Jalaluddin Rumi, penyair sufi terkenal sepanjang sejarah Islam, mengingatkan kita bahawa beragama yang tulus dan ikhlas walaupun kecil mampu mengubah dunia. Beragama yang tidak tulus dan bersifat munafik, betapa pun besar ia sebenarnya tidak memberi kesan kecuali menjauhkan orang dari agama Islam yang sebenar.
Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain tetapi hakikatnya mereka jahil dan bodoh.
Atas perbezaan ideologi yang disertai dnegan kejahilan, telah menutup pintu hati dan pemikirannya sehingga berani membuat tuduhan kafir ke atas sesama Muslim. Malah mereka mengkhususkan syurga hanya untuk puaknya dan neraka untuk puak lain.
Pengucapan dua kalimah syahadah, ikhlas atau tidak bukanlah urusan orang lain untuk menilainya kerana dalam masalah ini hanya Allah yang berhak memberi penilaian.
Dalam satu peperangan, panglima tentera Islam iaitu Khalid al-Walid telah membunuh musuh yang mengucapkan syahadah kerana pada sangkaannya musuh pura-pura kerana takut pedangnya. Peristiwa ini telah menarik perhatian Rasulullah s.a.w. dan Nabi menegur dengan sabdanya:
Maksudnya: “Bagaimana boleh mengaku mengetahui isi hati orang itu. Apakah ia pura-pura atau tidak?”
Kita memerlukan Islam yang tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam. Demikian juga apa yang berlaku kepada sesetengah golongan apabila memberi syarahan agama yang bertujuan mengajak manusia dekat dengan agama, tetapi bentuk ceramah itu pula disirami dengan celaan, ejekan, kecaman dan teriakan sehingga menjauhkan kecintaan orang ramai kepada agama.
Apa bentuk keimanan yang sebenarnya adalah keimanan yang dapat menarik semua orang ke pangkuan Islam.
Jangan bersikap angkuh dan takbur dalam apa juga bentuk perjuangan apatah lagi atas nama Islam. Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Abu Dzar.
“Wahai Abu Dzar, barang siapa mati dan dalam hatinya wujud sebesar debu daripada takbur, maka ia tidak akan mencium bau syurga kecuali ia sempat bertaubat sebelum maut menjemputnya.”
Manusia yang takbur akan sentiasa dilaknati Allah kerana mereka meyaingi kebesaran keagungan Allah dan juga kerana mereka telah membesarkan diri mereka sendiri. Mereka seumpama iblis yang pada mulanya makhluk yang sangat kuat beribadat tetapi takburnya pada Allah satu saat sahaja, ia dilaknati Allah.
Demikian juga segala niat dan perbuatan kita, jika ditegakkan atas dasar sikap takbur maka akan hancur dan sia-sialah hidup serta amalnya. Dengan takbur, hajinya akan ditolak, puasanya akan sia-sia, solatnya akan membawa kepada kecelakaan.
Salman Al-Farisi ketika ditanya “Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia.” Salman menjawab: “Takbur”.
Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita bertakbur menimbulkan keosakan di muka bumi ini, apabila ada segolongan manusia yang seagama menghulurkan tangan untuk bermaafan demi agama Islam yang murni.
Orang yang mulia dan baik di sisi Allah ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Manakala orang yang paling jahat adalah sebaliknya. Oleh itu golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling di benci oleh Allah.
Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dan berlagak sombong takbur lagi membanggakan diri.”
(Surah Luqman: 18)
Kesombongan bukan sahaja merugikan manusia di dunia malah mengheretnya kepada kehinaan di akhirat, walaupun sombong itu hanya sebesar zarah.
Kharithsah bin Wahab r.a. berkata, Nabi bersabda yang bermaksud:
“Mahukah kamu aku beritahu tentang ahli neraka? Iaitu setiap sifat keras hati, berjalan dengan angkuh dan sombong.”
(Muttaffa-Qalaih)
Malah Rasulullah s.a.w. apabila bertemu sesama Islam ia terlebih dahulu memberi salam dan apabila bersalaman tidak akan dilepaskan tangannya kecuali orang itu yang melepaskannya dahulu.
Catatan : Ibnu Hayyan
Recent Comments