Begitu juga usaha Hasan Ali merampas minuman alkhohol, tidak menggalakkan umat Islam berkerja di rumah-rumah hiburan yang menghidangkan minuman beralkohol, dan seterusnya mengenai kehadiran penganut Islam di malam Thankgiving yang dibuat di sebuah gereja di Damansara Utama. Demi menjaga kerjasama, kepimpinan sanggup memecat keahlian dan menggugurkan Hasan Ali daripada barisan kepimpinan politik Negeri Selangor.

Ini membuktikan PAS sebenarnya bukan memperjuangkan Islam, tetapi memperjuangkan kedudukan politiknya. Sebab itulah Presiden PAS menulis sebuah rencana yang merefleksikan pemikirannya agar rakyat memahami dengan baik apa makna ‘politik cari makan’.

Masyarakat sepatutnya, tulis Presiden PAS, memahami dengan lebih mendalam kerana ia “menunjukkan kejahilan mereka terhadap perkara besar dalam Islam, dan kata-kata sebegini sentiasa diulang dalam sejarah sejak perjuangan para Rasul. (Harakahdaily, 18 April 2023)

Ia sesuatu yang cukup mengejutkan, walhal kita ketahui bahawa Nabi Muhammad SAW ‘menolak pelbagai tawaran’ demi untuk kepentingan dakwah, walaupun ditawarkan hadiah yang cukup besar, agar tidak meneruskan seruan kepada Islam.

Apakah yang sedang diperkatakan tentang PAS? Ada dakwaan menggunakan ‘sedekah’ untuk mendapat undi, termasuk dalam proses pemilihan di Parlimen Marang, yang diwakili oleh Presiden PAS. Ini jelas bertentangan dengan apa yang pernah diutarakan oleh bekas Mursyidul Am PAS, apa pun tindakan yang boleh dikaitkan dengan aktiviti ‘membeli undi adalah haram.

PRU ke-15 membuktikan adanya kecenderungan ini berlaku, demi kuasa politik sanggup menawarkan pelbagai janji walaupun janji itu adalah sesuatu yang tidak pasti dan boleh membangkitkan keghairahan percaya seperti kesan ekstasi.

Ia seperti janjikan syurga kepada mereka yang mengundi PAS, walhal syurga itu bukanlah prerogatif PAS, ia adalah hak mutlak Allah SWT. Sebagai bukti yang cukup jelas ialah kecaman MB Kedah terhadap ‘pengundi luar’ yang datang menuntut ‘sagu hati pulang mengundi’.

Kelima, meskipun penganut Islam merupakan kumpulan majoriti penduduk Sudan, ia tidak bermakna proses politik adalah mudah sebagaimana dibayangkan sebahagian orang sebagai faktor primordial.

Primodialisme adalah kecenderungan menjunjungi tinggi ikatan sosial berupa nilai-nilai, norma dan kebiasaan yang bersumberkan etnik, ras, tradisi dan kebudayaan dibawa oleh seseorang (juga kelompok). Ia mungkin berbentuk keyakinan sesuatu yang diwarisi dan  diterima sejak kecil. Ia membentuk semangat kesetiaan tertentu dan kadangkala dilihat berlebihan.

Namun, dalam pengertian yang lain primordialisme boleh dilihat sebagai faktor yang sangat mempengaruhi sehingga boleh membentuk nilai dan pendirian yang dipanggil taksub. Misalnya pendirian bahawa ‘jika seseorang itu meninggal sebagai ahli PAS, ia akan dimasukkan ke syurga’. Ia sesuatu yang bersifat melampau dan menyimpang daripada nilai- nilai yang diajar oleh Islam, yakni tidak pernah disebut bahawa dengan menyokong PAS, maka ‘dijamin syurga’.

PAS tidak memiliki syurga, begitu juga parti-parti politik. Syurga diberikan kepada setiap umat Islam yang mejauhi larangan-Nya dan beribadat dengan penuh rasa syukur, tawaduk dan penuh keikhlasan, bukan tujuan mendapat pujian atau memenuhi kepentingan peribadi. Sebagaimana Allah SWT berfirman, dengan maksud:

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: Inilah yang diberikan kepada kami dahulu; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan?isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.: (al-Baqarahm ayat ke-25).

“(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh. (Mereka diberi sebaik-baik balasan denga dikatakan kepada mereka): masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman) dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan. (az-Zukhrufm ayat ke-68-70).

Sesungguhnya orang yang cerdik pandai itu sentiasa berfikir, lantas mereka akan menunaikan janji-janji mereka kepada Allah dan sama sekali tidak akan memungkiri apa sahaja perjanjian.” (surah al-Ra’ad, ayat ke-20)

Seorang budayawan (Sujiwo Tejo, atau Agus Hadi Aryo Sudjiwo Tejo, lahir 31 Ogos 1962) dan pakar tasawuf (Dr MN Kamba, 23 September 1958- 20 Jun 2020) cukup menarik bila mengulas tentang makna Tuhan dalam kehidupan manusia, termasuk salah faham mengenai Tuhan yang berpunca daripada pengalaman budaya.

Menurut mereka, pengalaman budaya (sosialisasi) secara tradisi kadangkala menjadi sebab kenapa ada di antara manusia seperti ‘asyik’ bercerita mengenai Tuhan tetapi kurang memahami apa kedudukan-Nya dalam membangun kepercayaan yang menepati kehendak- Nya.

Pada akhirnya, kedua penulis sangat percaya bahawa agama telah menyatukan manusia kepada ummah, bukan menimbulkan kebencianm terhadap satu sama lain. Oleh itu, manusia harus memahami Tuhan di mana satu-satunya jalan ialah dengan mencintai-Nya.

Walaupun dua penulis itu melatarbelakangi penulisan mereka dalam perspektik kanak-kanak, mereka turut menyemai rasa tanggungjawab dan memecahkan pemikiran (persepsi) yang ‘mengasyikkan’ itu menjadi suatu amalan dalam kehidupan, cukup tepat dalam pengertian psikososial, dan diintegrasikan dengan pendekatan tasawuf. Tidak berbelit-belit dan sukar difahami.

Dua buku yang dimaksudkan itu ialah Tuhan Maha Asyik (Bandung: Imania-Mizan, 2016), dan Tuhan Maha Asyik II (Bandung: Imania-Mizan, 2020).

Tentunya, sebagai manusia, dua pengarang buku tersebut ada kekurangan di antaranya ialah kadangkala penyampaiannya agak berfalsafah, juga terpaksa mengambil ‘jalan panjang’. Secara jujurnya, dua pengarang itu berusaha untuk berbincang mengenai ‘jalan tasawuf’ secara santai, boleh diterima oleh kanak-kanak.

Dan, tentunya, jika seorang kanak-kanak mampu memahaminya, maka tidak ada sebab orang-orang dewasa tidak yakin bahawa tasawuf adalah jalan terbaik ‘membersihkan jiwa’, membina kekuatan diri dan seterusnya hidup dalam persekitaran bahagia, tidak saling mengadu-domba, berhasad dengki sesama manusia, memungkiri janji, dan saling mengkhianati (pada diri sendiri , orang lain semua makhluk).

Inilah yang berlaku dalam politik dan akan terus berlaku sepanjang manusia meletakkan “matlamat menghalalkan cara”, tanpa memikirkan dosa atau pahala, yang difikirkan laba politik. Inilah juga yang dibimbangkan oleh Imam a-Ghazali apabila menulis surat-surat nasihat kepada penguasa, yang kemudiannya dibukukan dengan tajuk al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, yang ditulisnya dalam bahasa Parsi, antara tahun 488-489H/1095-1104.

Al-Ghazali menulis buku itu ketika berumur 46 tahun atas permintaan Muhammad ibn Maliksyah, seorang putera Bani Saljuk yang baharu dilantik sebagai penguasa setelah berjaya memenangi peertikaian politik dengan anak saudaranya sendiri. Ketika itu, al-Ghazali sedang beruzlah, yang dimotori oleh beberapa faktor.

Salah satunya ialah pendiriannya ingin menjauhkan diri daripada ‘koridor kuasa’ dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemelut sosiopolitik yang sudah dan sedang berlaku dalam pemerintahan Bani Abasiyyah dan juga kesultanan Saljuk. (Ahmadie Thaha dan Ilyas Ismail dalam “Pengantar Penterjemah”, Imam Al-Ghazali, Peringatan Bagi Penguasa: Agar Kekuasaan Tidak Menjadi Korup, terjemahan dari at-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, Jakarta: Penerbit Hikmah, 2000, hal. xi-xii)

Jelas Sujiwo Tejo dan DR MN Kamba, enggan mencintai Tuhan, tidak ada lagi jarak antara Tuhan dan ciptaan-Nya; antara subjek dengan objek.

Untuk mencintai Tuhan, manusia wajib mengenali dirinya, kerana dirinyalah emanasi (proses munculnya sesuatu) cahaya Tuhan. Ia tidak berbeza dengan pandangan Imam al-Ghazali (1058-1111) bahkan mungkin melanjutkan apa yang dikatakan:

Tidak ada satupun yang lebih dekat denganmu daripada diri sendiri. Jika kau tidak mengenali dirimu, bagaimana mungkin engkau akan kenal Tuhanmu?

Jika engkau berkata: Sesunngguhnya aku mengenali diriku? Yang engkau ketahui hanya jasad lahiriah berupa tangan, kaki, kepala dan badan. Engkau tidak mengetahui apa yang ada dalam batinmu, seperti hal-hal yang menimbulkan pertikaian ketika marah dan keinginan untuk menikah ketika bersyahwat. Jika lapar, engkau mencari makanan; jika haus, engkau akan mencari minuman.

“Binatang pun melakukan tindakan yang sama dalam segala hal, sehingga yang menjadi kewajipanmu adalah mengetahui dirimu dengan sungguh-sungguh sampai engkau mengetahui siapa dirimu?

“Dari manakah engkau sebelum datang ke tempat ini? Untuk apa engkau diciptakan? Dengan apa engkau meraih kebahagiaan? Dan, apa yang menyebabkanmu mendapat kesengsaraan?” Imam al-Ghazali, Resep Bahagia: 8 Risalah Pilihan Sang Hujjatul Islam, terjemahan Kaserun AS Rahman, Jakarta: PT Rene Turos Indonesia, cetakan kedua, 2022, hal. 5-6).

Kenapa saya membangkitkan persoalan ini? Apa yang saya perhatikan, sepanjang saya mengenali budaya politik PAS, saya cukup tersinggung dengan cara politikus dan aktivis yang kadangkala cuba ‘menjadi Tuhan’ seolah-olah Islam itu hanya eksklusif milik Parti Islam se Malaysia, sehingga ada ketikanya mengambil ‘peranan Tuhan’.

Misalnya, ketika berkata: Kalaulah mahu Islam, masuklah ke dalam PAS”. Ungkapan itu menerbitkan beberapa unsur negatif. Antaranya, PAS dianggap sebagai satu agama baharu. Apa yang kita sedar, dididik dan diberitahu sejak kecil lagi bahawa Islam adalah agama terakhir.

Agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, yang juga merupakan seorang Rasulullah SAW yang terakhir, dan tiada lagi nabi atau rasul selepas baginda.

Islam orang lain dinafikan, walaupun menggunakan kitab suci yang sama, menghadap kiblat yang sama, bersembahyang lima kali sehari (5 Rukun Iman dan 6 Rukun Iman) dan sama- sama mengucap dua kalimah syahadah.

Kalimah syahadahlah yang membezakan seseorang itu sama Islam atau tidak, bukannya menjadi ahli PAS. Sebab itu PAS memang terkenal sebagai sebuah parti politik yang menggunakan agama dan mengeksploitasi agama, atau dikenali sebagai ‘penunggang agama’.

Hal ini tidak dapat diterima oleh aktivis PAS, malah menganggap mereka yang menghina PAS sama dengan orang yang menghina agama. Pemimpin PAS seolah-olah manusia yang tidak melakukan kesalahan, atau menyamai sifat Nabi-Nabi dan Rasul, maksum.

Ungkapan tersebut seolah-olah menerbitkan ‘suatu hukum’, walhal perbuatan sedemikian sangat dilarang oleh Allah SWT, dalam firman-Nya yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Mengetahui.” (surah al-Hujurat, ayat ke-1).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »