Situasi ini memberikan kita gambaran tentang kestabilan politik, dasar yang berterusan dan orientasi pembangunan sumber manusia adalah faktor kritikal dalam pembinaan sesebuah negara bangsa. Ia menjadi faktor kelapan yang dapat kita belajar secara perbandingan dengan apa yang ada di Sudan.

Sudan mengamalkan sistem pendidikan tunggal (single system) dan kini sedang menuju  kepada campuran pendidikan teknik dan vokasional daripada semata-mata bersifat akademik. Ini kerana kadar pengangguran di Sudan adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia, begitu juga dengan kadar kemiskinan rakyat.

Dengan pendapatan purata setiap bulan kurang RM 300, ia menjadikan Sudah sebagai sebuah negara termiskin di dunia.

Sebelumnya, Sudan mengharapkan sumbangan dalam bentuk petrodolar, tetapi kini tidak lagi dalam bidang tersebut kerana sebahagian besar lokasi telaga minyak berada di Sudan Selatan yang sudah membentuk sebuah negara merdeka mulai tahun 2011.

Apa yang kita dapat fahami ialah negara-negara yang hanya menekankan kepada pendidikan Islam tidak mempunyai kemajuan yang membanggakan seperti juga yang berlaku di Mesir.

Biarpun Mesir merupakan sebuah negara yang meninggalkan impak yang besar dalam pembangunan tamadun dunia sejak sekian lama, pergelutan tentang ekonomi, masalah pekerjaan dan pencapaian pendapatan penduduk masih merupakan isu utama. Ini dapat kita belajar daripada kes Revolusi Jasmin atau kebangkitan Arab Spring pada tahun 2011.

Salah satu faktor penolakan rakyat kepada rejim Hosni Mubarak (1928-2020) ialah tingginya kadar pengangguran dan kemiskinan penduduk serta kurangnya projek-projek pembangunan yang dilaksanakan secara seimbang antara lokasi.

Hosni lebih menumpukan pembangunan sekitar Laut Merah yang diri dan keluarganya ada kepentingan. Itulah sebabnya ketika melarikan diri, Hosni dan keluarga berada di sebuah kawasan peranginan di Laut Merah, sebuah kawasan yang cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan (Sharm el-Sheikh, yang dijuluki sebagai Las Vegas Mesir).

Mesir dan Sudan sangat mengharapkan bantuan asing dalam memenuhi keperluan rakyat. Sebab itulah Hosni Mubarak menjadi penerus dan menjadi boneka kepada Amerika Syarikat.

Hosni juga pernah dikatakan menjual gas dengan harga rendah daripada pasaran kepada Israel yang menjadi ‘anak emas Amerika Syarikat’. Sikap Mesir terhadap Israel cukup banyak berubah setelah menerima dana tahunan daripada Amerika Syarikat.

Sudan menerima bantuan daripada Arab Saudi dan sebelumnya daripada Iran. Setelah Perang Teluk, Sudan mula mengendurkan hubungan diplomatiknya dengan Iran disebabkan tekanan daripada Arab Saudi.

Ketika perang itu berlangsung, Sudan dilihat cenderung menyokong Iran. Namun, setelah dikenakan sekatan ekonomi oleh kuasa-kuasa barat, Omar Hasan al-Basyir mengubah orientasi dan mula memberikan sokongan kepada Arab Saudi.

Dalam perang yang diketuai oleh Arab Saudi ke atas Yaman, Sudan membantu Arab Saudi dengan menghantar pasukan separa tentera, Janjaweed yang kini dikenali sebagai RSF.

Hubungan diplomatik yang lebih baik dengan Arab Saudi itu turut memberikan peluang untuk memudahkan proses mengeluarkan warganegara asing yang sedang bergolak di Sudan.

Kes sebegini dilihat cukup menarik sebagai bahan penelitian yang memberikan kita pengajaran bahawa dalam masa darurat, kecemasan dan peperangan, negara yang paling kuat hubungan diplomatik akan mendapat peluang besar dalam proses mengeluarkan warganegara asing.

Ini bermakna kerjasama diplomatik antara negara adalah penting. Ia menjadi nilai pengajaran kesembilan kepada kita rakyat Malaysia, kerana tanpa bantuan Arab Saudi, usaha mengeluarkan rakyat Malaysia daripada kawasan bergolak itu menjadi semakin sukar.

Itulah sebabnya ada peribahasa mengatakan berkawan dengan ramai orang tidak menjadi masalah, yang penting ialah mencari kawan sejati.

Apa yang berlaku dalam pemikiran sesetengah orang, kisah dan orientasi politik negara- negara Arab tidak sesuai diikuti, dan Malaysia tidak perlu menjadi sebahagian nilai-nilai dan budaya Arab.

Namun, berkawan tidak bererti kita wajib berubah menjadi Arab, apa yang penting ialah kita dapat memahami budaya politik Arab, kerana hubungan diplomatik itulah yang menentukan peluang-peluang yang terbuka dari segi ekonomi, termasuk peluang ekonomi (pelaburan dan perniagaan), kemasukan dana pelaburan asing (FDI –Foreign Direct Investment), pertukaran budaya, perkongsian kepakaran dan kerjasama akademik dan mobiliti buruh.

Dalam dunia yang saling bergantung dan ekonomi terbuka, Malaysia telah berjaya memberikan khidmat bantuan kepakaran kepada Arab Saudi misalnya dalam pembinaan bangunan tinggi, pengurusan operasi keretapi laju Haramain, pembinaan landasan dan sebagainya. Hubungan baik itu memberikan insentif kepada rakyat Malaysia.

Tetapi, sayangnya setiap kali hubungan diplomatik berlangsung, ramai pula yang mendakwa sebagai sesuatu yang bersifat ideologi, usaha Arab Saudi untuk mengembangkan wahabisme. Ia sepatutnya tidak menjadi sesuatu yang dilihat mencabar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh kerana ASWJ merupakan doktrin yang dipegangi oleh lebih 80 peratus penganut Islam dunia, dan menjadi kerangka utama Islam di Malaysia, adalah wajar agensi-agensi agama dan dakwah memantapkan setiap diri umat Islam dengan pemahaman tersebut.

Proses pemantapan ini hendaklah dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya bermusim. Bila sesuatu krisis muncul, maka berebut-rebutlah orang perseorangan, agensi dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membuat penegasan semula.

Ini bermakna ketika dalam keadaan tenang, mereka juga tidak banyak bergerak dan menganjurkan aktiviti pemantapan akidah ASWJ.

Ini menimbulkan suasana kelekaan, dan ia diambil oleh pelbagai lagi bentuk fahaman yang sama ada merupakan hibrid daripada falsafah pemikiran barat yang pelbagai ataupun yang muncul daripada kembangan aliran pemikiran syi’ah.

Hal yang sama turut muncul ketika kesan Revolusi Iran merebak masuk ke dalam pemikiran umat Islam di Malaysia.

Pada suatu ketika, badan-badan dakwah menjalin kerjasama dengan rakan-rakan mereka di Iran dan sebahagiannya mengeksport nilai-nilai tersebut.

Ini dapat dilihat daripada kecenderungan sebuah parti yang menggunakan ideologi politik Islam sehingga melihat kekuatan PAS yang berjaya menguasai kembali Kelantan pada PRU ke- (1990) akan menawan Malaysia selewat-lewatnya pada tahun 2010.

Parti itu menggunakan Ayatullah Rahullah Khomeini sebagai idola mereka, setelah dapat menjatuhkan kerajaan boneka pada tahun 1979.

Mereka menggunakan kaedah pengedaran kaset-kaset dan video yang dirakamkan daripada ceramah pemimpin PAS sebagaimana dilakukan oleh pengikut-pengikut Khomeini ketika tokoh itu berada dalam pengasingan.

Ayatullah Khomeini sebagai iman syiah telah menanamkan kebencian kepada Shah Iran. Apa yang PAS lakukan ialah mendoakan para pemimpin UMNO yang berkuasa di pusat ialah menanamkan rasa benci kepada para pelajar terutama mereka yang belajar di pondok dan institusi pendidikan di bawah pengawasan Yayasan Islam Kelantan (YIK), ia kemudiannya dikembangkan apabila anak-anak pemimpin PAS yang belajar di Qum, Iran kembali memasuki pondok-pondok sebagai tenaga pengajar.

Ia kemudiannya dikembangkan kepada majlis kerumunan besar bersembahyang hajat dan berdoa untuk melaknat para pemimpin yang tidak sehaluan dengan ideologi politik mereka, termasuk Dr Mahathir dan Najib.

Ada doa agar agar Allah SWT membutakan mata, pecahkan perut pemimpin dan menurunkan laknat ke atas ‘musuh-musuh politik’ dengan azab dan sengsara. Itulah sebabnya ramai rakyat Iran memuji PAS, terutama kepimpinan politik Nik Aziz Nik Mat (1931-2015) yang memipin majlis doa laknat.

Hal yang sama ikut berlaku di Sudan ketika Iran banyak membantu membangunkan Sudan semasa kepimpinan al-Numeiri dan peringkat awal pentadbiran Omar Hasan al-Basyir. Difahamkan bahawa penubuhan Janjaweed juga ada kaitannya dengan semangat Revolusi Iran pada peringkat awal sebelum bertukar menjadi RSF.

Difahamkan bahawa Hamedti yang asal-usulnya sedikit kabur, pernah mengunjungi Iran dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan para militia yang diasaskan oleh Pasukan Tentera Revolusi Iran.

Sebahagian teknik peperangan dan strategi diaplikasikan oleh Hamedti setelah memimpin Janjaweed (RSF) untuk bergerak dalam situasi revolusineer seperti Konflik Darfour, rampasan kuasa 2019 dan pengusiran Abdullah Hamdook (sebagai PM Sudan pada masa transisi yang dibentuk bersama antara Jeneral al-Burhan dan Hamedti, yang kemudiannya dinamakan Majlis Kedaulatan Sudan (2019 hingga Oktober 2021 dan November 2021 hingga 2 Januari 2022).

Selepas disingkirkan, Abdullah Hamdok menjadi pengkritik kepada perjalanan politik Sudan dibawah dua kepimpinan utama, iaitu al-Burhan dan Hamedti. Hamdook turut mengkritik tentang cara yang dilaksanakan oleh Majlis Kedaulatan yang gagal mencari kata sepakat sehingga menyebabkan berlakunya Konflik Sudan yang masih belum nampak ada penyelesaiannya walaupun kededua pihak melanjutkan ‘gencatan senjata kepada 72 jam’ mulai 25 April 2023 setelah menerima tekanan daripada Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Ia kemudiannya dilanjutkan sekali lagi pada tengah malam Ahad, iaitu hari Isnin 1 Mei 2023.

Hamedti berkata: sebagai tindak balas kepada seruan antarabangsa, serantau dan tempatan, kami mengisytiharkan lanjutan gencatan senjata kemanusiaan tambahan 72 jam, mulai tengah malam hari ini (25 April 2022).

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa Penerbangan Awam Sudan mengumumkan penutupan ruang udara akan dilanjutkan sehingga 13 Mei 2023. Hanya penerbangan untuk bantuan kemanusiaan dan pemindahan dikecualikan.

Ini membolehkan Pasukan Palang Merah Antarabangsa yang membawa bantuan perubatan dibenarkan untuk melaksanakan misi kemanusiaan di Sudan mulai 30 April 2023 di mana lebih 1,000 tan ubat-ubatan dibawa masuk bagi memboleh 16 buah hospital dapat beroperasi.

Semasa krisis memuncak, hampir keseluruhan hospital di lokasi yang bergolak tidak dapat beroperasi dan berhadapan dengan masalah ubat-ubatan, peralatan dan sokongan paramedik.

Ini merupakan pengajaran kesepuluh daripada Konflik Sudah. Dalam masa darurat atau perang, semuanya akan mengalami kesukaran. Hal yang sama pernah berlaku di Malaysia apabila penularan kes COVID-19 sampai ke kemuncaknya.

Tekanan kepada peralatan dan jumlah pesakit yang tinggi menjadikan hospital-hospital sesak; tidak cukup kakitangan dan paramedik terpaksa bekerja dalam suasana letih dan tanpa rehat secukupnya, berpisah dengan ahli keluarga; kekurangan bilik menyimpan mayat; proses pengkebumian yang menghalang ahli keluarga menguruskannya; tekanan emosi keluarga mangsa yang berhadapan kematian salah seorang ahli keluarga; kehilangan pendapatan dan pekerjaan; dan sebagainya. Inilah pesanan yang cukup berharga, beringat sebelum kena.

Seperti yang kita pernah hadapi semasa PKP. Walaupun pergerakan kita dihadkan, ia tidak bermakna kita hanya perlu berserah kepada takdir. Kita perlu berfikir dan bertindak untuk belajar daripada situasi tersebut, malah membudayakan diri dengan virus COVID-19 yang tidak akan mati dalam kehidupan kita.

Kini, walaupun tiada lagi PKP, kita haruslah waspada kerana virus baharu (Acturus atau Strain XBB.1.16, subvarian Omicron) sedang merebak dengan pantas di Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom dan Australia.

Jumaat lalu (28 April 2023), India mencatatkan kes baharu sebanyak 11,109 dan merupakan lonjakan mendadak daripada 7,830 kes sehari sebelumnya. Varian baharu ini menunjukkan simptom unik kepada kanak-kanak, termasuk konjunktivis.

Ia memerihalkan sekali lagi kepada masyarakat, dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri, mengunjungi rumah terbuka yang semakin galak dianjurkan selepas tiga tahun terhenti (2020-2022), kita mestilah sentiasa berwaspada, kita belum tamat berperang dengan COVID-19.

Kita perlu mempertingkatan kawalan diri mengenai kemunculan pelbagai strain virus baharu, sebagaimana kita terpaksa berwaspada untuk tidak menimbulkan pelbagai konflik yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan isu-isu perkauman.

Kita harus berwaspada agar tidak terpengaruh dengan persoalan 3R –race, religion and raja- raja- apabila enam DUN dibubarkan pada akhir Jun atau bulan Julai bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Kita tidak wajar menggunakan tiga isu tersebut untuk meraih sokongan dan pengaruh, walaupun terdesak untuk mempertahan atau menguasai kepimpinan politik di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Parti-parti yang menggunakan salah satu atau keseluruhan tema kempennya dalam kerangka 3R wajib ditolak. Kita tidak pernah bimbang dengan dakwaan, jika komponen kerajaan perpaduan memenangi sebarang PRN tidak bermakna telah hilang penguasaan kepimpinan Islam, kerana dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat ia masih dikawal dan dipelopori oleh wakil rakyat Melayu-Islam, walaupun tidak sepenuhnya.

Ini membuktikan konsep pembahagian kuasa antara parti diamalkan dengan baik dan berhemah.

Kita mesti ingat, Malaysia adalan sebuah negara bermasyarakat majmuk. Majmuk bukan sahaja dalam perspektik ras dan etnik, juga majmuk agama, budaya dan pengamalan cara hidup. Kesemuanya boleh menyumbang kepada kekeruhan politik jika tidak ditangani dengan baik.

Pandangan Presiden PAS bahawa hanya PN memperjuangan ketuanan Melayu dan kepimpinan Islam tidak boleh diterima sebagai benar dan betuul walaupun dari perspektif kedudukan kerusi ada kebenarannya, 100 peratus wakil rakyat PN (74 kesemuanya) adalah Bumiputera Islam berbanding keseluruhan wakil rakyat yang bergabung dalam kerajaan perpaduan

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »