Dr Zaharah mengambil keputusan kajian DNA yang dikemukakan oleh Prof Stephen Oppenheimer (Eden in the East: The Drowned Continet of Southeast Asia, 1998), “subcontinent of Sundaland was home to a rich and original culture that was dispersed when Sundaland was mostly subemerged and its population moved westward….may have reached India and Mesopotamia, becoming root for the innovative culture that developd in those areas …..and, the Austronesian languages originate from Sundaland and that a Neolithic Revolution may have started there.” (John Edward Terrell, “Think Globally, Act Locally (Openheimer’s Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia”), Current Anthropology, 40(4), 1999, dalam https://en.m.wikipedia.org/wiki/Stephen_Oppenheimer).
IDENTITI SECARA GENETIK
Saya petik sedikit imbasan yang dibuat oleh Prof Zafarina Zainuddin: analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan Orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan Orang Asli Semang dan Orang Melayu adalah satu populasi yang lebih awal berbanding populasi di China dan Taiwan.
“Bukti secara genetik ini bertepatan dengan penemuan arkeologi di Lembah Lenggong di mana penemuan dan kesan aktiviti manusia di sana telah mendorong pihak UNESCO menandakan Tapak Arkeologi Lembah Lenggong sebagai ‘the oldest records of early man outside the African continent’. Ini memfokuskan lagi bahawa Lembah Lenggong adalah lokasi terawal kemasukan manusia dan penyebaran umat manusia selepas Afrika secara kajian saintifik.
“Kedua-dua disiplin saintifik ini, genetik dan arkeologi telah menjelaskan kepada kita betapa nenek moyang kita dengan rahmat-Nya telah berusaha mengekalkan kewujudan dan identitinya sejak beribu-ribu tahun secara GENETIK sehingga masih mampu dikesan (trace) DNA mereka dan mengekalkan tanah warisan mereka yakni di Asia Tenggara dengan meninggalkan bukti-bukti ARKEOLOGI seperti kesan peninggalan aktiviti mereka sehingga kita masih mampu menghirup udara dan berpijak di bumi yang sama dengan bebas merdeka pada hari ini.
“Mampu mengekalkan identiti secara genetik dan arkeologi merentasi garis masa beribu- ribu tahun adalah makna kemerdekaan mutlak yang ingin disampaikan kepada kita.
“Sudah tentu untuk mengekalkannya, ia memerlukan berjuta pengorbanan dan perjuangan; bertumpah darah dan berladung air mata. Apa pun, inilah antara mesej kemerdekaan yang paling manis bagi kita pewaris kemerdekaan.” (Cik Srikandi, Rentaka Sekalian Bijaksana, Shah Alam: Terfaktab Media, 2017, hal.473-475).
Untuk merasa ‘bahagia’ kerana genetik Melayu adalah lebih berusia daripada genetik China dan Taiwan yang sebelumnya dianggap sebagai induk (asal-usul Orang Melayu) berdasarkan teori migrasi terawal dan menolaknya, boleh dibaca dalam Zaharah Sulaiman, Wan Hashim Wan Teh dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Sejarah Tamadun Alam Melayu – Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, Tanjung Malim, Perak: UPSI Press, 2016, Ciksri Kandi, Emas Para Dapunta dan Maharaja, Shah Alam: Terfaktab Media, cetakan kedua 2015; dan Cik Srikandi, Baiduri Segala Permaisuri, Shah Alam: Terfaktab Media, 2016).
Penemuan-penemuan terbaharu ini dapat digunakan untuk menolak kenyataan-kenyataan yang cuba dilakukan oleh aktivis politik, yang cuba menafikan bahawa Orang Melayu bukan berasal dari Tanah Melayu. Misalnya, seorang aktivis politik DAP (M Kulasegaran) menyatakan bahawa etnik India merupakan keturunan terawal muncul di Tanah Melayu hanya berdasarkan penemuan artifek di Lembah Bujang (Kedah), dan juga seorang politikus (Gerakan) yang mendakwa Orang Melayu adalah bangsa yang berhijrah dari Sumatera. Biarpun kededuanya memohon maaf, kesilapan itu tetap menjadi memori sejarah yang cukup menghina “Ketuanan Melayu”.
NO MAN ISLAND
Orang Melayu dikatakan berhijrah ke Tanah Melayu dari pelbagai pelosok wilayah Indonesia dan paling banyak diperkatakan ialah mengenai ‘pelarian seorang ningrat’ dari Sumatera, iaitu Parameswara, yang kemudiannya menjadi pengasas Empayar Melaka. Kelompok ini hanya melihat seolah-olah Tanah Melayu bermula selepas tertubuhnya Empayar Melaka, sedangkan beribu tahun sebelumnya sudah ada kehidupan dan peradaban yang muncul. (Mohd Dahlan Mansoer, Pengantar Sejarah Nusantara Awal, K.Lumpur: DBP, 1979)
Naratif sebegini pernah menimbulkan isu yang cukup hangat apabila Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP berjaya menumbangkan Gerakan yang memerintah Pulau Pinang sejak tahun 1969. Setelah DAP berjaya menolak penguasaan Gerakan, yang merupakan parti serpihan daripada MCA, kita dikacaukan dengan isu seolah-olah sebelum Pulau Pinang dijajah oleh Inggeris (dipajak dari Kedah oleh Sir Francis Light pada tahun 1786) merupakan kawasan ‘tidak bertuan – no man island’. Hal ini ditolak oleh Ahmad Murad Merican. Muhammad Haji Salleh, Mohd Salleh Yaafar dan Mahani Musa. Ahmad Murad Merican misalnya menulis:
“Kes sejarah Melayu Pulau Pinang amat menarik. Kes ini merupakan kes memori kolektif yang wujud atau tidak wujud, atau sengaja tidak mahu diwujudkan, tidak dipedulikan walaupun oleh orang-orang Melayu sendiri….Pengisahan Melayu Pulau Pinang semasa Persidangan The Penang Story 2002 anjuran Badan Warisan Pulau Pinang…telah menyelewengkan fakta dan memaparkan bahawa Melayu di Pulau Pinang wujud hanya selepas Francis Light.
“Mereka beranggapan bahawa Melayu datang ke Pulau Pinang bersama-sama kaum lain. Pandangan ini membawa implikasi bahawa Melayu di Pulau Pinang ialah ‘pendatang’ dari Kedah dan seluruh Alam Melayu. Secara logiknya, dari sudur gepgrafi dan budaya serta secara semantik, pandangan itu tidak tepat.
“Mereka sebenarnya menerbitkan semula yang ingin didengari sesetengah pihak tentang ‘warisan Pulau Pinang’ bahawa Melayu di Pulau Pinang datang dari Kepulauan Melayu, dan yang anehnya, dari “Kedah” dan Sumatera, bersama-sama imigran dari India dan Semenanjung Arab, serta dari China selepas 1786, iaitu apabila Tanjong ‘dijadikan” Georgetown oleh Francis Light. Dengan itu, masyarakat majmuk mula terbentuk di Pulau Pinang. Penonjolan Melayu itu sendiri dilihat sebagai diragukan (problematic).” (Ahmad Murad Merican, Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, hal.4).
Beberapa orang sejarawan tempatan mempersoalkan motif ‘menulis semula sejarah’, termasuk andaian bahawa daerah Barat Daya (Balik Pulau) diterokai oleh etnik Tionghua, fakta sejarah yang ingin ditonjolkan ialah munculnya beberapa nama yang dikaitkan dengan etnik Cina, ada suatu tempat yang dipanggil Kongsi. Kongsi ialah nama pekan Balik Pulau dan Sungai Kongsi. Kongsi bermakna “share” atau “communal”.
Balik Pulau merupakan sebuah kawasan pertanian yang cukup terkenal di Pulau Pinang. Sebelum Pulau Pinang muncul sebagai kawasan perindustrian, ramai yang tidak berminat untuk tinggal di Balik Pulau disebabkan oleh masalah perhubungan, terpaksa melalui jalan berbukit-bukit dan dianggap kawasan paling ‘tersorok’ atau ‘teruk’, dipenuhi pokok-pokok (hutan) dan terpencil. Balik Pulau terkenal dengan kawasan penanaman buah-buahan dan sawah. Antaranya buah pala (nutmeg), durian, pisang dan padi.
Kini terkenal sebagai ‘pusat makanan Melayu’ dan medan ‘makan durian’. Setiap kali tiba musim buah-buahan, lalu-lintas di Balik Pulau cukup sesak, terutama ketika hujung minggu dan cuti am. Penggemar durian cukup teruja untuk menikmatinya. Bahkan, ada yang berpendapat keenakan durian Balik Pulau adalah berbeza walaupun spesiesnya adalah sama.
Sebahagian besar peniaga durian dan juga penanamnya adalah bukan Melayu. Sebahagian besar tanah-tanah itu berpindah milik (dijual) kepada bukan Melayu, dan ada juga merintih kehilangan pesaka itu disebabkan oleh ‘pembangunan’ yang dilaksanakan oleh pemerintah, termasuklah pembinaan Spice Indoor Arena Stadium (Relau) dan pembinaan Penang International Convention Centre di Sungai Nibong. Ia telah berjaya menukarkan ‘legasi Melayu’ menjadi sesuatu yang hanya tinggal nama. Bahkan, nama asal dalam bahasa Melayu sudah hilang ditelan ‘kemajuan’ seperti yang berlaku di Batu Maung apabila hadirnya Southbay City.
Antara nama-nama yang masih diingati tetapi lokasinya telah hilang ialah Kg Buah Pala (High Chaparal, ‘demonstrasi lembu’ projek perumahan di Bukit Gelugor itu), Kg Asam, dan sedang dalam rencana ialah Batu Uban (sebahagiannya telah dibangunkan dan lebih dikenali Sunnyville). Nasib baik nama Kg Pondok Upih, Kg Terang, Kg Pasir, Kg Genting, Kg Masjid masih kekal, tetapi kita tidak tahu berapa lama lagi ‘keberadaannya’.
Kontroversi untuk membina tiga buah pulau buatan di perairan Selat Melaka ikut menjadikan beberapa buah kampong tradisi sekitar Teluk Bahang, Teluk Tempoyak (terkenal dengan makanan laut), Teluk Bayu, Sungai Batu akan berubah. Biarpun kerajaan perpaduan membenarkan agar hanya sebuah pulau buatan dibina, ia akan memberikan impak yang cukup besar kepada Orang Melayu, terpinggir dan hilang daripada ‘pemetaan pembangunan’ yang sedang dirancang. Itulah sebabnya, ramai yang melihat Pulau Pinang sampai bila pun tidak akan dikuasai oleh parti politik Melayu.
Ia sudah lama berubah. Ia merupakan perancangan sulit parti-parti politik yang didominasi oleh bukan Melayu, sejak negeri itu dibangunkan sebagai pelabuhan bebas cukai, kawasan perindustrian bebas (free industrial zone), dan kini ‘perumahan mampu lihat’ yang tidak menguntungkan Orang Melayu. Orang Melayu semakin terhimpit dengan pelbagai isu, termasuk harga rumah yang cukup tinggi.
Akibatnya, ramai anak-anak Pulau Pinang berhijrah ke Sungai Petani, Kulim, Bagan Serai, Parit Buntar, Padang Serai dan beberapa daerah di Seberang Perai (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan). Ini bererti dominasi pengundi di bahagian pulau sudah dikuasai oleh bukan Melayu, kecuali di dua DUN di Balik Pulau. Menurut Banci Penduduk 2020, Bumiputera masih menguasai 63.7 peratus, Cina 31.6 peratus, India 4.3 peratus dan lain-lain sekitar 0.4 peratus daripada 132,344 populasi. Kepadatan penduduk sekitar ialah 900 orang bagi setiap satu kilometer persegi.
Bagaimanapun, prestasi UMNO/BN semakin kehilangan pengaruh dan mengecil. Untuk bangkit kembali, ia adalah sesuatu yang cukup sukar kecuali adanya pemimpin dalam kalangan penduduk yang berwibawa, bersih dan diterima oleh sebahagian besar pengundi Melayu. Inilah dilema politik Melayu, bukan sahaja di Pulau Pinang, juga di beberapa buah negeri yang pesat membangun.
Sebab itulah muncul seperti satu bentuk karma, semakin maju sesebuah kawasan dengan perniagaan, pembangunan dan infrastruktur, maka semakin sukarlah UMNO untuk mempengaruhi pengundi. UMNO akan kekal sebagai parti Orang Melayu di luar bandar, bahkan di pinggir bandar semakin hilang auranya, seperti yang berlaku di Kelana Jaya, Pandan, Bandar Tun Razak, Gombak, Shah Alam, Sungai Buloh dan Indera Mahkota walaupun secara statistiknya, orang Melayu (populasi) masih mendominasinya.
Realiti inilah yang membawa kepada ‘politik ketakutan’ yang sedang dieksploitasi oleh Proklamasi Orang Melayu, sedangkan pada suatu ketika, PAS dan Dr Mahathir ‘membelakangkan Orang Melayu’. Persoalan-persoalan sebeginilah yang akan terus kekal dalam perjalanan arus sejarah politik di Malaysia, dan ia sudah beberapa kali ‘timbul- tenggelam’, kadangkala muncul situasi ‘’cemas” dan kontroversi yang cukup besar menjelang pilihan raya, juga ketika muncul semula ‘nasionalis semu’ yang cuba menjadikan Ketuanan Melayu hadir sebagai megalothymia.
Jadi, persekitaran sosial di Malaysia dilatari oleh kaum imigran, termasuk Orang Melayu. Kecetekan pengetahuan sejarah itulah yang membelenggu makna Orang Melayu sebagai penduduk asal dan tuan kepada Tanah Melayu. Ia merupakan sindrom penafian dalam kemelut ‘hegemoni dan dominasi’ masyarakat majmuk kesan daripada penjajahan. Saya pernah menulis mengenainya, “Dejavu Melayu! Dirgahayu Bangsaku!“, Dakwah, bil. 17, Mac-April 2013.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments