Ketika menonton semula dua buah filem pecah panggung, My Best Friend’s Wedding (1997) dan Runaway Bride (1999) lakonan pelakon cantik Hollywood, Julia Roberts, saya mempunyai tanggapan yang berbeza tentang kemuncak sebuah percintaan.

Dalam My Best Friend’s Wedding, Julainne Potter (Julia Roberts) mendapat panggilan seorang wartawan sukan (sport critics) dari Chicago, Michael O’Neal (Dermont Mulroney), kawan lama yang pernah berjanji, apabila mencecah usia 28 tahun, jika masing-masing belum berkahwin, mereka akan menjadi pasangan hidup (berkahwin).

Suatu hari, Julianne menerima panggilan dan jemputan untuk hadir di majlis perkahwinan Micheal dan Kimberley Wallace (Cameron Diaz). Julianne, yang mencecah umur 28 tahun teringat tentang janji mereka, lalu membuat perancangan untuk merebut cinta Michael, yakni menggagalkan hari bersejarah itu.

Julianne merasakan dirinyalah yang sepatutnya mendapat cinta daripada Micheal, bukan Kimberley, mereka sudah lama saling mengenali (berkawan sejak zaman remaja) dan pernah berjanji.

Julianne, memiliki rasa cinta terhadap Michael, tetapi tidak ada keberanian untuk melafazkannya. Akibat ‘rasa kecewa’, Julianne bertekad untuk menukarkan kedudukan Kimberley dan sangat mengharapkan dirinya akan bersanding dengan Michael pada hari perkahwinan tersebut.

Pelbagai rencana difikirkan, antaranya mengajak Michael dan Kimberley bertemasya dalam sebuah majlis karaoke. Julianne mengetahui, suara Kimberley tidaklah begitu bagus, maka kelemahan itu cuba dijadikan sebagai titik tolak agar menawarkan rasa cinta Michael terhadap tunangnya.

Bagaimanapun, Julianne gagal dalam percubaan tersebut. Micheal menjadi semakin tertarik dengan Kimberley di atas keberaniannya muncul di hadapan khalayak, tidak gentar dengan kekurangan diri. Kimberley pada mulanya enggan, tetapi mendapat semangat (keberanian) apabila didesak oleh Michael.

Kemunculan itu menyebabkan Julianne merasa kecewa, dan tambah mengecewakan bila Michael terus menyokong Kimberley, tidak mengecam suara tunangnya yang tidak bagus apabila menyanyi. Cinta mereka semakin utuh, akhirnya Kimberley dan Micheal akhirnya berkahwin. Julianne terpaksa menyembunyikan kekecewaannya, hadir sebagai seorang kawan untuk meraikan hari bahagia ‘lelaki idaman’.

Dalam Runaway Brides, Julia Roberts menjadi seorang wanita yang telah tiga kali kabur (menghilangkan diri) di hari perkahwinannya. Julia yang memegang watak Maggie Carpenter sentiasa gugup bila tiba hari pernikahannya, telah menarik minat seorang wartawan bernama Ike Graham (Richard Gere) untuk menulis mengenainya.

Bagaimanapun, Ike mengalami masalah bila tulisan-tulisannya menimbulkan pelbagai reaksi negatif dan akhirnya dipecat. Hasrat untuk menulis kisah Maggie adalah untuk membolehkannya kembali semula bekerja sebagai wartawan. Ike dan Maggie kemudiannya saling jatuh cinta. Mereka berkahwin dalam satu upacara yang cukup mudah, di atas kuda.

Kisah Maggie Carpenter memasuki ruang realiti pada tahun 2008 bila mana seramai 10 orang lelaki telah dikecewakan oleh seorang wanita, di sebuah apartmen di Pulau Pinang. Wanita yang berusia awal 30-an itu dikatakan mempunyai wajah yang cantik, mirip supermodel dan pelakon Taiwan, Lin Chi-ling.

Menurut laporan akhbar The Star (11 Disember 2008), sekurang-kurangnya 10 orang lelaki telah dikecewakan oleh “Lin Chi-ling” yang berjanji akan mengakhiri cinta mereka dengan perkahwinan. Bagi setiap lelaki yang berjaya digoda, wanita itu meminta pelbagai barangan perhiasan mewah dan wang. Setelah mendapat barang-barang itu, wanita tersebut memutuskan perhubungan dengan ‘berdiam diri’, yakni beberapa hari sebelum hari pernikahan berlangsung.

Lelaki yang menjadi mangsa penipuan tersebut akhirnya mengakui bahawa sebenarnya telah ditipu. Wanita itu dikatakan tinggal di sebuah apartmen di Batu Feringghi dan sangat licik menggoda sehingga tidak seorang pun sedar telah ditipu. Tidak seorang pun daripada lelaki itu sedar bahawa wanita tersebut menjalin hubungan dengan ramai lelaki. Mangsa hanya sedar setelah beberapa orang lelaki berkumpul di luar apartmen tersebut, mendesak agar wanita licik itu keluar dari persembunyiannya.

Terdapat juga lelaki yang menjadi mangsa sudah beberapa hari berteleku di hadapan pintu apartmen tersebut untuk bertemu, dan ada di antaranya menunggu dengan membawa hadiah dan sejambak bunga. Semuanya melahirkan rasa kecewa, dan ada di antaranya sudah membayar deposit untuk majlis pernikahan mereka, menempah restoran dan pelbagai persiapan hari perkahwinan.

Daripada setiap lelaki yang berjaya digoda, wanita itu meminta wang sehingga RM 10,000 sebagai persiapan untuk majlis perkahwinan. Setelah beberapa hari menjelang pernikahan, wanita tersebut ‘menghilangkan diri’ tetapi masih ada lelaki lain yang bersedia menunggu di luar apartmen tersebut.

Kata peribahasa:  cinta itu buta, tidak kenal siapa dan bagaimana caranya, yang penting ialah mendapatkan cinta itu. Itulah akhirnya mengilhamkan sebuah agensi kerajaan untuk menggunakannya sebagai slogan bagi meningkatkan kesedaran orang awam daripada ditipu oleh ‘love scam’.

Berdasarkan laporan kejadian, sejak tahun 2018 hingga Februari 2023, akibat terpedaya dengan ‘love scam’ rakyat Malaysia rugi lebih RM 365 juta. Jika dihitung secara purata, ia bermakna hampir RM 5.9 juta bertukar tangan setiap bulan (RM 365,000,000 / 62 bulan).

Harapan untuk mendapat balik kerugian itu cukup tipis, kerana wang yang dipindahkan itu sudah bertukar tangan dan mungkin mengalir ke akaun ketiga dan seterusnya, bahkan ada yang telah disalurkan ke akaun di luar negara.

Berdasarkan kajian dan siasatan pihak berkuasa (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM), daripada 7,286 kes melibatkan 82.5 peratus mangsa adalah wanita. Dengan ini sahlah bahawa wanita paling mudah mempercayai ‘love scam’ atas sebab-sebab yang wanita itu sendiri lebih mengetahui dan cenderung mencari nahas.

Antara faktor ialah untuk ‘mengisi kekosongan’ setelah sekian lama hidup bersendirian dan dalam usia yang sudah lanjut mula sedar keperluan mengenai ‘kehendak cinta’. (Malaysiakini, 29 Mac 2023, berdasarkan laporan Bernama).

Menurut teori motivasi (1943) yang digagaskan oleh ahli psikologi Amerika Syarikat, Abraham Harold Maslow (1908-1970), setiap manusia berusaha untuk memenuhi lima keperluan asasnya secara berhierarki.

Paling rendah ialah keperluan fisiologi (bernafas, makanan, minuman, seks, riadah dan sebagainya). Kedua, keperluan kepada keselamatan (atau rasa aman) seperti tempat tinggal, kesihatan, pekerjaan, moral dan keluarga.

Ketiga, keperluan kasih sayang dan rasa kepunyaan (love and belonging), seperti persahabatan, kekeluargaan, hubungan seks dan disayangi atau mempunyai pasangan.

Keempat, esteem seperti pencapaian diri, pencapaian kerjaya (usaha dan cita-cita atau harapan), dihormati dan menghormati orang lain (termasuk rakan sekerjaya, sebaya atau kelompok), dan keyakinan diri.

Kelima, self-actualization atau kepuasan diri (kemuncak pencapaian kendiri) seperti diterima secara meluas, sanjungan moral (kedermawan, mudah didekati, pengiktirafan negara dan sebagainya), pandangan atau pendapat diterima ramai, kreatif dan sebagainya.

Keperluan kasih sayang (loves) dan rasa dipunyai serta mempunyai merupakan hierarki ketiga selepas keperluan-keperluan asas, fisilogi dan rasa selamat telah dipenuhi. Atas sebagai keperluan tersebut, mereka yang merasa belum dipenuhi atau dalam keadaan kekosongan itulah yang menjadi mangsa penipuan cinta, yang pada suatu ketika dikenali dengan ‘ayat-ayat cinta’.

Pada penggodanya, awalnya dikaitkan dengan lelaki dari benua Afrika, yang dikatakan cukup cekap menipu dan menggunakan ayat-ayat cinta untuk menggoda. Kini, ‘jerat cinta’ tidak lagi sepenuhnya dimonopoli oleh lelaki dari Afrika, bahkan ramai juga lelaki Melayu yang semakin cekap bermain dengan ayat-ayat cinta, apatah lagi kerana kegilaan rakyat Malaysia cukup tinggi untuk mempercayai apa sahaja yang dibaca atau diterima daripada media sosial.

Penipuan menggunakan laman sosial cukup mudah dilakukan, kerana ia tidak menampakkan imej fizikal sebenar. Semuanya dilakukan secara penyamaran dan kerana itulah ramai wanita ‘kesunyian’ mudah percaya dengan kata-kata cinta yang dibaca menerusi laman sosial, yang dihiasi dengan gambar lelaki tampan dan deskripsi tertentu.

Pengendali laman ‘love scam’ mungkin bergerak secara perseorangan, dan merangkaikan lebih ramai mangsa dengan menjanjikan pelbagai harapan palsu, juga secara berkumpulan. Mereka awalnya mengumpan dengan kata-kata peransang (motivasi dan memujuk), misalnya mengirimkan hadiah berharga tetapi perlu melunaskan pelbagai cukai sebelum dapat menerimanya.

Ada juga yang mengumpankan kata-kata manis, memerlukan bantuan modal untuk membolehkan projek tertentu dapat dilaksanakan. Dirinya, seperti tidak cukup modal untuk berkembang dan memperluaskan perniagaan, maka berjanji akan memberikan pulangan yang cukup tinggi dalam masa yang singkat. Selain itu, diselitkan gabungan ungkapan cinta yang melekakan, membolehkan seseorang itu khayal habis melampaui kisah pemujaan Laila dan Majnun.

Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian RM 5.29 juta diperdaya oleh sindiket “love scam’ setelah mereka berkenalan dengan seorang lelaki di sebuah laman sesawang. Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, wanita tempatan yang berusia 64 tahun itu adalah pengarah sebuah syarikat di Ipoh itu berkenalan dengan seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, yang mendakwa dirinya bekerja sebagai paramedic di sebuah hospital di California dan mendapat kontrak membekalkan peralatan kesihatan bernilai USD $2,.2juta (RM 9.7 juta).

Lelaki berkenaan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan modal permulaan bagi memenuhi kontrak tersebut, dan berjanji akan mengahwini mangsa selepas semuanya urusan kontrak itu berjaya dilaksanakan.

Mangsa yang terpedaya dengan janji itu akhirnya melakukan 120 transaksi pemindahan ke 14 akaun bank secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan (Januari hingga Jun 2022) membabitkan pemindahan wang sebanyak RM 5.29 juta. Mangsa mengeluarkan semua simpanan yang dimiliki dan membuat beberapa pinjaman dari pemberi pinjaman berlesen. (Berita Harian, 28 Julai 2022).

Februari lalu, seorang pelajar wanita kerugian hampir RM 50,000 setelah diperdaya oleh sindiket ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi telegram. Pelajar wanita yang berusia 19 tahun itu mula berkenalan dalam talian pada 5 Februari sehingga mereka membuat perhubungan selanjutnya menerusi whatsapp dan menjadi semakin rapat.

Setelah mendapat ‘rasa percaya’, lelaki meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk membeli Skin Hero Mobile Legend (siri permainan video). Ia kemudiannya dilunaskan oleh pelajar wanita berkenaan dalam lima akaun berbeza secara berperingkat-peringkat. Kes ini berlaku di Kota Kinabalu, Sabah.  (Berita Harian, 16 Februari 2023).

Bagi menyekat daripada tertipu sindiket ‘love scam’ pelbagai pihak muncul memberikan nasihat, panduan dan pandangan agar tidak mendedahkan butiran peribadi dalam media sosial, termasuk latar belakang diri yang belum berkahwin atau dalam keadaan ‘single mother’ kerana ia akan mendorong aktiviti ‘memancing’ dengan umpaman ‘ayat-ayat cinta’ yang menjerat.

Misalnya, polis Sarawak menasihatkan orang ramai agar tidak terpikat dengan gambar profil cantik atau tampan di media sosial, lebih-lebih lagi tibanya musim tertentu, seperti sambutan Hari Kekasih, Hari Wanita Antarabangsa, dan sebagainya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Maria Rasid, “orang ramai perlu berhati-hati sekiranya terdapat komunikasi melibatkan wang, kerana penjenayah sedang masuk ke peringkat mencapai objektif untuk mendapatkan wang dengan menipu.  Maka, jangan sesekali dedahkan atau beri maklumat perbankan atau kewangan anda.”.

Dalam pada itu, Maria berkata sepanjang Januari lalu, empat kes penipuan ‘love scam’ dilaporkan melibatkan kerugian melebihi RM128,000 di Sarawak. (https://berita.rtm.gov.my/index.php/component/tags/tag/love-scam).

Ya! Memang cinta itu buta, tetapi dalam ‘kebutaan cinta’ itu setiap daripada kita perlulah waspada kerana cinta boleh membuatkan seseorang itu papa kedana, meneruskan hidup dalam kehinaan dan tidak kurang yang menanggung malu sepanjang hayat.

Katakanlah, jika anda sudah ditipu oleh sindiket ‘love scam’, anda telah mengeluarkan semua simpanan yang telah bertahun-tahun anda lakukan, dan dalam masa yang sama, anda sudah tidak lagi mempunyai pekerjaan (bersara).

Pada mulanya anda menjangkakan ‘wang simpanan’ dapat menampung perbelanjaan sisa-sisa umur yang ada. Selepas anda terjerat dengan sindiket “love scam”, anda tidak ada lagi wang untuk dibelanjakan. Apa yang akan berlaku pada hari-hari berikutnya? Apakah anda akan turut menjual rumah yang anda huni sekarang? Jika anda menjualnya, ke mana anda akan bawa diri?

Apakah anda mempunyai anak-anak yang bersimpati dengan nasib yang anda alami dan mereka sanggup mengajak anda tinggal bersama? Jika itu berlaku, apakah anda akan merasakan diri sebagai ‘hamba’ kepada anak-anak sendiri, terpaksa menjaga cucu-cucu setelah anak menantu keluar bekerja seharian, dan anda perlu ‘memasak’ atau terus ke dapur seperti zaman anda menjadi ibu kepada anak-anak anda yang sedang membesar? Apakah tenaga atau kudrat anda masih berupaya melakukannya?

Persoalan-persoalan sedemikian perlu anda fikirkan dan pasakkan dalam fikiran, sebelum anda bersedia mengenali seseorang yang asing menerusi laman sosial. Tidak mengapa, jika anda enggan menjawab panggilan telefon yang diterima, kerana anda curiga pemanggilnya, anda tidak kenal secara luar dan dalam pemanggil, bahkan tidak pernah bertemu. Kalau pun anda pernah bertemu, tetapi nombor telefon tidak termasuk dalam ‘phonebook’, lupakanlah.

Tidak mengapa, jika ada yang merungut. Panggilan tidak dijawab. Anda boleh paksakan diri untuk berkata: Itu adalah hak saya, kerana sayalah yang membayar bil telefon setiap bulan, bukan orang yang membuat panggilan ke nombor anda. Anda hanya gunakan telefon untuk membolehkan berkomunikasi dengan sanak saudara, kenalan dan bukannya untuk orang lain membuli anda.

Saya juga kadangkala tidak akan memberikan sebarang maklum balas kepada mereka yang menghantar mesej menerusi messenger, telegram, whatsapp mahupun sms sekiranya puncanya tidak saya ketahui dengan jelas. Pengirimnya bersembunyi atau saya percaya sebagai ‘menyamar’, bukan kerana saya ‘antisosial’ tetapi, saya cukup prejudis dengan mereka yang hobinya memancing dalam ‘kolam media sosial’.

Meskipun lebih 80 peratus mangsa ‘love scam’ dan juga pelaburan tanpa wujud, segala bentuk penipuan internet dialami oleh wanita, tidak bermakna lelaki terkecuali. Lelaki juga boleh jadi mangsa, termasuklah sindiket atau pengendali laman  ‘dara kesepian’, ‘janda bergetah’, ‘papa mama ghairah‘, ‘dara-janda gersang’ dan sebagainya. Saya syaki, sebahagian mereka yang mengeposkan ‘gambar ghairah’ itu mungkin juga seorang pelacur, yang kerjanya mencari pelanggan lelaki bermata keranjang atau gatal lebih.

Wanita kesepian, juga yang masih mahu isi kekosongan (anak dara tua, janda, ibu tunggal mahupun balu) wajib berhati-hati apabila berkenalan dengan lelaki menerusi laman sosial. Biarpun keperluan ‘mengisi kekosongan’ dan ‘rasa dipunyai dan mempunyai’ begitu kuat, jangan mudah terpedaya kerana cinta itu benar-benar boleh membutakan pemikiran, pandangan dan kehidupan selanjutnya, setelah terjerat dengan ‘love scam’.

Anda bukan sahaja terpaksa ‘membeli cinta’ dengan harga yang tersangat mahal, yang sepatutnya dalam budaya Melayu, lelakilah yang menyediakan mahar perkahwinan, bukan wanita yang membayarnya. Tetapi, tidak menjadi suatu kesalahan, jika anda mempunyai ‘wang’ untuk membantu, asalkan bukan ‘membeli cinta’ secara maya.

Soren Aabye Kierkegaard (1813-1855), seorang pujangga (ahli falsafah) dari Denmark pernah menulis: Dalam mencintai seseorang, anda seharusnya mencintai dirimu  sendiri. Untuk ikhlas mencintai, mulailah dengan mencintai dirimu sendiri. Kita tidak akan dapat mencintai seseorang jika dirimu sendiri tidak merasai dicintai. Don’t forget to love yourself.

Jangan cinta kemudiannya bertukar menjadi ilusi dan elegi.

Bisik Imam al-Ghazali (1058-1111): “Hiduplah sebagaimana yang engkau sukai tetapi ingat bahawasanya engkau akan mati.Cintailah pada sesiapa sahaja yang engkau kasihi tetapi jangan lupa bahawasanya engkau akan berpisah dengannya. Buatlah sesuatu yang engkau kehendaki tetapi ketahuilah bahawasanya engkau akan menerima balasan yang setimpal dengannya.” (dipetik dari Rizem Aizid, Cinta Itu Indah: Pesan-Pesan Agung dari Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, Yogyakarta: Diva Press, 2017, hal. 211).

MAHANOR SALEHA

Translate »