Nampaknya, politik Malaysia belum tenang walaupun PRU ke-15 dan PRN ke-15 telah selesai. Kini, sedang berkemundang pelbagai dakwaan, pendedahan dan perang saraf yang sukar berhenti. Sedang diperkatakan ialah mengenai dua pilihanraya kecil (PRK), iaitu bagi mengisi kekosongan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram setelah penyandangnya, Salehudin Ayub meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di Hospital Alor Setar pada 23 Julai 2023.
Ia akan bersambung lagi dengan PRK Pelangai (Pahang) apabila penyandangnya, Datuk Johari Harun meninggal dalam Tragedi Elmina pada 18 Ogos 2023. PRK Pulai dan Simpang Jeram akan diadakan pada 9 September 2023 manakala PRK Pelangai pada 7 Oktober 2023. Maknanya, kesannya akan terus diperkatakan mungkin sehingga akhir tahun, dengan pelbagai tafsiran yang memungkinkan terbina pula kaedah propaganda, yang bakal menjurus kepada pelecehan dan nilai-nilai kebongkokan oleh pihak yang menang. Pihak yang kalah, akan mencari kesalahan, dan ada juga akan membuat tuduhan melulu, kononnya kekalahan itu berlaku kerana sabotaj, kempen yang tidak setara dan sebagainya.
Jika kita meneliti ulasan, kupasan dan pelbagai dakwaan, kita akan menemukan banyak perkara yang menjurus kepada tafsiran ‘sombong’ dan juga ‘kecaman’ antara dua pihak, yang menang dan juga yang kalah. Kelompok yang menang akan melahirkan rasa bangga kerana perjuangan mereka disokong dan dipercayai oleh para pengundi, walaupun apa yang dikempenkan itu tidak seratus peratus benar dan betul.
Bagi kelompok yang kalah, ada sahaja alasan yang muncul. Ada yang berkata kerana corak kempen yang agresif, penuh pembohongan dan fitnah cukup seronok didengar, sehingga ramai yang percaya bahawa parti yang mereka pilih benar-benar mahu memenuhi kehendak rakyat, membangun negeri dengan nuansa budaya dan nilai-nilai agama, kerana masing-masing telah berada dalam laluan ‘bersama ke syurga’.
Semalam, Presiden Amanah, Mohd Sabu mendedahkan ‘apa yang ada dalam kain’, yang diputuskan oleh kepimpinan PAS ketika mereka sama-sama bersetuju untuk menjatuhkan UMNO/BN dalam misi menafikan kuasa dua pertiga, yakni di awal pembentukan Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke-12 (2008).
Dedah Mohd Sabu, yang ketika itu adalah Timbalan Presiden PAS, parti itu sanggup mengorbankan perjuangan ‘Negara Islam’ yang sekian lama diperjuangkan, hanya semata-mata untuk menang PRU. Sejarah membuktikan, kekentalan pengaruh UMNO/BN yang mampu menang setiap kali PRU adalah kerana kelemahan parti-parti pembangkang, tidak mempunyai kesatuan dalam kempen dan tujuannya. Setelah memahami punca kegagalan tersebut, dengan sedikit kejayaan yang diraih apabila ‘bekerjasama’, akhirnya terbentuklah pakatan parti-parti pembangkang yang dinamakan Barisan Alternatif (1998), yang kemudiannya ditukar nama kepada Pakatan Rakyat (11 April 2008).
Disebabkan demografi pengundi di Malaysia lebih merujuk kepada kumpulan etnik, maka gabungan baharu itu ikut menjadikan pengalaman Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) dengan membuka ruang kepada semua parti-parti pembangkang ke dalam satu gagasan politik. Tentunya, sebahagian daripada asas pembentukan parti politik tertentu terpaksa ‘dikorbankan’ atau ‘dipendamkan’ kerana masing-masing ada titik tidak bersetuju yang ketara.
Misalnya, antara DAP dan PAS. PAS sejak penubuhannya (1951) menginginkan Malaysia menjadi sebuah ‘Negara Islam’, di mana seluruh sistem perundangan dan kerangka pemerintahan menggunakan acuan syariah. DAP pula dengan tegasnya tidak mahu “Negara Islam” dan sangat tegar mempertahankan Malaysia sebagai ‘Negara Sekular’ kerana konsep atau istilah “Negara Islam” tidak ada dalam Perlembagaan, yang menjadi undang-undang tubuh dan kuasa tertinggi Malaysia.
Sebelumnya, Pengerusi DAP pernah memberikan amaran keras, jika mahu jadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Islam”, mestilah ‘langkah mayatnya’ terlebih dahulu. Ia merupakan reaksi balas tindakan PAS menggubal undang-undang yang dinamakan sebagai peraturan syariah di Kelantan, yang disamakan dengan naratif pelaksanaan hukum hudud.
Kepimpinan pusat, yang diterajui oleh PM ke-4, Dr Mahathir ikut mengkritik keras dengan ‘hukum hudud’ itu dengan pelbagai tafsiran termasuk masalah saksi, proses pelaksanaan (mekanisme perundangan, dan juga natijah yang tidak sesuai dengan kehendak zaman (potong tangan kerana mencuri) serta masalah dalam penentuan apabila membabitkan bukan Islam (misalnya zina antara muslim dan bukan Islam).
Atas kepentingan politik, aspirasi bersama, kata Mohd Sabu “parti itu pernah bersetuju menggugurkan agenda Negara Islam dan menggantikannya.” Apa yang kita tahu, agenda Negara Islam digantikan dengan “Negara Berkebajikan”, dengan melaksanakan tahaluf siyasi dengan DAP.
Pada ketika itu, ramai rakyat Malaysia mula mencari makna “Negara Berkebajikan” dan juga cuba memahami konsep ‘tahaluf siyasi’. Akhirnya, di celahan slogan politik itu muncul pula apa yang dikatakan ‘abang besar’ sehingga menyebabkan PAS mengambil keputusan meninggalkan Pakatan Rakyat.
Dalam tempoh lebih lima tahun melaksanakan ‘tahaluf siyasi’, ternyata pendekatan itu juga telah gagal sehingga PAS ditertawakan oleh banyak pihak, sebagai parti yang cukup retorik dan penuh sumbang makna terhadap politik Islam.
Dalam kajian akademik yang dibuat oleh Dr Mohd Syakir Mohd Rusdi dan Afnan Hamimi Taib Azzamudden (MP Alor Setar, yang juga pernah dilantik menduduki Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, 2012-2015) mendapati ‘tahaluf siyasi’ yang berlaku khususnya di Pulau Pinang, antara PAS dan DAP, hanya berjaya dalam tiga syarat manakala tiga syarat lagi telah gagal. Kesemuanya diasaskan dalam enam syarat.
Tiga syarat yang berjaya ialah: (1) sebagai wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang pelaksanaan Islam; (2) mempastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan; dan, (3) dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
Tiga syarat yang berjaya itu bukanlah menjadi hak mutlak tahaluf siyasi. Sebaliknya, telah lama berjalan sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Begitu juga, dengan termeterainya ‘tahaluf siyasi’, tidak ada momunen yang besar berkaitan dengan Islam berjaya dibina. Ini bermakna, persoalan memperkasakan Islam sebenarnya tidak dilaksanakan bersungguh-sungguh oleh PAS, sebab itulah untuk beberapa penggal EXCO yang menguruskan hal ehwal Islam dipertanggungjawabkan kepada wakil PKR. Ia jelas membuktikan ‘tahap keyakinan dan kepercayaan’ kepada wakil rakyat PAS ‘tidak memadai’ dan ‘menepati’ makna kompeten terhadap politik Islam sebenar.
Secara jelasnya, PAS mengambil kejayaan yang telah pun berlaku sebelum adanya tahaluf siyasi, yakni sejak Pulau Pinang sudah dibentuk sebagai sebuah negeri yang berdaulat, sebagaimana ditakrifkan dalam Perlembagaan.
Kalau pun PAS mendakwa ianya disuguhkan, semua orang tahu bahawa Islam merupakan agama rasmi Pulau Pinang, tidak ada masalah yang muncul dalam memenuhi peranan yang dikatakan sebagai syarat tahaluf siyasi tersebut, kerana Gerakan yang memerintah sejak PRU ke-3 (1969) tidak pernah perkembangan dakwah Islam di Pulau Pinang.
Bahkan, dalam tempoh pemerintahan BN (Gerakan) banyak masjid-masjid didirikan, termasuk Masjid Negeri (siap dibina 1980), Masjid Umar al-Khattab, Bayan Baru (pembinaannya dimulakan pada 1980), Masjid al-Mustaghfirin Sungai Tiram (2001), Masjid Abdullah Fahim, Bertam (dibina 2009 dan siap sepenuhnya 2012).
Jadi, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan ‘tahaluf siyasi’ sebagaimana dikatakan separuhnya telah berjaya, kalau hanya bersandarkan beberapa isu yang berbangkit dapat diselesaikan. Begitu juga dengan pelantikan ADUN tunggal PAS dalam pentadbiran negeri, tidak dipertimbangkan ke jawatan EXCO kecuali sekadar YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan menduduki beberapa jawatan dalam organisasi Islam.
PAS mendakwa berjaya menubuhkan sebuah anak syarikat yang menguruskan tanah-tanah wakaf (pembangunan semula) kepada pertimbangan komersial, ia hanyalah kesinambungan apa yang dilakukan oleh MAIPP sejak sekian lama. Jadi, penubuhan tersebut bukan dirintis pada zaman berlangsunnya ‘tahalauf siyasi’, ideanya sudah muncul pelbagai perbincangan dan resolusi sejak tahun 1990-an, dan sebahagiannya sudah dilaksanakan.
Islam tidak pernah disekat untuk didakwah, dipraktis dan juga menjadi tunjang kekuatan orang Melayu, termasuklah apa yang kita lihat dengan jelas sekarang, yakni munculnya pelbagai masjid yang berorientasikan etnik pengasasnya, seperti Masjid Kapitan Kling, Masjid Jamek Benggali dan sebagainya yang didirikan di atas tanah wakaf, selain masjid-masjid yang didirikan oleh kerajaan.
Tidak timbul bantahan apabila sesebuah masjid hendak didirikan, walaupun lokasinya adalah dalam kawasan komuniti etnik bercampur. Ini bererti, Islam sudah lama subur berkembang di Pulau Pinang, walaupun pada suatu ketika dikenali sebagai Pelabuhan Bebas Cukai, dan juga destinasi penting untuk umat Islam mengerjakan haji ke Mekah melalui pengangkutan laut (kapal).
Bahkan, terdapat beberapa buah masjid yang kekal menjadi tempat ibadat umat Islam walaupun hampir keseluruhan komunitinya bukan Islam seperti di Jalan Jelutong, dan di beberapa jalan di sekitar Georgetown. Jadi, Islam sebenarnya sudah lama ditegakkan di Pulau Pinang, bukan hanya berlaku sepanjang adanya tahaluf siyasi. Tidak ada masalah bagi umat Islam menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT bila-bila masa, tiada halangan sytuktural, yang ada adalah halangan individu itu sendiri.
Saya berkata sedemikian kerana saya pernah berada dalam kehidupan masyarakat Pulau Pinang selama beberapa tahun (1978-1982 dan 199-1995) sama ada ketika menjadi pelajar dan seterusnya bekerja dalam sektor awam di bangunan pejabat terkenal. KOMTAR. Setiap kali tiba waktu sembahyang Jumaat, saya hanya berjalan kaki untuk ke Masjid Lebuh Aceh, Masjid Jalan Hutton, Masjid Jamek Benggali (Lebuh Leith) mahupun Masjid Kapitan Kling (Jalan Buckingham. Tidak ada sekatan dan halangan.
Ertinya, saya bebas memilih mana-mana masjid untuk beribadah dan menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah. Saya tidak ditakutkan ancaman neraka apabila sembahyang berimamkan India Muslim, mahupun bukan imam yang dilantik oleh parti PAS, walaupun ketika itu, Presiden PAS, Yusuf Rawa (1922-2000) masih hidup dan tinggal di Gelugor, Pulau Pinang.
Tiga syarat yang gagal ialah: (1) Ijtima’ hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah; (2) matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak; dan, (3) Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar’iyyah dari masa ke semasa.
(Kejayaan dan kegagalan tahaluf siyasi di ambil dari Jadual 5.4 dalam Tahaluf Siyasi Dalam Politik Dakwah: Hubungan Politik Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP di Pulau Pinang, Kota Bharu: Penerbit UMK, 2021, hal. 122-123).
PAS sendiri mengakui kegagalan ‘tahaluf siyasi’ disebabkan oleh DAP yang ‘tidak menghormati dasar Islam yang diperjuangkan” walaupun pada awalnya “bersetuju.” DAP “tidak menghormati dasar Islam’ dan juga ‘kegagalan PAS memberi kefahaman tentang Islam kepada rakan tahaluf siyasi.
Ertinya, kenyataan pemimpin PAS ketika dipersoalkan dengan acuan tersebut cukup memperlihatkan satu percubaan ‘menyembunyikan kegagalan’ yang akhirnya terbukti ‘telah gagal’ walaupun cuba dipertahankan “bukan Islam semakin menerima Islam” serta ‘DAP lebih memahami mengenai Islam’.
Kemuncaknya, apabila berlaku ‘perang mulut’ antara Karpal Singh dan MB Kelantan selepas mengadakan kunjungan hormat sempena hari jadi Pengerusi DAP itu di rumahnya di Pulau Pinang.
Selain itu, “intima’ turut menyebabkan salah faham pemimpin PAS sendiri, yakni sebilangan pemimpin dan ahli PAS ‘memberikan kepatuhan kepada rakan tahaluf siyasi, tidak lagi kepada PAS’. Ini menyebabkan PAS berhadapan dengan krisis dalaman di mana muncul sekumpulan yang mempertahankan “tindakan rakan tahaluf siyasi dan mengingkari ketetapan yang dibuat oleh PAS’.
Jelaslah, faktor dalaman memberikan sumbangan terbesar kepada krisis dalam parti, yang disebabkan tidak semua pemimpin PAS boleh memahami ‘tahaluf siyasi’ yang dijadikan kerangka kerjasama politik dengan DAP. Ertinya, PAS sendiri telah gagal dengan slogan dan kerangka yang dibentuknya sendiri, yang kemudiannya membawa kepada perpecahan parti, yang menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Nasional (Amanah) selepas PAS dikatakan berusaha kembali kepada kepimpinan ulama.
Menurut Presiden Amanah, semasa PAS bersama DAP dan PKR dalam gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR), juga bersetuju untuk tidak mengetengahkan isu undang-undang hudud. Tindakan PAS meninggalkan PR ‘bukan kerana DAP menolak hudud, sebaliknya mereka mahu menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama UMNO. Oleh kerana itu, selepas PRU ke-13, ‘sudah ada gamitan UMNO kearah mewujudkan unity government’.
Pendedahan Mohd Sabu itu jelas membuktikan bahawa cadangan penubuhan ‘unity goverment’ atau UG telah menyebabkan DAP menyoal keikhlasan PAS, yang kemudiannya menimbulkan polemik yang besar, yang menyebabkan MB Kelantan mula mengeluarkan beberapa kenyataan amaran kepada Presiden PAS dan timbalannya, Nasharudin Isa.
Kita mungkin masih ingat bagaimana Mursyidul Am PAS mendakwa beliaulah orang yang bertanggungjawab membina semula PAS setelah dipecat daripada BN. Atas masalah tersebut, PAS mungkin perlu memikirkan semula ‘kebenaran bukan rakyat Kelantan bertanding atas tiket PAS di Kelantan’; membuang ‘buah busuk’ atau melakukan ‘pembersihan dalam parti; dan sebagai solusinya, diadakan satu seminar mengenainya, yang tidak mencapai sasaran yang jelas.
Ada kata-kata almarhum Nik Aziz yang cukup identik dengan naratif UG yang dirintis oleh Haji Hadi dan Nasharudin selepas PRU ke-12, ketika mana Presiden PAS melihat ia adalah suatu keperluan untuk memperkuatkan politik Melayu-Islam, disebabkan pencapaian UMNO cukup merosot, dari 198 kerusi pada PRU ke-11 (2004) hanya tinggal 140 kerusi (2008) selain hilang kuasa di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan juga Kedah.
Pada PRU ke-11, Haji Hadi juga terpaksa menelan ‘pahit’ kerana PAS hilang kuasa di Terengganu, yang diterajuinya sebagai MB sepenggal (1999-2004). PAS semakin ‘menggeluyur’ di Terengganu pada PRU ke-12 (2008). Ia berbeza dengan pencapaian PAS di Kelantan dibawah pimpinan Nik Aziz. Walaupun pada PRU ke-11, kedudukan PAS seumpama ‘telur di hujung tanduk’, parti itu kembali melebarkan kuasanya apabila meraih pencapaian yang lebih besar, menyebabkan UMNO sukar untuk menggugatnya.
Senario ini membawa sedikit ‘rasa kecewa’ dan ‘defisit kepercayaan’ terhadap kepimpinan Hadi, sehingga muncul suatu keadaan seumpama ‘krisis’ apabila Nik Aziz menyatakan, ‘orang luar’ tidak perlu hadir membantu kempen PAS pada PRK Manek Urai (14 Julai 2009). Maksudnya, Haji Hadi dan Nasharudin, yang hanya muncul setelah PAS dilihat ‘hampir kalah’ apabila UMNO membuat serangan mengenai ‘krisis dalaman’ tersebut.
Apabila kita mengkaji tindakan politik PAS, ia sangat berbeza selepas Presiden PAS tidak lagi mempunyai cabaran ‘dari dalam’ seperti dikatakan almarhum Nik Aziz, “tidak boleh ada dua nakhoda”. Haji Hadi mempunyai ‘kuasa yang cukup besar’ sehingga tidak ada lagi pemimpin yang boleh mencabar kedudukannya, seolah-olah PAS sekarang adalah ‘ketentuan mutlak Presiden’.
Kita boleh lihat daripada percanggahan keputusan dan juga tindakan politiknya sehingga menyebabkan mereka yang berpendirian ‘kekal dengan Muafakat Nasional’ tersingkir dalam senarai calon yang bertanding pada PRU ke-15. Ia turut ‘dihukum’ pada 6 PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023, sehingga dianggap sebagai tindakan ‘menghapuskan legasi Nik Abdul Aziz’ di Kelantan.
Ertinya, dalam PAS juga ada budaya ‘yes Mr Presiden’ yang pada suatu ketika menjadi keputusan Musa Hitam (bekas TPM) untuk meletakkan jawatan walaupun dituduh ‘biadap’ terhadap Dr Mahathir. Namun, yang berbeza dalam budaya politik PAS, orang yang disingkirkan tidak ada ruang untuk mengkritik kepimpinan parti, kecualilah setelah mereka menyertai parti lain atau menyertai organisasi bukan kerajaan (NGO).
Itulah yang dapat kita fahami setelah kelompok yang kalah dalam pemilihan PAS pada Muktamar 2015 membuat keputusan menubuhkan sebuah parti lain, yang menjadi hibrid PAS. Itulah yang dilakukan oleh Mohd Sabu, yang juga pernah dilakukan oleh Nakhaei Haji Ahmad setelah dirinya keluar daripada PAS selepas didakwa ‘lari’ dan tidak memberikan sumbangan kepada parti selepas sebahagian pemimpin politik terjeruk dengan Operasi Lalang (1987).
Kini, Dr Khairudin Aman Razali ikut mengkritik PAS dari luar, yang akan mendedahkan segala keburukan PAS semasa dirinya berada dalam kelompok AJK PAS Pusat, sebagai wakil rakyat dan Setiausaha Majlis Syura PAS. Mohd Sabu, kenyataannya kurang diberikan perhatian kerana imejnya sebagai ‘tukang tambah’ atau ‘serbuk perasa’ ketika berada dalam PAS bersama-sama Mahfudz Omar. Mahfudz kurang didengari percakapannya, kerana beliau bersama Mohd Sabu pernah digelar sebagai ‘badut’, walaupun kini menjadi pemimpin utama Amanah.
Sebagaimana ramai memahami, budaya politik PAS memang bersifat ‘salahkan orang lain’ walaupun parti itu pernah melakukan perkara yang sama sebelumnya. Pernah pernah membelenggu pemikiran rakyat Malaysia dalam pemikiran takfiri, dan doktrin itu masih belum ditarik balik walaupun terang-terangan telah bekerjasama dengan bukan Islam hanya kerana ‘ingin kuasa’.
Itulah yang dirumuskan oleh Mohd Sabu, dari Negara Islam bertukar menjadi “Negara Berkebajikan”; dari pemerintahan kafir kepada ‘ala Khalifah Umar Abdul Aziz; dari haram wanita memimpin kepada pelantikan sebagai calon wakil rakyat dan EXCO; dari ‘Mahazalim’ kepada Mahasuci’; dari rasuah kepada sedekah; dari macam-macam pembohongan hanya kerana ‘gila kuasa’.
Apa tidaknya, mengajukan pembohongan “cukup majoriti” dan kerajaan perpaduan akan tumbang dalam masa tiga bulan kerana penuh ‘muslihat dan perangkap’. Bila gagal, maka diberikan harapan palsu, kerajaan perpaduan akan tumbang selepas PRN sekiranya PN memperolehi sokongan besar.
PN sudah menunjukkan kemenangan besar (menang 146 kerusi daripada 245, PAS meraih 111) sehingga akhir Ogos 223, belum juga ‘tumbang’. Dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, sekali lagi berkata, jika PN menang, akan menghantar isyarat jelas kepada PMX untuk ‘berundur’.
Semuanya ‘kalimat bohong’ kerana kemenangan PRK Pulai tidak akan menjejaskan kedudukan majoriti PH-BN. Kemenangan pada PRN lalu, bukan untuk ‘menukarkan kerajaan perpaduan’ tetapi ia mekanisme dalam pembentukan kerajaan negeri. Katanya, akan ada wakil rakyat (Parlimen) akan keluar parti, tetapi mereka sendiri takut dengan pelanggaran Akta Antilompat Parti, dan juga bakal dikenakan denda jika jadi ‘katak’. Oops! Langkah Sheraton 2.0 tidak lagi relevan.
Dendanya bukan kecil, kalau meninggalkan PKR dikenakan RM 10 juta dan meninggalkan UMNO/BN, menyertai parti lain boleh didenda RM 100 juta, itu bai’ah yang perlu dipatuhi, bukan satu bentuk sandiwara bai’ah PAS, jika keluar parti dan tidak lagi menyokong parti, akan ‘gugur talak tiga ke atas isteri masing-masing’.
Tapi, bai’ah PAS itu tidak dijadikan sebagai syarat atau kontrak, maka ianya merupakan ‘serbuk Cukup Rasa Maggie’ sahaja, yang mengandungi MSG (monosodium glutamate). Memang sedap, tetapi bahayanya tetap ada. Memang memikat, tetapi akhirnya mempersendakan parti dan makna politik Islam itu sendiri.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments