Melihat gambar mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hanya nampak kepala yang ditemui di bawah runtuhan rumahnya akibat serangan tentera Zionis di Gaza sungguh menyayat hati sesiapa sahaja. Malah seluruh umat Islam di mana mereka berada pasti turut berduka di atas apa yang berlaku terhadap saudara-saudara kita di Palestin.
Dunia mengetahui bahawa tiada bangsa yang lebih jahat dan kejam melainkan Yahudi yang dilaknati Allah SWT itu. Berdasarkan ajaran dan ideologi Zionisme bahawa mereka mempercayai membunuh bangsa lain itu akan beroleh pahala dan ganjaran daripada Tuhan mereka. Ia dilakukan sesuai dengan slogan yang masyhur, “tujuan menghalalkan cara”.
Dalam hal menggambarkan sikap dan perilaku penganut agama Yahudi, ungkapan al-Quran lebih banyak bernada negatif daripada positif. Sejarah membuktikan seperti mana yang dirakamkan di dalam al-Quran, bagaimana penganut agama Yahudi mengalami banyak perubahan dan penyimpangan khususnya dari segi akidah.
Betapa banyak Nabi dan Rasul yang diutus kepada golongan Bani Israel sehingga merasakan merekalah bangsa yang disayangi Tuhan.
Bangsa Yahudi satu-satunya bangsa yang digambarkan di dalam al-Quran yang paling sukar untuk dibentuk, bersifat eksklusif dan suka membangkang. Di samping itu, Yahudi juga terkenal sebagai bangsa yang sombong dan zalim sehingga mereka sewenang-wenangnya membunuh para Nabi daripada golongan mereka sendiri.
Lebih daripada itu mereka menolak mempercayai ayat-ayat Allah dan melanggar perjanjian dengan-Nya. Justeru, kecaman yang terdapat di dalam al-Quran lebih banyak tertuju kepada orang Yahudi.
Bahkan Allah SWT berkali-kali mengingatkan kaum Muslimin untuk tidak mengangkat mereka sebagai pemimpin atau teman-teman akrab (tempat menyimpan rahsia). Kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada penganut agama Yahudi sudah tidak asli lagi dan telah mengalami banyak perubahan kerana mengikut hawa nafsu mereka yang jahat.
Implikasi paling utama dalam perubahan kehidupan keagamaan penganut agama Yahudi ialah penyelewengan akidah tauhid kerana pengakuan penganut Yahudi yang menganggap bahawa Uzair adalah anak Allah.
Kedegilan terus menerus kaum Bani Israel dirakamkan di dalam al-Quran tentang pelanggarannya terhadap hukum-hukum Allah SWT yang berkaitan dengan ibadah pada hari Sabtu. Hari yang dianggap hari kelepasan kepada kaumnya seperti disebut di dalam kitab Taurat. Allah SWT kemudian ingin menguji iman mereka dengan mengadakan ikan yang begitu banyak pada hari Sabtu dan telah menjadikan mereka lupa dan menjadi tamak, serta mengikut hawa nafsu dengan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dilarang itu. Akibat perbuatan itu akhirnya golongan yang derhaka ini disumpah oleh Allah menjadi kera. (maksud surah al-Baqarah ayat 65).
Demikian juga keengganan ahli al-kitab khususnya Yahudi menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW walaupun sebelumnya mereka menunggu kedatangannya, tetapi disebabkan oleh sifat dengki dan rasa superior yang begitu mendalam menguasai diri, mereka mudah berubah.
Di sebalik bangsa yang paling banyak mendapat bimbingan para Nabi dan Rasul, mereka juga banyak memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasai oleh umat lain seperti Allah SWT menurunkan makanan dari syurga iaitu manna (manisan lazat dari syurga) dan salwa (daging burung kecil yang enak). Di samping itu mereka juga diselamatkan daripada ancaman Firaun. Namun mereka tetap tidak berubah dan bersyukur.
Selain daripada itu kaum Bani Israel mempunyai sikap mengutamakan kehidupan materialistik dan menganggap ia adalah segala-segalanya yang boleh menyelamatkan mereka daripada ancaman yang berbahaya.
Oleh: Ummu Khadeejah Abdullah
Recent Comments