat daripada kayu itu kemudiannya dijadikan tempat kuarantin untuk pesakit cacar air yang melanda penduduk Kuala Sungai Baru pada ketika itu.
Berbalik kepada riwayat hidup Tuan Guru Haji Hassan, beliau dilahirkan pada tahun 1328 Hijrah bersamaan 1908 Masihi di Kampung Kuala Sungai Baru, Melaka. Pada peringkat awal, beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu.
Adalah dipercayai beliau berhijrah ke Kelantan seawal usia 14 tahun untuk mendalami ilmu agama, iaitu dari tahun 1922 hingga 1927. Di negeri Serambi Mekah itu, beliau telah berguru dengan tokoh ulama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada masa itu, iaitu Tok Kenali.
Pada tahun 1927, beliau berangkat ke Mekah untuk menimba ilmu agama dengan alim ulama terkenal di sana. Antara tokoh ulama yang didampinginya ialah seperti Syeikh Husin al-Yamani, Syeikh Mokhtar Atarid dan Syeikh Umar Sumbawa. Diriwayatkan bahawa beliau tinggal di Mekah selama enam tahun. Pada tahun 1933 Tuan Guru Haji Hassan pulang ke Melaka.
Dengan ilmu yang dimiliki serta sokongan masyarakat setempat, Tuan Guru kemudiannya membuka sebuah madrasah di kampung halamannya sendiri, iaitu Kuala Sungai Baru. Madrasah yang dibina pada tahun 1937 itu diberi nama Madrasah Al-Falah.
Tidak lama selepas itu, nama madrasah ditukar kepada Madrasah al-Hasaniah sempena mengambil namanya sebagai pengasas. Madrasah itu dibina di atas tanah yang diwakafkannya bersama-sama dengan sahabatnya yang bernama Haji Muhammad Belimbing.
Walaupun sibuk dengan tugas di madrasah, namun beliau telah diberi kepercayaan oleh masyarakat setempat untuk menjadi Imam di Masjid Kuala Sungai Baru. Apapun, usia madrasah itu tidak bertahan lama.
Pada tahun 1951, Madrasah Al-Hasaniah ditutup. Dalam sumber yang lain, madrasah itu ditutup semasa Perang Dunia ke-2. Diriwayatkan sebelum perang meletus, madrasah itu telah menerima kehadiran pelajar dari merata tempat termasuk dari Indonesia seperti Jambi dan Lingga. Sukatan pembelajarannya adalah berasaskan sistem pondok.
Pada tahun 1983, pengajian di madrasah ini telah dihidupkan kembali oleh anaknya, iaitu al-Fadhil Ustaz Haji Abdul Rahman. Sukatan pembelajaran adalah berasaskan sukatan pembelajaran akademik dari peringkat rendah ke menengah.
Pada tahun 1993, Jabatan Agama Islam Melaka mengambil alih pengurusan madrasah secara berperingkat dan nama madrasah pun ditukar menjadi Sekolah Menengah Arab Darul Falah.
Walaupun sekolah ditutup selepas Perang Dunia ke-2, Haji Hassan tetap aktif mengajar agama di masjid-masjid di seluruh negeri Melaka. Beliau sering diundang untuk menyampaikan ceramah agama sempena hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj dan lain-lain.
Dengan pengalamannya yang begitu luas, pada tahun 1960, beliau telah dilantik menjadi Mufti Negari Melaka. Tarikh lantikan rasminya sebagai mufti ialah pada 10 Jun 1960. Beliau memegang jawatan mufti selama 19 tahun.
Ketika memegang jawatan mufti, Haji Hassan sangat mengambil berat tentang perkembangan masjid-masjid di dalam negeri Melaka. Sebagai contoh, pada tahun 1965, Haji Hassan sendiri turun untuk menentukan sempadan qariah antara Masjid Serkam dengan Masjid Serkam Darat. Dengan terlaksananya pembahagian sempadan ini maka mudahlah masyarakat setempat untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, menguruskan nikah kahwin, kematian dan sebagainya.
Atas jasanya itu, maka kerajaan negeri Melaka telah menganugerahkan darjah kebesaran Darjah Seri Melaka (DSM) kepadanya. Nama Haji Hassan juga turut diabadikan pada nama masjid Kuala Sungai Baru. Masjid itu kemudiannya dikenali dengan nama Masjid al-Hasaniah.
Haji Hassan kembali ke rahmatullah kerana sakit tua. Sepanjang hayatnya, Tuan Guru dikenang masyarakat sebagai seorang yang warak dan luas ilmunya serta banyak pengetahuan mengenai hukum-hukum agama. Beliau telah melahirkan ramai anak muridnya yang bertebaran di seluruh negeri Melaka.
Catatan: Ibnu Fattah
Recent Comments