Malaysia juga mempunyai beberapa kerangka yang berasal daripada konsep politik Islam yang diterapkan dalam pentadbiran kerajaan dan dijadikan kerangka pembentukan sosio- politik, namun semuanya dilihat tidak mendapat kesan yang memberansangkan selepas beberapa tahun dilaksanakan.

Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran, walaupun dikritik sebagai ‘Islam Kulit’ oleh pemimpin PAS kerana belum bersedia menukarkan Perlembagaan Malaysia kepada Perlembagaan Islam, yang dilihat sekular dan taghut, ia sekurang-kurang berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun.

Malaysia berjaya keluar daripada ekonomi yang hanya bergantung kepada sumber bahan mentah kepada sebuah negara industri yang kemudiannya disasarkan menjelang tahun 2020 menjadi sebuah negara maju. (Dr Mahathir Mohamad, The Way Forrward: Growth, Prosperity and Multiracial Harmony in Malaysia, London: Weidenfeld and Nicolson Ltd., 1999; dan Mohamed Mustafa Ishak, Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa dalam Masyarakat Pelbagai Etnik, edisi terjemahan ke bahasa Melayu, Kuala Lumpur: ITBM, 2014).

Setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003, pembinaan negara-bangsa berdasarkan kerangka Wawasan 2020 semakin dikembirikan malah manhaj yang bertemakan Islam Hadhari diperkenalkan pada tahun 2004. Hal ini dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai penterjemahan makna ‘negara Islam’ yang pernah diisytiharkan Dr Mahathir berdasarkan kriteria diperintah oleh Muslim dan penduduk majoritinya adalah Muslim.

Malaysia turut mengamalkan dualism undang-undang, iaitu undang-undang sivil dan undang- undang Islam. Namun undang-undang Islam hanya terhad ke atas umat Islam dalam perihal kekeluargaan, jenayah (denda kurang daripada RM 5,000), hak-hak penjagaan anak selepas bercerai, pewarisan harta (faraid) dan kesalahan-kesalahan yang ditakrifkan sebagai maksiat.

Prinsip-prinsip yang ingin dikembangkan ialah (1) keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT; (2) Kerajaan adil dan beramanah; (3) Rakyat berjiwa merdeka; (4) Penguasaan Ilmu Pengetahuan; (5) pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; (6) kehidupan berkualiti; (7) pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; (8) keutuhan budaya dan moral; (9) pemeliharaan alam sekitar; dan (10) kekuatan pertahanan.

Namun konsep Islam Hadhari telah dikecam oleh PAS, seolah-olah menganggap manhaj itu sebagai ‘Islam Bentuk Baharu’ selain istilah Islam Hadhari yang silap dari segi gramatik, ia sepatutnya disebut Hadrah Islamiah atau Hadhari Islam. Walau bagaimanapun ia tidak menjejaskan maksud manhaj tersebut dan diteruskan dengan lebih sistematik dan semakin meluas mekanismenya.

Setelah Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan kesan daripada prestasi buruk BN dalam PRU ke-12 (2008), tidak dapat mengekalkan momentum yang diraihnya pada PRU ke- 11 (2004), Najib mengambil alih tampok pemerintahan pada bulan April 2009.

Najib kemudiannya memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia dan dengan secara tidak langsung pendekatan Islam Hadhari tidak lagi diberikan perhatian. Dalam penegasan gagasan tersebut, akhirnya Najib terpalit dengan ‘permainan indeks’ sehingga masyarakat melihat ia sebagai ‘kegilaan baharu’ yang tidak berlaku sebelumnya.

Sayangnya, kerana Najib lebih terpengaruh dengan ukuran-ukuran tersebut, banyak wang dihabiskan untuk memperkemaskan sistem pelaporan sesuatu projek, dengan menggunakan pelbagai kaedah yang dicipta oleh pakar runding dari barat.

Antara indeks yang menjadi tumpuan pentadbiran Najib ialah Indeks Syariah, Human Development Index (HDI), Indeks Kepuasan, Indeks Suasana Pelaburan, Indeks Sistem Pencapaian (Delivery Index) telah menyebabkan kakitangan awam terperangkap di dalam pengurusan pelaporan selari dengan kerangka yang disediakan oleh perunding dari Amerika Syarikat, McKinsey.

Di peringkat makro ditubuhkan jawatankuasa PEMANDU untuk membimbing pelaporan pencapaian sesuatu perkara, termasuk Key Performance Index (KPI) menteri dan kementerian.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terkecuali daripada perubahan fundamental itu, akhirnya menubuhkan Unit Penyampaian dan Pelaporan Prestasi, PADU (selepas terlahirnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025) pada tahun 2015.

Penubuhan ini mengambil kira kepakaran luaran dengan membawa masuk segolongan mereka yang berpengalaman dalam pengurusan korporat, namun kakitangan KPM yang berpotensi diletakkan di bawah pengawasan sebagai pengurusan pelaporan.

Ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati, kerana kakitangan KPMlah sebenarnya yang menjalankan pemantauan, pembentukan skala dan juga membina konstruk bagi mendapatkan indeks.

Di peringkat mikro, penubuhan PADU menjadi lebih mudah menguruskan perbelanjaan yang diluluskan kerana ia kurang tertakluk dengan Prosedur Kewangan yang sangat bersifat birokratik, di mana PADU mempunyai unit kewangannya sendiri yang dikelolakan oleh seorang akauntan bertaulih.

Namun, disebabkan terlalu banyak konstruk yang dibina, berlaku percanggahan proses pengumpulan data menyebabkan guru-guru semakin terasa bebannya bertambah. Ia menimbulkan pelbagai implikasi sehingga melihat sistem pendidikan menjadi semakin ‘celaru’ dan ‘cepat berubah’. Ia membawa kepada meningkatnya tekanan dan emosi para guru.

Hal ini menambahkan lagi gangguan psikologi terutama dalam kalangan guru-guru berpengalaman yang ingin mengekalkan etos kerja, dan guru-guru baharu yang berhadapan dengan rasa tidak puas hati terhadap penempatan mereka, terutama berjauhan dengan keluarga.

Guru-guru juga dikatakan terlibat dengan kerja-kerja pengkeranian (memasukkan data dalam sistem) dan ia bukan merupakan tugas hakiki, iaitu menumpukan kepada proses pembelajaran dalam kelas.

Disebabkan orientasi pendidikan yang berubah, guru-guru turut merasakan rasa ‘gundah’ dengan peralatan sokongan yang tidak mencukupi terutamanya pencapaian internet di sekolah-sekolah yang gagal dilaksanakan oleh pembekal yang mendapat kontrak terbabit.

Akhirnya, konsep pembelajaran secara virtual (virtual learning) menemui kegagalan dan apabila berlakunya proses pembelajaran dalam talian akibat penularan COVID-19, ia menjadi suatu hal yang cukup kritikal.

Antaranya penyediaan bahan pengajaran secara online oleh guru-guru, masalah internet di kediaman ibu bapa dan interaksi sosial antara guru dan pelajar. Ada juga ibu bapa merasa semakin terbeban dengan perubahan tersebut kerana sebahagiannya dkategorikan sebagai ‘digital immigrants’.

Kini, bilangan guru yang memohon bersara awal semakin meningkat. Antara sebab yang menonjol ialah tekanan kerja dan tekanan keluarga. Lebih separuh bilangan guru adalah dalam kalangan wanita.

Mereka berhadapan dengan masalah keluarga disebabkan tinggal berasingan sebagai ‘keluarga tunggal’ disebabkan penempatan pasangan di buat berdasarkan opsyen dan keperluan perjawatan. Suasana ini merujudkan ‘weekly commuters’ atau juga dikenali sebagai  pasangan jarak jauh (PJJ).

Kebiasaannya, anak-anak diuruskan oleh isteri dalam tempoh PJJ itu. Ia menambahkan beban psikologi kepada guru wanita. Proses penempatan semula atau pertukaran pasangan untuk hidup sebumbung menjadi semakin meluas dan akhirnya telah menekan kepada sistem penempatan.

Faktor kemanusiaan mula diperkatakan, apatah lagi dalam situasi jumlah perjawatan berdasarkan norma yang khusus. Manakala dalam perubahan kaedah pengajaran yang tidak lagi sangat tertumpu kepada ‘papan hitam dan kapur’, ia menjadi sesuatu yang boleh membabitkan tekanan psikologi apabila kapasiti bilik darjah menjadi semakin sesak dengan para pelajar.

Bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas yang ideal ialah antara 20 hingga 25 orang. Namun ada keadaan di mana setiap kelas mempunyai 35 hingga 40 orang pelajar. Ia menjejaskan proses intervensi dan coaching.

Persoalan lain yang muncul ialah taburan pelajar bagi setiap sekolah juga tidak seimbang, di mana sekolah-sekolah yang mencapai prestasi cemerlang terpaksa menolak kemasukan sedangkan sekolah-sekolah yang kurang berprestasi kurang mendapat sambutan. Ia seolah- olah mewujudkan sistem kasta dalam pengurusan sekolah dan pemilihan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah.

Ada ibu bapa yang sanggup menghantar (ulang-alik) anak-anak mereka ke sekolah jauh kerana pemilihan tersebut, sedangkan dalam lokasi kediaman mereka ada juga sekolah. Cuma persepsi dan bayangan pencapaian prestasi menjadi kriteria penentuan pemilihan sekolah.

Biarpun sistem pendidikan Malaysia bermasalah, timbul pelbagai rasa tidak puas hati para guru dan ibu bapa, tahap pencapaiannya adalah lebih baik daripada yang berlaku di Sudan walaupun negara terbabit mencpai kemerdekaan setahun lebih awal. Tahap celik huruf di Malaysia adalah lebih tinggi daripada apa yang berjaya dicapai oleh Sudan.

Begitu juga tahap penyertaan wanita dalam pendidikan dan kerjaya pendidikan. Ini kerana masih terdapat halangan-halangan budaya dan politik terhadap proses pendemokrasian pendidikan di Sudan terutama dalam kalangan etnik nomad, gender dan sikap ibu bapa.

Ia banyak berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia, budaya memilih sekolah menjadi faktor berlakunya ketidakseimbangan pelajar antara bandar dan pinggir bandar, lokasi sentral dan pinggiran (peripheral) atau settelement cross-location or border terutama antara sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan lokasi yang bersempadanan dengan Selangor.

Namun sekarang telah dipastikan bahawa pendidikan yang bersifat teknikal dan kemahiran perlu diberikan perhatian kerana arah pergerakan atau mobility buruh mula memasuki fasa tersebut.

Ia turut memberikan penekanan kepada sistem pendidikan untuk memperbanyakkan kemasukan para pelajar dalam bidang berkenaan yang dikenali sebagai STEM –Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, yang kemudiannya ditambah kepada TVET, Technical, Vokational, Kejuruteraan dan Teknologi.

Di negara-negara maju, pendidikan dalam kategori TVET menjadi keutamaan yang besar berbanding pendidikan akademik kerana lulusan TVET mempunyai peluang pekerjaan yang lebih banyak disebabkan keperluan industri yang kian meningkat.

Malaysia pernah gagal dengan dasar pendidikan Sains dan Sastera di mana semakin bermasalah untuk menjadi feeder kepada pusat-pusat pengajian tinggi dalam bidang sains, sebaliknya melimpah dari segi pengambilan pelajar dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Kini sedang beralih untuk meningkatkan kapasiti institusi dalam bidang TVET atau STEM. Namun, yang menjadi isu ialah tentang kelengkapan alat-alat sokongan dan kemudahan di sekolah-sekolah termasuk makmal sains, makmal teknikal dan vokasional, makmal komputer dan sikap ibu bapa terhadap keupayaan pengkhususan sains tulen dalam menyediakan peluang pekerjaan yang dilihat kurang diberikan tumpuan dan diterima secara meluas dalam sektor industri.

Kegilaan korporat sekarang ialah lebih menumpukan kepada strategi perniagaan dan pemasaran, maka proses perekrutan pekerja banyak tertumpu kepada bidang tersebut. Sebab itulah pengajian di peringkat tinggi hampir melimpah dengan kursus perniagaan dan pemasaran.

Persoalannya, kos penubuhan sekolah-sekolah atau institusi seperti itu berlipat kali ganda daripada penubuhan institusi pendidikan akademik selain masalah kemahiran guru untuk bertindak sebagai fasililator, dan ini membabitkan peluasan dari aspek kerjasama atau perkongsian pintar dengan industri.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »