Dari segi realiti jika terbentuknya kerjasama antara UMNO dan PAS, pelbagai masalah yang membelenggu umat Islam di Malaysia dapat dikurangkan termasuklah permasalahan politik yang tidak menguntungkan orang Melayu-Islam.
Akibat perbezaan ideologi politik, orang Melayu-Islam semakin berpecah bahkan amat mudah diperkudakan oleh bukan Islam sehingga menampakkan riak-riak kebencian terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.
Kerjasama ini secara tidak langsung telah membawa para intelektual Islam yang berpengaruh berbincang mencari satu titik-temu merentasi ideologi politik walaupun ada yang melihatnya dengan sinis, mungkin boleh tetapi sukar kerana masing-masing berusaha membangkitkan semula sejarah dan senarai dosa.
Tentunya, dalam politik ada sebuah petunjuk yang jelas, kawan baik bertukar menjadi musuh atau sebaliknya bila ideologi politik tetap membawa maksud matlamat menghalalkan cara.
Seandainya kerjasama politik benar-benar berlaku, ia bukanlah untuk survival pemimpin, ia untuk memberikan jaminan selamat bagi orang Melayu dan Islam ekoran beberapa perkembangan politik mutakhir. Beberapa pihak sudah mula mempamerkan aksi kurang senang dengan apa yang berlaku dalam kalangan orang Islam termasuklah tuduhan bahawa sekolah kebangsaan sebagai tempat mengislamkan bukan Melayu dan mengembangkan Arabisme. Ini ekoran perubahan nilai budaya dan pandangan semesta orang Melayu yang mula memahami keperluan menutup aurat dan mengamalkan nilai-nilai Islam.
Perkembangan ini menyebabkan bukan Melayu yang lahir selepas merdeka mula melupakan kontrak sosial antara kaum sehingga mereka sanggup mempersoalkan beberapa tindakan kerajaan untuk memperkasakan Islam. Sesetengah orang Melayu yang berfikiran liberal turut membuat andaian bahawa kesedaran untuk memperkasakan peraturan Syariah sebagai sesuatu yang bertentangan dengan konsep liberal dan demokrasi, dan kerana itu mereka ikut menentang beberapa peruntukan yang terdapat dalam undang-undang Islam.
Penentangan tersebut turut disuarakan oleh professional Melayu yang terpengaruh dengan fahaman liberal dan pluralisme agama, kerana bagi mereka semua agama itu mempunyai matlamat yang sama, iaitu membangunkan kehidupan bermoral sedangkan Islam bukan hanya sekadar agama, ia adalah satu cara hidup yang menyeluruh. Apa yang diinginkan oleh Islam ditafsir secara terpisah dan agama seolah-olah sama dengan maksud budaya.
Islam melangkaui makna budaya di mana Islam mencorakkan kehidupan berbudaya, bukannya budaya yang mencorakkan nilai agama. Sebab itulah sesetengah pandangan melihat sukarela itu sebagai satu faktor sama ada menentukan sesuatu kesalahan, sebagaimana dianggap terhadap insiden berkhalwat di premis persendirian. Kesalahan hanya boleh didakwa jika melakukan perbuatan sumbang di kawasan terbuka.
Situasi sedemikian boleh meruntuhkan nilai Islam kerana khalwat bukan lagi satu dosa besar. Islam melihat perbuatan khalwat boleh memburukkan lagi masalah kehidupan kerana ia menyumbang kepada lebih banyak krisis sosial, termasuklah kes-kes pembuangan bayi, seks bebas dan pemerdagangan seks. Porak peranda masyarakat akan mudah berlaku, dan ia boleh menjejaskan kestabilan sosial.
Begitu juga dengan situasi politik. Sekiranya PAS dan UMNO boleh bekerjasama, maka tidak ada sebab rakyat Malaysia berpandangan sinis. Setiap rakyat Malaysia perlu memahami, perpaduan Melayu-Islam mampu menjadikan kedudukan bukan Melayu lebih terjamin.
Islam tidak pernah mengetepikan bukan Islam, dan sejarah telah membuktikan bahawa bukan Melayu banyak yang hidup tenang dan kaya ketika berada dalam komuniti Melayu, sebagaimana dibuktikan di Kelantan. Bukan Melayu tidak pernah diherdik atau dijadikan sasaran selagi mereka menghormati nilai dan budaya Melayu-Islam.
Perkara yang sama tidak berlaku dalam kelompok majoriti bukan Melayu. Paling mendukacitakan persekitaran tersebut ikut memaksa orang Melayu menerima nilai mereka, termasuklah larangan menggunakan pembesar suara bila mengumandangkan azan subuh. Tulisan-tulisan jawi dianggap sebagai tulisan yang boleh mengancam budaya bukan Melayu, sedangkan keadaan itu tidak berlaku di Kelantan.
Riaknya, ada pemimpin yang curiga dan kecurigaan itulah sebenarnya tembok penghalang. Ia boleh dianggap dosa besar, dosa yang sukar diampunkan oleh orang Melayu-Islam yang cintakan keamanan. Mereka walaupun beragama Islam sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk mengikat hubungan baik sesama manusia.
Walaupun memahami maksud Surah Imraan, ayat 159, maka dengan sebab rahmat Allah, engkau telah bersikap lunak kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang bertawakal kepada-Nya.
Presiden Ikatan Alumni Al-Azhar Internasional (IAAI) Indonesia, Profesor Dr Muhammad Quraish Shihab memberikan maksud yang jelas bahawa penyatuan umat yang sedang diusahakan bukan bererti meleburkan atau menghapus identitas keragaman yang ada agar menjadi satu wujud yang sama, karena keragaman ialah suatu yang dikehendaki oleh Allah. Untuk mewujudkan persatuan yang diperlukan ialah saling menghormati dan menghargai pendapat yang berseberangan, namun bukan bererti menerima pendapat tersebut.”
Anggaplah yang menentang dan memandang sinis kerjasama ini sebagai telatah anak-anak nakal yang sukar untuk berpisah dengan perangai lama, walaupun perangai lama semakin membusung dengan dendam, haloba dan keinginan mempertahankan kedudukan. Menerusi pemuafakatan, sekiranya berlaku, mereka ini akan merasai aib sendiri kerana masih berusha mempertahankan perpecahan, kerana menerusi perpecahan itulah sebenarnya mereka boleh hidup dan melaksanakan agendanya.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments