Antara perkelahian yang bersifat parokial yang cukup menyentap pemikiran rakyat Indonesia ialah Tragedi Sampit (2001), Tragedi Sambas (1999), Tragedi Poso (1998-2000); Tragedi Tanjung Periuk (1984), Tragedi Ambon (1999), Tragedi Ahmadiyah di Lombok (1998-2006), dan Tragedi Lampung Selatan (2012). Ia bukan sahaja membabitkan kematian, bahkan harta benda rosak.

Dalam lanskap politik Malaysia, puncak tragedi berdarah yang cukup besar pengajarannya ialah Tragedi 13 Mei 1969 yang berlaku tidak hari selepas PRU ke-3 (10 Mei 1969). Tragedi ini bukan sahaja diingati sebagai tragedi perbalahan antara kaum – Melayu dan Cina – ia juga menunjukkan bahawa berlaku provokasi melampau etnik Cina yang berjaya menguasai pengundi bandar (Pantai Barat).

Akibat kemenangan besar itu, parti yang baharu muncul – Gerakan dan DAP – berusaha untuk meraikan kemenangan mereka dengan berarak di jalan-jalan raya sehingga menimbulkan rasa cemas etnik Melayu.

Kesannya, etnik Melayu mula memberikan reaksi balas sehingga mengakibatkan berlakunya rusuhan dan perbalahan besar. Menurut rekod, Perikatan (UMNO, MIC dan MCA) gagal memperoleh kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat walaupun berjaya membentuk kerajaan. Perikatan memperoleh 66 kerusi berbanding PRU ke-2 (1964) dengan 89 kerusi.

Pada PRU ke-3 (1969), Gerakan, DAP dan PPP menang 25 kerusi manakala PAS memperoleh 12 kerusi. Ini bermakna parti-parti pembangkang menguasai 37 kerusi, yakni 36 peratus, dan ia merupakan pencapaian terbesar pertama Gerakan, DAP dan PPP.

DAP terbentuk selepas Singapura disingkirkan dari gagasan Malaysia (disifatkan sebagai hibrid PAP dari Singapura), manakala Gerakan selepas berlakunya krisis dalam pergerakan pemuda MCA dan PPP muncul pada tahun 1953 di Ipoh, Perak.

Awalnya, PPP menyertai Perikatan dan kemudian menarik diri. Bertanding sebagai parti pembangkang pada PRU ke-3 (1969).

Keputusan PRU ke-3, PPP hampir berjaya membentuk kerajaan di Perak, dengan kekurangan sebanyak dua kerusi. Kemenangan tersebut disumbangkan oleh pengundi Cina walaupun kebanyakan calon PPP adalah keturunan India. DAP dikatakan menggunakan kempen agar pengundi Cina membenci atau menolak MCA kerana parti itu berada dalam ‘telunjuk UMNO’, tidak dapat memperjuangkan idealisme politik Cina dengan berkesan. (Thock Ker Ping, Ketuanan Politik Melayu: Respons Masyarakat Cina, K.Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2005).

Berdasarkan rekod rasmi, akibat peristiwa tersebut seramai 196 orang meninggal dunia, 439 orang cedera, 9.143 orang ditahan dan 211 buah kenderaan musnah. Statistik tidak rasmi merakamkan seramai 86 orang Melayu, 342 orang Cina dan lain-lain keturunan seramai tiga orang terbunuh. (https://ms/m.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_13_Mei).

Apa yang berlaku di Sudan cukup memberikan kita pengajaran sejarah yang cukup besar mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk selepas Revolusi 2019 adalah sebuah pemerintahan yang sangat tidak stabil. Ketidakstabilan politik, dalam perspektif sejarah banyak disebabkan oleh pertikaian mengenai pemerolehan, pembentukan dan perkongsian kuasa, cara kuasa itu digunakan dan perubahan-perubahan gaya kepimpinan (elit politik) yang menguasai sesebuah pemerintahan.

Pada tahun-tahun sebelumnya, kita menyaksikan kestabilan politik sesebuah negara jarang dapat dikekalkan dalam sistem politik yang dikaitkan dengan pemerintahan berbentuk junta. Ia berlaku kerana seseorang pemimpin tentera yang menjadi pemerintah, ingin melaksanakan sesuatu peraturan dan kawalan ke atas masyarakat awam dengan peraturan yang menjadi sebahagian budaya pemerintah itu sendiri.

Ada unsur-unsur kekerasan dan disiplin yang ketat. Ini menimbulkan pelbagai isu dan masalah apatah lagi dalam situasi yang sama muncul idealisme politik demokrasi yang  berkembang daripada dasar wilsonisme, yang menjadi kerangka kempen dasar luar Washington sejak Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa terkuat selepas Perang Dunia II.

Perkembangan ini membawa kepada gerakan nasionalisme rakyat dan tuntutan kemerdekaan bagi negara-negara yang berada dalam takluk kuasa-kuasa Barat, seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Portugis, bahkan Amerika Syarikat sendiri.

Kuasa-kuasa barat yang sebelumnya mendapat kemakmuran hasil mahsul yang diambil dari negara-negara yang dijajah mula melihat perubahan tersebut akan membawa kepada kekurangan dana dan kewangan, walaupun negara-negara telah pun sibuk menukarkan bentuk sistem ekonominya kesan daripada kepesatan Revolusi Industri.

Negara-negara kuasa penjajah perlu memikirkan semula orientasi ekonominya, setelah sumber bahan mentah tidak lagi dapat dikuasai sepenuhnya selepas penjajahan, namun disebabkan kelebihan yang boleh menghasilkan produk lebih banyak, ia telah berjaya membuka pasaran yang menarik di negara-negara bekas jajahannya.

Itulah sebabnya ‘mentaliti penjajahan’ masih kekal dalam pemikiran masyarakat setempat selain asas-asas pendidikan yang dilakukan oleh kolonial untuk mempengaruhi kerangka pemikiran di bekas tanah jajahannya.

Kalau di Indonesia, asas pendidikan Belanda menjadi sesuatu yang dominan pada suatu ketika sehinggalah sistem dan kurikulumnya digantikan dengan orientasi tempatan. Begitu juga di Malaysia, kurikulum dan arah orientasi sistemnya diubah agar ia lebih bersifat tempatan.

Namun, perubahan-perubahan itu tidak menjadi begitu mudah di Malaysia kerana masih mengekalkan dualism sistem, pendidikan kebangsaan dan pendidikan vernakular yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar walaupun sistem pendidikan berpengantarkan bahasa Inggeris telah dihapuskan selepas tahun 1970.

Indonesia berjaya membangunkan sistem pendidikan kebangsaan yang memakai bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah-sekolah.

Bagaimanapun, disebabkan tradisi pendidikan di Indonesia yang turut diasaskan secara tradisi oleh kelompok-kelompok Islamis, tradisi sistem pendidikan pondok atau pesantrean cukup berpengaruh.

Ia kemudiannya diintegrasikan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Lulusan pesantrean diterima masuk ke peringkat tertentu dalam sistem pendidikan arus perdana, selain tumbuhnya institusi-institusi pendidikan tinggi yang bernuansakan pendidikan Islam.

Perkembangan ini tidak banyak berlaku di Malaysia. Mereka yang terdidik dalam sistem pendidikan Islam menerusi sistem perpondokan tidak dapat meneruskan pendidikan yang lebih tinggi di dalam negara, sebaliknya menumpukan perhatian untuk ke Mekah untuk mempelajari ilmu-ilmu agama secara bertalaki.

Ini menyebabkan Mekah menjadi ‘rerbutan dan idaman’ setiap pelajar yang belajar di sekolah-sekolah pondok sejak mereka berada di dalam sistem tersebut.

Sebagaimana yang kita ketahui, budaya pendidikan di Mekah telah muncul istilah-istilah tertentu yang menggambarkan percampuran budaya dan subbudaya tertentu.

Ada istilah diperkenalkan mengenai kecenderungan itu sebagai ‘Bani Jawi’ yang merujuk kepada kumpulan para pelajar yang berasal dari Asia Tenggara, seperti Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand.

Para pelajar yang menamatkan pengajian tradisi di kota Mekah ini kemudiannya apabila pulang menubuhkan pondok-pondok mereka sendiri selain bergabung dengan pondok- pondok yang telah sedia wujud.

Apa yang lebih jelas ialah masa pengajian mereka di Mekah adalah sangat panjang berbanding dengan sistem pendidikan moden yang lebih teratur dan berperancangan dari segi kurikulum serta kaedah penilaian baharu.

Selepas Mekah tidak lagi berfungsi sebagai ‘pusat pendidikan Islam’ yang berpengaruh, para pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan dan perubahan dalam keperluan pendidikan Islam yang lebih sistematik, para pelajar mula memberikan tumpuan untuk melanjutkan pendidikan tinggi hampir di serata negara-negara Islam yang mempunyai kaedah dan sistem pendidikan tingginya, selain tertumpu di Universiti al-Azhar di Mesir.

Suatu kelebihan sistem pendidikan tinggi di beberapa buah negara Arab dan Afrika ialah tidak dikenakan yuran pengajian (kecuali dalam bidang-bidang professional dan teknikal seperti perubatan, kejuruteraan dan farmasi) kepada setiap penuntut termasuk penuntut daripada ‘Tanah Jawi’.

Antara negara tumpuan ialah Maghribi, India (Darul Ulom), Pakistan, Yaman, Iraq, Iran, Syria dan Libya manakala sebahagian daripada pelajar Malaysia mengambil peluang untuk meneruskan pendidikan tinggi di beberapa buah institut pendidikan tinggi di Indonesia.

Di samping itu kerajaan turut memberikan galakan dan bantuan bagi sebahagian pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti yang diiktiraf dari segi kualiti dan tahap akademiknya.

Sebahagian besar mereka itu, setelah lulus diserap masuk ke dalam perkhidmatan awam, termasuk profesyen perguruan. Namun, telah berlaku sedikit masalah daripada perspektif nilai atau imbuhan para pelajar lulusan agama, di mana kedudukan mereka dari perspektif  gaji adalah lebih rendah berbanding mereka yang lulus dalam sistem pendidikan akademik yang berteraskan idealisme pendidikan barat.

Namun, hal ini kemudian diselaraskan pada akhir tahun 1980-an.

Lebih menarik lagi apabila Malaysia mengorak langkah untuk mengatasi masalah kualiti para pelajar yang melanjutkan pendidikan di negara-negara yang berpengantarkan bahasa Arab sama ada di Timur Tengah dan Afrika.

Suatu kerjasama dan ketetapan telah dibuat, di mana satu tahap penilaian para pelajar diperkenalkan dengan memulakan satu bentuk peperiksaan yang dikenali sebagai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Ia diperkenalkan mulai tahun 2000, dengan kerjasama Universiti al-Azhar.

Namun, para pelajar yang layak mengambil peperiksaan ini ialah mereka yang sudah melepasi peperiksaan wajib, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir 11 atau 12 tahun pengajian (berumur sekitar 17 atau 18 tahun).

STAM turut menjadi mercu tanda bahaaru dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia dengan menyelaras dan menghapuskan beberapa sistem peperiksaan yang dilaksanakan secara berselerak untuk sebelum ini.

Disebabkan sistem peperiksaan yang pelbagai, kualiti peperiksaannya banyak menimbulkan keraguan dan pertikaian terutama pada tahap ‘cut of point’ dan ‘standard fixing’.

Ini menyebabkan ada para pelajar terpaksa mengulang terlalu lama untuk lulus termasuk dalam tahap penguasaan bahasa Arab dan sebagainya.

Hal ini dilihat sebagai kerugian besar daripada kapasiti tenaga kerja dan modal insan selain tanggungan ekonomi (kos pendidikan) yang terpaksa ditanggung oleh pihak-pihak tertentu, termasuk ibu bapa.

Dengan sistem pendidikan yang sedemikian, ia membawa kepada berkembangnya aliran- aliran politik di “Tanah Jawi’, termasuk Malaysia.

Kesan daripada kejatuhan Empayar Utmaniyyah di Turki ke tangan kelompok sekular yang didalangi oleh barat, ia membangkitkan idea politik Islam, yakni pemikiran politik yang mahukan suatu sistem alternatif daripada konteks dan bentuk pemerintahan yang diambil daripada barat.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »